Panduan Asas Jigging: Setup, Teknik & Cara Pilih Jig

Panduan jigging Malaysia

Dalam artikel ini, saya akan kongsikan tips asas jigging dan pengalaman saya sendiri memancing menggunakan jig. Jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia memancing dan memerlukan panduan praktikal tentang jigging, artikel ini boleh membantu anda memahami asasnya dengan lebih jelas.

Dalam tulisan ini, saya akan cuba rangkum sebanyak mungkin perkara asas yang anda mungkin ingin tahu dan perlu tahu, bermula daripada maksud jigging, pemilihan jig, setup peralatan, teknik asas, cara mengesan sambaran, sehinggalah perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika turun memancing.

Untuk memudahkan dan menjimatkan masa anda, saya telah menyediakan pautan lompat (jumplink) pada bahagian isi kandungan. Anda hanya perlu klik pada pautan tersebut untuk terus pergi ke bahagian yang ingin dibaca.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh meninggalkan soalan pada ruangan komen di bawah.

Ringkasan Pantas Untuk Pemula

Jika anda baru hendak mula belajar jigging, jangan terlalu rumitkan perkara pada awalnya.

Sebagai permulaan, setup light jigging biasanya paling sesuai untuk kebanyakan pemancing baru.

Setup ini tidak terlalu berat, tidak terlalu memenatkan, dan masih cukup praktikal untuk memancing pelbagai spesies laut di Malaysia.

Secara umum, anda boleh bermula dengan rod jigging PE 1–2, spinning reel saiz sederhana, tali braided sekitar PE 1–2, leader sekitar 20lb–40lb, dan jig dalam lingkungan 40g hingga 120g, bergantung kepada kedalaman air serta kekuatan arus.

Untuk teknik pula, tidak perlu terus belajar gaya yang terlalu kompleks.

Mulakan dengan teknik paling mudah seperti ketuk dasar, lift and fall, atau tiga henjutan dan pause. Apabila tangan sudah mula mendapat rentak, barulah cuba variasi lain seperti long fall, slow pitch atau fast jigging.

Prinsip paling penting dalam jigging ialah memastikan jig berada dalam zon ikan, memilih berat jig yang sesuai dengan arus, dan belajar membaca rasa di hujung tali.

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita fahami dulu beberapa istilah “bahasa pancing” yang akan kerap digunakan dalam panduan ini. Jangan risau, ia tidak serumit yang disangka!

IstilahMaksud MudahKenapa Ia Penting?
Braided Line
(Tali Sulam)
Tali utama jenis sulaman benang, bukan tali tangsi (monofilament) biasa.Sifatnya nipis dan tiada regangan. Ini membuatkan anda lebih peka terhadap rasa getaran di dasar laut.
PE (Rating Tali/Rod)Unit standard ukuran ketebalan tali sulam atau kekuatan rod (Contoh: PE 1–2).Lebih kecil nombor PE, lebih halus talinya dan lebih ringan set memancing tersebut.
DragSistem kawalan atau “brek” pada kekili (reel).Berfungsi menahan tali daripada keluar, tetapi akan memberi tali secara automatik jika ikan menarik terlalu kuat supaya tali tidak putus.
Hookset
(Sentapan)
Aksi menyentap rod ke atas dengan kemas apabila mengesan umpan dimakan ikan.Penting untuk memastikan mata kail tertancap dengan kukuh pada mulut ikan.
FlutterPergerakan jig yang jatuh melayang, berputar, atau beralun-alun secara tidak sekata.Aksi ini sangat penting kerana ia meniru pergerakan ikan kecil yang sedang pening atau cedera di dalam air.
Terminal TackleTerma ringkas untuk aksesori-aksesori kecil pancingan.Merangkumi komponen seperti solid ring, split ring, swivel, dan mata kail.

Apa Itu Jigging?

Maksud jigging

Jigging ialah teknik memancing menggunakan umpan tiruan jenis logam yang dipanggil jig.

Jig biasanya diperbuat daripada bahan tumpat seperti plumbum/timah, aloi zink atau tungsten.

Berat pada jig membolehkannya tenggelam ke dalam air dan dimainkan pada kedalaman tertentu, sama ada berhampiran dasar, di pertengahan air, atau kadang-kadang hampir ke permukaan.

