Adakah anda tidur tanpa sebarang persediaan?
Sebenarnya, membuat persediaan sebelum tidur dan selepas tidur adalah penting.
Dari sudut pandang rohani, seorang muslim sepatutnya melihat perbuatan tidur itu sebagai suatu ritual yang mereka lakukan pada malam hari seperti solat atau apa jua ibadah lain.
Ini bermakna, kita perlu memikirkan niat kita ketika tidur, serta melakukan sesetengah perbuatan sebelum dan selepas tidur.
Niat Tidur Kerana Allah
Kita telah bercakap mengenai niat dalam artikel sebelum ini berkaitan kepentingan tidur untuk akhirat dan bagaimana ia dapat digunakan untuk menyembah Allah dengan lebih baik.
Ini mungkin kelihatan seperti perkara remeh namun ia mempunyai kesan yang hebat kepada tidur kita.
Cubalah malam ini, niatkan dalam hati bahawa tidur ini adalah kerana Allah dan mahu bangun untuk beribadat kepada-Nya.
Jika kita melakukan perkara ini (berwuduk, solat sebelum tidur dan berdoa dengan doa tertentu), kita akan mendapat keberkatan (produktiviti spiritual) dalam tidur kita dan meningkatkan kualitinya, InsyaaAllah.
Tambahkan dengan doa-doa yang kita perlukan ketika kita bangun tidur, maka keseluruhan tidur kita akan diberkati.
Amalan Sebelum Tidur
Rasulullah SAW menggalakkan beberapa perbuatan sebelum tidur.
Ini termasuk:
1. Berwuduk Sebelum Tidur
Kepentingan perkara ini ada dua sudut.
Pertamanya, terdapat hadis di mana Rasulullah SAW berkata:
Sucikan tubuh-tubuh ini dan Allah akan menyucikanmu. Ketika mana seorang hamba meluangkan masanya dalam keadaan bersuci, malaikat meluangkan malamnya di dalam rambut (hamba) tersebut dan ia tidaklah ia berpaling pada malam itu kecuali dia (malaikat tersebut) berkata: “Ya Allah ampuni hambamu kerana ia tidur dalam keadaan bersuci”
— Tabarani
Keduanya, ritual ini adalah persediaan kepada kemungkinan mati di dalam tidur.
Jadi seperti mana seorang yang meninggal dunia – dibersihkan dan dimandikan sebelum ditanam – seseorang tidur dengan membersihkan dirinya, menyediakan rohnya untuk bertemu Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
Bila kamu tidur, berwuduklah seperti kamu lakukan untuk solat, berbaring di atas kananmu dan katakan: ‘Ya Allah! Aku menyerah kepada-Mu dan aku serahkan segala urusanku kepada-Mu dan aku bergantung pada-Mu untuk keberkatan-Mu kedua-duanya dengan harapan dan ketakutan kepada-Mu. Tiada dapat melarikan diri daripada-Mu ya Allah! Aku percaya kepada Kitab-Mu yang telah Engkau wahyukan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau hantar’. Dan jika kamu meninggal dunia pada malam itu, kamu akan meninggal dalam keimanan. Jadikan kata-kata di atas kata-kata terakhirmu (sebelum tidur).
— Bukhari
2. Solat Witir Sebelum Tidur
Terdapat salah faham bahawa solat malam (solat sunat) dan witir hanya boleh dilakukan pada sepertiga malam terakhir sebelum Subuh.
Ini menyebabkan ramai orang menjadi tidak bersemangat dan tidak mencuba untuk melakukannya.
Sebenarnya, masa untuk solat malam dan witir boleh bermula selepas Isyak sehinggalah waktu subuh.
Aisyah meriwayatkan:
Pesuruh Allah melakukan solat witir pada setiap bahagian malam, pada permulaan, pertengahan dan waktu akhir. Namun, baginda akan menyudahkan witirnya sebelum subuh”
— Bukhari dan Muslim
Yang sebenar, adalah lebih baik jika seseorang dapat tidur dan bangun semula pada pukul 3.00 pagi untuk melakukan solat tahajud dan witir.
Tetapi jika ini dirasakan berat, saya mengesyorkan untuk kita mula bersolat malam (solat sunat selain tahajud) dan witir sebelum kita tidur, walaupun ia cuma dua rakaat solat sunat dan tiga rakaat solat witir.
Solat sebelum tidur akan menambahkan lagi kerehatan dan ketenangan sebelum kita tidur dan memudahkan proses untuk kita tidur.
