
Kadang-kadang, duduk sekejap pun rasa bersalah.
Baru hendak minum teh, teringat mesej yang belum dibalas. Terpandang barang yang belum dikemas. Kemudian teringat pula satu kerja yang rasanya boleh diselesaikan kalau sambung sedikit lagi.
Sudahnya, kita bangun semula.
Rehat itu ditangguhkan. Nanti, apabila semuanya sudah selesai, barulah boleh duduk dengan senang hati.
Cuma, “semuanya sudah selesai” itu jarang benar berlaku. Setiap kali satu urusan berakhir, ada sahaja perkara lain yang menunggu.
Lama-kelamaan, kita mula berasa bahawa kita perlu menyiapkan cukup banyak kerja sebelum layak berehat. Kena ada hasil yang boleh ditunjukkan. Kalau hari itu tidak banyak yang berjaya disiapkan, hendak berehat pun terasa seperti mengambil sesuatu yang belum menjadi hak kita.
Nota Penulis
Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Four Thousand Weeks oleh Oliver Burkeman di Inchenaim. Siri Selagi Ada Waktu meneliti masa yang terbatas, pilihan, perhatian, rehat dan hubungan.
Catatan ini melihat rasa bersalah ketika berehat dan mengapa waktu lapang boleh bernilai tanpa perlu menghasilkan apa-apa.
Kenapa Rehat Pun Perlu Ada Hasil?
Walaupun akhirnya kita membenarkan diri berehat, kadangkala kita masih terasa perlu memberikan alasan bahawa rehat itu akan membantu pekerjaan kita.
Dalam bab “Rediscovering Rest” daripada Four Thousand Weeks, Oliver Burkeman mempersoalkan satu alasan yang selalu kita dengar: berehatlah supaya nanti boleh bekerja dengan lebih baik.
Alasan itu memang mudah diterima. Orang yang cukup rehat mungkin lebih segar dan lebih mudah menumpukan perhatian apabila kembali bekerja.
Tetapi Burkeman bertanya lebih jauh. Mengapa kita perlu sentiasa memberi alasan bahawa cuti, makan bersama kawan atau pagi yang dihabiskan dengan bersantai akan membantu kita bekerja dengan lebih baik?[1]
Adakah menikmati masa itu sendiri belum cukup?
Soalan ini menarik kerana cara kita bercakap tentang rehat sering memperlihatkan apa yang sebenarnya kita anggap penting.
Kita mahu membaca, tetapi terasa rugi kalau buku itu tidak menambah pengetahuan. Hendak berjalan petang, mesti mencapai sasaran jumlah langkah. Apabila mula menyukai sesuatu hobi, cepat sahaja muncul cadangan untuk menjadikannya pendapatan tambahan.
Semua itu ada manfaatnya. Bagi sesetengah orang, pendapatan daripada hobi memang membantu kehidupan.
Yang menjadi persoalan ialah apabila hampir semua masa lapang mesti membawa hasil. Kita semakin susah melakukan sesuatu semata-mata kerana menikmatinya. Duduk berbual lama sedikit pun terasa seperti membuang masa.
Burkeman berpendapat bahawa tuntutan seperti ini boleh menghilangkan keseronokan daripada waktu lapang. Masa yang sepatutnya dinikmati berubah menjadi satu lagi ruang untuk memperbaiki diri, mencapai sasaran atau menyediakan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.[1]
Akhirnya, waktu bekerja ada senarai tugas. Waktu lapang pun ada senarainya sendiri.
Buat Sesuatu Kerana Kita Suka
Waktu berehat juga boleh diisi dengan kegiatan yang kita lakukan kerana menikmatinya. Dalam bab yang sama, Burkeman menggunakan contoh berjalan-jalan.
Kalau kita berjalan ke kedai, tujuannya jelas. Sampai ke kedai, selesailah perjalanan itu.
Berjalan-jalan sedikit berbeza. Kita mungkin melalui jalan yang sama dan akhirnya pulang semula ke rumah. Kalau tujuannya sekadar untuk berada di rumah, lebih mudah kalau tidak keluar langsung.
Tetapi tentulah itu bukan sebab orang berjalan-jalan.
Ada keseronokan pada perbuatan berjalan itu sendiri. Melihat keadaan sekeliling. Berhenti sekejap apabila ada sesuatu yang menarik perhatian. Merasakan angin selepas seharian berada di dalam bangunan.
