Cara Penjagaan & Servis Reel Pancing: Panduan Lengkap

Reel spinning dan baitcaster bersama peralatan penjagaan di atas meja kayu

Reel selalunya nampak baik-baik sahaja sehinggalah satu hari handle terasa berat, drag mula tersekat atau bunyi kasar muncul ketika kita mengarau.

Untuk pemancing laut, masalahnya kerap bermula daripada perkara kecil: garam dibiarkan kering, pasir masuk ke celah komponen atau pelincir digunakan pada tempat yang salah.

Berita baiknya, kebanyakan kerosakan awal boleh dielakkan dengan rutin yang mudah.

Kita tak perlu membuka seluruh badan reel selepas setiap trip. Malah, terlalu kerap membuka reel tanpa alat dan pengetahuan yang sesuai boleh menimbulkan masalah baharu.

Dalam panduan ini kita akan belajar membezakan cuci rutin, servis ringan dan overhaul—kemudian melihat cara mencuci, melincir, menyimpan dan mengenal tanda reel perlu dihantar kepada juruteknik.

Fokus panduan ini: penjagaan selepas trip dan servis ringan yang selamat dibuat sendiri. Untuk persediaan sebelum memancing, rujuk panduan cara setting drag reel pancing

MULA DI SINI

Rutin Penjagaan Reel Selepas Trip

Kalau anda cuma mahu rutin paling selamat untuk diamalkan selepas memancing, ikut empat langkah ini:

  1. Buang kotoran kasar dahulu. Keluarkan pasir, lumpur dan sisa umpan tanpa menolaknya masuk ke celah reel.
  2. Bilas dengan lembut. Selepas memancing di laut, ketatkan drag sementara dan gunakan air tawar bertekanan rendah.
  3. Lap dan keringkan. Goncang perlahan, lap air dan letakkan reel di tempat teduh yang mempunyai aliran udara.
  4. Longgarkan drag. Lakukan selepas reel selesai dicuci dan sebelum ia disimpan.

Perkara paling penting adalah buang garam dengan lembut. Jangan rendam reel, gunakan jet air, air panas atau sembur pelincir serbaguna terus ke dalam badan reel. Nanti semakan jahanam reel anda nanti.

Bezakan Cuci Rutin, Servis Ringan dan Overhaul

Ramai pemancing menggunakan perkataan “servis” untuk semua kerja penjagaan. Sebenarnya, membilas garam di bahagian luar tidak sama dengan membuka gear dan menukar grease.

Cuci rutin

Ini kerja yang kita lakukan selepas trip: bilas, lap, keringkan dan periksa bahagian luar. Semua pemancing boleh melakukannya dan ia sangat penting selepas reel digunakan di laut.

Servis ringan

Servis ringan bermaksud membersihkan bahagian yang memang dibenarkan oleh manual, memeriksa skru atau bearing luaran dan meletakkan sedikit pelincir pada titik yang betul.

Overhaul

Overhaul melibatkan badan reel dileraikan, komponen dalaman dicuci serta gear, bearing dan drag diperiksa sebelum dipasang semula. Kerja ini lebih sesuai dibuat oleh juruteknik atau pusat servis.

Reel moden mempunyai washer, shim, spring, seal dan sistem anti-reverse yang sensitif. Kalau susunannya berubah atau pelincir tersalah tempat, reel yang asalnya masih elok boleh mula bermasalah.

Semak manual sebelum membuat apa-apa

Lokasi oil port, jenis grease dan bahagian yang boleh dibuka berbeza mengikut jenama serta model. Kaedah untuk spinning reel biasa tidak semestinya sesuai bagi baitcaster, overhead, reel elektrik atau reel yang menggunakan sistem kedapan khas. Jika arahan pengeluar bercanggah dengan panduan umum di sini, ikut manual reel anda.

Alatan Penjagaan Reel yang Selamat

Untuk rutin selepas trip, anda sebenarnya tidak memerlukan banyak barang. Sediakan satu bekas kecil supaya semua alat ini mudah dicapai:

  • Kain microfiber atau kain kapas yang bersih dan tidak berbulu.
  • Berus lembut seperti berus gigi baharu untuk kotoran di bahagian luar.
  • Air tawar sejuk atau pada suhu bilik.
  • Botol semburan yang menghasilkan mist lembut, jika tekanan paip terlalu kuat.
  • Cotton bud untuk kawasan luar yang sempit—bukan untuk menolak kotoran ke dalam bearing.
  • Minyak dan grease yang dinyatakan sesuai oleh pengeluar reel.
  • Dulang kecil atau bekas bertutup jika anda membuka spool atau handle.

Elakkan: petrol, thinner, brake cleaner, detergent kuat, penetrating lubricant, minyak masak, minyak enjin dan pelincir yang tidak diketahui kesesuaiannya terhadap plastik, getah, coating atau drag washer.

Cara Melindungi Reel Semasa Memancing

Penjagaan terbaik bermula sebelum reel perlu dicuci. Garam mempercepat kakisan, manakala pasir boleh bertindak seperti bahan penghakis pada gear, spool lip dan bahagian bergerak. Langkah mudah berikut banyak membantu:

  • Jangan letakkan reel atau set pancing terus di atas pasir. Gunakan rod holder, alas atau pegang pada bahagian rod.
  • Ketika bot bergerak, simpan set di bahagian yang kurang menerima percikan air masin.
  • Jika reel terkena pasir, jangan terus memusing handle. Buang pasir di permukaan dahulu supaya ia tidak ditarik masuk ke celah komponen.
  • Periksa drag, bail arm, handle dan skru yang jelas kelihatan sebelum mula memancing.
  • Jangan paksa handle apabila reel tersekat. Cari punca—tali terselit, pasir, bearing atau gear—sebelum menambah tekanan.

Drag pula sebaiknya ditetapkan sebelum trip, bukannya dilaras secara panik ketika ikan sedang membuat larian. Anda boleh membaca panduan lanjut dalam artikel cara setting drag reel pancing.

Cara Cuci Reel Selepas Memancing di Air Masin

Garam yang dibiarkan kering akan membentuk kristal pada spool, line roller, skru dan celah badan. Disebabkan itu, pengeluar seperti Daiwa dan Shimano menyarankan pembersihan asas selepas reel digunakan di laut.[1][2]

LANGKAH 01

Tanggalkan Aksesori dan Periksa Reel

Lakaran tangan mengemaskan tali dan memeriksa reel spinning

Tanggalkan lure, hook atau aksesori tajam terlebih dahulu. Jika mudah dilakukan, pisahkan reel daripada rod supaya bahagian reel foot boleh dibersihkan.

Periksa tali yang terselit di bawah spool, pasir pada handle dan kesan hentakan atau retak sebelum reel terkena air.

LANGKAH 02

Ketatkan Drag Buat Sementara

Lakaran mengetatkan knob drag reel sebelum mencuci

Ketatkan drag sebelum membilas supaya air kurang mudah memasuki susunan drag washer.

Ini hanyalah kedudukan sementara ketika mencuci—drag mesti dilonggarkan semula selepas air dibuang.

LANGKAH 03

Bilas dengan Air Tawar Bertekanan Rendah

Lakaran membilas reel dengan air tawar bertekanan rendah

Gunakan aliran air yang lembut atau semburan mist. Halakan pada permukaan luar, spool, line roller, reel foot, handle knob dan kawasan yang terdedah kepada garam.

Tujuannya ialah melarutkan serta membawa garam keluar—bukan memaksa air masuk melalui seal dan celah badan.

  • Jangan gunakan jet air atau pressure washer.
  • Jangan rendam seluruh reel di dalam baldi atau sinki.
  • Jangan gunakan air panas kerana ia boleh mengganggu grease dan bahan tertentu.
  • Jangan gunakan sabun atau detergent kecuali manual model membenarkannya.

LANGKAH 04

Buang Lebihan Air

Lakaran menggoncang perlahan dan mengelap lebihan air pada reel

Genggam reel dengan kemas dan goncang perlahan. Kemudian lap permukaan menggunakan kain bersih.

Jangan hentakkan butt rod ke lantai dan jangan gunakan compressed air kerana tekanan udara boleh menolak air lebih jauh ke dalam atau mengalihkan pelincir dari tempatnya.[3]

LANGKAH 05

Longgarkan Drag dan Keringkan

Lakaran melonggarkan drag dan mengeringkan reel dengan aliran udara

Selepas air berlebihan dibuang, longgarkan drag supaya washer tidak kekal termampat sepanjang penyimpanan.

Letakkan reel di kawasan teduh, kering dan mempunyai aliran udara. Kipas pada kelajuan biasa boleh membantu pengudaraan, tetapi elakkan hair dryer, heat gun dan cahaya matahari terik.

Perlukah handle dipusing ketika mencuci?

Arahan boleh berbeza mengikut reka bentuk. Sesetengah panduan meminta komponen tertentu tidak digerakkan ketika dibilas, manakala panduan lain menunjukkan bahagian bergerak dibersihkan secara terkawal. Pilihan paling selamat ialah ikut manual model dan elakkan memusing handle dengan laju ketika reel masih basah.

Petua mudah: selepas reel kering, pusing handle perlahan dan dengar bunyinya. Kalau putaran berubah daripada keadaan biasa, jangan terus menambah minyak—cari puncanya dahulu.

Bagaimana pula selepas memancing air tawar?

Air tawar tidak menghasilkan kristal garam, tetapi reel masih boleh terkena lumpur, pasir, sisa umpan dan kelembapan. Jika reel hanya berhabuk ringan, lap menggunakan kain lembap sudah memadai. Jika terkena air keruh atau lumpur, bersihkan dengan aliran air lembut dan keringkan menggunakan kaedah yang sama.

Penjagaan Reel Spinning dan Baitcaster (BC)

Prinsip asasnya sama—buang garam, elakkan tekanan air tinggi dan gunakan pelincir dengan sedikit. Perbezaannya terletak pada komponen yang mudah terdedah.

Reel spinning

  • Line roller: periksa sama ada ia berpusing lancar, berbunyi atau menunjukkan kesan garam.
  • Bail arm: bersihkan sendi luar dengan berus lembut. Jangan paksa jika mekanismenya terasa tersekat.
  • Spool lip: pastikan tiada calar tajam yang boleh merosakkan tali ketika casting.
  • Bahagian bawah spool: periksa tali halus yang mungkin terlilit pada main shaft.
  • Main shaft: jangan tuang minyak dari atas. Minyak berlebihan boleh bergerak ke sistem anti-reverse dan menyebabkan gelinciran pada sesetengah reka bentuk.

Reel baitcaster atau BC

  • Spool bearing: bearing yang kotor atau terlebih minyak boleh menjejaskan jarak dan kestabilan balingan.
  • Levelwind dan worm shaft: buang pasir atau garam di alur sebelum menggunakan pelincir yang disyorkan.
  • Spool tension knob dan side plate: pastikan tidak longgar sebelum trip. Letakkan komponen kecil di dalam dulang jika dibuka.
  • Brake system: jangan sapu minyak pada permukaan brake secara rambang kerana ia boleh mengubah prestasi balingan.

Jika anda menggunakan reel untuk jigging, penjagaan selepas laut menjadi lebih penting kerana percikan garam sukar dielakkan. Panduan asas jigging turut menerangkan peranan reel dan drag dalam setup tersebut.

Minyak atau Grease: Mana Satu Patut Digunakan?

Minyak dan grease bukan dua nama untuk benda yang sama. Kedua-duanya mengurangkan geseran, tetapi kelikatan dan tempat penggunaannya berbeza.

Reel oil untuk komponen yang bergerak pantas

Reel oil lebih cair dan mudah mengalir. Ia biasanya digunakan pada bearing atau titik bergerak tertentu yang dinyatakan oleh pengeluar.

Reel grease untuk gear dan permukaan sentuhan

Grease lebih pekat dan kekal pada permukaan lebih lama. Ia lazimnya digunakan pada gear serta bahagian dalaman tertentu ketika servis menyeluruh.

Masalah berlaku apabila oil masuk ke drag atau anti-reverse, atau grease disapu terlalu banyak hingga menghasilkan rintangan dan memerangkap kotoran.

Petua mudah: Kalau kita tidak pasti sama ada sesuatu bahagian memerlukan oil atau grease, jangan teka. Semak schematic dan manual model reel terlebih dahulu.

Prinsip “sedikit tetapi tepat”

Untuk bearing yang memang memerlukan minyak, satu titis lazimnya sudah mencukupi; Daiwa sendiri mengingatkan bahawa lebihan minyak hanya membazir dan boleh membawa masalah.[1] Namun, jangan jadikan “satu titis” sebagai arahan universal. Ada bearing yang menggunakan grease, ada yang sealed dan ada komponen yang tidak perlu disentuh oleh pengguna.

