Mengapa Gewang Permukaan Air Sungguh Berkesan?

gewang permukaan airIni adalah persoalan yang paling asas dalam dunia gewang permukaan.

Secara umumnya, ikan pemangsa sentiasa memerhatikan kolum permukaan air.

Mengapa?

Apa yang menyebabkan mereka begitu tertarik terhadap kawasan ini?

Terdapat dua sebab utama:

Sebab Pertama: Tempat Datangnya Makanan Dari Dunia Luar

Kita perlu tahu bahawa bahagian permukaan air adalah perantaraan dunia air dan dunia di luarnya.

Menerusi permukaan air, banyak bahan organik dan bukan organik dari dunia luar masuk ke dalam air melalui bahagian ini terlebih dahulu.

Oleh sebab itu, kebanyakkan ikan sering tertarik dengan apa sahaja benda yang datang daripada luar.

Mereka sangat sensitif dengan kolum ini.

gewang permukaan air popper
Siakap merah adalah spesis agresif yang mudah tertarik dengan gewang permukaan

Ini kerana bahagian permukaan ini bukan sahaja membawa masuk oksigen, malah turut menjadi tempat datangnya sumber makanan seperti:

  • Daun-daun segar
  • Serangga yang jatuh ke permukaan air
  • Haiwan kecil jatuh atau bergerak di permukaan (contohnya: katak, cicak, ular dsb)
  • Larva yang baru menetas
  • Tempat ikan kecil mencari makan

Semua ini akan mudah menjadi sasaran kepada ikan pemangsa.

Perkara ini kerana ia sangat berkait rapat dengan deria ikan yang sensitif yang lazimnya terletak pada bahagian dorsal atas dan sisi badannya.

Bahagian ini juga dikenali sebagai lateral line atau garis deria ikan.

garisan lateral ikan
Lateral line adalah bahagian dimana deria sensitif ikan terkumpul

Sebab itulah pemangsa yang berada dibawah lebih mudah mengesan ikan kecil (atau mangsa lain) yang berenang di permukaan (pemangsa berada di bawah perut mangsanya)

Kalau tidak percaya, cuba anda cekup ikan dalam akuarium dari atas, anda pasti gagal.

Tetapi jika anda merendam tangan dan selepas suhu tangan disejukkan, cubalah cekup dari bawah, bukankah lebih mudah?

Sebab Kedua: Permukaan Air Adalah Jalan Mati

Kawasan permukaan adalah “zon paling efektif” untuk mencekup mangsa

Permukaan air adalah ibarat jalan mati kepada ikan kecil jika mereka diserang daripada bawah.

Jika ikan pemangsa hanya mengejar ikan kecil secara membabi buta di dalam air, kerapkali mereka tidak akan berjaya menyambarnya.

gewang permukaan air
Kolum permukaan sentiasa menarik minat ikan

Tetapi jika ia meligannya sehingga ke jalan mati, kebarangkalian berjaya akan meningkat kerana laluan seterusnya untuk ikan kecil sudah tersekat.

Ikan pemangsa sangat arif tentang perkara ini.

Sebab itulah adakalanya mereka akan mengepung ikan kecil di permukaan dan menghalang laluannya untuk melepaskan diri, sebelum mula membelasah.

Selain daripada kawasan permukaan, kita harus tahu bahawa dasar, tebing dan jurang drop-off juga turut dikategori sebagai penghalang

Nota tambahan:

Selain daripada sebab diatas, Ikan kecil selalunya cuai.

Ikan kecil yang sedang gila melantak larva, plankton dan makanan lain seringkali leka dan hanya memfokus permukaan air sahaja, tanpa menghiraukan ancaman disekelilingnya.

Faktor ini juga akan memudahkan pemangsa membuat serangan dari bawah.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading