Kepentingan Tenaga Sosial Untuk Hidup Lebih Bahagia

tenaga sosial

Kita mungkin berfikir yang kita hanya memberikan manfaat dan berkhidmat kepada orang lain jika kita produktif secara sosial.

Namun, menjadi produktif sosial sebenarnya membantu kita mendapat tenaga yang amat diperlukan iaitu tenaga sosial (social energy)

Apa itu tenaga sosial?

Menurut Scott H. Young, tenaga sosial datang apabila kita meluangkan masa dengan orang lain dalam persekitaran yang merangsang.

Fikirkan bila masa terakhir kita terlibat dalam projek yang melibatkan orang lain?

Tidak kira betapa bosan atau menarik pun projek itu, tenaga yang kita rasakan apabila bekerja secara berpasukan itu sudah tentu menjadikan kita terus bergerak dan bekerja.

Saya mula menghargai kepentingan tenaga sosial apabila saya kerap bekerja secara bersendirian.

Saya mula terasa produktiviti saya jatuh apabila saya berkelakuan seperti seorang introvert dan cuba membuat sendiri semua benda.

Untuk keluar daripada keadaan itu, saya perlukan satu panggilan telefon atau seorang kawan, atau bertemu ibu-bapa murid, dan serta-merta akan terasa terus bertenaga dan seronok dengan kerja yang dibuat.

Saya adalah seorang introvert.

Namun saya percaya bahawa tenaga sosial diperlukan oleh introvert dan extrovert (walaupun keperluan introvert mungkin kurang).

Bahkan, seorang introvert perlu menjadi lebih proaktif dan mencari tenaga sosial kerana mereka kurang peka  tentang keperluan mereka terhadap tenaga ini.

Tenaga sosial membantu meningkatkan produktiviti kita dengan membekalkan persekitaran yang merangsang untuk kita berbincang tentang idea, kerja dan cabaran dengan orang yang kita serasi.

Namun, jika kita tidak mengurus tenaga sosial dengan baik, kita mungkin akan terperangkap dalam persekitaran yang kaku (tiada motivasi) dengan manusia-manusia yang mengalih perhatian kita daripada kerja-kerja produktif.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Tenaga Sosial?

Kita mungkin menyangka bahawa cara untuk mendapatkan lebih tenaga sosial adalah hanya dengan bercampur dengan masyarakat.

Pada satu peringkat, ya, itu benar.

Namun kita perlu membina struktur sosial yang betul dalam hidup supaya kita sentiasa mendapat tenaga sosial yang positif dan bukannya yang negatif

Begini cara melakukannya:

1. Iktiraf keperluan tenaga sosial kita.

Langkah pertama adalah menyedari bahawa kita perlu meluangkan lebih banyak masa dengan orang lain dan menyedari bahawa kebosanan dan kekurangan tenaga kita adalah disebabkan kekurangan rangsangan sosial dalam hidup kita.


2. Pilih dengan siapa yang kita mahu berhubung.

Terdapat empat kategori manusia yang mungkin kita boleh dapatkan tenaga sosial daripada mereka:

  • Keluarga
  • Rakan-rakan
  • Rakan sekerja atau golongan profesional
  • Mentor atau penasihat

Saya memanggil mereka ini sebagai “lembaga penasihat” yang saya sangat hormati dan saya boleh berhubung dengan mereka pada bila-bila masa bagi mendapatkan nasihat yang baik, tenaga sosial serta motivasi yang amat diperlukan.

Jadi, fikirkan tentang mereka yang kita kenali dalam kalangan empat kategori ini dan mula berhubung dengan mereka secara lebih kerap.


3. Bina satu sistem untuk mendapatkan tenaga sosial secara kerap

Fikirkan tentang membuat pertemuan di atas atau diluar talian sebegini dengan empat kategori manusia dalam hidup kita yang telah saya sebutkan tadi.

Sama ada ia berbentuk harian seperti makan malam keluarga, bertemu sebulan sekali dengan kawan-kawan atau berhubung secara online.

Apa sahaja aplikasi yang kita ada, kekalkan ia – maka kita tidak akan mengalami kekurangan tenaga sosial lagi selepas itu.

Ingat, kita tidak akan terus mendapat tenaga sosial sebaik sahaja kita mahukannya.

Jika kita tidak menyediakan suatu sistem untuk menerima tenaga sosial dalam hidup kita terlebih dahulu, kita akan terasa kekurangan tenaga.

Bagaimana Islam Menyediakan Kita Untuk Sentiasa Dapat Menerima Tenaga Sosial

Keindahan agama ini adalah sistem dalamannya (in-built system) yang membantu kita hidup secara lebih produktif dengan membantu kita menerima tenaga sosial.

Ini adalah bagaimana Islam membantu kita:

Ini adalah bagaimana Islam membantu kita:

1. Kedatangan yang berterusan ke masjid

Jika kita solat lima waktu sehari di masjid, kita akan mendapat tenaga sosial sekurang-kurangnya lima kali sahari dengan saudara-saudara muslim kita.

Pertemuan ini membantu mengekalkan hubungan tersebut.

Maka kita juga mempunyai peluang untuk bercakap dengan mereka, sama ada sebelum atau selepas solat yang mungkin memberikan kita pelbagai idea baru dan merangsang tenaga kita.


2. Galakan untuk berbuat baik kepada jiran tetangga

Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita bukan sahaja untuk tidak berbuat jahat kepada jiran tetangga, bahkan juga untuk berbuat baik kepada mereka.

Abu Dzar meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

Abu Dzar, apabila kamu menyediakan sup, tambah air ke dalamnya dan berikan kepada jiranmu (sebagai hadiah)

Muslim

Perlakuan ini digalakkan tanpa mengira siapa pun jiran atau apa pun kepercayaan mereka.

Sepertimana yang diriwayatkan Abdullah bin Amar bin al-‘As RA:

Abdullah bin Amar menyembelih seekor kambing dan berkata:“Sudahkah kamu memberikan sebahagian daripadanya kepada jiranku, si yahudi, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW berkata: ‘Jibril sentiasa memuji jiran kepadaku sehingga aku menganggap ia mahu menjadikannya sebagai pewaris.’

Abu Daud


3. Galakan memenuhi jemputan, melawat si sakit dan menghadiri majlis pengebumian

Islam menggalakkan kita untuk menyertai acara sosial.

Abu Hurairah RA melaporkan Rasulullah SAW bersabda:

“Terdapat enam hak bagi seorang muslim kepada muslim yang lain”.

Dikatakan kepadanya: “Rasulullah, apakah ia?”

Lalu baginda berkata: “Apabila kamu menemuinya, kamu memberikan salam; apabila ia menjemput mu ke kenduri kamu menerimanya. Apabila ia meminta nasihatmu kamu memberinya, dan apabila ia bersin dan berkata, ‘Alhamdulillah,’ kamu berkata ‘YarhamukAllah’ (semoga Allah mengasihanimu); dan apabila ia jatuh sakit kamu melawatnya; dan apabila ia meninggal dunia kamu mengikuti jenazahnya”

Muslim


4. Galakan etika sosial dan mengelak salah laku sosial

Seperti yang kita tahu, menjadi sebahagian masyarakat datang dengan elemen negatifnya termasuk salah faham, tidak percaya antara satu sama lain dan retaknya hubungan.

Inilah sebabnya mengapa Islam begitu tegas dengan apa jua perkara yang boleh menyebabkan keretakan hubungan antara manusia.

Allah berfirman di dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah al-Hujuraat ayat 11-13

Ketiga-tiga ayat diatas dikira sebagai asas kepada etika sosial islam dan ia memberitahu perkara yang boleh memusnahkan hubungan sosial seperti memanggil dengan gelaran buruk, membuat fitnah, mengumpat dan sikap rasis.

Jika kita dapat mengawal diri kita daripada elemen jahat yang disebutkan ini, maka ia akan mempunyai interaksi sosial yang lebih selesa dan senang serta tiada sebarang kerisauan dan tekanan sosial apabila berada bersama manusia.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda:

Berhati-hatilah dengan sangkaan. Sangkaan adalah ucapan yang paling tidak benar. Jangan mengintai-intai dan jangan mencuri dengar. Jangan bertanding antara satu sama lain dan jangan mendengki antara satu sama lain dan jangan membenci antara satu sama lain dan jangan mengherdik antara satu sama lain. Jadilah hamba Allah wahai saudara-saudaraku”

Muwatta’ Imam Malik

Cara fikir ini akan menggalakkan kita untuk sentiasa mendapat tenaga sosial.


5. Galakan untuk makan dengan orang ramai

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Makanlah beramai-ramai kerana keberkatan adalah pada jamaah”.

Dalam hadis lain, baginda bersabda:

Sesiapa yang mempunyai cukup makanan untuk dua orang, patut menjemput orang ketiga, dan sesiapa yang mempunyai makanan yang cukup untuk empat orang, patut menjemput orang kelima atau keenam (atau baginda berkata sesuatu yang lebih kurang sama)

— Bukhari

Hidup di bandar, jauh dari kampung serta kejiranan, kita telah kehilangan hubungan dengan jiran tetangga dan konsep hidup dalam komuniti.

Semua orang menjaga diri dan keluarga masing-masing.

Menjemput tetamu ke rumah menjadi suatu beban dan gangguan kepada ramai berbanding suatu keberkatan.

Ini berlawanan dengan tradisi Islam dan ajarannya.

Kita tahu bahawa Ibrahim AS tidak akan makan melainkan ada seseorang yang dijemputnya.

Nabi Muhammad SAW akan duduk makan bersama orang-orang miskin walau betapa ringkasnya makanan tersebut.

Penutup

Semua yang di atas ini jelas mencerminkan bagaimana Islam terbina di atas komuniti dengan sistem yang boleh menghubungkan dan menguatkan kita semula.

Tujuan utama kepada keakraban ini adalah untuk membawa kesatuan dan keharmonian dalam komuniti.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Perumpamaan orang-orang beriman dalam cinta sesama mereka, belas kasihan dan cinta ialah ibarat satu tubuh; apabila sebahagian daripadanya sakit, anggota yang lain turut berasa tidak selesa dan demam.”

Bukhari dan Muslim

Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Ida
Ida
4 tahun yang lalu

Terima kasih beri inspirasi.

Aizz
Aizz
6 tahun yang lalu

Artikel yang menarik????????