Bolehkah guna penetrating spray atau WD-40?

Jangan sembur penetrating lubricant terus ke dalam badan reel. Produk seperti ini boleh menipiskan atau menanggalkan grease pada gear dan bearing. Jika pengeluar membenarkan penggunaannya pada permukaan luar, sembur sedikit pada kain dahulu—bukan ke celah reel. Pilihan yang lebih selamat tetap produk khusus reel yang dinyatakan dalam manual.

Bahagian yang tidak patut diminyakkan secara rambang

  • Permukaan drag washer atau drag stack.
  • Sistem anti-reverse dan roller clutch.
  • Brake surface pada baitcaster.
  • Lubang drain.
  • Komponen Magsealed atau sealed bearing.

Adakah Magsealed bermaksud kalis air?

Tidak. Magsealed ialah sistem penghadang yang membantu mengurangkan kemasukan air dan habuk pada titik tertentu, bukannya jaminan bahawa keseluruhan reel boleh direndam. Daiwa menyatakan komponen Magsealed patut dikendalikan oleh pusat servis mereka.[1][4]

Apa Perlu Dibuat Jika Reel Tenggelam?

Tenggelam sepenuhnya tidak sama dengan terkena percikan. Air boleh membawa garam, kelodak dan pasir terus ke bearing, gear, drag serta ruang yang sukar kering.

Jika tenggelam dalam air masin

  1. Jangan terus mengarau atau menguji reel berulang kali.
  2. Bilas bahagian luar dengan air tawar bertekanan rendah untuk mengurangkan garam pada permukaan.
  3. Goncang perlahan dan lap air yang kelihatan.
  4. Catat bahawa reel pernah tenggelam dan hubungi pusat servis atau juruteknik dengan segera.
  5. Jangan menyembunyikan kejadian tersebut daripada juruteknik; maklumat ini menentukan cara pemeriksaan dilakukan.

Daiwa memberi amaran bahawa air masin boleh mula merosakkan komponen dalaman dalam masa beberapa hari dan mengesyorkan reel dileraikan serta dibina semula oleh pusat servis.[1]

Jika tenggelam dalam air tawar

Risiko kakisan segera lebih rendah berbanding air masin, tetapi air tasik, sungai dan kolam boleh mengandungi kelodak atau bahan organik. Jika reel tenggelam sepenuhnya, langkah paling selamat tetap pemeriksaan dalaman—terutama jika putaran berubah, drag tersentak atau terdapat bunyi.

Berapa Kerap Reel Perlu Diservis?

Tiada satu jadual yang sesuai untuk semua reel. Kekerapan bergantung pada air masin atau tawar, jumlah trip, beban kerja, penyimpanan dan reka bentuk model. Jadual berikut ialah panduan praktikal, bukan pengganti manual:

Corak penggunaanCuci rutinPemeriksaan/servis menyeluruh
Air tawar sekali-sekalaLap atau bersihkan selepas tripApabila prestasi berubah atau sebelum penyimpanan lama
Air tawar dengan kerapSelepas setiap tripSekurang-kurangnya semakan tahunan
Laut sekali-sekalaBilas air tawar selepas setiap tripSekurang-kurangnya semakan tahunan
Laut, kayak, surfcasting atau offshore dengan kerapSelepas setiap trip tanpa ditangguhSetiap 6–12 bulan atau lebih awal jika ada simptom
Pernah tenggelamFirst aid segeraHantar servis secepat mungkin

Sebagai perbandingan, panduan rasmi berbeza mengikut pasaran dan model: Daiwa Scandinavia menyebut servis lebih kerap untuk penggunaan air masin, manakala panduan Shimano menyarankan overhaul berkala berdasarkan intensiti penggunaan.[4][3] Gunakan cadangan pengeluar model anda sebagai rujukan utama.

