Taktik Memburu Siakap Merah Dengan Gewang Soft Plastic (Secara Land Based)

siakap merah soft plasticAntara spesis yang sentiasa mencetuskan adrenaline rush kepada pemancing adalah Siakap Merah.

Mengapa?

— Pastilah kerana ia ikan yang sangat agresif dan kuat!

Ia akan menghentam gewang dengan cukup padu dan berjuang sepenuh tenaga untuk melepaskan diri.

Taktiknya juga cukup licik dan jahat.1

Spesis ini adalah game fish yang hebat kerana, apabila ia dalam mood yang yang baik, ia akan menghentam pelbagai jenis gewang yang dihulurkan.

Maka tidak hairanlah ia sangat disanjungi oleh pemancing kita.

Tidak dinafikan, penggunaan bot akan sangat membantu menjejaki spesis ini. Walaupun begitu, tidak semua orang bernasib baik untuk memiliki bot.

Tetapi jika kita sanggup untuk meneroka secara land-based, insyaaAllah kita akan dipertemukan dengan “gangster” muara ini.

Pada artikel kali ini saya cuba menulis panduan untuk memburu siakap merah (dan siakap putih) secara land based dan kaedah khusus menggunakan soft plastic.

 

Kawasan yang perlu diberi tumpuan untuk memburu siakap merah & siakap putih

Ikan siakap merah dan siakap putih bukanlah sukar untuk ditemui di Malaysia.

Spesis ini boleh ditemui hampir di kesemua sistem air payau muara dan air masin.

Antara kawasan yang boleh difokuskan dalam memburu spesis ini adalah:
  • Tambak berbatu dengan kedalaman air yang bagus, air mengalir dan banyak ikan kecil.
  • Jambatan yang mempunyai aliran air yang baik dan didiami ikan-ikan kecil.
  • Kawasan Marina.
  • Kawasan jeti dan tiang-tiang.
  • Tebing berbatu yang mempunyai dasaran berbatu serta terdapat drop off.
  • Kawasan sungai berbakau yang mempunyai kayu tenggelam.

Bila meninjau kawasan-kawasan ini, saya suka datang pada waktu air paling surut kerana saya dapat memerhatikan keadaan sebenar struktur dasar.

Dengan cara ini saya akan tahu dan mengenalpasti struktur-struktur yang tenggelam semasa air pasang, tempat dimana siakap merah berkeliaran.

Dan disitulah hotspot yang akan saya fokuskan semasa mengilat nanti.

Ikan siakap dan siakap merah selalunya tinggal di spot yang sama. Jadi ini juga boleh dijadikan panduan untuk menduga ikan siakap putih dengan soft plastic secara landbased.

Waktu dan keadaan terbaik

Ada dua kondisi terbaik untuk memburu siakap merah:

  • Waktu terbaik memburu siakap merah adalah ketika air mula pasang, dimana ikan ini akan berlegar dikawasan lebih dalam dan berlegar-legar di kawasan yang berstruktur.
  • Siakap merah lebih galak pada waktu awal pagi dan lewat petang.

Spesis ikan sampingan

Pemburuan siakap merah secara land based akan merangkumi kawasan yang luas.

Selalunya kita akan memperolehi spesis sampingan seperti Siakap putih, kerapu, bulan, tetanda dan GT, dimana spesis-spesis ini juga tinggal dihabitat yang sama.

Ia akan menjadikan masa yang diluangkan sangat berbaloi.

sotong makan soft plastic
Sotong pun kadangkala mengejar soft plastic! | Kredit kepada Addie Shafiq Liew

Pemilihan peralatan yang sesuai

Rod dan Reel

Bila memburu siakap merah, saya gemar menggunakan rod yang panjangnya melebihi 6 kaki, berkekuatan 8-17lb atau 10-20lb, aksi pantas dan mempunyai backbone yang kuat.

Rod yang mempunyai backbone kuat penting untuk menghalang larian ikan ke arah struktur yang akan mengecewakan kita.

Reel pula saya gemar menggunakan baitcaster bersaiz kecil (mudah digengam), dan mempunyai sistem tegangan (drag) yang kuat untuk menghentikan larian ikan yang kuat ke arah reba.


Tali utama dan perambut

Saya gemar menggunakan tali sulam berkekuatan 30lb, dan mendapati ia sesuai untuk menentang kudrat ikan muara.

Disebabkan habitan siakap merah selalu dipenuhi struktur bahaya, saya menyarankan penggunaan tali perambut dari jenis fluorocarbon berkekuatan sekurang-kurangnya 40lb.

