5 Kaedah Menggayakan Gewang Permukaan Secara Efektif

teknik gewang permukaan
Letupan ganas pada gewang permukaan memang satu saat yang sangat mengujakan!

Dalam dunia mengilat, tiada yang lebih mengujakan daripada gewang permukaan.

Letupan sambaran ganas secara tiba-tiba mampu membuatkan jantung kita berhenti berdegup seketika.

— Boleh lembik lutut dibuatnya!

Artikel ini akan memaparkan 5 teknik berkesan untuk menggayakan gewang gewang permukaan serta perkara-perkara lain yang perlu diketahui.

5 Teknik Menggayakan Gewang Permukaan Secara Efektif

Terdapat pelbagai jenis kaedah untuk menggayakan gewang permukaan.

Setiap jenis teknik ini perlulah dipadankan kesesuaiannya dengan jenis gewang, mood ikan dan keadaan padang pancing.

Dibawah ini saya senaraikan lima teknik menggayakan gewang permukaan:

1. Karauan Lurus

megabass prop darterIni adalah kaedah paling asas dalam dunia mengilat.

Kebanyakkan orang menyangka persembahan gewang permukaan adalah kompleks, tetapi sebenarnya karauan lurus sudah memadai untuk menggoda ikan.

Saya selalu mengaplikasi kaedah ini untuk ikan yang suka menyerang hendap.

Mengapa teknik ini berkesan?

Satu perkara penting yang perlu anda ingat ialah tabiat buruan bagi pemangsa. Kebanyakan ikan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah, macam manusia juga.

Ini boleh diterangkan dengan teori penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi.

Jika penggunaan tenaga lebih besar diperlukan untuk mendapatkan makanan itu berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan terutama ikan besar selalunya tidak akan mengejar mangsanya dengan serius.

Ikan pemangsa jarang menyerang ikan kecil yang:

  • Telah mengesan kehadirannya
  • Ikan kecil yang sentiasa mengekalkan jarak tertentu dari mereka.

Pemburuan di habitat semulajadi bukanlah mudah. Kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi dan membazirkan banyak tenaga.

Oleh itu, ia tidak berbaloi dengan pelaburan tenaga yang bakal dilakukan.

Menurut Mr. Katsutaka Imae, pemancing uji bagi Evergreen menerangkan bahawa:

Apa yang pemangsa suka serang ialah tiga perkara;

  1. Aksi panik
  2. Aksi cedera
  3. Aksi di mana ikan tidak perasan kehadiran pemangsa.

— Karauan lurus akan meniru yang ketiga, iaitu mangsa yang cuai.

Ia adalah sasaran yang mudah bagi mereka. Ikan pemangsa pasti tidak akan melepaskan peluang ini.

Gewang macam mana yang sesuai?

Antara gewang  yang sesuai digayakan dengan teknik ini adalah:

  • Soft Frog
  • Jump Frog
  • Proppeler
  • buzzbait

 


2. Kaedah Walk The Dog

pencil bait sebarauTeknik ‘dog walk’ adalah kaedah paling popular dalam persembahan topwater

Kaedah ini efektif apabila kita mahu memburu ikan dengan lebih cepat, atau mahu melihat respon ikan.

Teknik ini meniru ‘aksi panik’ ikan kecil, yang menjadi salah satu aksi paling disukai pemangsa.

Imej pergerakan gewang ini seakan aksi anjing yang diajak bersiar-siar.

Apabila anjing bergerak ke kiri dan kanan semasa anda menarik tali penambatnya, pencil bait turut berkelakuan sedemikian di permukaan air.

Selalunya gewang jenis pencil bait sesuai untuk teknik ini, tetapi gewang swisher dan popper juga berkesan.

Jadi, bagaimana hendak membuatkan gewang berkelakuan sebegitu?

Ianya sangat senang.

Anda hanya perlu berikan tegangan kepada tali, kemudian longgarkan tegangan tersebut, itu sahaja.

