Teknik Casting Kerapu Menggunakan Gewang

casting kerapu menggunakan gewang ofmer

Bagaimana teknik casting kerapu menggunakan gewang?

Ikan kerapu adalah antara salah satu spesis yang menjadi kegilaan ramai pemancing.

Selain daripada rasa isinya yang sedap, ikan kerapu juga adalah pejuang yang handal.

Kudratnya yang kuat dan permainannya yang licik seringkali membuat kita hampa.

Dalam artikel kali ini saya cuba kongsikan cara memancing ikan kerapu dengan kaedah casting di kawasan muara dan sungai.

 

1. Bagaimana habitat & tabiat ikan kerapu?

casting kerapu sungai

Ikan kerapu adalah ikan yang gemar menghuni kawasan berstruktur seperti terumbu karang, batu dan bangkar kayu.

Habitat sebegini menjadi kegemaran kerapu kerana sifatnya yang gemar melakukan serang hendap terhadap ikan kecil, udang atau ketam yang melintasi kawasan persembunyiannya.

Oleh sebab itu, kita akan jarang melihat kerapu di kawasan terbuka yang jauh dari struktur.

Ia suka bersembunyi dan tidak akan pergi jauh dari kawasan rumahnya.

Maka untuk memancing kerapu kita harus menghantar umpan atau gewang serapat yang mungkin dengan tempat persembunyiannya.

Antara spot yang anda boleh cuba adalah:

  • Bangkar kayu tenggelam
  • Kawasan dasaran berbatu
  • Tiang-tiang jambatan
  • Tembok pemecah ombak

Struktur seperti spot diatas menyediakan perlindungan yang baik kepada ikan kerapu sebagai rumah dan tempat memburu makanan.

 

2. Peralatan yang sesuai untuk menduga kerapu

peralatan casting kerapu yang sesuai
Gunakan peralatan dan terminal yang benar-benar kuat

Ikan kerapu adalah spesis yang kuat.

Bila ia menyedari dirinya telah terperangkap, kerapu akan pantas menuju tempat persembunyian terdekat.

Ia akan cuba sedaya upaya untuk memutuskan tali anda dicelah batu mahupun kayu.

Walaupun ikan kerapu tidak mempunyai stamina tinggi, namun kuasa larian pertamanya sangat padu dan sukar diberhentikan.

Tonton video di bawah untuk melibat betapa kuatnya kerapu walaupun tidaklah besar mana:

Semakin besar saiz kerapu, semakin kuat ia melawan.

Malah, rod boleh patah jika tidak berhati-hati.

Anda perlu waspada, kawasan persembunyian kerapu dipenuhi pelbagai struktur yang tajam dan mencabar seperti teritip.

Oleh itu, kita perlukan peralatan yang benar-benar mampu menahan asakan, dan menariknya keluar dari kawasan permainannya.

Semakin besar target kita, semakin kuat dan kasar peralatan yang diperlukan.

Pemilihan Joran


Joran yang mempunyai backbone yang kuat adalah sangat penting untuk menahan asakan kerapu.

Joran yang sesuai akan membantu kita mengawal larian ikan ini dengan lebih berkesan.

Secara umumnya, peralatan set casting yang sesuai untuk kerapu di kawasan muara adalah berkekuatan sederhana berat (medium heavy).

Contohnya joran berkekuatan minimum 8-20lb.

Pemilihan Reel


Perkara yang paling penting dalam pemilihan kekili adalah mempunyai sistem drag yang baik dan kuat.

Ini kerana kita memerlukan kuasa brek yang cukup untuk menghalang larian padu kerapu dari masuk ke lubang persembunyiannya.

Menduga kerapu memerlukan kita lawan secara keras. Jangan beri peluang kepadanya.

Sebaiknya, gunakan kekili yang boleh menampung minimum tali sulam 30lb keatas.

Selain itu, kekili yang mempunyai ratio putaran yang rendah lebih sesuai.1

Tali utama dan perambut


Jika anda memancing di sungai atau muara, jangan gunakan poundage tali terlalu kecil.

Anda mungkin boleh menggunakan tali yang berkekuatan rendah (10 paun contohnya) untuk menduga ikan kerapu kolam.

Namun situasi permainan sungai muara adalah berbeza. Cabarannya lebih besar dan mencabar.

Malah ikan kerapu diperairan liar jauh lebih kuat dan ganas.

Walaupun bersaiz 2kg, kerapu di kawasan sungai sudah cukup untuk membuat jantung kita terhenti.

Gunakan tali utama dari jenis sulam (braid) dengan kekuatan minimum 30 paun ke atas.

Oleh kerana zon permainan kerapu dipenuhi teritip dan pelbagai struktur yang tajam, maka dinasihatkan menggunakan perambut dari jenis fluorocarbon sekurang-kurangnya berkekuatan 40 paun ke atas.

Malah ada ketikanya, anda mungkin perlu menggunakan perambut sehingga sekasar 60 paun.

 

3. Gewang yang sesuai untuk casting kerapu

casting kerapu
Pemilihan gewang yang tepat dengan situasi spot memancing pasti membuahkan hasil | Zaidy Omar

Kita semua tahu ikan kerapu menghuni dasaran yang berstruktur.

Maka gewang yang sesuai adalah gewang yang dapat beraksi sehampir mungkin dengan struktur tersebut.

Guna gewang yang bagaimana?

Gewang yang selalu menjadi pilihan para caster di kawasan sungai adalah gewang selaman dalam.

Lebih dalam, lebih baik.

Ini bertujuan agar struktur bawah air seperti bangkar tenggelam dapat dicapai dengan lebih rapat.

Semakin dekat gewang kita dapat beraksi dengan rumahnya, semakin besar peluang kita untuk mendapat strike dari kerapu.

Ikan kerapu adalah spesis yang responsif terhadap bunyi.

Menggunakan gewang yang mempunyai ball bearing dan menghasilkan bunyi gemerincing yang kuat akan menggoda kerapu untuk keluar dari lubang persembunyian, walaupun pada jarak yang jauh.

Selain itu, gewang soft plastic juga antara gewang killer untuk menjerat ikan kerapu.

Selain kalis sangkut, lenggokan aksi soft plastic yang sangat real seperti hidupan sebenar akan membuatkan kerapu membahamnya tanpa ragu-ragu.

zman minnow casting kerapu
Soft plastic seperti ZMan MinnowZ sangat efektif dimainkan dicelah-celah batu

Antara jenis soft plastic yang terbukti berkesan untuk kerapu adalah jenis udang, minnow dan grub.

Untuk kawasan cetek seperti tambak berbatu pemecah ombak dan kolam air masin, gewang selaman cetek seperti minnow dan jerkbait adalah lebih efektif.

Gunakan gewang yang mampu menyelam dan beraksi betul-betul diatas batu, dimana ia adalah zon utama kerapu.

 

Apa warna gewang yang berkesan?

gewang terbaik megabass flap slap
Warna yang terang akan membantu ikan mengesan gewang didalam air yang keruh

Saya dapati kerapu tidaklah memilih sangat warna gewang.

Namun adalah lebih praktikal jika memilih warna gewang berdasarkan warna air pada hari tersebut.

  •  Jika air keruh:  pilih gewang yang berwarna terang dan pendar-cahaya (lominuos/glow in the dark).
  •  Jika air jernih:  pilih gewang yang mempunyai warna semulajadi seperti belanak (putih, silver atau biru)

 

4. Bagaimana mempersembahkan gewang untuk kerapu?

gewang casting kerapu killer

Kerapu adalah ikan yang malas mengejar mangsa yang berenang pantas.

Ia hanya duduk diam di dalam tempat persembunyian sambil menunggu peluang untuk menyerang hendap mangsa yang leka.

Oleh itu,  karauan yang perlahan atau sederhana adalah lebih praktikal. 

Karauan lurus secara perlahan selalunya sudah cukup untuk menjerat kerapu.

Tetapi anda boleh gunakan kaedah menghenjut (jerking) & menghentikan gewang (pause) selama 1-2 saat secara kerap ketika gewang berada di dalam zon serang hendap sang kerapu.

ikan kerapu minyak
Kerapu sangat meminati jerkbait

Taktik ini akan memberikan masa yang cukup untuk kerapu menghentam gewang.

Ia cukup berkesan jika digayakan dengan gewang bersifat mengampai (suspending).2

Jika anda menggunakan gewang soft plastic, rujuk artikel ini tentang kaedah asas menggayakan gewang soft plastic.

 

5. Masa yang sesuai untuk casting kerapu

waktu sesuai casting kerapu
Apakah waktu yang paling ideal untuk casting kerapu?

Secara umumnya, saya dapati ikan kerapu makan setiap masa.

Tidak kira air pasang atau surut, jika ada gewang yang melintas di atas mukanya pasti akan dicekup.

Spesis ini jarang melepaskan rezeki yang disuakan ke mulutnya.

Menurut teori pasang surut muara:

  •  Waktu terbaik  memancing: air mula-mula pasang atau air mula surut. Ketika ini ikan sangat aktif (feeding frenzy) membaham makanan masuk dan keluar dari sungai.
  • Ketika perbezaan air pasang dan surut adalah kecil, inilah waktu yang sesuai untuk memancing sepanjang hari.
  • Ketika air mati juga tidak sesuai memancing. Air mati menyebabkan arus tidak bergerak, justeru menyebabkan ikan juga tidak aktif.

Namun mengikut pengalaman saya, waktu paling best memancing kerapu di kawasan sungai adalah ketika air surut maksimum.

Ini kerana apabila air surut rendah, gewang dapat dipersembahkan dengan lebih hampir dengan struktur tempat persembunyian kerapu..

.. dimana ia sukar dicapai oleh gewang semasa air pasang.3

Pada waktu inilah saya mendapat banyak strike daripada kerapu yang bersaiz kasar.

Walaupun bagaimana pun, ia bukanlah fakta sahih dan mutlak. Ia bukan berdasarkan kajian saintifik.

Lain tempat, lain ragam ikannya.

 

Kesilapan yang selalu dilakukan banyak pemancing…

kerapu naga
Mendaratkan ikan kerapu bersaiz sebegini di kawasan sungai sangat mencabar | Junior Kinetik

Jika anda sudah memahami tabiat semulajadi ikan kerapu, memburunya bukanlah perkara sukar.

Namun apa yang menjadi kesilapan umum kebanyakkan orang?

– Tidak menggunakan peralatan yang tepat.

Saat paling kritikal adalah ketika permulaan strike, anda perlu bertahan dan berhempas pulas menghela ikan ini keluar dari sarangnya.

Ini yang akan menentukan anda menang atau kalah.

Sebab itu drag yang kuat amat penting.

Anda tak boleh membiarkan sang kerapu membawa lari tali anda keluar.

Bila anda berjaya memaksa kerapu tersebut keluar dari struktur bahaya, peluang untuk mendaratkannya adalah lebih cerah.

Oleh itu jangan beri peluang!

Jika anda ada sebarang penambahan atau ulasan mengenai topik ini, saya gembira jika anda dapat tinggalkan komen pada ruangan dibawah

guest
14 Comments
Inline Feedbacks
View all comments