Jalan Menuju Kematangan: Hadapi Masalah Hidup Walau Tiada Jalan Keluar

Kematangan
Photo by Boudewijn Huysmans on Unsplash

Dalam kehidupan setiap orang pasti akan terselit di dalam masalah yang tiada penyelesaian.

Masalah-masalah sebegini boleh wujud untuk bertahun, malah mungkin seumur hidup.

Antara masalah-masalah tersebut adalah mungkin:

  • Kemiskinan: Kehidupan seseorang mungkin tersekat dari pelbagai kegembiraan dan menahan banyak kesedihan yang disebabkan oleh kemiskinan.
  • Mempunyai anak cacat: Mungkin seseorang sentiasa bimbang dan menghabiskan banyak masa serta tenaga dalam menjaga anak kurang upaya, tanpa sebarang harapan untuk pulih.
  • Penyakit: Ada orang yang menderita penyakit yang menghalang mereka daripada menikmati makanan atau melakukan aktiviti yang mereka suka. Sesetengah penyakit tidak dapat diubati dan membataskan kehidupan seseorang sepanjang hayatnya.
  • Masalah keluarga: Seseorang mungkin mempunyai hampir semua yang mereka inginkan, tetapi kehidupan dia mungkin menjadi sangat sukar disebabkan oleh penderaan atau pengabaian dari pasangan, dibenci oleh anggota keluarga, atau mempunyai anak yang selalu menimbulkan masalah yang serius.

Terdapat banyak masalah yang tiada jalan keluar. (mungkin tiada penyelesaian yang cepat)

Kita selalu ingin hidup bahagia di dunia ini seolah-olah seperti di syurga, mempunyai kehidupan yang mudah, serta tidak mempunyai masalah

Hidup aman dan dijauhi sebarang perkara buruk.

Tetapi keinginan kita untuk mengecap kebahagian sempurna dan sejati tidak akan menjadi kenyataan dalam kehidupan ini, kerana itu bukanlah tujuan hidup ini.

Selagi kita wujud di dunia ini, jangan terkejut dengan hadirnya kesedihan.

— Ibn Ata Allah al-Iskandari

Allah, Segala Puji-pujian kepada-Nya, Yang menciptakan makhluk untuk menyembah-Nya, dan itulah tujuan mereka, seperti yang Dia katakan: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah Aku” [Quran 51:56]. Sudah jelas bahawa penghambaan dan ibadah yang sempurna yang diperlukan manusia tidak dapat dicapai di Rumah Kebahagiaan [Syurga], tetapi hanya dapat dicapai di rumah penderitaan dan ujian.

— Ibn al-Qayyim

Kehidupan dunia diciptakan sebagai tempat ujian. Orang bijaksana harus membiasakan dirinya dengan penuh kesabaran.

— Ibn al-Jawzi

Kita ingin melepaskan diri di dunia ini daripada semua kegelisahan dan kekecewaan serta kesulitan yang sedikit. Kita bercita-cita hidup dalam dunia yang penuh kedamaian dan sempurna.

Tetapi kemahuan ini adalah silap dan tidak mungkin dicapai di dunia ini.

Sekalipun kita memperoleh kekayaan yang hebat, berpindah ke negara lain,  memiliki rumah yang besar, dan mencari pasangan hidup yang jelita..

… semua kegembiraan ini pasti akan hilang dalam masa beberapa hari

Masalah akan mula kembali menghantui kita.

Pasangan yang dirasakan sempurna mungkin tidak begitu sempurna.

Kita mungkin terlibat dalam satu perniagaan yang menguntungkan tetapi pada masa yang sama membawa kita kepada ketakutan dan kebimbangan yang besar, mungkin kerana memilih rakan perniagaan yang salah.

Walaupun filem dan novel sering menggambarkan bahawa kita boleh hidup dengan bahagia setelah kita menyelesaikan masalah, menjadi kaya, atau melarikan diri dari kehidupan masa lalu – realiti sebenarnya akan selalu membuktikan semua ini adalah palsu.

Dunia ini adalah tempat ujian.

Kita tidak boleh mengelakkan diri dari ujian Tuhan,

Dia lebih mengetahui bagaimana untuk menguji kita.

Walaupun kita manusia paling berkuasa dunia, Tuhan boleh mengalahkan semua rancangan kita dan meletakkan kita dalam kesengsaraan jika Dia menghendaki.

Kita tidak boleh melepaskan diri dari Tuhan.

Tidak kira ke mana pun kita berlari, Dia akan sentiasa berada di sana terlebih dahulu, bersedia dengan ujian ujian yang dirancang untuk membina kita menjadi orang yang lebih baik dan bernilai.

