Tips Memilih Warna & Aksi Gewang Untuk Air Keruh Dan Air Jernih

tiemco mad pepper gewang terbaik

Bagaimana memilih warna gewang yang tepat berdasarkan keadaan air?

Dalam dunia casting, pemilihan warna gewang  adalah sesuatu topik yang sentiasa menjadi kontroversi.

Ia bergantung kepada banyak perkara dan faktor.

Selalunya, tahap kejernihan air, cuaca dan warna gewang memainkan peranan besar dalam kejayaan sesuatu sesi casting.

Di dalam air yang jernih, kebanyakan ikan bergantung kepada penglihatan visual. Maka memilih gewang yang menyerupai ikan mangsaan adalah langkah paling terbaik.

Sebaliknya, bila air keruh dan berlumpur, ikan akan bergantung kepada garisan lateral untuk mengesan mangsa.1

garisan lateral ikan

Tumpuan deria mereka akan tertumpu kepada bayang-bayang dan getaran.

Ia nampak seperti satu konsep yang mudah kepada kebanyakan orang, tetapi kita juga harus sedar bahawa terdapat beribu-ribu jenis gewang di pasaran.

Kita akan mudah “lemas” dalam memilih gewang terbaik untuk keadaan air yang berbeza.

Jadi bagaimana memilih gewang yang tepat berdasarkan keadaan air?

Oleh itu dalam artikel ini saya akan menyenaraikan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam memilih gewang terbaik dalam air yang keruh dan air yang jernih.

Gewang Selaman (Diving Lures)

gewang terbaik megabass flap slap

Diving lures, atau gewang menyelam, adalah jenis gewang yang direka untuk menyelam ke dalam air hingga ke kedalaman tertentu apabila ditarik. Umpan ini mempunyai bibir atau “lip” di bahagian hadapan yang membantu umpan untuk tenggelam ke dalam air. Ia digunakan untuk menarik perhatian ikan yang berada di dasar atau di pertengahan kolum air.

Keadaan Air Keruh

Apabila air sedang keruh, keutamaan kita adalah untuk memberikan ikan pemangsa sesuatu yang mudah disasarkan.

Pilih gewang selaman yang:

  • Beraksi secara wide wobble (goyangan melebar)
  • Mempunyai bunyi rattle (gemerincing) yang kuat
  • Warna yang gelap atau terang.

Gewang selaman yang mempunyai bentuk lidah yang bersegi atau berbentuk keranda mempunyai aksi yang lebih melebar berbanding gewang berlidah bulat.

Kita juga perlu memperlahankan karauan gewang untuk memberi masa kepada ikan mengesan gewang.

 

Keadaan Air Yang Jernih

Dalam keadaan yang jernih, apa yang lebih penting adalah untuk meniru spesis ikan mangsaan yang menjadi buruan ikan predator di kawasan itu. Konsep ini dikenali sebagai matching the hatch

Lucky Craft Pointer 78 D

Cuba gunakan gewang yang mempunyai warna-warna semulajadi seperti seluang, belanak dan udang (apa-apa warna yang sesuai dengan diet ikan pemangsa di kawasan tersebut).

Gewang yang silent (senyap), berbentuk kurus dan mempunyai bentuk lidah yang bulat adalah efektif dalam keadaan air yang jernih.

Gunakan gewang yang beraksi tight wiggle (goyangan kencang). Berikan karauan yang sedikit laju. Antara contoh yang beraksi sedemikian adalah Rapala Shad Rap.

Rujukan Tambahan

Anda ingin tahu mengenai jenis dan aksi renangan gewang secara mendalam?

Disini saya ada membuat sedikit penulisan berkaitan topik aksi renangan gewang selaman dalam artikel sebelum ini. Semoga bermanfaat.

Gewang Permukaan (Top Water Lures)

gewang terbaik permukaan magabass pop max

Top water lures, atau gewang permukaan, adalah sejenis umpan tiruan yang direka untuk beroperasi di permukaan air. Umpan ini digunakan untuk menarik perhatian ikan yang mencari mangsa di permukaan.

Apabila ditarik, top water lures menghasilkan riak, percikan, atau bunyi yang menarik perhatian ikan pemangsa seperti peacock bass, snakehead, dan tarpon (ikan bulan). Jenis-jenis top water lures termasuk poppers, stickbaits, dan buzzbaits, yang masing-masing mempunyai cara unik untuk meniru pergerakan mangsa di permukaan air

Keadaan Air Keruh

Dalam keadaan air keruh, lebih baik memilih gewang permukaan yang agak ‘bising’ dalam persembahannya.

Popper yang mempunyai bunyi ‘bloop’ yang jelas dan kuat, atau propeller yang mempunyai kekipas berkembar (double) yang nyaring.

Elemen bunyi yang nyaring ini akan memudahkan ikan mengesan dimana keberadaan gewang.

 

Keadaan Air Jernih

Dalam keadaan situasi air yang jernih, ‘kelembutan’ dan ‘kehalusan’ (finesse) aksi pergerakan gewang adalah kunci.

Taruhan terbaik adalah gewang pencil dan popper yang mempunyai lebih aksi dan percikan air berbanding menghasilkan bunyi.

Ini kerana seperti yang telah saya bincangkan sebelum ini, dalam keadaan air yang jernih ikan lebih bergantung kepada deria visual berbanding deria pendengaran.

Rujukan Tambahan

Untuk pemahaman lanjut mengenai gewang permukaan, anda boleh merujuk artikel ini: Teknik Efektif Menggayakan Gewang Permukaan

Gewang Soft Plastic

warna gewang terbaik soft plastic

Gewang soft plastic adalah sejenis umpan tiruan yang diperbuat daripada bahan plastik lembut. Ia direka untuk menyerupai bentuk dan pergerakan ikan atau haiwan laut kecil lain untuk menarik perhatian ikan pemangsa. Disebabkan kelembutannya, gewang ini dapat beraksi lebih natural di dalam air, menjadikannya lebih menarik kepada ikan.

Keadaan Air Keruh

Bila menggunakan gewang soft plastic dalam kondisi air yang keruh, apa yang terbaik adalah memilih umpan yang mempunyai aksi yang jelas dan mempunyai profil yang besar.

Pada waktu ini, penglihatan ikan tertumpu kepada silloutte (bayang-bayang) kerana ia lebih jelas dalam air keruh. Oleh itu warna yang terbaik adalah gelap seperti hitam, biru, black neon dan junebug.

Gewang soft plastic yang mempunyai tambahan kekilatan (glitter) juga berkesan untuk memantulkan cahaya yang terhad.

 

Keadaan Air Jernih

Untuk memaksimumkan sambaran menggunakan gewang soft plastic dalam air jernih, pilih umpan yang mempunyai warna semulajadi seperti hijau dan coklat, atau warna yang betul-betul meniru spesis mangsaan (matching the hatch)

gewang terbaik soft plastic

Matching the hatch adalah satu konsep yang sangat berguna ketika memancing di air yang jernih.

Konsep “matching the hatch” merujuk kepada teknik di mana pemancing memilih umpan yang menyerupai makanan semula jadi yang dimakan oleh ikan di kawasan tersebut pada masa tertentu. 2

Ini bertujuan untuk meningkatkan peluang memancing yang berjaya dengan membuat umpan kelihatan lebih alami dan menarik kepada ikan.

Berikut adalah beberapa aspek penting mengenai konsep ini:

  1. Pemerhatian Langsung. Pemancing perlu memerhatikan persekitaran air untuk mengenal pasti jenis serangga atau makanan lain yang ada di sana. Ini termasuk melihat serangga yang terbang di atas air, larva yang berada di dasar air, atau ikan kecil yang berenang di kawasan tersebut.
  2. Pemilihan Umpan yang Tepat. Umpan harus dipilih berdasarkan pemerhatian ini, dengan menyesuaikan saiz, warna, dan bentuk umpan kepada makanan semula jadi. Contohnya, jika terdapat banyak lalat air kecil (mayflies), pemancing boleh menggunakan umpan tiruan yang menyerupai lalat tersebut.
  3. Penyesuaian Teknik. Teknik memancing juga perlu disesuaikan untuk meniru pergerakan makanan semula jadi. Sebagai contoh, umpan boleh digerakkan dengan cara tertentu untuk meniru pergerakan serangga atau ikan kecil dalam air.
  4. Pengetahuan Tentang Padang Pancing. Mengetahui ekologi tempatan dan jenis makanan yang biasa terdapat di kawasan tersebut pada waktu tertentu dalam setahun adalah penting. Ini membantu dalam memilih umpan yang paling sesuai.
  5. Melakukan penyesuaian. Pemancing perlu bersedia untuk menukar umpan dan teknik jika keadaan berubah. Jika ikan tidak menunjukkan minat pada umpan yang digunakan, pemancing boleh mencuba variasi lain yang lebih menyerupai makanan semasa.

Dengan memahami dan mengaplikasikan konsep ini, pemancing dapat meningkatkan peluang kejayaan dalam memancing dengan membuat umpan kelihatan lebih menarik dan alami kepada ikan.

Selain itu aksi soft plastic juga harus dipersembahkan lembut dan meyakinkan seolah-olah aksi hidupan sebenar.

Rujukan Tambahan

Saya ada menulis artikel khas mengenai pemilihan warna gewang soft plastic pada pautan ini.

Gewang Spinnerbaits

spinnerbait toman

Spinnerbait adalah sejenis umpan tiruan yang terdiri daripada badan utama yang dilengkapi dengan satu atau lebih bilah logam berputar (spinner). Bilah ini berputar ketika umpan ditarik melalui air, menghasilkan kilauan cahaya dan getaran yang menarik perhatian ikan pemangsa.

Dalam konteks negara kita, spinnerbait sering digunakan untuk menangkap spesies ikan snakehead seperti haruan dan toman, kerana ia meniru pergerakan dan kilauan ikan kecil atau serangga di dalam air​

Keadaan Keadaan Air Keruh

Seperti gewang lain, lebih bising gewang spinnerbait lebih bagus dalam air yang keruh.

Gewang janggut (nama lain bagi spinnerbait) yang terbaik dalam keadaan air sebegini adalah mempunyai satu atau dua bilah kipas colorado, dan mempunyai warna skirt yang terang atau gelap.

Kekipas colorado berbentuk seperti cengkerang akan menyesarkan lebih banyak air dan menghasilkan getaran yang kuat.

spinnerbait

 

Keadaan Air Jernih

Seperti yang telah kita bincangkan, ikan bergantung kepada rangsangan visual apabila berada dalam air yang jernih. Oleh itu, gewang spinnerbait yang produktif dalam keadaan air yang jernih adalah spinnerbait yang menghasilkan banyak kilauan.

Bilah kekipas yang berbentuk willow adalah paling terbaik menghasilkan kilauan. Jadi gunakan janggut yang mempunyai satu atau dua kekipas ini.

Warna silver atau gold juga efektif dalam air yang jernih.

bentuk kekipas spinnerbait
Perhatikan perbezaan diantara kipas bentuk colorado dan willow. Indiana adalah kacukan antara keduanya.

Penutup: Lakukan Pilihan Yang Sesuai Mengikut Keadaan

Memancing sebenarnya adalah satu aktiviti yang agak kompleks. Seorang pemancing sejati bukan sahaja perlu pandai dari segi skill, malah perlu banyak berfikir dan mengkaji tentang kelakuan ikan.

Think like a fish — Motto oleh syarikat Storm ini sememangnya jelas.

Malah banyak lagi perkara lain yang mempengaruhi hasil seperti suhu dan tekanan udara. Ia memaksa kita menjadi ‘saintis’ untuk mencari sebab disebalik kejayaan dan kegagalan kita.

Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa gewang killer anda menjadi pada hari semalam, tetapi langsung tidak dilayan pada hari ini.

Disinilah uniknya aktiviti memancing. Ia dipengaruhi banyak faktor.

Maka ia bergantung kepada kita untuk memanipulasi keadaan untuk menukarkan hari daripada zero kepada hero.

Semoga bermanfaat!



Nota Rujukan

  1. Penjelasan mengenai bagaimana deria garisan lateral pada ikan berfungsi boleh dibaca dilaman Wikipedia: Lateral Lines ↩︎
  2. Matching the Hatch Basics, The Catch Guide ↩︎

Discover more from Inchenaim

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

8 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
khai
khai
7 bulan yang lalu

apa pendapat tuan mengenai gewang warna pink…di penang, kerapu dan ikan pemangsa lain gemar dgn warna pink..bnyk video youtube sy tgok warna pink jdi pilihan di sini

rahmat
rahmat
6 tahun yang lalu

semalam dgn harini beli gewang rapala dok dtg hasil lagi… hmmmm

seri nian
7 tahun yang lalu

geli la tgk gewang untuk air keroh tu…pesal cicak plak jd pilihan?

seri nian
7 tahun yang lalu

saya ingatkan apa bende la gewang ni…rupanya bende ni….