Cara asasnya mudah. Jig dijatuhkan ke dalam air, kemudian digerakkan naik dan turun menggunakan rod dan reel.

Pergerakan ini bertujuan meniru ikan kecil yang sedang panik, cedera, lemah, atau cuba melarikan diri.

Bagi ikan pemangsa, pergerakan seperti ini boleh mencetuskan naluri untuk menyerang.

Kadang-kadang, apabila jig bergerak di hadapannya dengan aksi yang betul, ikan tersebut terus menyambar kerana ia kelihatan seperti mangsa yang mudah.

Sebab itu, jigging tidak hanya bergantung kepada bau umpan seperti pancing dasar.

Ia lebih bergantung kepada aksi, kilauan, getaran, kedudukan jig di dalam air, dan reaksi ikan terhadap pergerakan umpan tiruan tersebut.

Kenapa Jigging Berkesan?

Hasil tangkapan teknik jigging

Jigging berkesan kerana teknik ini membolehkan pemancing mencari ikan di pelbagai lapisan air.

Jika menggunakan umpan dasar, fokus biasanya lebih banyak di lantai laut. Jika trolling, gewang bergerak secara mendatar di belakang bot.

Tetapi dalam jigging, kita boleh menjatuhkan jig ke dasar, menggayakannya beberapa meter dari dasar, bermain di pertengahan air, atau mengarau laju jika ikan sedang aktif di kolum tertentu.

Ini menjadikan jigging sangat fleksibel.

Teknik ini boleh digunakan untuk pelbagai spesies seperti kerapu, jenahak, ebek, aya, tenggiri, GT dan tuna. Ikan dasar biasanya lebih tertarik kepada jig yang bergerak perlahan dan jatuh beralun.

Ikan pelagik pula sering memberi respons kepada jig yang bergerak lebih pantas, berkilau dan kelihatan seperti ikan kecil yang sedang melarikan diri.

Satu lagi kelebihan jigging ialah penggunaan peralatan yang relatif ringan tetapi kuat.

Dengan braided line yang nipis dan sensitif, jig lebih mudah turun ke dalam air, pemancing lebih mudah mengesan dasar, dan sentuhan ikan dapat dirasai dengan lebih jelas.

Namun begitu, jigging tetap memerlukan latihan.

Teknik ini bukan sekadar menghenjut besi. Semakin lama kita bermain jig, semakin kita belajar membaca arus, kedalaman, gerakan bot, berat jig, dan rentak ikan pada hari tersebut.

Setup Jigging Untuk Pemula

Rupa bentuk jig

Bahagian ini penting kerana ramai pemancing baru keliru hendak bermula dengan setup yang mana.

Sebenarnya, tiada satu setup jigging yang sesuai untuk semua keadaan.

Setup yang digunakan bergantung kepada beberapa perkara seperti kedalaman air, kekuatan arus, berat jig, spesies sasaran, teknik yang ingin dimainkan dan kemampuan fizikal pemancing itu sendiri.

Sebab itu, dalam jigging, kita tidak boleh melihat kekuatan setup berdasarkan saiz ikan semata-mata.

Setup yang terlalu ringan mungkin seronok digunakan, tetapi boleh menyukarkan kita jika bermain di kawasan dalam, berarus kuat atau banyak struktur.

Sebaliknya, setup yang terlalu berat pula boleh membuatkan pemancing cepat penat dan sukar mendapatkan rentak, terutama jika masih baru belajar.

Sebagai permulaan, lebih mudah untuk memahami setup jigging berdasarkan jenis permainan berikut:

Jenis JiggingAnggaran Jig & TaliSesuai Untuk
Micro JiggingJig 5g–60g, tali PE ringanKawasan cetek, ikan kecil hingga sederhana dan permainan ringan
Light JiggingJig 40g–120g, PE 1–2Pilihan paling sesuai untuk pemula dan trip laut biasa
Slow Pitch JiggingJig 80g–250g, PE 1.5–4Ikan dasar, air sederhana hingga dalam, dan ikan kurang aktif
Power Slow / Deep SlowJig 200g ke atas, PE lebih kasarAir dalam, arus kuat, jig berat dan target lebih besar
Fast / Speed JiggingJig tirus, henjutan dan karauan lajuIkan pelagik aktif seperti tenggiri, aya, tuna dan GT

Untuk kebanyakan pemula, light jigging ialah titik mula yang paling seimbang.