Paling penting, ia harus mampu bertahan dengan geseran.

 

Pemilihan Gewang Soft Plastic & Jighead

jighead siakap merah

Soft Plastic

Soft plastic adalah gewang yang telah menjadi fenomena sejak kebelakangan ini.

Selain dari kalis sangkut, ia juga sangat efektif untuk memerangkap siakap merah bersaiz kasar kerana mampu meneroka sehingga ke dasar dan kawasan yang sukar dicapai oleh gewang biasa.

Antara soft plastik yang terbukti berkesan adalah ZMan SwimmerZ 4 inci dan Zman Diezel MinnowZ 3 inci.

Warna yang terbukti efektif untuk Siakap Merah adalah:

  • ZMan SwimmerZ 4 inci — Bad Shad, Ayu, Pearl, Shiner dan Smokey Shad.
  • ZMan MinnowZ 3 inci — Houdini, Opening Night, Pearl, Pink dan Calico Candy.

Sebenarnya, apa-apa jenama soft plastic pun boleh digunakan.

Cuma saya gemar menggunakan brand ZMan kerana ia tahan lasak. Seekor SP boleh digunakan berulang-ulang dan sukar untuk koyak atau rosak.

Itu sahaja alasannya.

 

Jighead

Pemilihan jighead hendaklah bergantung kepada keadaan dan kawasan padang pancing.

Berat dan saiz jighead memainkan peranan yang penting untuk memastikan soft plastic dapat beraksi dengan cantik.

Bacaan lanjut mengenai pemilihan jighead yang tepat dan sesuai boleh dibaca dalam artikel ini: Kaedah Memilih Jighead Untuk Gewang Soft Plastic

Tips memancing di kawasan-kawasan ini:

Ini adalah beberapa tips ringkas untuk mengilat secara land based:

Jeti

Balingan mestilah serapat mungkin dengan jeti dan soft plastic dikarau dengan perlahan, disepanjang sisi dan penghujung jeti selalunya tempat yang baik untuk bermula.

Tambak berbatu

Baling ke arah menentang arus dan karau gewang soft plastik perlahan-lahan kerana ikan selalunya menanti gewang turun ke arahnya mengikut aliran arus.

Jambatan

Baling secara tegak dan karaulah gewang melalui tiang-tiang, memastikan ia dalam zon tersebut selama yang boleh. Henjut diantara karauan dan ulangi proses ini.

Benteng konkrit

Benteng konkrit selalunya dibina dikawasan seperti esplanade dan marina.

Baling ke atas menentang arus dan tarik gewang perlahan-lahan melalui benteng batu tersebut. Karauan secara henjutan kecil juga berkesan dikawasan sebegini.

Mempelbagaikan kelajuan dan kaedah karauan kadangkala boleh mencetuskan nafsu sambaran ikan yang sedang kurang aktif.

 

Kaedah menggayakan soft plastic

Apabila mengilat di sesuatu kawasan menggunakan soft plastic, saya lebih cenderung untuk mengarau gewang secara perlahan, untuk memastikan gewang berada selama mungkin dalam hotspot tersebut.

Ini akan meningkatkan kadar sambaran terhadap gewang.

Jika selepas beberapa balingan dan masih tiada sambaran, maka tukarlah cara karauan kepada sedikit laju kerana kadangkala ia akan mencetuskan naluri ikan untuk membuat sambaran.

Karauan dengan beberapa henjutan kecil melewati dasar juga berbaloi dicuba jika ikan berat membuka mulut pada hari tersebut.

Perhatikan bagaimana teknik menggunakan SP oleh Sifu Syafiee Syaf dalam video di bawah:

Panduan 

Anda juga boleh merujuk artikel ini untuk mengetahui beberapa kaedah asas menggayakan gewang soft plastic secara efektif:

 

Penutup

Ikan siakap merah adalah salah satu ikan kegemaran saya kerana sambarannya sungguh padu.

Walaupun ia tidaklah mampu mencapai saiz siakap putih, tetapi letupan sambarannya mampu membuatkan saya terbawa-bawa sehingga tidur.

Lagi pun secara personal, isi ikan ini paling lazat berbanding ikan muara lain.

Walaupun kita tiada bot, ia tidak bermakna kita tidak berpeluang untuk merasai perlawanan dengan pemangsa yang rakus ini.

Terima kasih kerana sudi membaca!

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest
1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments
Sabri
Sabri
3 tahun yang lalu

Salam bang . Terima kasih di atas perkongsian ini . Sungguh berguna untuk newbie caster macam saya