Untuk menerangkan hal ini, Burkeman merujuk gagasan ahli falsafah Kieran Setiya tentang kegiatan yang bernilai kerana pengalaman melakukannya. Berjalan-jalan, misalnya, tidak perlu membawa kita ke suatu destinasi atau mencapai sasaran tertentu untuk menjadi sesuatu yang berharga. Kita boleh berhenti berjalan, tetapi nilainya tidak bergantung pada menyelesaikan satu tugasan.[2]
Berbual dengan seorang kawan juga begitu. Kita tidak perlu mencapai apa-apa keputusan untuk menganggap masa bersama itu berharga.
Begitu juga dengan memancing.
Seseorang boleh pulang tanpa seekor ikan dan tetap berasa seronok dengan masa yang diluangkan. Mungkin ada kawan berbual. Mungkin dia memang suka berada di situ, menyediakan umpan dan menunggu sambil melihat air.
Tentulah mendapat ikan lebih menggembirakan. Namun hasil tangkapan tidak semestinya menjadi satu-satunya ukuran sama ada hari itu berbaloi.
Hobi memberi ruang kepada keseronokan seperti ini. Malah, dalam perbincangannya tentang hobi, Burkeman mengingatkan bahawa kita boleh menikmati sesuatu walaupun tidak begitu pandai melakukannya.[3]
Lukisan tidak semestinya cantik untuk membuatkan orang yang melukisnya gembira. Kita boleh suka menyanyi walaupun suara biasa-biasa sahaja.
Ada rasa bebas apabila kita membenarkan diri melakukan sesuatu hanya kerana menyukainya.
Tidak perlu menang. Tidak perlu menjualnya. Tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Bila Ada Masa, Kita Pula Tak Senang Duduk
Walaupun kita memahami semua ini, berhenti bekerja belum tentu terus terasa menyenangkan.
Apabila akhirnya ada masa lapang, kita mungkin pula gelisah. Tangan mencari telefon. Fikiran mencari kerja kecil yang boleh dibuat. Duduk tanpa melakukan sesuatu terasa janggal.
Burkeman menyatakan bahawa rehat boleh menimbulkan ketidakselesaan pada awalnya, terutama apabila seseorang sudah terbiasa mengaitkan penggunaan masa dengan pencapaian.[4]
Rasa bersalah itu, dengan sendirinya, belum membuktikan bahawa kita sedang melakukan sesuatu yang salah.
Mungkin kita cuma belum biasa berhenti ketika masih ada kerja yang belum selesai.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan Abdullah bin Amr, “Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak ke atasmu.” Baginda menasihatinya agar turut tidur, meskipun perkara yang membuatkannya berjaga ialah ibadah.[5]
Peringatan ini memberi kita satu lagi cara untuk memahami rehat. Menunaikan tanggungjawab turut merangkumi menjaga tubuh yang menanggungnya. Apabila kita memerlukan tidur atau waktu untuk berhenti seketika, keperluan itu juga wajar diberi perhatian. Kita tidak perlu menunggu sehingga terlalu letih untuk mengaku bahawa kita memerlukan rehat.
Kita juga tidak perlu memaksa diri supaya terus tenang sebaik sahaja waktu rehat bermula. Kalau fikiran masih teringat urusan esok, kita boleh mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan waktu rehat.
Jangan sampai berehat pun menjadi satu lagi perkara yang dirasakan gagal dilakukan dengan betul.
Rehat Juga Memerlukan Sokongan
Peluang untuk berehat memang tidak sama bagi semua orang.
Ada yang bekerja mengikut syif. Ada yang menjaga ahli keluarga. Ada yang perlu mencari pendapatan tambahan selepas waktu kerja biasa.
Dalam keadaan seperti itu, nasihat “pandai-pandailah cari masa” tidak banyak membantu. Peluang untuk berehat turut bergantung pada banyaknya tanggungjawab yang perlu diuruskan dan sama ada ada orang lain yang boleh berkongsi tanggungjawab itu.
Burkeman turut membincangkan bagaimana aturan dan kebiasaan bersama membantu orang berhenti bekerja. Beliau mengambil contoh amalan hari rehat bersama dalam tradisi keagamaan: rehat lebih mudah dipertahankan apabila masyarakat sekeliling turut menghormati waktu tersebut.[4]
Memang sukar untuk seseorang berehat atas kemahuan sendiri apabila orang dan urusan di sekelilingnya terus menuntut perhatian.