Setup ini masih ringan untuk dimainkan dalam tempoh yang lama, tetapi masih cukup praktikal untuk pelbagai spesies laut di Malaysia.

Dengan rod sekitar PE 1–2, tali braided PE 1–2, leader sekitar 20lb–40lb dan jig dalam lingkungan 40g–120g, anda sudah boleh belajar banyak asas jigging tanpa terlalu cepat penat.

Jika anda memancing di kawasan cetek, unjam kecil, kawasan karang ringan atau target ikan yang tidak terlalu besar, micro jigging juga boleh menjadi pilihan yang menyeronokkan. Setup ini lebih ringan, lebih sensitif dan tidak terlalu memenatkan.

Namun, ia kurang sesuai jika kawasan terlalu dalam, arus terlalu kuat atau terdapat banyak struktur tajam.

Slow pitch jigging pula lebih menumpukan aksi jig ketika jatuh. Dalam teknik ini, jig tidak semestinya dimainkan dengan laju.

Sebaliknya, pemancing menggunakan rentak yang lebih perlahan dan terkawal supaya jig dapat beraksi seperti ikan kecil yang lemah, cedera atau sedang jatuh tidak teratur di dalam air.

Apabila jig yang digunakan semakin berat, terutamanya sekitar 200g ke atas, permainan biasanya lebih dekat kepada power slow atau deep slow jigging.

Dalam keadaan begini, pemancing lebih banyak bergantung kepada aksi jatuhan jig, kekuatan rod, kawalan tali dan teknik yang tidak terlalu membazir tenaga.

Jig berat memang tidak realistik untuk dimainkan secara fast jigging sepanjang hari oleh kebanyakan pemancing.

Fast jigging pula berbeza. Teknik ini lebih agresif dan biasanya menggunakan jig yang lebih tirus supaya mudah menembusi air.

Ia sesuai apabila ikan pelagik sedang aktif memburu, contohnya tenggiri, aya, tuna atau GT. Namun, teknik ini lebih memenatkan dan tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk pemula.

Kesilapan biasa pemula ialah membeli setup terlalu berat kerana menyangka lebih berat bermaksud lebih kuat dan lebih bagus.

Hakikatnya, setup yang terlalu berat boleh menyukarkan proses belajar. Tangan cepat letih, rentak jigging menjadi tidak konsisten, dan akhirnya jig tidak dapat digayakan dengan baik.

Sebab itu, jika anda baru bermula, jangan terlalu mengejar setup yang “besar”. Lebih baik pilih setup yang seimbang, mudah dikawal dan sesuai dengan lokasi memancing anda.

Sebagai panduan mudah, jika anda masih belum pasti hendak bermula dari mana, pilih setup light jigging terlebih dahulu. Ia cukup mesra pemula, tidak terlalu teknikal dan masih boleh digunakan dalam banyak keadaan memancing di laut.

Jenis-Jenis Jig dan Cara Ia Bergerak

Jig datang dalam pelbagai bentuk, saiz, berat dan warna. Setiap bentuk menghasilkan aksi yang berbeza di dalam air.[1]

Secara mudah, kita boleh fahamkan jig melalui dua bentuk utama: jig simetri dan jig asimetri.

Jig Simetri

Jig simetri mempunyai bentuk yang lebih seimbang antara kedua-dua sisinya. Biasanya jig seperti ini lebih panjang, lebih tirus dan lebih laju menembusi air.

Kelebihannya ialah ia cepat turun ke dasar, lebih mudah digunakan dalam arus kuat, dan sesuai untuk teknik yang lebih laju seperti fast jigging.

Jig simetri sering digunakan apabila ikan sedang aktif memburu. Contohnya tenggiri, aya, tuna atau GT yang mengejar mangsa pantas di pertengahan air.

Aksi jig jenis ini biasanya lebih lurus, pantas dan agresif. Ia meniru ikan kecil yang sedang melarikan diri.

Bentuk simetri jig (sama sisi)
Bentuk jig simetri adalah sama pada kedua-dua sisinya, memberikannya kelebihan untuk bergerak pada setiap kolum air dengan pantas

Jig Asimetri

Jig asimetri pula mempunyai bentuk yang tidak sama antara satu sisi dengan sisi yang lain. Ada bahagian yang lebih cembung, lebar atau berat sebelah.

Bentuk ini membuatkan jig jatuh dengan aksi yang lebih beralun, melayang, berputar atau flutter ketika tenggelam. Aksi jatuhan inilah yang sering mencetuskan sambaran ikan.

Jig jenis ini sangat sesuai untuk slow pitch, long fall dan permainan berhampiran dasar. Ia lebih menyerupai ikan kecil yang lemah, cedera atau sedang jatuh tidak teratur di dalam air.

Spesies seperti kerapu, jenahak, ebek dan ikan dasar sering memberi respons kepada aksi seperti ini, terutama apabila ikan tidak begitu agresif.

Bentuk asimetri jig (sisi tidak sama bentuk)
Bentuk slow jig asimetri (sisi depan)
Bentuk slow jig asimetri (sisi belakang)
Perhatikan bentuk sisi depan dan belakang jig adalah berbeza dan tidak sama (asimetri). Bentuk ini akan memberikan aksi fluttering kepada jig

Slow Jig dan Speed Jig

Secara mudah, slow jig biasanya lebih lebar, lebih berat di tengah atau mempunyai bentuk tidak seimbang. Ia direka untuk menghasilkan aksi menarik ketika jatuh.

Speed jig pula biasanya lebih tirus, panjang dan aerodinamik. Ia direka untuk turun cepat dan bergerak pantas apabila dikarau atau dihenjut.

Kedua-duanya boleh menangkap ikan. Bezanya ialah cara ia dimainkan dan keadaan air yang sesuai.

Jika ikan pasif dan banyak bermain di dasar, slow jig biasanya lebih sesuai. Jika ikan aktif dan mengejar mangsa, speed jig boleh menjadi pilihan yang lebih baik.

Cara Pilih Berat Jig

Pemilihan jig yang tepat adalah penting

Memilih berat jig bukan semata-mata berdasarkan saiz ikan yang kita ingin tangkap.

Berat jig lebih banyak dipengaruhi oleh kedalaman air, kekuatan arus, kelajuan bot hanyut, diameter tali dan bentuk jig itu sendiri.[2]

Jig yang terlalu ringan mungkin tidak sampai ke dasar, atau hanyut terlalu jauh dari bot. Jig yang terlalu berat pula mungkin jatuh terlalu cepat, kurang aksi semula jadi, dan membuatkan pemancing cepat penat.

Bentuk slow jig
Dalam keadaan arus perlahan, penggunaan slow jig adalah lebih sesuai dan efektif untuk menjerat ikan.

Sebagai panduan ringkas:

KeadaanCadangan Pilihan Jig
Air cetek dan arus perlahanJig ringan sekitar 20g–60g
Air sederhana dan arus sederhanaJig sekitar 60g–150g
Air dalam atau arus kuatJig sekitar 150g–300g
Jig lambat sampai dasarNaikkan berat jig
Jig terlalu jauh dihanyutkan arusGuna jig lebih berat atau bentuk lebih tirus
Ikan pasifCuba jig yang jatuh perlahan dan beraksi flutter
Ikan aktifCuba jig tirus dengan karauan lebih laju

Sebagai prinsip umum, jig yang lebih panjang dan tirus lebih mudah memotong arus, manakala jig yang lebih lebar biasanya menghasilkan aksi flutter yang lebih jelas tetapi lebih mudah ditolak arus.

Sebab itu pemilihan berat jig tidak boleh dilihat pada gram semata-mata; bentuk jig juga sangat mempengaruhi cara ia turun dan bergerak di dalam air.

Sebagai titik mula, sesetengah pemancing menggunakan anggaran kasar sekitar 3g jig bagi setiap 1 meter kedalaman untuk speed jig, dan sekitar 4–5g bagi setiap 1 meter untuk slow jig.

Namun ini bukan formula tetap. Arus, diameter tali, bentuk jig dan drift bot tetap lebih penting dalam menentukan berat sebenar yang sesuai

Dalam keadaan sebenar, anda perlu menyesuaikan berat jig berdasarkan rasa di hujung tali.

Jika jig sukar dikawal dan terlalu jauh dari bot, naikkan berat. Jika jig terlalu cepat jatuh dan kurang aksi, cuba kurangkan berat atau tukar bentuk jig.

Matlamat utama ialah memastikan jig masih boleh dikawal dan berada dalam zon ikan.

