Panduan Lengkap Memilih Reel Baitcaster

z2020 secondhand

Ini adalah panduan lengkap memilih baitcaster untuk pemula.

Artikel ini pada mulanya adalah nota panduan untuk diri saya sendiri semasa membeli reel. Tetapi saya ambil keputusan untuk kongsikan kepada umum di blog.

InsyaAllah saya cuba sediakan panduan yang lengkap dan terperinci untuk membantu kita memilih baitcaster terbaik sesuai dengan budjet dan keperluan.

Jika ini nota yang anda perlukan, mari kita mulakan..

Apa yang membuatkan kita berminat dengan reel baitcaster?

Tidak dinafikan, bila kita sudah mula obses dengan dunia casting, pasti lambat laun kita akan memerlukan kekili baitcaster.

Kekili baitcaster (BC) dicipta untuk mereka yang mahukan lebih kawalan dan ketepatan terhadap lontaran.

Ia juga lebih kuat untuk mengendalikan gewang bersaiz besar, selaman dalam dan spinnerbait yang besar lagi berat.

Dalam artikel ini, kita akan melihat kelebihan menggunakan BC dan perkara-perkara yang perlu dilihat dalam memilih baitcaster terbaik.

Kelebihan Menggunakan Reel Baitcaster

baitcaster daiwa z2020

Apakah kelebihan menggunakan baitcaster berbanding kekili mendatar?

Kekili baitcaster pada hari ini tidak hanya menawarkan rupa yang cantik dan selesa digenggam pada tangan; malah ia juga turut menawarkan beberapa kelebihan.

Antaranya adalah:

1. Penggunaan tali yang lebih kasar.


Penggunaan tali yang kasar dan berkekuatan tinggi lebih sesuai digunakan pada reel baitcaster.

Reka bentuk baitcaster membolehkan ia mengendalikan tali yang keras dan tebal seperti tali fluorocarbon tanpa masalah kerana tidak wujud geseran dan line coil seperti kekili spinning.

2. Mengelakkan tali berpintal


Masalah tali berpintal (wind knot) sering berlaku pada kekili mendatar.

Disebabkan rekabentuk baitcaster yang menggulung tali secara tegak  dan lurus, masalah tali berpintal tidak wujud.

Lagi pun jika ibu jari kita sudah terbiasa mengawal kelajuan gelendung, masalah tali berpintal atau backlash pasti sangat jarang berlaku.

 

3. Sesuai untuk gewang besar dan dalam


Baitcaster sangat bagus untuk penggunaan gewang yang bersaiz besar dan berat.

Ia juga sesuai untuk gewang selaman dalam.

Mengapa?

Sebab secara fizik, rekabentuk baitcaster adalah lebih kukuh dan tegap.

Shaft, gear dan spool dalam bc bersambung secara direct dan linear dengan pengayuh, menjana cranking power yang efektif.

Jadi bila anda membuat kayuhan, tenaga putaran pada handle akan dipindahkan secara “terus” kepada gear, dan kemudian kepada spool.

Sebab itulah baitcaster lebih kuat.

 

4. Kawalan & ketepatan lontaran


Mengapa baitcaster menjadi pilihan ramai caster?

Pertama:

Sebabnya kita mendapat kawalan penuh dari segala aspek.

Secara analoginya, baitcaster boleh dianggap seperti kereta manual manakala kekili spinning adalah seperti kereta auto.

Semasa lontaran, ibu jari memainkan peranan mengawal halaju spool membolehkan kita memperlahankan atau memberhentikan gewang dan menjatuhkan ia dimana sahaja yang kita mahu.

Kedua:

Baitcaster dilengkapi dengan sistem brek yang sangat membantu proses kawalan gewang.

Dengan setting brek yang betul, penggunaan gewang yang ringan bukanlah masalah.

Malah ia juga akan membantu gewang mencecah air dengan lembut dan lebih senyap.

Bahkan, bagi pemancing berpengalaman, mereka mampu membuat lontaran yang jauh dengan baitcaster.

5. Customization / tuning


Antara kelebihan baitcaster yang menjadi kegemaran pemancing adalah ia boleh dimodifikasi mengikut citarasa kita.

Modifikasi mempunyai dua tujuan, iaitu:

  1. Meningkatkan prestasi reel
  2. Meningkatkan paras rupa

Terdapat banyak part pada baitcaster yang boleh kita custom dari sekecil-kecil bearing, handle sehinggalah kepada pelbagai jenis spool.

Cuba singgah dilaman web Hedgehog Studio, anda pasti rambang mata melihat pelbagai aksesori.

 

Perkara yang harus dipertimbangkan bila memilih Baitcaster

baitcaster shimano calcutta conquest 101

Memilih baitcaster yang terbaik memang mengambil masa dan memerlukan kesabaran.

BC yang baik sepatutnya menawarkan prestasi yang lancar dan mempunyai kekukuhan serta ketahanan yang baik.

Di bawah ini adalah beberapa faktor yang harus dipertimbangkan dalam memilih BC yang sesuai dan sempurna:

1. Tentukan Jenis Kategori Game Anda


Tidak semua baitcaster dicipta dengan spesifikasi yang sama.

Secara asasnya, tiada BC yang mampu memenuhi semua jenis kaedah atau kaedah memancing.

Setiap BC dicipta mengikut tugasan tertentu.

Umumnya kategori BC terbahagi kepada:

  • Finesse
  • Light game
  • Medium game
  • Heavy game

Oleh itu, pilihlah berdasarkan keperluan anda.

Jika menggunakan BC yang tidak sesuai, selain dari membuatkan rasa tak seronok lantaran peralatan tak sesuai, ia juga akan turut mengundang kerosakan pada BC tersebut.

Contohnya anda menggunakan BC kelas heavy seperti Daiwa Z2020 untuk melontar gewang seberat 2 gram. Mustahil bukan?

Selain itu, jika anda ingin menggunakan BC tersebut di air masin, pastikan ia dicatat SW approved oleh pengilang.

2. Pilih Gear Ratio Tepat — Ia Menentukan Kuasa Baitcaster


Apakah yang kita faham dengan gear ratio?

Gear ratio sangat berguna untuk kita mengira berapa banyak gelendung berpusing dengan satu putaran lengkap pengayuh.

Sebagai contoh, kebanyakkan BC biasanya mempunyai ratio 6.4:1.

Ia membawa maksud dengan setiap satu putaran pengayuh, gelendung akan berputar sebanyak 6.4 kali.

  1 putaran pengayuh = 6.4 putaran gelendung  

 

Jadi, apakah kepentingan gear ratio?

— Gear ratio memberitahu kita tentang kuasa yang terdapat pada BC tersebut.

Ia penting untuk menentukan sama ada BC tersebut sesuai atau tidak dengan teknik pancingan tertentu.

Dibawah saya sertakan ratio gear mengikut kebanyakan baitcaster pada waktu sekarang:

Ratio Gear Kategori
 5.1:1 sehingga 5.4:1 Perlahan / rendah
6.1:1 sehingga 6.4:1 Sederhana
7.1:1 dan keatas Laju / tinggi

Secara mudah, gear ratio boleh disamakan dengan sistem transmisi kereta.

Gear ratio rendah adalah umpama gear 1 dan 2, dimana ia adalah lebih berkuasa kerana gear rendah menjana tork yang besar untuk mengatasi inersia.

Setelah kereta sudah bergerak, lebih mudah untuk meningkatkan gear kepada lebih tinggi seperti gear 3, 4 dan 5.

Kita harus faham bahawa:

  • Gear ratio rendah dicipta untuk kekuatan, dan gear ratio tinggi dicipta untuk kelajuan.

Cuba kita memandu kereta bermula dengan gear 4 dan lihat apa yang akan terjadi.

gear ratio baitcaster

Dalam dunia casting, sesetengah teknik memerlukan pemilihan gear ratio yang tepat.

Apabila menggunakan gewang yang mempunyai rintangan air yang tinggi seperti gewang selaman dalam, pilihan yang ideal adalah reel yang mempunyai gear ratio yang rendah.

Untuk teknik yang memerlukan karauan pantas seperti gewang top water, gear ratio yang tinggi adalah lebih efektif selagi gewang tersebut tidak mewujudkan rintangan air yang besar.

Ia akan memudahkan kerja kita tanpa membuatkan anda penat.

Kuncinya disini, pilih gear ratio untuk BC anda berdasarkan teknik yang kita ingin gunakan.

 

3. Inch Per Turn (IPT) — Menentukan Kelajuan Baitcaster Menyimpan Tali


IPT baitcaster
IPT (inch per turn) adalah maklumat penting untuk melihat kelajuan sesebuah baitcaster

Gear ratio sahaja adalah bukan penentu kepada kepantasan reel tersebut.

Ia baru separuh cerita boh.

Faktor seterusnya yang kita harus lihat adalah IPT, iaitu ukuran “inch per turn” atau berapa inci tali akan digulung setiap kali putaran.

IPT dipengaruhi oleh saiz spool pada reel.

Semakin besar diameter spool, maka semakin banyak dapat digulung dalam satu putaran lengkap.

Sebagai perbandingan:

Dua biji BC yang mempunyai gear ratio yang sama, tetapi berlainan saiz spool akan menggulung tali pada kadar IPT yang berbeza.

Contoh

Reel A mempunyai gear ratio 4.4:1 (dengan gelendung berdiameter 2 inci) menggulung tali sebanyak 19.5 inci untuk setiap satu putaran pengayuh.

Satu lagi reel B mempunyai gear ratio 6.2:1 (dengan gelendung berdiameter 1.5 inci) menggulung tali sebanyak 13.8 inci untuk setiap satu putaran pengayuh.

Jadi anda rasa reel mana yang lebih laju? A atau B?

Reel B, walaupun mempunyai gear ratio 6.2:1 yang dianggap high-speed, tetapi reel A menggerakkan gewang lebih laju berdasarkan IPT.

*Sudah pasti jika reel B dipasang gelendung berdiameter 2 inci ia akan menjadi lebih pantas.

Pointnya disini adalah, untuk membuat perbandingan dalam pemilihan reel, mengambil kira faktor gear ratio sahaja adalah tidak cukup..

.. anda juga perlu mengambil kira IPT untuk melihat kadar kelajuan tali digulung masuk.

 

4. Tentukan Keselesaan Mengendalikan Reel Tersebut


Keselesaan adalah kunci dalam pemilihan BC yang baik.

Jika kita membeli BC yang tidak selesa di tangan, ia akan menjadi gangguan yang besar terhadap tumpuan kita semasa casting.

Genggaman yang selesa dan kombinasi rod-reel yang seimbang akan membantu kita melontar dengan lebih tepat, terutamanya setelah kita melakukan beratus kali balingan dalam satu trip.

daiwa z2020
Jika baitcaster tersebut cukup selesa dalam genggaman anda, maka tiada apa yang dapat menghalang anda melakukan pelbagai teknik..

Ambil masa untuk membelek beberapa reel.

Cuba rasa mekanisma thumb bar, tension knob, kelembutan putaran, dan ciri-ciri yang lain.

Adakah ia terlalu berat? Adakah ia terlalu besar?

Ini akan memberi kita perspektif yang lengkap terhadap pilihan-pilihan yang ada.

Jika anda membeli secara online, ia mungkin menjadi satu masalah memandangkan anda tidak dapat merasai sendiri reel tersebut terlebih dahulu.

 

5. Berapa Kekuatan Drag?


Drag adalah elemen penting dalam sesebuah reel, terutamanya jika kita memburu spesis yang kuat dan ‘keras kepala’ seperti kerapu.

Sistem drag yang bagus bukan sahaja perlu kuat, malah ia juga perlu lancar dan tidak tersekat-sekat.

Mengetahui kekuatan maximum drag akan membantu kita menentukan kesesuaian reel untuk lubuk tertentu dan padanan joran yang sesuai.

 

6. Apakah Jenis Sistem Brek Yang Digunakan?


Ini adalah sistem yang terpenting dalam sesebuat baitcaster.

Terdapat dua jenis sistem brek yang biasa ditemui dalam baitcaster.

Shimano terkenal dengan sistem emparan (centrifugal brake), manakala Daiwa pula menggunakan sistem magnetik.

Sesetengah reel pula menggabungkan dua jenis sistem brake ini.

Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi apa yang penting adalah sistem brek yang baik dapat mengelakkan backlash 1 dengan efektif..

Sistem brek yang baik juga akan membuatkan gewang jatuh dengan lembut semasa lontaran.

Sistem brek yang teruk bukan sahaja membuatkan aktiviti memancing terbantut dan membuatkan mood spoil, malah ia turut membahayakan keselamatan.

