Teknik Menggunakan Gewang Spinnerbait

menggunakan gewang spinnerbait

Antara gewang yang menjadi kegemaran pemburu haruan dan toman adalah spinnerbait.

Mengapa?

Walaupun rupanya buruk dan ntah apa-apa, ia sangat berkesan untuk spesis keluarga snakehead. Malah ia sangat senang digunakan.

Oleh itu, artikel ini akan berkongsi beberapa teknik menggunakan gewang spinnerbait secara produktif dan berkesan.

Anatomi gewang spinnerbait

Sebelum kita pergi lebih mendalam, mari fahami terlebih dahulu anatomi gewang ini..

anatomi gewang janggut
Nota: “Kepala Bana” tu saya main-main sahaja.. mohon jangan serius. hihi

Gewang yang juga dikenali sebagai ‘janggut’ oleh pemancing negara kita ini terdiri daripada 3 komponen asas, iaitu rangka besi, bilah kekipas dan skirt.

Setiap komponen ini akan mempengaruhi prestasi dan aksi gewang janggut.

Lebih banyak yang anda faham tentang gewang ini, pastinya anda dapat memanfaatkan gewang ini dengan lebih baik.

 

Rangka besi


Rangka adalah asas atau tulang belakang gewang ini.

Ia bahagian penting kerana ia menyambungkan komponen lain, iaitu skirt dan kekipas. Ia mengawal kestabilan aksi spinnerbait di dalam air.

rangka besi gewang spinnerbait

Rangka spinnerbait terdiri daripada kepala dan matakail.

Kepala biasa diperbuat daripada timah dan menentukan berat keseluruhan spinnerbait. Biasanya ia di warnakan mengikut warna skirt yang akan dipasangkan.

Terdapat pelbagai jenis bentuk kepala.

Ada bentuk bulat, leper, pisang dan sebagainya.

Bentuk-bentuk ini penting dalam menentukan arah deflection dan tahap kalis sangkut.

 

Bilah kekipas


Bilah kipas adalah bahagian yang terpenting dalam keberkesanan gewang ini.

Biasanya spinnerbait akan dilengkapi oleh satu atau dua bilah kipas.

kekipas gewang spinnerbait
Bilah kekipas jenis Willow

Terdapat dua fungsi utama kekipas, iaitu:

  1. Menghasilkan pantulan cahaya
  2. Menghasilkan getaran bunyi

Biasanya bentuk bilah kekipas ini ditemui dalam 3 bentuk, iaitu Willow, Colorado dan Indiana.

bentuk kekipas gewang spinnerbait
Perhatikan perbezaan diantara kipas bentuk Colorado dan Willow. Indiana adalah kacukan antara keduanya.
  • Willow: Menghasilkan lebih banyak kilauan berbanding getaran. Kurang rintangan air, dan memotong rumpair lebih baik berbanding bentuk lain.
  • Colorado: Menghasilkan lebih banyak getaran berbanding kilauan, menjadikan ia lebih sesuai untuk air yang keruh. Oleh kerana bentuknya yang lebar, ia mempunyai rintangan air yang tinggi dan sesuai untuk karauan perlahan.
  • Indiana: Bentuk ini adalah gabungan dua bentuk diatas. Oleh itu ia menawarkan kombinasi kilauan dan getaran.
Nota

Warna silver dan krom secara umumnya lebih sesuai untuk keadaan air jernih dan hari cerah.

Manakala, warna emas dan tembaga pula lebih berkesan untuk air keruh dan hari mendung.

Kekipas yang diwarnakan juga pilihan yang baik ketika keadaan kurang cahaya, dimana cahaya tidak dapat dipantulkan oleh warna besi.

 

Skirt


Tidak.. ia bukanlah skirt yang dipakai oleh mak kita semasa menyapu sampah.

Ia adalah rumbai bulu yang dipasang pada matakail.

Sebab itulah gewang ini mendapat nama jolokan “janggut”

skirt gewang spinnerbait

Kepentingan skirt bukan sahaja mencantikkan spinnerbait, menambah kestabilan dan menambah daya tarikan terhadap ikan..

.. tetapi ia juga memainkan peranan dalam memberi kelebihan kalis sangkut terhadap gewang.

Ia berfungsi melindungi matakail.

Secara umum, pilih skirt berwarna semulajadi semasa air jernih, dimana tahap penglihatan adalah tinggi.

Gunakan warna terang seperti chartreuse dan putih bila keadaan air gelap.

7 Teknik Karauan Menggayakan Gewang Spinnerbait

keberkesanan gewang spinnerbait

Terdapat beberapa teknik karauan untuk menggunakan gewang spinnerbait dengan berkesan.

Perhatikan kesesuaian teknik yang dinyatakan di bawah dengan jenis-jenis gewang spinnerbait yang sesuai.

1. Karauan Lurus

teknik karauan lurus spinnerbait

Ringkas.

Hanya karau secara lurus pada kelajuan sederhana.

Kekalkan kelajuan apabila anda sudah merasai getaran bilah kekipas spinnerbait tersebut dan kekalkan ia di bawah permukaan air (1 – 5 kaki dalam).

Kaedah ini berkesan untuk cover kawasan yang luas dalam masa yang singkat.

Gunakan spinnerbait yang mempunyai berat sederhana seperti 3/8oz atau 1/2oz yang dilengkapi kekipas jenis willow.

 

2. Karauan Perlahan

teknik karauan perlahan spinnerbait

Ini adalah kaedah kegemaran saya untuk mempersembahkan gewang spinnerbait.

Dalam konteks ikan negara kita, ikan haruan bukanlah perenang pantas. Ia hanya menunggu mangsa melintasi kawasannya.

Oleh itu teknik ini cukup sesuai untuk haruan.

Karauan hendaklah dibuat dengan cukup perlahan, sekadar untuk merasai getaran pada bilah kipas spinnerbait tersebut.

Untuk karauan perlahan, kekipas jenis colorado lebih baik.

Kaedah ini cukup efektif bila menduga air yang keruh atau agak dalam (melebihi 5 kaki).

 

3. Teknik Yo-Yo

teknik karauan perlahan spinnerbait

Teknik yo-yo adalah salah satu teknik yang efektif digunakan disekitar rumpair.

Kaedah ni kelihatan seolah-olah sama seperti teknik twitching dan mengunjun (jigging).

Untuk menggayakan teknik ini, lontarkan spinnerbait ke kawasan sasaran dan biarkan tenggelam.

Kemudian angkat hujung joran, dan kemudian rendahkan kembali ke permukaan air. Lakukan gerakan ini sebanyak 3-4 kali sebelum spinnerbait dibiarkan tenggelam ke dasar.

Kemudian ulangi kembali proses ini.

Pastikan anda sentiasa menegangkan tali kendur (slack line) dan bersedia dengan serangan tiba-tiba dari ikan.

 

4. Helicoptering

teknik helicoptering spinnerbait

Teknik helikopter adalah kaedah dimana gewang spinnerbait dibiarkan tenggelam ke dasar secara bebas.

Objektifnya adalah untuk membiarkan bilah kekipas spinnerbait berpusing secara semulajadi semasa tempoh jatuhan ke dasar.

Oleh itu, spinnerbait yang dilengkapi bilah kipas jenis colorado sangat efektif untuk kaedah ini kerana sifatnya yang mudah berputar walaupun dengan sedikit daya.

Ianya amat efektif di tempat yang strukturnya timbul seperti pokok mati, dinding konkrit dan sebagainya.

Ia selalunya mencetuskan amarah ikan yang menjaga wilayah seperti peacock bass dan haruan yang sedang bermalas-malasan di dasar.

 

5. Bumping

teknik bumping spinnerbait

Melanggarkan gewang spinnerbait dengan struktur seperti kayu tenggelam, batu, atau struktur lain adalah satu kaedah yang berkesan untuk mencetuskan reaksi serangan.

Karau gewang anda agar mengetuk struktur-struktur tersebut.

Apabila gewang sudah melanggar struktur tersebut, berhenti seketika dan berikan masa untuk ikan mengambil gewang anda.

Jika tiada reaksi selepas 1 atau 2 saat, teruskan karauan anda.

Ulangi pergerakan ini sehingga gewang sampai kepada anda dan mendapat strike dari ikan.

 

6. Menimbulkan riak air

teknik permukaan spinnerbait

Lontarkan gewang anda ke spot sasaran dan mulakan karauan.

Angkat hujung joran ke atas dan biarkan spinnerbait anda naik ke permukaan.

Objektif teknik ini adalah untuk menimbulkan riak-riak air tanpa mengocak permukaan air.

Oleh itu, penting untuk anda mengawal kelajuan karauan agar aksi riak air terhasil dengan cantik dan semulajadi.

Kaedah ini menghasilkan banyak getaran dan menghasilkan pantulan cahaya di permukaan air yang pasti menarik perhatian pemangsa.

 

7. Karauan laju

Gewang spinnerbait sebenarnya dicipta menyerupai ikan mangsaan bila dikarau laju.

Jadi bila anda melihat ada pemangsa sedang mengejar ikan kecil, maka gewang ini sesuai dilontar ke kawasan tersebut.

Semasa berlakunya feeding frenzy, waktu itu ikan sedang aktif mengejar dan memburu mangsa.

Jadi karauan laju akan lebih mudah memperdaya mereka tanpa was-was, terutamanya ketika air jernih.

Kadangkala karauan laju diperlukan untuk membuatkan gewang ini beraksi dipermukaan air untuk digayakan atas sesuatu struktur, rumpair atau samai.

Spinnerbait yang dilengkapi kekipas berbentuk Willow tunggal akan memudahkan karauan laju kerana ia mewujudkan rintangan yang kecil.

Nota

Sama ada memancing dengan gewang permukaan air, crankbait, soft plastic, apa yang penting adalah menyesuaikan dengan apa yang diinginkan oleh ikan.

Mungkin kaedah tersebut berkesan pada hari ini, namun tidak pada hari kemudiannya.

Jangan takut untuk menukar kaedah karauan persembahan gewang spinnerbait.

Ini kerana aksi spinnerbait banyak dipengaruhi oleh bagaimana anda mengarau dan menggayakannya.

Bila waktu yang sesuai menggunakan gewang spinnerbait?

waktu sesuai menggunakan gewang spinnerbait

Waktu kurang cahaya


Disebabkan gewang ini mampu menghasilkan getaran yang kuat dan kekecohan, ia berkesan untuk digunakan dalam keadaan kurang cahaya.

Ia sesuai digunakan dalam air yang keruh, cuaca mendung atau waktu lewat petang.

Warna gelap lebih efektif dalam air keruh kerana ia mewujudkan bayang-bayang (silloutte) yang lebih jelas dan memudahkan ia dikesan.

Dan lebih besar saiz spinnerbait, lebih kuat getaran dapat dihasilkan dan lebih mudah ia dikesan oleh pemangsa.

Rujukan

Untuk pemahaman lanjut mengenai pemilihan warna gewang yang sesuai mengikut cuaca dan keadaan air, sila baca artikel ini:  Tips Memilih Warna Gewang Terbaik Untuk Air Keruh & Air Jernih

 

Keadaan berangin dan berombak


Gewang spinnerbait dicipta untuk mencetuskan reaksi serangan dari ikan.

Bilah kekipas dihasilkan bertujuan untuk meniru ikan mangsaan yang cedera.

Walaupun begitu, rekabentuk gewang ini tetap pelik kerana tidak menyerupai apa-apa hidupan.

Oleh itu, waktu berangin dan berombak sedikit sebanyak akan membantu ‘menyorok’ sikit rupa pelik gewang ini.

Penutup: Gewang paling versatil untuk pelbagai jenis keadaan

Siapa yang tak sukakan spinnerbait?

Gewang ini sangat versatil untuk digunakan untuk air cetek, air dalam, kawasan heavy cover dan terbuka.

Sifat kalis sangkut gewang ini yang berkesan menjadikan ia sangat sesuai untuk menduga lubuk yang banyak rintangan.

Malah sejak sekian lama gewang ini telah menjadi gewang killer untuk  haruan dan keluarga snakehead yang lain.

guest
8 Comments
Inline Feedbacks
View all comments