Jika ada sesuatu yang membuat kita merasa tidak puas, tidak sabar, marah atau tidak bersyukur kepada Allah, maka itulah jenis ujian yang kita harus tempuhi.

Ujian yang tidak menyakitkan bukanlah ujian yang sebenar.

Kita perlu diuji sepenuhnya dengan semua yang kita ada

Dan setiap ujian harus menjangkaui jauh ke dalam diri — menggoncang rasa marah dan rasa tidak percaya.

Membina Kematangan Dalam Diri

Apabila Tuhan menguji kita, ia bukan bertujuan memusnahkan kita. Apabila Dia menghilangkan sesuatu dalam genggaman kita, ia hanya bertujuan untuk mengosongkan tangan kita untuk hadiah yang lebih besar.

– Ibn al-Qayyim

Tuhan bukan hendak melihat kita menderita.

Tujuan ujianNya adalah untuk menunjukkan kepada kita sifat sebenar kita, kelemahan kita dan kebergantungan kita terhadap rahmatNya,

Dan ujian-ujian ini akan mendorong kita untuk berusaha memperbaiki diri kita.

Orang yang tidak pernah sedar akan kesalahan dan kelemahan diri akan gagal menjadi lebih matang.

Orang yang terbaik boleh kita temui bukanlah orang yang tiada masalah kehidupan.

Mereka adalah orang-orang yang telah kecewa berkali-kali oleh kesulitan hidup sehingga mereka mencapai keadaan penerimaan dan kerendahan hati yang hampir sempurna, sehingga mereka tidak lagi menolak ketentuan-ketentuan Tuhan.

Mereka tahu bahawa Tuhan sentiasa ada.

Dan Dia boleh menyelamatkan mereka dari kesusahan pada bila-bila masa yang Dia kehendaki.

Mereka mencariNya untuk memohon pertolongan dan perlindungan.

Jika kita diuji, daripada berfikir “Ini tidak sepatutnya berlaku kepada saya!”, – anggaplah ia peluang untuk melatih kesabaran dan seruan untuk memperbaiki diri.

Kita tidak akan pernah matang jika kita sentiasa berpaling pada masalah kita.

Kematangan berlaku apabila kita menerima bahawa:

— ini adalah realiti yang harus kita tempuhi, ini adalah ketetapan Allah bagi kita.

Sekiranya Tuhan mahu, Dia dapat menghapus kesukaran kita serta-merta.

Jika kita merasa tidak sabar dan tidak berpuas hati, ini adalah satu tanda yang jelas bahawa kita tidak cukup dekat kepada Tuhan.

Kita menolakNya.

Kita seolah-olah memberitahu Tuhan:

 Kami tidak menyukai perkara ini yang Engkau lakukan kepada kami Ya Allah dan kami tahu lebih baik dari Engkau apa yang akan jadi kepada kami, dan ini bukanlah yang kami mahu.”

Kita boleh bertemu ramai orang yang terjebak dengan pemikiran sebegini.

Mereka menyalahkan Tuhan kerana tidak menyediakan mereka dengan banyak peluang yang lebih baik atas kesukaran hidup mereka, atas setiap kegagalan dan atas setiap rezeki yang terlepas.

Ini adalah keadaan orang yang tidak waras.

Bagi orang-orang yang beriman, kehidupan mereka sentiasa seiring dengan Tuhan.

Mereka tahu Dia Maha Memerhati.

Mereka tahu bahawa kesukaran hidup adalah peringatan dari Tuhan bahawa mereka tidak seharusnya meletakkan kebergantungan mereka pada dunia ini.

Dan mereka tidak seharusnya mengharapkan untuk menemui kebahagiaan yang sempurna di dalamnya.

Kebahagian yang sempurna hanya dapat dicapai di akhirat.

Abdullah, anak kepada Imam Ahmad Bin Hanbal, bertanya kepada ayahnya pada suatu hari:

Wahai ayah, bilakah kita boleh berehat?”

Ayahnya merenung mata anaknya dan berkata:

Apabila kita telah melangkah masuk ke dalam syurga”

Daripada merasa tidak puas dengan masalah kehidupan yang tidak dapat diselesaikan, adalah lebih menerimanya dan beritahu diri sendiri bahawa ini adalah nasib yang telah ditetapkan untuk kita.

Sekiranya kita berharap kepada nasib yang lebih baik dan dihapuskan pelbagai kesukaran yang kita alami dalam kehidupan, mintalah Dia menaikkan darjat kita.

Hanya Dia yang dapat menolong kita.

Jika kita ingin mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik, jika kita mahu hidup kita menjadi lebih bermakna dan tiada masalah, tanyalah pada diri kita sama ada kita layak, sama ada kita layak diberi layanan istimewa berbanding berjuta-juta orang lain yang mempunyai penderitaan yang sama dengan kita?

Pada hakikatnya, kita mahu Tuhan melayan kita secara istimewa.

Adakah kita layak mendapat layanan sedemikian?

Jika kita sentiasa berpaling daripadaNya, jika kita hanya beribadah secara minimum, jika kita tidak pernah memohon perlindungan daripadaNya…

… maka apakah alasan untuk memberi layanan istimewa kepada kita?

Sekiranya kita mahukan darjat yang lebih tinggi dalam kehidupan, maka berusahalah untuk menjadi orang yang layak mendapat status yang lebih tinggi dalam kehidupan.

Lakukanlah yang terbaik untuk mendekatiNya.

Kita harus meminta dengan Allah untuk lima perkara ini dalam setiap doa (semasa sujud):
  • Diampunkan dosa: Allahumma innaka affuwwun tuhibbul afwa faafu anni (Ya Tuhan, Engkaulah Yang Maha Pengampun, dan Engkau mengasihi pengampunan, maka ampunilah aku)
  • Meminta panduan, ditingkatkan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan: Allahumma zidni ilman wahdini li aqraba min haza rushdan (Ya Allah, tambahkan saya ilmu dan pandulah saya supaya lebih matang dan lebih baik daripada saya yang sekarang)
  • Memohon bantuan dan kekuatan: Allahummanasurni wa anta khairun nasireen (Ya Allah, tolonglah aku, dan Engkau adalah sebaik-baik penolong)
  • Mendapat keberkatan waktu dan kerja: Allahumma baarik fi aamali wa awqati (Ya Allah, berkatilah amal pekerjaan ku dan waktuku)
  • Dimudahkan urusan kehidupan: Allahumma yasir li amree (Ya Allah, jadikan urusan kehidupan ku mudah untuk ku)

Sebagai umat Islam, sumber bimbingan yang terbaik ialah Quran.

Jadikan Quran panduan kita dalam kehidupan dan anggaplah seolah-olah ia telah diturunkan khusus kepada kita sahaja pada ketika ini.

Al-Quran bukanlah hanya berfungsi sebagai buku rujukan yang kita tinggalkan di atas rak.

Ia harus menjadi panduan yang ada bersama kita menyelusuri kehidupan.

Apabila kita mengalami kesukaran dan kesedihan, sentiasalah kembali kepada Al-Quran.

InsyaaAllah, ia akan mengajarkan kita pelajaran baru setiap kali jika kita meluangkan masa membacanya.

Kesukaran adalah sebahagian daripada sifat alam semesta kita.

Sekiranya kita mahu lebih matang dan ditingkatkan darjat, daripada mempersoal takdir Tuhan, kita mesti menerimanya, menghadapinya dan meminta perlindungan dan memohon pertolongan hanya daripadaNya.

Hanya Dia boleh menjadikan sesuatu mudah bagi kita.

Ini akan membantu kita lebih matang, menjadikan hidup kita lebih bermakna dan pasti akan meningkatkan darjat kita di sisiNya.

Dan daripada mengharapkan untuk mencapai kebahagian sempurna dalam kehidupan ini, kita harus menerima sifatnya (bahawa tidak ada kebahagiaan yang sempurna di dalam dunia ini).

Kita seharusnya meletakkan harapan kita untuk berehat di akhirat.

Kehidupan dunia ini tidak akan dapat memenuhi harapan kita.

Kita sentiasa menganggap bahawa sekiranya kita mendapat ini atau itu, kita akan bahagia.

Tetapi sebenarnya kita silap.

Sebaik sahaja kita mencapai perkara tersebut, kita pasti akan kembali mula kepada perasaan yang sama.

Masalah hidup akan terus-menerus menghantui kita.

Kita tidak boleh melepaskan diri.

Kita mungkin bertemu orang yang telah tua, yang selalu menolak ketentuan-ketentuan Tuhan, terus-menerus menunjukkan rasa tidak puas hati pada kehidupan kerana selalu ditimpa masalah dan kesusahan.

Jangan menjadi seperti mereka ini.

Terimalah sifat dunia ini.

Sekiranya kita ingin kehidupan lebih bermakna, jika kita mahu kesukaran yang dihadapi meningkatkan nilai kita berbanding merendahkan kita, maka mintalah Tuhan untuk meningkatkan darjat kita.

Dan lakukan apa yang diperlukan untuk mendapat redha Allah.

Tunjukkan bahawa kita layak untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments