Siri Selagi Ada Waktu

Bila Hidup Sebenarnya Akan Bermula?

Seorang bapa memberi perhatian kepada anaknya yang menunjukkan bunga di taman kejiranan.

Lepas siap kerja ini, bolehlah hidup tenang sedikit.

Mungkin kita pernah berfikir begitu. Sekarang memang sibuk, tetapi keadaan ini sementara sahaja. Ada beberapa perkara yang perlu dibereskan dahulu. Selepas itu, barulah ada masa untuk perkara yang selama ini tertangguh.

Hendak berjumpa kawan. Hendak pergi ke suatu tempat. Hendak menikmati hujung minggu tanpa terus memikirkan urusan lain.

Kita tahu hidup yang kita mahukan itu bagaimana. Cuma belum sampai masanya.

Masalahnya, selepas satu urusan selesai, urusan lain pula mengambil tempat. Ada sasaran baharu. Ada perkara yang perlu diperbaiki. Waktu lapang yang kita nantikan itu seolah-olah tertangguh lagi.

Dalam bab “You Are Here” daripada Four Thousand Weeks, Oliver Burkeman membincangkan kebiasaan meletakkan kehidupan yang benar-benar memuaskan pada suatu masa yang belum tiba.

Hari ini terasa seperti persediaan. Hidup yang sebenar kononnya akan bermula kemudian.

Nota Penulis

Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Four Thousand Weeks oleh Oliver Burkeman di Inchenaim. Siri Selagi Ada Waktu meneliti masa yang terbatas, pilihan, perhatian, rehat dan hubungan.

Catatan ini melihat kecenderungan menangguhkan kehidupan sehingga semua urusan selesai atau keadaan menjadi lebih baik.

Syarat Itu Asyik Berubah

Ada perbezaan antara menantikan sesuatu dengan menjadikan seluruh hidup sekarang sekadar tempoh menunggu.

Menunggu cuti selepas minggu yang panjang itu biasa. Begitu juga berharap keadaan akan lebih baik apabila satu masalah berjaya diselesaikan.

Burkeman mempersoalkan keadaan apabila kita sentiasa meletakkan syarat sebelum membenarkan diri berasa cukup atau menikmati hidup. Apabila beban kerja sudah terkawal, apabila bertemu pasangan yang sesuai, apabila masalah diri sudah selesai—barulah kita boleh mula hidup dengan tenang.

Beliau menyebut cara berfikir ini sebagai “when-I-finally” mind. Fikiran kita sentiasa berbunyi: “Nanti, apabila perkara ini selesai, barulah aku boleh menikmati hidup.”[1]

Syarat itu boleh kedengaran sangat munasabah. Memang lebih mudah menikmati hujung minggu jika kerja sudah beres. Memang ada masalah yang, apabila selesai, membawa perubahan besar kepada kehidupan.

Cuma, kita boleh terbiasa mencari satu lagi syarat selepas syarat yang lama sudah dipenuhi.

Kerja sudah lebih teratur, tetapi sekarang terasa perlu mencapai kedudukan yang lebih baik. Satu projek sudah selesai, tetapi kejayaan itu perlu disusuli sesuatu yang lebih besar. Keadaan sudah bertambah baik, namun kita masih belum membenarkan diri berhenti sekejap dan menikmatinya.

Menurut Burkeman, kita akan sukar berasa puas dengan hari ini jika nilainya hanya diukur melalui manfaatnya untuk masa depan.[1]

Ini tidak bermaksud semua orang cuma perlu mengubah cara berfikir. Beliau sendiri mengakui bahawa ada keadaan yang memang wajar kita mahu tinggalkan. Orang yang terpaksa melalui pekerjaan yang berat dan bergaji rendah mempunyai alasan yang nyata untuk menantikan masa depan yang lebih baik.

Namun, apabila keadaan sudah membolehkan kita menikmati sesuatu, elok kita melihat semula syarat yang masih dikenakan kepada diri sendiri.

Adakah perkara itu benar-benar perlu selesai dahulu? Atau kita sudah terlalu biasa hidup dengan janji bahawa nanti semuanya akan terasa lebih baik?

Hari Ini Ada Nilainya Sendiri

Burkeman menceritakan bagaimana beliau mula melihat kebiasaan ini dengan lebih jelas selepas menjadi seorang bapa.

Ketika menanti kelahiran anaknya, beliau membaca buku penjagaan bayi dan mahu menggunakan bulan-bulan awal itu sebaik mungkin. Banyak nasihat yang ditemuinya menumpukan pada hasil masa depan: bagaimana amalan hari ini boleh menghasilkan anak yang lebih gembira, berjaya atau mempunyai tabiat yang baik apabila besar nanti.

Beliau kemudian menyedari bahawa dirinya juga sedang melihat masa bersama anak melalui ukuran yang sama.

Apa yang perlu dibuat sekarang supaya semuanya menjadi baik kemudian?

Sedangkan anaknya sudah ada di hadapan mata. Masa kecil anaknya mempunyai nilai pada waktu itu juga. Ia bukan sekadar persediaan untuk menjadi orang dewasa. Burkeman mahu menikmati saat anaknya menggenggam jarinya, tanpa sentiasa memikirkan sama ada perbuatan itu menunjukkan anaknya sedang berkembang seperti yang diharapkan.[2]

Kisah ini boleh membawa kita memikirkan hubungan dengan orang lain juga.

Satu petang berbual dengan kawan boleh berharga walaupun tiada nasihat besar diperoleh. Makan bersama keluarga tidak semestinya perlu menjadi usaha untuk mencapai sesuatu. Kadang-kadang kita sekadar mahu duduk bersama, bertanya khabar dan mendengar cerita masing-masing.

Banyak perkara yang kita lakukan memang ada tujuan. Kita bekerja untuk mendapat pendapatan. Kita belajar untuk memahami sesuatu. Kita membuat persediaan supaya urusan kemudian lebih mudah.

Tetapi apabila kita hanya memikirkan manfaat sesuatu pengalaman untuk masa depan, kita mudah terlepas apa yang boleh dinikmati ketika melaluinya.

Sambil merancang pertemuan yang lebih panjang pada masa depan, masih ada perbualan singkat yang boleh diberi perhatian hari ini.

Yang Biasa Pun Tidak Kekal Selamanya

Ada perkara yang terasa sentiasa tersedia kerana ia sudah menjadi kebiasaan.

Kedai yang kita singgah. Jalan yang kita lalui. Kawan yang selalu ada masa untuk berbual. Orang yang kita fikir boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Kita mudah menganggap semuanya boleh diulang nanti.

Dalam bahagian “The Last Time”, Burkeman merujuk pemerhatian Sam Harris bahawa kehidupan kita dipenuhi pengalaman yang suatu hari nanti akan berlaku buat kali terakhir. Selalunya kita tidak tahu, ketika sedang melaluinya, bahawa itulah kali yang terakhir.[3]

Burkeman memberikan contoh mengangkat anaknya. Anak itu akan membesar, dan suatu hari perbuatan yang begitu biasa pada waktu kecilnya tidak lagi berlaku.

Tidak semestinya ada perpisahan besar. Kadang-kadang kehidupan berubah sedikit demi sedikit.

Seorang kawan berpindah. Tempat yang biasa dikunjungi sudah ditutup. Jadual masing-masing berubah sehingga pertemuan yang dahulu mudah diatur menjadi semakin jarang.

Huraian ini boleh terasa sedih. Tetapi ia juga mengingatkan bahawa kita tidak mempunyai jaminan untuk mengulang semua pengalaman pada waktu yang dirasakan lebih sesuai nanti.

Mungkin masih akan ada pertemuan lain. Mungkin tempat itu masih boleh dikunjungi tahun depan. Namun, walaupun kita dapat bertemu lagi, orang, keadaan dan hubungan kita mungkin sudah berubah.

Kalau kita sempat berada di situ, ada baiknya kita memberi sedikit perhatian kepadanya.

Tidak Perlu Menikmati Setiap Saat dengan Sempurna

Namun, usaha menghargai hari ini juga boleh terasa membebankan kalau kita mahu menikmati setiap saat dengan sempurna.

Burkeman menceritakan pengalamannya melihat cahaya utara di Kanada. Beliau begitu mahu menikmati pemandangan itu sepenuhnya. Tetapi semakin kuat beliau mencuba, semakin sukar untuk menghayatinya. Fikirannya sibuk menilai sama ada beliau sedang menikmati saat itu dengan cukup baik.[4]

Kita tidak perlu menambah syarat baharu: hidup hanya dikira bermakna kalau kita pandai menikmatinya sepanjang masa. Ada hari yang biasa sahaja, dan hari itu tetap sebahagian daripada hidup kita.

Tidak Semua Perlu Menunggu

Dalam artikel tentang rehat, kita bertanya sama ada perlu menunggu semua kerja selesai sebelum boleh berhenti. Soalan yang sama boleh ditanya tentang perkara lain yang asyik kita tangguhkan.

Dalam al-Hikam, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari mengingatkan, dalam terjemahan maksud: “Menangguhkan amal sehingga ada waktu lapang ialah antara kebodohan nafsu.”[5]

Nasihat ini asalnya menyentuh amal soleh yang ditangguhkan kerana kesibukan dunia. Namun, ia turut mengajak kita memeriksa tabiat menunggu: adakah kita sedang menanti ruang yang benar-benar diperlukan, atau terus menangguhkan perkara yang sebenarnya sudah mampu dilakukan?

