Cara Setting Drag Reel Pancing [Oleh Pak Wong]

Bagaimana cara setting drag reel pancing yang betul?

Ini adalah perkongsian kaedah melaraskan sistem tegangan (drag) mesin pancing yang betul, yang dikongsikan oleh pemancing lagenda Malaysia iaitu Pak Wong.

Perkongsian ini sememangnya satu ilmu yang sangat bermanfaat kepada para pemancing untuk menggunakan peralatan memancing dengan betul dan membantu menawan ikan semasa dalam perlawanan.

Berikut adalah perkongsian beliau:

Oleh: Pak Wong

Sakit hati bila ikan terkena pancing namun akhirnya terlepas lantaran kekurangan kemahiran menangani ikan! Bukan saja newbie, pemancing yang lebih berpengalaman pun kadang-kadang kecundang akibat tersalah teknik!

Di sini saya cuba berkongsi sedikit petua menangani ikan dengan harapan dapat mengurangkan kes ikan terlepas akibat salah teknik.

Bermula dengan ikan air tawar.

Apabila terkena ikan ketika memancing di tepi sungai, tasik atau kolam bayar, jangan panik!

Janganlah cuba mengetatkan drag apabila tali keluar dengan lajunya. Drag kekili anda harus ditetapkan sebelum trip. Drag tidak harus diketatkan lagi biarpun ikan merempit untuk mengelakkan tali daripada putus akibat kuasa tarikan melampau.

Pecutan pertama ikan memang mendebarkan. Jika anda ketatkan lagi drag, tali mungkin putus akibat anda terlebih menguncinya secara kelam kabut.

Soalannya berapa ketat drag harus ditetapkan?

Jawapannya 1/3 daripada daya tegangan tali. Ini bermaksud jika tali 30 paun digunakan maka drag harus ditetapkan lebih kurang 10 paun supaya tali tidak putus akibat pecutan ikan.

Anda memerlukan alat tetapan drag (drag setting scale) yang boleh didapati di kebanyakan kedai pancing untuk menetapkan drag kekili. Pendekatan ini harus dilaksanakan samada memancing ikan air tawar atau lautan.

Apabila drag telah ditetapkan biarlah ikan tarik tali sesuka hatinya. Jika ikan menghala ke kawasan merbahaya maka berikan sedikit tekanan pada gelendung kekili. Namun jangan tekan gelendung secara paksa. Amalkan teknik menekan secara lembut dan beransur-ansur.

Sebelum mengepam ikan perhatikan kawasan sekeliling untuk mengesahkan lokasi terbaik untuk menaikkan ikan. Memantau dan memilih lokasi menaikkan ikan merupakan langkah terpenting dalam proses menduga ikan. Lokasi ini harus jauhi daripada sebarang halangan.

Pancingan laut pula lebih kurang sama. Asalkan drag telah ditetapkan dengan sepatutnya, anda akan dapat menangani ikan secara tenang.

Cuma lautan lebih dalam dan jarak ikan dan pemancing pun lebih jauh berbanding pancingan tasik dan sungai.

Justeru sentakan padu sebanyak beberapa kali harus dilakukan bagi memastikan mata menembus mulut ikan agar tidak lucut dalam proses menaikkan ikan.

Biarkan ikan memecut sesuka hatinya. Tidak payah meninggikan daya drag dan mengepam ikan secara paksa. Lebih baik simpan tenaga untuk menaikkan lebih banyak ikan khasnya trip yang berlangsung selama bebarapa hari.

Di sini saya ingin berkongsi sebuah pengalaman luar biasa. Apabila ikan asyik putuskan tali akibat lubuk yang dipenuhi halangan, bolehlah cuba teknik ini.

Apabila terkena ikan, longgarkan drag secepat mungkin sehingga ikan dapat melarikan tali secara mudah. Didapati ikan kurang memecut apabila tidak merasai beban dan membiarkan saya mengarau tali secara perlahan tanpa sebarang rintangan sehingga jauh dari dasar. Barulah saya ketatkan drag dan menaikkannya!

Cuba kalau tidak percaya!

Perkongsian Pak Wong ini boleh dilihat pada halaman Facebook beliau pada pautan ini

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
shah
shah
8 bulan yang lalu

assalamualaikum jiran🤣