Jadi, ada perkara yang perlu dibincangkan dan dipersetujui bersama: pembahagian tugas di rumah, waktu yang sesuai untuk menghubungi seseorang tentang kerja, atau giliran menjaga ahli keluarga.
Ada juga perkara kecil yang boleh kita pertimbangkan sendiri. Antaranya, sama ada setiap waktu lapang dalam sehari benar-benar perlu diisi dengan sesuatu kegiatan.
Ada Kerja yang Boleh Menunggu
Mungkin rasa bersalah itu tidak terus hilang selepas kita membaca sebuah buku atau memahami satu hujah.
Esok, apabila duduk sebentar, senarai kerja yang sama boleh muncul semula dalam fikiran.
Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berhenti sekejap sebelum terus bangun untuk menyambung kerja.
Adakah urusan itu memang perlu dibuat sekarang? Atau kita sudah terlalu biasa menganggap bahawa selagi ada kerja, selagi itulah kita perlu bekerja?
Kita mungkin masih berasa bersalah ketika berehat, tetapi perasaan itu tidak semestinya bermakna kita perlu kembali bekerja.
Tanggungjawab tetap ada. Sebahagiannya memang tidak boleh ditangguhkan.
Pada masa yang sama, membaca beberapa halaman buku, berbual tanpa melihat jam atau menikmati secawan teh juga sebahagian daripada hidup yang sedang kita jalani.
Kita tidak perlu menunggu sehingga seluruh hidup teratur untuk memberi ruang kepada perkara-perkara itu.
Ada kerja yang boleh disambung esok.
Untuk sekarang, duduklah dahulu.
Selesai pada hari Sabtu, 24 Oktober 2026, bersamaan 13 Jamadilawal 1448.
محمد نعيمMuhamad Naim
Nota Kaki
Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.
Oliver Burkeman, Four Thousand Weeks: Time Management for Mortals (Allen Lane/Penguin Canada, 2021), bab 9, “Rediscovering Rest”.
- Nilai rehat dan waktu lapang. Burkeman mempersoalkan kebiasaan mempertahankan rehat hanya kerana ia membantu seseorang bekerja dengan lebih baik. Beliau berpendapat bahawa menikmati waktu lapang mempunyai nilainya sendiri, tanpa perlu sentiasa menghasilkan keuntungan atau pencapaian pada masa depan. ↩︎1 ↩︎2
- Aktiviti yang dinikmati ketika dilakukan. Dengan merujuk gagasan ahli falsafah Kieran Setiya tentang atelic activities, Burkeman menerangkan bahawa sesetengah kegiatan, seperti berjalan-jalan, bernilai kerana pengalaman melakukannya. Rujukan kepada Setiya dalam artikel ini diperoleh melalui huraian Burkeman. ↩︎
- Hobi tanpa tuntutan untuk menjadi hebat. Burkeman membincangkan kebebasan melakukan sesuatu kerana kita menyukainya, walaupun kegiatan itu tidak mendatangkan pendapatan dan kita tidak begitu mahir melakukannya. ↩︎
- Kesukaran untuk berhenti dan berehat. Burkeman menyatakan bahawa rehat boleh terasa tidak selesa apabila seseorang terbiasa mengukur masa melalui pencapaian. Beliau turut membincangkan bagaimana kebiasaan, aturan dan sokongan masyarakat membantu menyediakan ruang untuk berehat. ↩︎1 ↩︎2
- Hak tubuh dan keperluan berehat. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Nikah, no. 5199, riwayat Abdullah bin Amr bin al-As. Petikan dalam artikel ialah terjemahan maksud sebahagian hadis. Dalam riwayat ini, Rasulullah SAW menasihati Abdullah yang berpuasa pada siang hari dan beribadah sepanjang malam supaya turut tidur serta menunaikan hak tubuh, mata dan isterinya. Lihat teks hadis dan rujukan. ↩︎
Seterusnya · Catatan 04
Seharian Sibuk, Kenapa Masih Rasa Tak Buat Apa-apa?
Melihat semula usaha yang sudah dilakukan, termasuk yang tidak pernah masuk dalam senarai kerja.
