Antara ikan buruan utama para caster di Malaysia adalah Siakap Merah dan Siakap Putih.
Tidak dinafikan, kedua-dua ikan ini adalah paling popular dan mempunyai peminat tersendiri. Siakap merah walaupun kecil, pecutannya padunya selalu menjadi igauan kaki pancing.
Siakap putih pula, kekuatannya memang tidak dapat dipertikaikan lagi dan mampu mencapai saiz gergasi.
Panduan Casting Siakap Merah
Ikan Siakap Merah atau Magrove Jack (MJ) adalah antara ikan buruan utama kebanyakkan kaki casting di muara sungai.
Sebab utamanya adalah pastinya ikan sangat rakus, garang dan kuat.
Ikan ini bersifat territorial atau bersifat kewilayahan, dan biasanya mendiami kawasan berstruktur seperti bangkar kayu sebagai kawasan serang hendap terhadap ikan-ikan kecil yang menjadi dietnya.
Ikan ini jarang berlegar-legar dan merayau ke tempat lain. Ia spesis yang sangat menjaga kawasannya.
Disebabkan oleh sifatnya yang sebegitu, kita boleh mengambil peluang untuk memperdayakan MJ ini dengan mudah sekali.
Yang penting sekali adalah gewang kita harus dihantar betul-betul ke dalam rumahnya untuk mencetuskan reaksi amarahnya. Ye la sapa tak marah jika tiba-tiba ada binatang warna macam badut gila terkinja-kinja dalam rumah kita kan?
Disini ketepatan bak sniper diperlukan untuk menghantar gewang dicelah-celah struktur rumah siakap merah.
Struktur yang macam mana?
Struktur kebiasaan yang dihuni siakap merah adalah batang pokok yang tumbang di dalam air, kawasan berbatu, tiang-tiang dan apa sahaja struktur yang sesuai menjadi tempat perlindungan baginya.
Siakap merah juga boleh dijumpai dikawasan tembok pemecah ombak.
Teknik yang biasa saya amalkan untuk menjerat siakap merah adalah menghantar gewang selari (atau ke dalam) struktur dan mengarau gewang tersebut dengan kelajuan yang perlahan, henjut (twitch), pause dan teruskan karauan.
Tips: Baca lebih lanjut mengenai teknik berkesan menggayakan gewang
Jika siakap merah memang ada dikawasan itu, kita tidak akan mengambil masa yang lama untuk mencari ‘gaduh’ dengannya.
Pasti gewang kita akan dikekahnya.
Pemilihan gewang untuk siakap merah
Ia sebenarnya bergantung dengan lokasi dan cara pancingan kita serta keadaan air.
Apa yang paling penting, anda perlu memahami dengan jelas dahulu aksi renangan gewang.
Jika memancing dari bot (boat based) saya biasanya akan menggunakan gewang jenis deep diving, iaitu gewang yang berlidah panjang, yang mampu mengelam sehingga 15 kaki (3 meter).
Gewang yang terbukti berkesan dalam kategori ini adalah Ofmer X-Deep, Rapala Tail Dancer, Megabass dan Halco Soccerer.
Tapi gewang jenama lain pun berkesan juga, asal aksinya mengancam.
Saya juga ada menulis review mengenai gewang Ofmer x-deep
Warna yang biasanya selalu memikat siakap merah adalah berwarna kehijauan, flourecent, oren, biru, firetiger dan parrot.
Warna oren terang pun SM cukup marah.
Jika air jernih mungkin boleh mencuba warna yang lebih natural seperti putih dan silver. Matching the hatch orang kata.
Bagi mereka yang casting secara land based, dari segi pengalaman saya penggunaan gewang dari jenis minnow adalah lebih sesuai, kerana biasanya kita perlu mengarau gewang ke arah tempat cetek.
Walau bagaimana pun ia bergantung juga pada keadaan lokasi sekiranya keadaan setempat membenarkan penggunaan gewang selaman dalam.
Cuma hati-hatilah, kalau gewang kita sangkut, memang bye-bye la gewang mahal tu.
Sebab tu saya lebih rela pakai gewang selaman cetek atau sederhana, sebab dah perit berpuluh-puluh gewang kesayangan sangkut. (Ini adalah salah satu kelemahan memancing dari darat, gewang yang sangkut seakan mustahil untuk diselamatkan)
Antara gewang selaman cetek yang terbukti berkesan memikat siakap merah adalah Abu Tormentor, Zerek Barra-X, Rapala Husky Jerk dan Rapala X Rap
Paling cun jika gewang ini mampu bergelek dengan kencang & melebar walaupun dikarau perlahan. Contohnya gewang Abu Tormentor.
Memerangkap Siakap Merah dengan Gewang Permukaan
Jangan terkejut (saya memang terkejut pada mulanya) bahawa siakap merah adalah penggemar top water lures.
Menurut sifu Zaidy, penggunaan gewang top water seperti popper ini sesuai digunakan pada spot yang cetek dan berstruktur seperti kawasan berbatu.
Antara gewang top water yang berkesan adalah Rapala Skiter Pop.
Tapi popper dari jenama lain juga berkesan.