Abu Hurairah meriwatkan:
Sahabatku (Nabi Muhammad SAW) telah mengarahkan aku untuk melaksanakan tiga perkara: tiga hari puasa setiap bulan, dua rakaat solat dhuha dan melaksanakan witir sebelum tidur
— Muslim
- Jika anda tidak tahu cara untuk mengerjakan solat sunat witir, anda boleh merujuk panduan lengkap ini berkenaan solat sunat witir
3. Doa Sebelum Tidur
Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita doa-doa khusus untuk dibaca sebelum tidur yang mana ia mengingatkan kita bahawa tidur itu adalah saudara kepada kematian.
— tentang kuasa Allah ke atas kita dan dan semua urusan kita, serta untuk mengesahkan (reaffirm) keimanan kita kepada-Nya.
Kita boleh mendapatkan semua doa ini dalam pelbagai sumber.
- Anda boleh merujuk panduan ini untuk membaca doa asas sebelum tidur: Doa Sebelum Tidur
- Jika anda mengalami masalah sukar tidur, ini adalah doa mengatasi masalah tersebut: Doa agar mudah tidur
Amalan Selepas Tidur
Sebagaimana kita melihat tidur itu sebagai suatu bentuk ibadat, kita harus sentiasa ingat bahawa seperti juga solat, tidur juga mempunyai beberapa amalan yang perlu dilakukan sebelum dan SELEPASnya.
1. Doa Selepas Tidur
Sangat menarik keadaan minda manusia semasa bangun daripada tidur; terasa tidak stabil dan masih letih.
Ini apa yang dipanggil sebagai inertia tidur (sleep inertia) dan ia boleh berlaku selama beberapa minit sehingga beberapa jam, bergantung kepada orang tersebut.
Salah satu cara spiritual untuk bebas daripada inertia tidur adalah dengan membaca zikir dan doa Rasulullah SAW ajarkan kepada kita selepas bangun dari tidur.
Dengan menghayati makna doa-doa ini, kita akan menyedari bahawa semuanya mengingatkan kita berkenaan tujuan kita, nilai, serta menggalakkan kita agar bersabar dan bertahan dalam hidup (suatu cara positif dan hebat untuk memulakan hari kita)
- Anda boleh merujuk doa bangun tidur pada panduan doa ini: Doa Bangun Tidur
2. Baca 10 Ayat Terakhir Surah al-Imran
Sewaktu bangun tidur, Nabi Muhammad SAW akan menyapu mukanya dengan tangannya dan baginda akan membacakan sepuluh ayat terakhir Surah al-Imran.
Ayat-ayat ini membantu memperbaharui komitmen kepada Allah dan ayat terakhir khususnya mengingatkan orang mukmin untuk bersabar dan bertahan:
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
— Surah al-Imran ayat 200
3. Berwuduk
Ini adalah satu lagi cara untuk membebaskan diri daripada mengantuk selepas bangun tidur.
Membasuh anggota tubuh dengan ada niat dan mengambil wuduk bukan sahaja menyegarkan, bahkan ia juga mencergaskan minta kerana kita berwuduk dengan niat.
Mengikut sunnah Rasulullah SAW akan membantu untuk membawa keberkatan dalam hidup kita.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
Syaitan meletakkan tiga simpulan di belakang seseorang daripada kamu ketika kamu tidur.
Pada setiap simpulan ia membaca dan meniup kata-kata berikut, ‘Malam adalah panjang, jadi tidurlah.’
Apabila dia terjaga dan mengingati Allah, satu simpulan putus; apabila dia mengambil wuduk, satu simpulan lagi putus; dan ketika dia solat simpulan ketiga putus dan dia bangun dengan bertenaga dan hati yang baik pada waktu pagi; jika tidak, seseorang itu bangun dengan malas dan hati yang tidak baik”
— HR Bukhari
Penutup
Tidur adalah satu aktiviti yang kita lakukan setiap hari
Secara purata, kita semua akan menghabiskan 36 peratus masa dalam dalam hidup dengan tidur
Untuk satu pertiga masa kita di dunia, kita bertukar daripada makhluk yang aktif pada siang hari kepada keadaan hibernasi yang tidak berdaya.
Sebab itu pentingnya untuk kita membuat persediaan sebelum tidur dan selepas tidur.
InsyaaAllah amalan-amalan ini akan membantu memulihkan kecergasan fizikal badan dan akal fikiran, serta memberi impak yang baik setelah kita bangun nanti.
Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.
Tinggalkan Komen Anda..