Memahami Kod Yang Tertera Pada Reel

Kebanyakkan reel akan menyatakan kod-kod tertentu pada setiap model keluaran mereka.

Perkara ini mungkin mengelirukan kita jika tidak biasa dengan sesuatu brand.

Disini saya catatkan makna setiap dari kod tersebut:

Daiwa
  • TWS = T-Wing System
  • HLC = Hyper Long Cast
  • H = High Speed
  • HS =Hyper Speed
  • XS = Extra Hyper Speed
  • XXS = Super Extra Hyper Speed
  • P = Power Speed
  • SV = Stress-free Versatile
  • SH = Shallow High Speed
  • L = Left (contohnya HSL bermaksud Hyper Speed, Left)
  • LTD = limited edition
Abu Garcia
  • Ci4 = Carbon Interfusion
  • Mag = Magnetic
  • IVCB = Infinitely variable centrifugal brake
Shimano
  • XT = extra tuned
  • DC = Digital Control
  • HG = high gear
  • XG = extra high gear
  • PG = power gear
  • SW = salt water
  • S = shallow spool
  • C = compact body

 

Kepentingan Jenama (optional)

baitcaster daiwa steez Sesetengah orang tidak mementingkan jenama, namun bagi saya ia agak mustahak.

Antara jenama besar sejak sekian lama dalam dunia kekili baitcaster adalah Shimano, Daiwa dan Abu Garcia.

Setiap jenama mempunyai ciri-ciri tersendiri yang kita mungkin perlukan atau tidak, bergantung kepada gaya memancing kita.

Sesetengah jenama menawarkan kelebihan seperti lifetime warranti atau waranti yang lama (melebihi 1 tahun)

Tetapi terdapat dua sebab lain saya mementingkan jenama:

  1. Mudah mendapatkan sparepart jika berlaku kerosakan/hilang
  2. Mudah dijual balik

Pertama

Baitcaster adalah alat yang mempunyai banyak komponen yang bergerak.

Lama-kelamaan pasti bahagian-bahagian ini memerlukan penggantian. Malah kadangkala, sesetengah part juga boleh hilang/tercicir akibat kecuaian.

Oleh itu, jika kita menggunakan jenama yang popular, mencari alat ganti bukanlah satu masalah yang besar.

Kedua

Kemungkinan kita ingin menjual kembali BC.

Mungkin kerana ingin upgrade kepada BC yang lebih power atau atas sebab lain. Jika BC tersebut berjenama, pasarannya adalah lebih mudah kerana ramai pembeli.

Di Malaysia contohnya, jenama Daiwa cukup popular dalam pasaran dan sentiasa mendapat permintaan.

Berminat dengan reel terpakai?

reel bc terpakai
Photo oleh Hairil Mohd (Terminal Tackle)

Jika anda tidak kisah:

Salah satu cara menjimatkan wang untuk mendapatkan baitcaster idaman adalah mencari yang terpakai (secondhand)

Kebanyakkan reel terpakai dari Jepun, walaupun berstatus terpakai tetapi kondisinya masih seolah-olah seperti baru dan cantik.

Antara trusted seller dalam bidang ini adalah Sham Piman (lime bait) dan Terminal Tackle

Selain itu, anda juga boleh menjenguk-jenguk facebook group Geng Niaga Pancing 88.

Mana tahu ada orang nak letgo murah-murah..

Tetapi awas!

Jangan beli dengan orang yang meragukan. Berurusanlah dengan peniaga yang sudah diakui trusted seller.

Tanya je dalam grup GNP tu verified atau tidak.

 

Penutup: Ambil masa pilih yang terbaik

Memilih baitcaster pertama memang memeningkan memandangkan kita akan melaburkan sejumlah duit yang banyak.

Namun dengan mengambil kira beberapa faktor, ia akan memudahkan kita membuat keputusan yang tepat dan sesuai dengan keperluan.

Kaedah terbaik adalah tentukan terlebih dahulu bagaimana teknik yang anda hendak gunakan, kemudian senarai pendek list BC yang anda berkenan.

Kemudian buat sedikit research dan review mengenai BC tersebut, InsyaaAllah anda pasti tidak akan menyesal.

Jika ada kesalahan dalam artikel ini, mohon tuan perbetulkan saya dalam ruangan komen dibawah

guest
82 Comments
Inline Feedbacks
View all comments