Mungkin anda boleh mencuba gewang permukaan lain seperti pensil atau darter. Eksperimen tu penting untuk mendapat hasil yang mengejutkan.
Saya selalu menggunakan top water dari jenis Megabass, Ito Prop Darter-80 untuk mencetus nafsu amarah siakap merah ini untuk menyerang.
- Untuk menjejak Siakap Merah & Siakap putih secara land-based menggunakan soft plastic, rujuk pada artikel ini: Taktik Memburu Siakap Merah Secara Land-Based
Panduan Casting Siakap Putih
Elusive, iconic, acrobatic, delicious.
Siakap putih atau Barramundi adalah juga salah satu spesis yang menjadi kegilaan dihati kaki casting.
Tidak seperti siakap merah, siakap putih lebih bersikap fair play bila menyedari dirinya terjerat, dengan membuka perlawanan di tempat lapang.
Namun jangan disangka mudah untuk menewaskan spesis ini.
Saiznya yang mampu mencapai puluhan kilo ditambah dengan kekuatan kudratnya yang perkasa mampu menjahanamkan peralatan kita.
Ditambah pula dengan plat tulang mulutnya yang keras itu, menyukarkan matakail tertusuk kemas dan bila-bila masa sahaja ia boleh meludah kembali gewang kepada kita.
Malah lompatan akrobatiknya yang memukau itu sering memutuskan tali dengan sekelip mata. Menangis tak berlagu la jawabnya.
Walaupun, pengalaman saya masih lagi kurang dalam casting siakap putih ini, InsyaaAllah saya akan kongsikan juga serba sedikit apa yang saya tahu dan pengalaman saya yang telah lepas-lepas.
Dimana nak cari lubuk siakap putih?
Lubuk siakap putih seperti mencari lubuk siakap merah.
Cari kawasan yang mempunyai reba, pokok runtuh, pertembungan antara dua sungai, tambak berbatu pemecah ombak dan kawasan yang membolehkan ia bersembunyi untuk menyerang hendap.
Tanpa bot, kita mungkin mengalami kesukaran.
Jika memancing secara land based, kaedah terbaik adalah secara cuba jaya ke semua tempat yang kita boleh hantar gewang. Beggars can’t be choosers.
Satu perkara yang perlu kita tahu mengenai ikan siakap putih ini, ia adalah mereka yang pemalas dan tidak se-aggresif seperti siakap merah.
Kita perlu bersabar dan berusaha tanpa jenuh untuk mencetuskan naluri pemangsanya.
Mungkin kita perlu casting berulang kali di spot yang sama. Jangan terlalu cepat untuk berpindah ke spot lain.
Kalau gewang lalu betul-betul depan batang hidungnya baru dia ngap.
Namun lain padang lain belalangnya, begitu juga ikan.
Yang penting kita rajin membuat eksperimen mengenalpasti tabiat siakap sesuatu tempat itu.
Pemilihan gewang untuk siakap putih
Penggunaan gewang berbentuk minnow sering kali membuahkan hasil untuk menjerat siakap putih.
Mungkin gewang minnow yang berbentuk panjang menyerupai diet kegemaran siakap putih iaitu ikan belanak.
Gewang yang terbukti setakat ini (atas pengalaman saya la) adalah Zerek Barra-X, Abu Tormentor, Rapala Husky Jerk dan Megabass Trick Darter X-80.
Terkini, gewang yang menjadi bualan diseluruh caster tanah air adalah Rapala Shadow Rap. Ia sangat killer untuk siakap.
Namun dari segi pemilihan peribadi, saya lebih menyukai Zerek Barra-X kerana ia selalu menjadi gewang killer siakap buat saya.
Gewang ini mempunyai dua jenis, sinking dan floating.
Keduanya boleh digunakan, namun saya lebih prefer sinking type kerana ianya lebih berat dan tenggelam secara perlahan, seolah-olah meniru aksi ikan sakit.
Namun kita boleh mempelbagaikan penggunaan gewang kita.
Tukar jenis gewang, tukar warna dan teruskan casting tanpa putus asa.
Teknik Menjerat Siakap Putih
Disebabkan ikan ini kurang aggresif, karauan perlahan adalah lebih efektif kerana siakap putih ikan yang pemalas.
Ia hanya menunggu target yang senang melintasi kubunya, dan secara umumnya mereka tidak akan mengejar pemangsa (atau gewang) yang bergerak pantas.
Oleh itu penggunaan gewang yang mampu beraksi menarik walaupun ditarik perlahan adalah kritikal.
Teknik kegemaran saya adalah Twitch & Pause.
Setelah beberapa kayuhan dibuat saya akan ‘menjentik’ (twitch) gewang dengan sentakan halus dan berhenti (pause) seketika supaya gewang mengampai atau suspending (tenggelam untuk gewang sinking).
Aksi ini kelihatan seperti ikan yang sakit dan menjadi sasaran yang mudah buat siakap putih.
Gewang yang beraksi cantik dengan teknik ini adalah Zerek Barra-X dan Megabass Trick Darter. Rapala X-Rap juga sangat killer.
Dengan teknik ini selalu menyebabkan gewang saya disedut ganas oleh siakap.
Waktu Terbaik Memburu Siakap Dan Siakap Merah
Bilakah waktu terbaik untuk keluar memancing siakap dan siakap merah?
Jawapan yang paling jujur saya boleh berikan adalah:
— Waktu terbaik untuk keluar memancing adalah apabila anda boleh, dan ada peluang untuk keluar memancing.
Seperti yang kita semua tahu, pasang-surut lautan banyak memberi kesan terhadap keaktifan ikan.
Walaupun kita telah turun pada tarikh memancing terbaik, kita harus sedar bahawa ikan TIDAK akan makan sepanjang hari.
Kebanyakkan ikan muara termasuk Siakap Putih dan Siakap Merah akan aktif makan apabila wujudnya pergerakan arus semasa air pasang atau air surut.
Untuk memahami dengan lanjut bagaimana pasang surut lautan mempengaruhi keaktifan ikan, sila rujuk artikel ini: Teori Pasang-Surut: Memahami Waktu Terbaik Untuk Memancing
Gunakan peralatan yang bersesuaian
Seperti semua sedia maklum, ikan yang tinggal di muara sungai kebanyakkannya adalah kuat dan licik, dibantu pula dengan struktur rumahnya yang berteritip, boleh memutuskan tali sekelip mata sahaja.
Oleh kerana itu, penggunakan peralatan yang bersesuaian dengan kudrat ikan adalah sangat mustahak.
1. Perambut (leader) yang tahan lasak
Leader berkualiti seperti fluorocarbon adalah harus diberi keutamaan.
Gunakan leader sekurang-kurangnya 40lb dari jenis fluorocarbon.
Kelebihan fluorocarbon adalah ia mampu ‘ghaib’ didalam air, dan lebih tahan lasak berbanding tali tangsi biasa.
Jenama Berkley Vanish adalah salah satu contoh tali yang tahan lasak dan sesuai untuk memburu ikan ini.
Tali perambut flourocarbon ini biasanya berdiameter tebal, oleh itu ikatan FG knot lebih sesuai digunakan untuk menyambungkan tali utama yang halus kepada leader kita, supaya ikatan kita kemas dan kekuatannya tidak menurun.
Selain itu ia membenarkan leader kita dikarau masuk menerusi cincin terutamanya ketika leader panjang diperlukan.
2. Gunakan mata kail yang KUAT!
Kesilapan paling umum dilakukan oleh semua orang adalah tidak menukar mata kail asal.
Matakail asal yang dibekalkan bersama gewang selalunya dicipta untuk menghadapi pesaing yang lebih tenang diluar negara seperti ikan Bass.
Ia tidak berdaya untuk menahan ikan negara kita yang perkasa seperti Siakap.
Siakap mempunyai rahang dan insang yang kuat dan cenderung berdebur sambil menganga mulutnya semasa bertarung (kerapkali semasa melompat).
Tindakannya ini boleh menyebabkan mata kail berlaga sesama sendiri.
Akibatnya, mata tiga 4X yang kuat pun boleh dipulas manakala gegelung cincin boleh terkangkang, walaupun anda memainkannya dengan lembut
Oleh itu gunakan mata tiga dan split ring yang EKSTRA kuat.
Tetapi awas, pastikan mata kail tersebut bersesuaian dengan gewang dan tidak menggangu aksinya.
Aksesori Lain / tambahan
Memancing adalah satu aktiviti yang menyeronokkan tetapi kadangkala boleh bertukar menjadi aktiviti yang menyakitkan – apabila kita kurang membuat persediaan yang rapi.
Aksesori-aksesori ini nampak leceh namun impaknya amat besar dalam memberikan kita keselesaan semasa memancing, secara tak langsung akan meningkatkan mood dan moral kita.
Antara aksesori yang perlu/harus dibawa ketika memancing adalah:
- Buff
- Topi
- Lip grip
- Plier (untuk gewang & ikan)
- Sarung tangan
- Spek mata hitam / polarizer
- Ubat (sekurang-kurangnya plaster dan panadol)
- Makanan (ini aksesori ke?) haha
InsyaaAllah dengan persiapan yang rapi, aktiviti casting akan lebih menyeronokkan dan malah lebih selamat.
Penutup
Memancing secara casting memerlukan ketekunan dan moral yang tinggi dari pemancing.
Pemancing juga harus kreatif menggayakan gewang untuk mencetuskan naluri pemangsa terutama untuk ikan yang malas dan moody seperti siakap putih.
Stamina yang tinggi, tahan lasak dan mampu konsisten dalam membuat balingan yang tepat adalah kelebihan yang besar kepada mereka yang bergelar kaki casting.
Sebab seperti anda tahu, mood ikan ini sukar nak predict. Kadang-kadang air cantik pun dia taknak makan, padahal main depan mata kita je.
Tapi yang pasti, usaha yang tinggi akan meninggikan peluang kita mendapat strike.
Bab rezeki kita serahkan kepada tuhan.
Semoga apa yang saya kongsikan dapat memberi manfaat.
Tinggalkan Komen Anda..