Cara Pilih Warna Jig

Pemilihan warnga jig yang sesuai
Pemilihan warna jig yang terang (fluorescent) ketika hari mendung adalah lebih sesuai dengan situasi tersebut

Warna jig bukan jaminan mutlak ikan akan makan. Namun, warna boleh membantu meningkatkan kebolehlihatan jig dalam keadaan tertentu.

Dalam air jernih dan cuaca cerah, warna natural seperti silver, biru, hijau atau corak baitfish biasanya lebih sesuai. Warna seperti ini meniru kilauan ikan kecil yang menjadi makanan ikan pemangsa.

Pada waktu pagi, senja atau cahaya kekuningan, warna gold, pink dan orange sering menjadi pilihan yang baik.

Dalam air keruh, cuaca mendung atau keadaan cahaya rendah, warna glow, chartreuse, oren, pink terang atau warna kontras lebih mudah dikesan.

Sebagai panduan ringkas:

Keadaan Air / CuacaWarna Jig Cadangan
Air jernih dan hari cerahSilver, biru, hijau, warna natural baitfish
Pagi atau senjaGold, pink, orange
Air keruhGlow, chartreuse, oren, warna kontras
Hari mendungGlow, fluorescent, warna terang
MalamGlow in the dark atau warna kontras

Satu perkara yang ramai pemancing baru terlepas pandang: warna bertindak balas berbeza mengikut kedalaman.[3]

Warna merah dan oren akan hilang dahulu apabila air semakin dalam. Pada kedalaman sekitar 10 hingga 15 meter, warna ini sudah kelihatan kelabu atau hitam.

Itu sebabnya warna glow dan UV sering menjadi pilihan untuk jigging air dalam, kerana ia masih boleh dikesan ikan walaupun cahaya matahari semakin terhad.

Jika satu warna tidak mendapat sambaran, jangan terus menyimpulkan kawasan itu tiada ikan. Cuba ubah warna, bentuk jig, berat jig atau rentak permainan.

Kadang-kadang ikan bukan menolak jig kerana warnanya salah. Mungkin jig tidak berada di zon ikan. Mungkin terlalu laju. Mungkin terlalu perlahan. Mungkin juga arus dan drift bot tidak sesuai.

Rod Jigging Yang Sesuai

Peralatan Asas untuk Jigging

Rod jigging perlu ringan, kuat dan mempunyai aksi yang sesuai dengan teknik yang digunakan.

Untuk slow pitch jigging, rod biasanya lebih parabolik. Maksudnya, lengkungan rod lebih menyeluruh dan membantu “melontarkan” aksi kepada jig dengan gerakan yang lebih halus. Rod seperti ini membantu jig naik dan jatuh dengan lebih semula jadi.

Untuk fast jigging, rod biasanya lebih responsif dan sesuai untuk menggerakkan jig dengan rentak yang lebih pantas.

Untuk slow pitch pula, rod biasanya direka bagi membantu jig menghasilkan aksi ketika naik dan jatuh, bukan semata-mata untuk memaksa ikan naik

Bagi pemula, jangan terlalu terperangkap dengan istilah teknikal. Cukup pastikan rod yang dipilih sesuai dengan berat jig yang ingin digunakan.

Jika rod tertulis jig weight 40g–120g, jangan kerap menggunakan jig 200g. Rod akan cepat terbeban, aksi jig tidak menjadi, dan risiko rod rosak juga meningkat.

Sebagai titik mula, rod light jigging PE 1–2 dengan rating jig sekitar 40g–120g sudah cukup praktikal untuk belajar asas jigging.

Reel Jigging: Spinning atau Overhead?

Dalam jigging, dua jenis reel yang biasa digunakan ialah spinning reel dan overhead reel.

Spinning reel lebih mesra pemula. Ia lebih mudah digunakan, lebih mudah dikawal dan sesuai untuk light jigging, micro jigging serta fast jigging ringan.

Jika anda baru belajar, spinning reel adalah pilihan yang lebih selamat.

Overhead reel pula memberi kawalan yang lebih baik untuk jigging menegak, terutama dalam slow pitch.

Pemancing lebih mudah mengawal keluar masuk tali dan merasai pergerakan jig ketika turun.

Namun, ia memerlukan sedikit latihan dan tidak semua pemula selesa menggunakannya pada awalnya.

Perlu difahami juga, overhead reel tidak semestinya lebih kuat daripada spinning reel dalam semua keadaan.