  • twitch (henjut perlahan) ⇒ karau slack line ⇒ twitch ⇒ karau slack line

Pencil bait akan tersengguk-sengguk dari satu sudut ke sudut yang lain.

Ulanglah operasi ini, dengan mudah pencil bait anda meluncur ke kiri dan kanan.

Kadangkala ‘berhenti’ seketika juga efektif, jadi berilah aksi berhenti atau pegun setiap beberapa aksi.

Pabila anda memberi aksi ‘dog walk’ kepada gewang, riak kecil akan terhasil.

Riak yang berbentuk “V” ini lah yang menjadi kunci kepada keberkesanan teknik ini.

 


3. Kaedah Head Shake
teknik gewang permukaan head shake
Popper kecil yang dimainkan dengan aksi ‘head shake’ memikat sang kelisa sehingga menelannya.

Berbanding ‘dog walk’, teknik ‘head shake’ atau goyangan kepala ini agak perlahan dan lemah-lembut.

Aksi goyangan kepala yang perlahan meniru tabiat ikan semasa makan atau serangga yang sedang terkapai-kapai di permukaan air.

Teknik ini berkesan jika digayakan berdekatan struktur yang berhampiran permukaan air atau di bawah cabangan pokok tergantung memayungi air yang mungkin dikuasai ikan pemangsa.

Oleh itu, lontaran sangat tepat diperlukan.

Head shake membolehkan kita meluangkan lebih masa untuk satu lontaran bagi memikat ikan.

Teknik ini efektif jikalau kedudukan ikan berada di paras yang dalam dan ia perlu dipanggil keluar menjenguk ke permukaan.

Antara gewang yang mudah memberi aksi head shake adalah popper.

Apa yang penting, gewang tersebut mempunyai sudut apungan lebih 45 darjah menegak di permukaan (seperti berdiri)

Bagaimana menggayakan aksi ini?

Dengan memainkan hujung joran, berikan henjutan pendek dan halus kepada gewang supaya ia seakan serangga yang berkubang di permukaan.

Aksi ini membentuk riak di sekeliling gewang.

Seperti mana ‘dog walk’, aksi menghentikan gewang kadangkala efektif juga. Berikan gewang pegun yang lama sehingga riak terakhir menghilang.

Kemudian berikan satu lagi aksi halus supaya permukaan air kembali beriak.


4. Kaedah Popping

gewang permukaan popperIni adalah teknik yang paling mengujakan dalam permainan topwater!

Teknik popping adalah berasal dari perkataan popper, iaitu gewang permukaan yang bermulut cawan.

Mulut cawan inilah kunci keberkesanan gewang ini, dimana ia akan menghasilkan bunyi “pop” dan menyemburkan air ke depan apabila dihenjut.

Aksi ini akan meniru lagak ikan kecil yang sedang huru-hara dan ketakutan dipermukaan air, lantas mencetus reaksi pemangsa untuk menyambar.

Gewang ini memang gewang yang tidak lapuk ditelan zaman.

Boleh dikatakan, ramai pemancing (termasuklah saya) berjaya memperoleh ikan pertama menggunakan gewang permukaan adalah melalui popper.

siakap merah

Bagaimana menggayakan gewang ini secara berkesan?

Senang sahaja. Apa yang kita perlu buat adalah:

  • Lontar popper ke kawasan sasaran
  • Berikan henjutan lembut kepada gewang ini supaya mulut cawannya dapat menguak air. Henjutan lebih efektif jika hujung joran dihalakan ke bawah.
  • Karau slack line dan ulangi henjutan tadi.
  • Operasi ini diulangi sehingga lontaran seterusnya.

Ikan selalu memberi tindakbalas yang berbeza dengan penggayaan popper yang berbeza.

Cuba lakukan karauan perlahan atau laju, henjutan keras atau lembut — untuk mengenalpasti apa yang diminati ikan pada hari itu.

Ada hari ikan mahukan karauan pantas. Ada hari ikan mahukan persembahan yang perlahan.