Tanda reel patut dihantar servis

  • Putaran terasa kasar, berat atau mempunyai titik tersekat.
  • Bunyi bearing atau gear semakin jelas.
  • Drag keluar secara tersentak-sentak walaupun setting betul.
  • Anti-reverse tergelincir atau handle berpatah balik.
  • Line roller, bail arm, levelwind atau clutch tersekat.
  • Terdapat karat, serbuk garam atau air keluar dari badan reel.
  • Handle mempunyai kelonggaran luar biasa atau gear terasa “makan”.

Cara Menyimpan Reel Supaya Tahan Lama

Reel yang kelihatan bersih masih boleh rosak jika ada kelembapan tertinggal di bawah spool, pada reel foot, celah handle atau di dalam penutup reel. Sebab itu, penyimpanan hanya patut dibuat selepas reel selesai dibilas, dilap dan dikeringkan sepenuhnya.

Matlamatnya bukan sekadar mengelakkan habuk. Kita mahu mengurangkan risiko kakisan, memastikan drag washer tidak sentiasa termampat dan mengelakkan komponen seperti bail arm, spool lip atau handle menerima tekanan daripada barang lain.

Penyimpanan Selepas Setiap Trip

  • Pastikan semua bahagian benar-benar kering. Periksa bahagian bawah spool, reel foot, line roller, handle knob dan celah skru. Jika masih ada titisan atau permukaan terasa lembap, biarkan reel di tempat teduh yang mempunyai aliran udara sebelum disimpan.
  • Longgarkan drag selepas proses mencuci selesai. Drag yang dibiarkan ketat menyebabkan washer kekal termampat sepanjang penyimpanan. Longgarkan secukupnya—tidak perlu sehingga knob tercabut atau komponen menjadi longgar.
  • Letakkan reel dalam kedudukan yang stabil. Gunakan rak, dulang atau ruang khusus supaya spool lip, bail arm, levelwind dan handle tidak dihimpit oleh sinker, kotak gewang atau peralatan berat.
  • Gunakan penutup hanya selepas reel kering. Reel cover membantu menahan habuk dan calar, tetapi penutup yang rapat boleh memerangkap kelembapan. Jika kawasan simpanan mudah lembap, gunakan penutup yang mempunyai pengudaraan dan jangan masukkan kain atau sarung yang masih basah.
  • Asingkan daripada peralatan yang basah atau masin. Jangan simpan reel bersama lure, leader, kain lap atau playar yang belum dibersihkan. Garam dan kelembapan daripada barang tersebut boleh berpindah semula ke permukaan reel.
  • Elakkan haba, cahaya matahari dan wap bahan kimia. Kabin kereta, stor beratap zink dan ruang berhampiran petrol, thinner atau aerosol bukan tempat yang sesuai. Haba melampau boleh menjejaskan grease, seal, bahan plastik dan tali pada spool.

Jika Reel Disimpan untuk Tempoh Lama

Untuk penyimpanan berminggu-minggu atau berbulan-bulan, jangan sekadar memasukkan reel ke dalam beg lalu melupakannya. Pemeriksaan ringkas sekali-sekala membantu mengesan karat, kulat atau perubahan rasa kayuhan sebelum masalah menjadi lebih besar.

  • Periksa keadaan luaran secara berkala. Lihat skru, spool lip, reel foot dan handle. Tompok putih, warna kehijauan, karat atau bau hapak menandakan kelembapan atau sisa garam masih ada.
  • Pusing handle beberapa kali dengan perlahan. Tujuannya untuk mengesan bunyi, kekasaran atau bahagian yang mula tersekat—bukan untuk memaksa reel kembali lancar. Jika kayuhan terasa berat, hentikan dan periksa puncanya.
  • Urus bateri reel elektrik mengikut manual. Lazimnya bateri atau sumber kuasa perlu ditanggalkan ketika penyimpanan panjang. Pastikan terminal bersih, kering dan dilindungi seperti yang diarahkan oleh pengeluar.
  • Simpan maklumat model dan rekod servis. Schematic, resit, nombor model serta tarikh servis memudahkan pencarian alat ganti dan membantu juruteknik memahami sejarah reel.

Ringkasnya, reel perlu disimpan dalam keadaan bersih, kering, drag dilonggarkan dan tidak dihimpit. Rutin mudah ini lebih berguna daripada menyembur minyak berlebihan sebelum reel dimasukkan ke dalam beg.

12 Kesilapan Penjagaan Reel yang Perlu Dielakkan

Kebanyakan kesilapan berikut dilakukan dengan niat yang baik—kita mahu reel cepat bersih, cepat kering atau terasa lebih lancar. Masalahnya, kaedah yang terlalu agresif boleh menolak air dan pasir ke dalam badan reel, mengalihkan pelincir atau merosakkan komponen yang asalnya masih elok.

  1. Membiarkan garam kering selepas trip laut.
    Apabila air tersejat, kristal garam tertinggal pada spool, skru, line roller dan celah badan. Ia menarik kelembapan serta mempercepat kakisan, jadi bilas permukaan dengan air tawar bertekanan rendah secepat yang praktikal.
  2. Merendam seluruh reel untuk “mencuci” bahagian dalam.
    Rendaman boleh membawa air, garam dan kotoran melepasi seal ke kawasan yang sukar dikeringkan. Walaupun reel mempunyai perlindungan saltwater, jangan anggap ia direka untuk direndam kecuali manual model menyatakannya dengan jelas.
  3. Menggunakan jet air atau pressure washer.
    Tekanan kuat tidak semestinya membersihkan dengan lebih baik. Ia boleh menolak pasir ke dalam bearing, memaksa air melalui celah badan dan mengalihkan grease; gunakan aliran lembut atau semburan mist.
  4. Mencuci dengan air panas atau detergent kuat.
    Haba dan bahan pencuci yang agresif boleh mengganggu grease, seal, coating dan sesetengah bahan plastik. Untuk rutin selepas trip, air tawar sejuk atau bersuhu bilik serta kain bersih biasanya memadai.
  5. Memusing handle dengan laju ketika reel masih berpasir atau penuh air.
    Pergerakan itu boleh menarik butiran pasir masuk lebih jauh dan menjadikannya bahan penghakis pada gear, bush atau bearing. Buang kotoran di permukaan dahulu dan jangan paksa handle jika terasa tersekat.
  6. Menyembur penetrating lubricant terus ke dalam badan reel. Produk jenis ini boleh mencairkan atau membawa keluar grease dari tempat asalnya, kemudian bergerak ke drag washer atau anti-reverse. Gunakan reel oil dan grease yang sesuai hanya pada titik yang dibenarkan oleh manual.
  7. Menganggap lebih banyak minyak akan menjadikan reel lebih lancar.
    Pelincir berlebihan mudah memerangkap habuk dan boleh merebak ke bahagian yang sepatutnya kekal kering. Pada kebanyakan titik pelinciran, sedikit minyak sudah mencukupi; tambah hanya apabila arahan model memerlukannya.
  8. Menuang minyak pada main shaft, drag atau anti-reverse tanpa rujukan.
    Kedudukan dan jenis pelincir berbeza mengikut model. Minyak pada drag washer boleh mengubah daya cengkaman, manakala pencemaran pada anti-reverse boleh menyebabkan sistem itu tergelincir.
  9. Menggunakan compressed air untuk mempercepat pengeringan.
    Udara bertekanan tinggi boleh menolak air ke bahagian dalaman dan mengalihkan pelincir daripada bearing atau gear. Goncang reel dengan lembut, lap permukaan dan biarkan aliran udara biasa melakukan kerja pengeringan.
  10. Mengeringkan reel di bawah matahari terik atau menggunakan hair dryer.
    Haba yang tinggi dan tidak sekata boleh menjejaskan seal, adhesive, grease, komponen plastik serta tali pada spool. Pilih tempat teduh dan gunakan kipas biasa jika pengudaraan tambahan diperlukan.
  11. Menyimpan reel ketika masih lembap atau drag masih diketatkan.
    Kelembapan yang terperangkap di dalam reel cover menggalakkan kakisan dan bau hapak, manakala drag yang sentiasa ketat membiarkan washer termampat. Keringkan sepenuhnya dan longgarkan drag sebelum penyimpanan.
  12. Membuka reel Magsealed atau reel kompleks tanpa alat dan pengetahuan yang sesuai.
    Shim, spring, seal, cecair khas dan susunan gear mudah berubah atau tercemar ketika reel dibuka. Jika simptom melibatkan bahagian dalaman, serahkan kepada juruteknik atau pusat servis yang memahami model tersebut.

Jika reel masih kasar, berbunyi atau drag tersentak selepas rutin asas, jangan terus menambah minyak dan membuka lebih banyak komponen. Catat simptom, periksa manual dan ubah satu perkara pada satu masa supaya punca sebenar tidak terlindung oleh percubaan pembaikan yang lain.

Soalan Lazim Tentang Servis Reel Pancing

Bahagian ini menjawab beberapa persoalan yang paling kerap timbul apabila kita mula menjaga atau melakukan servis ringan pada reel sendiri.

Perlukah saya servis reel selepas setiap trip?

Lakukan cuci dan pemeriksaan asas selepas setiap trip. Anda tidak perlu membuka gear dan menukar grease setiap kali. Overhaul dilakukan mengikut keadaan, kekerapan penggunaan serta arahan pengeluar.

Bolehkah saya cuci reel bersama rod?

Boleh untuk bilasan ringan jika itu yang dinyatakan oleh pengeluar, tetapi menanggalkan reel memudahkan bahagian reel foot dan celah reel seat dibersihkan. Apa pun, tanggalkan hook atau lure terlebih dahulu.

Bolehkah saya gunakan minyak mesin jahit?

Lebih selamat menggunakan reel oil yang disyorkan untuk model tersebut. Minyak yang kelihatan hampir sama belum tentu mempunyai kelikatan, bahan tambahan dan keserasian seal yang sama.

Kenapa reel masih kasar selepas dicuci dan diminyakkan?

Puncanya mungkin bearing rosak, gear haus, grease tercemar, karat atau komponen tidak sejajar. Menambah minyak tidak membaiki kehausan mekanikal. Jika simptom kekal, hentikan percubaan dan dapatkan pemeriksaan profesional.

Adakah reel bertaraf saltwater tidak perlu dicuci?

Tidak. Reka bentuk saltwater membantu meningkatkan ketahanan, tetapi garam masih boleh melekat pada spool, line, skru dan bahagian luar. Ia tetap perlu dibersihkan selepas digunakan di laut.

Bolehkah reel dikeringkan di bawah kipas?

Boleh, selagi ia berada di tempat teduh dan kipas hanya membantu aliran udara biasa. Jangan halakan udara bertekanan tinggi terus ke celah reel dan jangan gunakan haba.

Checklist 30 saat sebelum reel disimpan

  • Tiada garam, pasir atau sisa umpan pada permukaan.
  • Reel sudah dilap dan dikeringkan sepenuhnya.
  • Drag sudah dilonggarkan.
  • Handle, bail, spool atau levelwind bergerak seperti biasa.
  • Tiada bunyi, karat atau kelonggaran yang luar biasa.
  • Reel disimpan di tempat kering dan tidak panas.

Penutup

Penjagaan reel bukan tentang membuka sebanyak mungkin komponen. Ia tentang melakukan perkara yang betul pada masa yang betul: jauhkan pasir, buang garam dengan lembut, keringkan sepenuhnya, gunakan pelincir secara minimum dan serahkan kerja dalaman yang rumit kepada orang yang berpengalaman.

Jika anda konsisten dengan rutin selepas trip, banyak masalah boleh dikesan sebelum menjadi kerosakan mahal. Yang paling penting, kenali batas kemahiran sendiri dan sentiasa rujuk manual model reel anda.

Apakah jenis reel yang anda gunakan—spinning, BC atau overhead? Jika ada simptom tertentu seperti bunyi kasar, drag tersentak atau anti-reverse tergelincir, kongsikan di ruangan komen. Maklumat jenis dan model reel akan membantu punca masalah dikenal pasti dengan lebih tepat.

Rujukan

  1. Daiwa Australia. General Reel Maintenance FAQs. Panduan membilas, melincir dan mengurus reel yang tenggelam. [Pautan] ↩︎ ↩︎ ↩︎ ↩︎
  2. Shimano. Reel Maintenance. Panduan asas membersihkan dan mengeringkan reel selepas digunakan. [Pautan] ↩︎
  3. Shimano Japan. Daily Maintenance for Offshore Reels. Langkah penjagaan harian bagi reel yang terdedah kepada air masin. [Pautan] ↩︎ ↩︎
  4. Daiwa Scandinavia. Frequently Asked Questions. Cadangan servis dan pengendalian komponen Magsealed. [Pautan] ↩︎ ↩︎

Tinggalkan Komen Anda..