Kita boleh terus mengusahakan keadaan hidup yang lebih baik sambil memberi sedikit ruang kepada perkara yang kita hargai sekarang. Tidak semuanya memerlukan hari yang benar-benar lapang.

Adakah panggilan kepada seorang kawan benar-benar perlu menunggu minggu yang lapang? Adakah makan malam bersama seseorang perlu menunggu segala urusan selesai?

Ada rancangan yang memang memerlukan wang, masa atau keadaan yang lebih sesuai. Kita boleh terus mengusahakannya sambil melihat apa yang sebenarnya sudah boleh dilakukan sekarang.

Mungkin belum dapat bercuti panjang, tetapi masih ada ruang untuk berjumpa sebentar. Mungkin kerja belum reda, tetapi satu panggilan tidak perlu ditunda lagi.

Hidup kita mungkin belum seperti yang diharapkan. Namun, sebahagian daripada perkara yang kita hargai sudah boleh diberi ruang hari ini.

تمت

Selesai pada hari Selasa, 27 Oktober 2026, bersamaan 16 Jamadilawal 1448.

محمد نعيمMuhamad Naim

Nota Kaki

Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.

Oliver Burkeman, Four Thousand Weeks: Time Management for Mortals (Allen Lane/Penguin Canada, 2021), bab 8, “You Are Here”.

  1. Kehidupan yang sentiasa menunggu syarat dipenuhi. Dalam bab 8, “You Are Here”, Burkeman membincangkan cara berfikir yang disebutnya sebagai “when-I-finally” mind. Apabila masa kini dilihat semata-mata sebagai jalan menuju keadaan yang lebih memuaskan, seseorang boleh terus mencari alasan untuk menangguhkan kepuasan walaupun sasaran terdahulu sudah dicapai. Beliau turut mengakui bahawa keadaan hidup tertentu memberikan alasan yang nyata untuk mengharapkan masa depan yang lebih baik. ↩︎1 ↩︎2
  2. Nilai pengalaman pada waktu ia berlaku. Dalam bahagian “The Causal Catastrophe”, Burkeman menceritakan pengalamannya sendiri sebagai bapa dan mempersoalkan kecenderungan menilai zaman kanak-kanak hanya berdasarkan jenis orang dewasa yang akan terhasil. Kisah bayi dan genggaman tangan dalam artikel ini merujuk pengalaman Burkeman, bukan pengalaman peribadi penulis. Contoh hubungan dan pertemuan lain ialah penerapan umum terhadap hujah tersebut. ↩︎
  3. Pengalaman yang suatu hari akan berlaku buat kali terakhir. Dalam bahagian “The Last Time”, Burkeman merujuk pemerhatian Sam Harris tentang sifat sementara pengalaman hidup dan ketidakpastian mengenai bila sesuatu berlaku buat kali terakhir. Contoh mengangkat anak ialah contoh Burkeman. Rujukan kepada Harris dalam artikel ini diperoleh melalui huraian Burkeman. ↩︎
  4. Kesukaran apabila terlalu berusaha menikmati saat ini. Dalam bahagian “Absent in the Present”, Burkeman menceritakan pengalamannya melihat cahaya utara di Kanada dan menghuraikan bagaimana usaha menilai atau memaksimumkan pengalaman boleh menghalang penghayatan terhadap pengalaman itu sendiri. Beliau mencadangkan agar kita menyedari bahawa kehidupan memang sudah berlangsung pada masa kini, tanpa menjadikan kehadiran dalam sesuatu pengalaman sebagai satu lagi pencapaian. ↩︎
  5. Menangguhkan amal sehingga waktu lapang. Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, al-Hikam al-‘Ata’iyyah, hikmah yang bermula dengan إحالتك الأعمال على وجود الفراغ من رعونات النفس. Rujukan teks dan konteks melalui syarah ‘Abd al-Majid al-Sharnubi, yang menerangkan penangguhan amal soleh sehingga urusan dunia selesai, sedangkan urusan tersebut terus bersambung. Petikan Melayu dalam artikel ialah terjemahan maksud; kaitannya dengan hubungan dan perkara yang dihargai dalam kehidupan harian ialah olahan penerapan penulis. Lihat teks hikmah dan syarah. ↩︎

Seterusnya · Catatan 06

Bukan Semua Peluang Baik Perlu Kita Ambil

Belajar melepaskan peluang yang baik supaya perkara yang dipilih benar-benar mendapat perhatian.

Tinggalkan Komen Anda..