Popper boleh menjadi gewang yang killer sepanjang hari, jadi  gewang ini wajib disimpan dalam kotak pancing anda.

 


5. Kaedah Stop & Go

Kaedah stop-and-go sesuai digayakan dengan gewang soft frog untuk menyerang kawasan heavy cover seperti poket pokok teratai dan samai.

Walau bagaimana pun, teknik ini juga boleh digunakan dengan gewang lain seperti swissher di perairan terbuka.

Bagaimana menggayakan teknik ini dengan efektif?

Bagini caranya:

  • Apabila gewang sudah hampir mencapai lubang poket air, percepatkan renangan gewang.
  • Kemudian, apabila gewang sudah sampai ke kawasan terbuka, perlahankan gewang.
  • Apabila kira-kira gewang telah melalui separuh bukaan poket, hentikan gewang buat seketika.
  • Jika ikan telah terlihat gewang, ia mungkin tertarik untuk melakukan serangan.
  • Jika ia tidak menyerang, mulakan kembali menggayakan gewang, berhenti dalam poket terbuka dan ulangi langkah tersebut.

Selalunya aksi jalan-berhenti ini yang dilakukan secara berulang-ulang akan mencetuskan sambaran

Bagaimana membuat hookset yang tepat untuk soft frog?

Walaupun gewang telah ghaib dibawa lari, apa yang terbaik adalah tunggu dahulu 1-2 saat sehingga kita merasa berat dihujung tali atau nampak tali bergerak ke arah lain.

Saat ini adalah waktu untuk menyentap dengan sepenuh tenaga agar dapat mengatasi dampening effect yang disebabkan oleh rumpair.

Juga penting untuk menarik ikan keluar secepat mungkin supaya ikan tidak membelit dibawah rumpai atau teratai.

Oleh itu pemilihan set yang kasar agak kritikal dalam permainan ini.

Pilih Gewang Permukaan Bingit atau Senyap?

gewang permukaan bising

Biasanya kebanyakkan gewang permukaan mempunyai sifat bergemerincing (rattle) dan tidak.

Gewang bergemerincing selalunya dilengkapi dengan ball bearing di dalam badan gewang untuk menghasilkan bunyi yang kuat dan nyaring.

— Ini akan menarik perhatian ikan yang sedang agresif dan dari jauh.

Namun kita harus tahu, sikap ikan sentiasa berubah mengikut masa, tempat dan keadaan sekeliling.

Adakalanya ikan akan menjauhi gewang yang bersifat nyaring ini.

Selalunya saya akan memancing dengan gewang permukaan yang bergemerincing terlebih dahulu.

Jika ikan culas pada hari tersebut dan tiada sambaran, saya akan menukar pula kepada gewang yang tidak bergemerincing.

Selalunya body gewang ini solid tanpa ball bearing di dalamnya.

ikan bulan
Ikan bulan adalah spesis yang sentiasa mempunyai mood yang berubah-ubah. Apa yang penting kita cari apa yang diminatinya pada hari itu

Apa yang penting adalah menyesuaikan dengan apa yang diinginkan oleh ikan.

Mungkin jenis gewang tersebut berkesan pada hari ini, namun tidak pada hari kemudiannya.

Jangan takut untuk menukar gewang permukaan anda kerana ia insyaaAllah akan menyelamatkan anda daripada kumpau.


Nota rujukan:
  1. Sen Nishimura – kolum ruangan lubuk ilmiah majalah Sirip
  2. Anders FishingHow To Walk The Dog
  3. Alex RuddTopwater Tip #5 For Bass Fishing: How to Fish a Popper 
  4. LakeForkGuyNoisy Topwater Lure Test

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

5 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Mas'one
Mas'one
2 tahun yang lalu

Baik ulasan nya..lebih memahami kerja yg dilakukan gewang..tq sifu

RIDZUAN
5 tahun yang lalu

Terbaik boh

Addie
Addie
6 tahun yang lalu

Terbaik masta naim! Perkongsian yang mantap. Teruskan menulis! ??????

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading