Mengapa gewang killer saya tidak menjadi?
Ini adalah salah satu persoalan yang sentiasa bermain difikiran saya sebelum ini.
Adakalanya gewang yang saya gunakan sangat berkesan, dan pada waktu lain pula ia langsung tidak dipedulikan sang ikan.
Kita semua tahu bahawa pemancing sangat obses dengan gewang.
Mungkin 9 dari 10 pemancing biasanya akan selalu bertanya kepada pemancing yang berjaya menjerat ikan, apakah jenis, jenama dan warna gewang yang digunakan itu.
Mungkin itulah perkara satu-satunya yang mereka akan tanya.
Seolah-olah jenama atau warna gewang itu sahaja adalah faktor mandatori dalam mencapai strike.
Persoalan lebih kritikal selalunya kita abaikan.
Contohnya:
- Bagaimana pula dengan keadaan hotspot memancing tersebut?
- Berapa dalam?
- Teknik permainan gewang yang harus digunakan?
Dan sebagainya.
Pernahkah anda memancing dengan seseorang yang sentiasa menukar gewang atau warna umpan?
Pernahkah anda menggunakan gewang yang sama dengan member anda, namun member anda lebih berjaya menjerat ikan?
Kebanyakan pemancing mempunyai banyak gewang.
Malah saya sendiri mempunyai berkotak-kotak gewang.
Tetapi, memilih satu yang sesuai untuk sesuatu keadaan adalah paling utama.
Membuat perubahan apabila perlu dan menukar gewang yang betul pada situasi yang tepat akan menentukan kejayaan kita.
Bila perlu menukar gewang?
Selalunya ketika hasil tidak baik, maka langkah pertama yang perlu diambil adalah untuk menukar gewang.
Sesetengah jenis gewang, jenama, saiz, atau warna akan berfungsi lebih baik daripada yang lain, untuk memerangkap ikan tertentu pada masa-masa tertentu.
Tetapi bagaimana untuk mengetahui waktu yang sesuai untuk menukar gewang?
— Tentunya daripada pengalaman.
Pengetahuan ini akan datang daripada pengalaman, yang mana ia tidak ada jalan pintas.
Tetapi, ia juga boleh datang daripada sedikit pemikiran logik.
Ambil sedikit masa untuk menganalisis keadaan dan menilai semula apa yang kita lakukan..
.. dan perbaiki semula keadaan itu dengan membuat perubahan yang sewajarnya.
Situasi yang biasanya menentukan menukaran gewang adalah:
- keadaan kejernihan air berbeza
- perubahan keamatan cahaya
- kedalaman lubuk
- suasana persekitaran yang berubah
- perubahan dalam tingkah laku ikan
Tingkah laku ikan adalah selalu berada diluar jangkaan
Kadangkala ikan ini makhluk yang membingungkan..
Saya pernah pergi memancing di kolam air masin pada suatu hari, dimana pada cuaca hari itu panas dan terik.
Ikan kerapu seperti yang kita semua tahu, adalah ikan dasaran yang malas dan gemar menunggu mangsanya melintas di hadapannya.
Saya bermati-matian mengilat menggunakan soft plastik, jig dan gewang yang tenggelam serta selaman dalam kerana saya mensasarkan kerapu yang bertapa di dasar kolam.
Biasanya, soft plastic yang diseret didasar kolam adalah killer buat Kerapu Naga. Namun malangnya, kami langsung tidak mendapat sebarang strike.
Saya perhatikan ketika itu banyak anak siakap bermain dikolum permukaan dan pertengahan air. Jadi saya fikir mungkin Kerapu moody pada hari itu dan lebih baik saya bertukar set peralatan dan teknik untuk target siakap itu sahaja.
Maka saya menukar umpan kepada jerkbait yang bersifat suspending, dimana selamanya sekitar 1 kaki sahaja.
Apa yang saya lakukan kemudiannya adalah menghantar gewang selari dengan tebing dan menyentak perlahan ( twich) serta berhenti selama 3-5 saat untuk membiarkan ia terampai disepanjang proses mengarau kembali gewang.
Apa yang mengejutkan, ikan kerapu pula yang menyambar gewang itu. Hari itu saya berjaya mendaratkan sehingga 7 ekor kerapu hybrid yang ‘gadang’ dengan persembahan gewang yang sama. Tidak termasuk yang terlucut akibat matakail kangkang!
Apa yang saya dapat simpulkan, kerapu sedang frenzy dan menunggu anak siakap yang berkeliaran, sehingga meninggalkan kolum dasar kolam.
Kebetulan gewang yang saya gunakan pula agak sama dengan bentuk anak siakap, iaitu Megabass Vision 110.
Dan persembahan yang melilau kiri dan kanan merangsang kerapu untuk menyerang – jauh dari zon dasar kolam!
Walaupun kaedah ini saya jumpa secara tidak sengaja, namun kelakuan ikan sebegini dapat memberitahu kita bahawa kadangkala kita perlu menggunkan kaedah yang berlainan, sepadan dengan kelakuan ikan pada hari itu.
Matching The Hatch: kunci penting menjerat pemangsa yang cerewet
Istilah ini popular dikalangan pemancing fly fishing, namun ia adalah terpakai kepada semua jenis pancingan.
Matching the hatch bermaksud menyesuaikan gewang kita menyerupai dengan diet ikan pemangsa dikawasan itu.
Gewang perlu dipersembahkan secara semulajadi yang mungkin.
Perkara ini penting terutamanya apabila kita cuba menduga padang pancing yang mengalami tekanan tinggi dan keadaan air yang sangat jernih.
Serta bila kita berurusan dengan pemangsa yang cerewet lagi sensitif.
Oleh itu, ambillah sedikit masa untuk mengenalpasti apakah yang menjadi diet semulajadi dikawasan itu.
Setelah itu, cuba cari gewang yang mempunyai penampilan sehampir mungkin dengan apa yang kita jumpa itu.
Selain daripada penampilan, perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah bagaimana pergerakan ikan mangsaan itu.
Kita harus meniru pergerakan tersebut semirip yang boleh.
Soft plastic selalunya mempunyai kelebihan dalam aspek ini.
Adakah Warna Gewang Memainkan Peranan Penting?
Anda rasa apa yang ikan lihat dibawah air?
Adakah mereka boleh mengecam warna?
Secara saintifiknya, air akan menapis cahaya disetiap kolum secara berperingkat.
Maknanya, semakin dalam air, semakin cepat sesuatu gewang itu akan kehilangan warnanya.
Umumnya, warna merah adalah warna pertama akan hilang, diikuti oleh oren, kuning, hijau dan diakhiri oleh warna biru.
Ultra-violet (UV) adalah gelombang cahaya yang dimana kebanyakkan ikan boleh nampak.
Faktor cuaca & keamatan cahaya
Menurut pembacaan saya, warna yang sesuai ketika cuaca panas adalah warna emas dan perak.
Namun ia akan menjadi seakan halimunan pada mata ikan pada waktu mendung.
Oleh itu apa warna terbaik pada waktu mendung?
Warna yang dapat memantulkan UV adalah yang terbaik seperti warna fluorescent.
Warna pendar-cahaya (luminuos) adalah bonus ditempat yang gelap.
Faktor kekeruhan air
Dalam dunia mengilat, faktor kekeruhan air adalah merupakan salah satu kunci utama dalam memilih gewang.
- Air berkelodak, berlumpur dan keruh: Warna hitam paling efektif. Warna putih juga berkesan
- Air berlumut: Gunakan gewang yang mempunyai dua tone warna agar ikan mudah mengesan kontras warna tersebut.
- Air coklat gelap: Gewang berasaskan warna gelap akan memberi kesan lebih baik pada pandangan ikan.
Bila Kita Perlu Menukar Kepada GEWANG KERAMAT?
Apabila ikan tidak memberi kerjasama dan keadaan kelakuan ikan sukar untuk diramal pada hari itu..
.. mungkin cara terbaik yang boleh kita buat adalah bertukar kepada gewang yang telah terbukti berkesan dan kita sendiri yakin terhadapnya.
Ini bukan masa yang sesuai untuk kita bereksperimen dengan gewang yang tak pernah kita sentuh sebelum ini yang dibiarkan terperap didalam kotak selama bertahun-tahun.
Diluar kebiasaan tetapi sesuai
Kadangkala, berbaloi untuk mencuba gewang yang sesuai dengan keadaan tetapi yang mungkin tidak diamalkan oleh orang lain.
Pernah pada suatu hari saya datang memancing dikawasan sesak dengan reba bersama seorang pemancing berpengalaman dikawasan itu.
Target kami hari itu adalah siakap merah yang bersembunyi di kawasan itu.
Malangnya pada hari itu, sungai surut terlalu rendah dan sangat mustahil untuk menghantar gewang selaman jauh ke dalam reba melainkan tersangkut.
Saya menukarkan gewang selaman kepada popper dan propeller – dimana ia tak pernah menjadi sebelum ini ditempat lain.
Menariknya, saya dapat menewaskan 2 ekor siakap merah walaupun saiznya tidaklah besar.
Namun, rakan saya tadi terkejut kerana dia langsung tidak menyangka siakap merah berminat terhadap gewang permukaan dan belum pernah terjadi dikawasan itu.
Tetapi apa pun gewang ini sampai kepada ikan, jadi ia sesuai keadaan tertentu.
Cuba fikirkan ini:
Spinnerbait / Janggut tidak pernah menyamai apa-apa jenis hidupan tetapi mengapakah ia berkesan?
Bila waktu yang sesuai untuk bereksperimen dengan gewang baru?
Masa terbaik untuk eksperimen menukar gewang adalah apabila ikan sedang aktif.
Apabila kita berjaya menangkap banyak ikan dengan gewang tertentu, kita sudah tahu apa yang berkesan.
Apa yang kita tidak tahu adalah, adakah ikan tersebut juga akan:
- Mengambil gewang yang sama dalam warna yang berbeza,
Atau
- Berminat dengan jenis gewang yang berbeza tetapi tetap berfungsi dan berenang dengan cara yang sama.
Juga apakah gewang yang bising lebih berkesan berbanding gewang bersifat silent?
Ketika saat memancing sedang menjadi, waktu ikan sedang galak – itu adalah masa tepat untuk menukar kepada gewang yang anda tidak pernah cuba, atau tak pernah yakin dengannya.
Jika ia menjadi, maka ia pasti akan menjadi salah satu lagi gewang yang kita akan suka dan mungkin boleh jadi gewang killer anda yang terbaru.
Penutup: Saya bukanlah pakar dalam bidang memancing.
Dan artikel ini bukanlah bertujuan untuk tunjuk pandai.
Tiada kajian saintifik dijalankan untuk menyokong hujah saya, melainkan beberapa rujukan daripada majalah dan website lain.
Ia sekadar perkongsian daripada pengalaman sepanjang hobi ini berlangsung.
Jika terdapat kesalahan dalam penyampaian saya ini, diharapkan dapat memperbetulkan saya.
Jika artikel ini sesuatu yang baik dan bermanfaat, saya gembira dengan itu.
Marilah kita bersama-sama meningkatkan sukan mengilat tanah air negara kita!
Discover more from Inchenaim
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Tinggalkan Komen Anda..
Ada facebook tak sebab senang nak berhubung
Terima kasih bro.. dah lama saya mencari artikel yg agak sempurna mcam ni. Teruskan menulis. #baru nak berjinak dengan dunia cast????
Sama-sama tuan. Saya masih dalam proses belajar ilmu memancing. Jadi sama-samalah kita saling bertunjuk ajar ☺️
pemancing mcm ni la yg kite mahu.sentiase berfikir dlm mendalami ilmu memancing. series terbaik bro ! gua ikut semua lu punye blog
Saya masih dalam proses belajar tuan
Terima kasih sudi membaca perkongsian saya. :-)
Terbaik brader ni..nak trun blaja bole…hehehe
Saya pun nubis kubis juga tuan. :’D
sangat bermanfaat tuan..bnyk tips saya dpt dri blog tuan ni..tQ sngt2..info yg bermanfaat
Sama-sama tuan.
Semoga sedikit sebanyak dapat menolong tuan :)