Tuhan, Siapa Lagi Yang Aku Ada SelainMu?

Foto hitam putih seorang lelaki berkopiah membaca al-Quran, dengan teks ‘be with the truth, even if you are alone’

Ada ketikanya, hidup menghimpit kita ke satu sudut yang paling sempit.

Masa itu, kita pandang ke kiri dan ke kanan, mencari tangan untuk dipegang. Kita bercerita kepada manusia, berharap mereka faham akan beratnya beban yang sedang menekan dada.

Tetapi hakikatnya, walau sebesar mana pun cinta manusia kepada kita, pemahaman mereka tetap ada batasnya.

Akhirnya, dalam lelah dan air mata yang gugur di atas sejadah, hanya satu rintihan yang mampu terluah dari bibir:

“Tuhanku, siapa lagi yang aku ada selainMu?”

Dalam suka mahupun duka, hanya Tuhan yang benar-benar mengerti keadaan kita secara tulus dan menyeluruh.

Bayangkan sejenak, jika orang yang paling kita sayang sedang bersedih, pasti kita sanggup buat apa sahaja untuk menyembuhkan lukanya, bukan?

Jika manusia yang serba kekurangan pun sanggup berkorban sedemikian rupa, apatah lagi Tuhan yang Maha Pengasih.

Bantuan dan sokongan yang datang daripada-Nya sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan apa yang mampu ditawarkan oleh dunia.

Dia tidak pernah meninggalkan hamba yang disayangi-Nya keseorangan dalam gelap.

Tuhan telah membentangkan satu janji yang cukup memujuk jiwa menerusi firman-Nya:

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)…”[1]

Janji ini adalah sauh kepada jiwa kita yang sedang karam. Bila Tuhan kata Dia akan cukupkan, maka Dia benar-benar akan cukupkan.

Namun, kita ini manusia yang selalu tergesa-gesa. Ada kalanya kita rasa seperti doa kita tergantung di langit. Kita merintih setiap malam, merayu jalan keluar, tetapi jawapannya seakan-akan ditangguhkan.

Kenapa?

Kerana percaturan, pengetahuan, dan aturan masa Tuhan itu menjangkaui akal kita yang terhad. Kita tidak nampak apa yang ada di hujung jalan, tetapi Tuhan melihat keseluruhannya.

Dalam hal ini, Ibnu al-Jawzi rahimahullah meninggalkan satu pesanan yang sangat lembut untuk kita yang sering rasa kecewa apabila doa lambat terjawab:

“Jika engkau bertaubat dan berdoa tetapi ia belum dimakbulkan, renungkanlah kembali keadaan dirimu. Mungkin taubatmu itu belum benar-benar sempurna, maka berusahalah untuk melengkapkannya.

Kemudian, teruskan berdoa dan jangan sesekali merasa penat. Kerana mungkin penangguhan jawapan itu adalah yang terbaik buatmu, atau mungkin lebih baik untuk ia tidak dimakbulkan langsung. Dengan cara ini, engkau sebenarnya sedang mengumpul ganjaran pahala, dan engkau akan dimakbulkan menerusi sesuatu yang lebih memberi manfaat. Mungkin juga engkau tidak mendapat apa yang engkau minta, tetapi digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik.”[2]

Kadang-kadang, Tuhan tidak memberi apa yang kita mahu hari ini, kerana Dia sedang menyediakan sesuatu yang lebih kita perlukan untuk hari esok.

Teruskan berdoa. Teruskan mengetuk pintu langit tanpa jemu.

Dan apabila tiba saat di mana kita rasa segala-galanya seolah-olah sudah tertutup rapat, kembalilah kepada satu keyakinan yang paling asas bagi seorang hamba:

Cukuplah Allah bagi kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung.

Rujukan

  1. Terjemahan mafhum Surah At-Talaq, ayat 2–3. ↩︎
  2. Dipetik daripada himpunan mutiara kata Ibnu al-Jawzi. Rujukan menerusi naskhah The Sayings of Ibn al-Jawzi, susunan dan terjemahan Ikram Hawramani. ↩︎

Tinggalkan Komen Anda..