Kekuatan reel bergantung kepada model, sistem drag, gear, body, spool dan kualiti binaannya.

Jadi, jangan pilih reel berdasarkan jenis semata-mata. Pilih berdasarkan kesesuaian setup, berat jig, ikan sasaran dan keselesaan anda sendiri.

Tali Utama Untuk Jigging

Tali braided atau tali sulam ialah pilihan utama dalam jigging.

Kelebihan braided line ialah diameternya lebih halus, kurang regangan dan lebih sensitif berbanding monofilament.[4]

Ini membantu jig turun lebih baik, terutama ketika arus bergerak. Ia juga memudahkan pemancing merasai dasar, pergerakan jig dan sambaran ikan.

Dalam jigging, sensitiviti ini sangat penting. Banyak sambaran berlaku ketika jig sedang jatuh. Jika tali terlalu tebal atau terlalu banyak regangan, pemancing mungkin lambat sedar bahawa jig sudah diambil ikan.

Untuk pemula, tali PE 1–2 sudah memadai bagi light jigging. Jika kawasan lebih berat, banyak struktur, ikan lebih besar atau arus lebih kuat, boleh naik kepada PE 2–3 atau lebih.

Namun, jangan terlalu cepat menggunakan tali terlalu kasar. Tali yang terlalu kasar lebih kuat menahan tekanan, tetapi ia juga lebih banyak menahan arus dan boleh membuatkan jig sukar turun secara menegak.

Leader Untuk Jigging

Leader ialah tali perambut yang disambungkan antara tali utama dan jig.

Fungsi leader ialah melindungi tali utama daripada geseran. Di laut, tali boleh bergesel dengan karang, batu, badan ikan, sisik tajam, gigi ikan atau bahagian bawah bot.

Leader biasanya menggunakan fluorocarbon atau monofilament yang lebih tahan geseran.[5]

Untuk light jigging, leader sekitar 20lb–40lb biasanya sudah memadai bergantung kepada kawasan dan ikan sasaran. Untuk medium jigging, leader sekitar 40lb–60lb atau lebih boleh digunakan.

Jika memancing di kawasan banyak karang, struktur tajam atau ikan bergigi, gunakan leader yang lebih kuat.

Tetapi jika kawasan terbuka dan ikan tidak terlalu besar, leader terlalu kasar mungkin mengurangkan aksi jig.

Sekali lagi, pilih ikut keadaan.

Assist Hook dan Terminal Tackle

Assist hook jigging

Assist hook ialah mata kail yang dipasang pada jig menggunakan tali pendek atau assist cord.

Dalam jigging, assist hook biasanya dipasang berhampiran bahagian atas jig, melalui solid ring. Ini kerana banyak ikan menyambar jig pada bahagian kepala, tengah atau ketika jig sedang jatuh.

Panjang assist hook perlu seimbang dengan saiz jig.

Jika terlalu pendek, peluang hook-up mungkin berkurang. Jika terlalu panjang pula, assist hook mudah tersangkut pada jig, leader atau bahagian lain.

Sebagai panduan mudah, assist hook tidak perlu terlalu panjang sehingga melepasi bahagian tengah jig dengan berlebihan. Cukup sekadar seimbang dengan profil jig dan spesies sasaran.[6]

Selain assist hook, terminal tackle yang biasa digunakan dalam jigging ialah:

KomponenFungsi
Solid ringTitik sambungan utama antara leader, assist hook dan split ring
Split ringMenyambungkan jig kepada solid ring
Assist hookMata kail utama untuk mencangkuk ikan
LeaderMelindungi tali utama daripada geseran
SwivelMembantu mengurangkan tali berpintal dalam keadaan tertentu
Split ring plierAlat untuk membuka split ring dan menukar jig

Swivel tidak semestinya wajib dalam semua setup. Ada pemancing lebih suka setup ringkas menggunakan solid ring dan split ring sahaja.

Namun, swivel boleh membantu dalam situasi tertentu, terutama jika jig mudah berpusing dan menyebabkan tali berpintal.

Cara Pasang Jig Secara Ringkas

Untuk setup jigging yang kemas, sambungan biasanya dibuat seperti ini:

Tali utama braided disambung kepada leader menggunakan simpulan yang kuat seperti FG knot atau PR knot.

Leader kemudian disambung kepada solid ring.

Assist hook dipasang pada solid ring.

Jig pula disambungkan kepada solid ring menggunakan split ring.

Susunan ini membuatkan jig bergerak lebih bebas, sambungan lebih kuat, dan assist hook tidak bergantung terus kepada badan jig.

Bagi pemula, FG knot mungkin mengambil masa untuk dipelajari. Tetapi ia sangat berbaloi kerana simpulan ini kuat, kemas dan mudah melalui guide rod jika dibuat dengan betul.

Teknik Jigging Mudah Untuk Pemula

Ikan GT yang dipancing dengan jig
Ikan GT seberat 11kg ini diperdayakan oleh isteri saya dengan jig menggunakan semudah teknik ketuk dasar!

Sebenarnya, tiada satu cara mutlak yang betul dalam menggayakan jig.

Selagi jig bergerak dengan aksi yang boleh menarik perhatian ikan, teknik itu boleh berhasil.

Namun bagi pemula, mendapatkan rentak awal memang agak kekok. Tangan cepat penat, timing tidak sekata, dan kadang-kadang kita sendiri tidak pasti apa yang jig sedang buat di dalam air.

Sebab itu saya cadangkan bermula dengan teknik yang mudah dahulu.

Teknik Ketuk Dasar

Ini antara teknik paling mudah untuk pemula.

Caranya, jatuhkan jig sehingga sampai ke dasar. Apabila jig sudah mencecah dasar, gerakkan rod pendek-pendek supaya jig mengetuk atau melantun berhampiran lantai laut.

Teknik ini boleh meniru ikan kecil, sotong atau hidupan dasar yang sedang bergerak berhampiran struktur.

Ia sangat sesuai digunakan untuk ikan dasar seperti kerapu, jenahak dan kadang-kadang spesies lain yang bermain rendah di kolum air.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, teknik semudah ini pernah memberi hasil yang sangat baik. Isteri saya pernah menaikkan GT seberat 11kg menggunakan jig dengan teknik ketuk dasar.

Kelemahan teknik ini ialah risiko jig tersangkut lebih tinggi, terutama jika kawasan itu banyak batu, karang atau struktur. Jadi, gunakan dengan berhati-hati.

Teknik Lift and Fall

Teknik ini juga sangat sesuai untuk pemula.

Caranya mudah. Jatuhkan jig ke dasar. Angkat rod perlahan. Karau sedikit tali. Kemudian biarkan jig jatuh semula. Ulang dengan rentak yang sama.

Banyak ikan menyambar ketika jig sedang jatuh semula. Jadi, jangan terlalu fokus kepada henjutan sahaja. Perhatikan juga tali semasa jig jatuh. Jika tali tiba-tiba kendur, berhenti, atau terasa berat sebelum sampai dasar, kemungkinan jig sudah diambil ikan.

Teknik ini tidak terlalu memenatkan dan sangat baik untuk belajar membaca pergerakan jig.

Teknik Tiga Henjutan dan Pause

Teknik ini saya suka gunakan apabila mahu mencari ikan yang bermain berhampiran dasar atau pertengahan air.

Caranya, jatuhkan jig ke dasar. Kemudian henjut rod sambil karau tali sebanyak tiga kali. Selepas itu, berhenti seketika. Ulang perkara yang sama beberapa kali.

Pause atau berhenti seketika itu penting. Kadang-kadang sambaran berlaku bukan ketika jig sedang laju bergerak, tetapi ketika jig berhenti, melayang atau jatuh semula.

Teknik ini berkesan untuk spesies seperti ebek, gerong belang dan ikan yang bermain di kolum bawah.

Teknik Long Fall

Long fall ialah variasi yang memberi tumpuan kepada aksi jig ketika jatuh.

Caranya, angkat rod lebih tinggi dan perlahan untuk memberikan jig pergerakan naik yang panjang. Kemudian turunkan rod dan biarkan jig jatuh dengan lebih bebas.

Teknik ini sangat sesuai apabila ikan lebih cenderung menyerang jig semasa ia jatuh, atau on the drop.

Jig yang sesuai untuk long fall biasanya jig yang boleh menghasilkan aksi flutter, melayang atau beralun ketika jatuh. Sebab itu jig asimetri sering menjadi pilihan untuk teknik ini.

Slow Pitch Jigging

Slow pitch jigging ialah teknik yang lebih halus dan berirama.

Fokus utama slow pitch bukan pada kekuatan henjutan, tetapi pada cara rod menghidupkan aksi jig dan cara jig jatuh semula di dalam air.

Jig slow pitch biasanya direka untuk beraksi ketika jatuh, seolah-olah ikan kecil yang cedera atau lemah.

Teknik ini sesuai apabila ikan tidak terlalu aktif, bermain di dasar, atau tidak mahu mengejar jig yang terlalu laju.

Walaupun namanya “slow”, teknik ini bukan bermaksud malas atau tidak bergerak. Ia tetap memerlukan kawalan, rentak dan kepekaan.

Dalam slow pitch jigging, rod banyak digunakan untuk menghidupkan aksi jig, manakala ketika melawan ikan, pemancing perlu lebih bergantung kepada kekuatan reel, drag dan kawalan tali.

Sebab itu rod slow pitch tidak wajar dipaksa seperti rod popping atau rod jigging berat biasa.

Fast Jigging

Fast jigging pula lebih agresif.

Teknik ini menggunakan henjutan dan karauan yang lebih laju untuk meniru ikan kecil yang sedang melarikan diri.

Ia sesuai apabila ikan aktif memburu, terutama spesies pelagik seperti tenggiri, aya, tuna atau GT.

Teknik ini boleh menjadi sangat berkesan, tetapi lebih memenatkan. Jika anda baru belajar, jangan paksa diri bermain fast jigging sepanjang hari.

Gunakan teknik ini apabila keadaan sesuai, misalnya apabila ada tanda ikan aktif, boiling, burung menyambar di permukaan, atau sonar menunjukkan ikan bermain di kolum pertengahan.

Cara Mengesan Jig Dimakan Ikan

Dalam jigging, sambaran ikan tidak selalu berlaku dalam bentuk hentakan kuat.

Kadang-kadang ia terasa seperti jig tiba-tiba berat. Kadang-kadang tali tiba-tiba kendur. Kadang-kadang jig berhenti sebelum sampai dasar. Ada juga sambaran yang terasa seperti sentapan kasar di hujung rod.

Tanda-tanda jig dimakan ikan termasuk:

TandaMaksud Kemungkinan
Tali tiba-tiba beratKemungkinan ikan mengambil jig, jig tersangkut, atau jig terkena struktur. Tegangkan tali dahulu sebelum membuat hookset.
Jig berhenti sebelum sampai dasarIkan menyambar ketika jig jatuh
Tali tiba-tiba kendurIkan mengambil jig dari bawah atau jig jatuh di atas ikan
Ada hentakan kasarIkan menyerang jig secara agresif
Rod melentur mengejutIkan sudah hook-up
Getaran pelik pada taliIkan menyentuh, mengejar atau menyambar jig

Kunci utamanya ialah sentiasa peka kepada tali.

Banyak sambaran berlaku ketika jig sedang jatuh. Ketika ini, pemancing baru sering terlepas peluang kerana menyangka jig masih turun seperti biasa.[7]

Sambaran ketika jig jatuh biasanya lebih sukar dikesan kerana tali sedang keluar atau kendur.

Sebab itu pemancing perlu melihat pergerakan tali, bukan hanya bergantung kepada rasa pada rod.

Jika anda rasa sesuatu yang pelik, tegangkan tali dan bersedia untuk hookset.

Apa Perlu Buat Bila Ikan Makan Jig?

Apabila rasa jig sudah dimakan ikan, perkara pertama ialah tegangkan tali.

Jangan terus panik. Jangan juga biarkan tali kendur terlalu lama.

Tali yang kendur boleh menyebabkan mata kail tidak tertancap dengan baik atau ikan mudah meluahkan jig.

Selepas tali tegang, lakukan sentapan atau hookset dengan kemas. Tidak semestinya perlu menyentap terlalu ganas, tetapi cukup untuk memastikan assist hook tertancap.

Di air dalam, hookset boleh menjadi kurang efektif bukan kerana braided line banyak regangan, tetapi kerana jarak yang jauh, lengkungan tali akibat arus, tekanan air pada tali dan kedudukan jig yang mungkin tidak menegak di bawah bot.

Selain itu, arus, lengkungan tali dan tekanan air pada tali juga boleh mengurangkan pemindahan tenaga ke mata kail.

Sebab itu penting untuk memastikan tali sentiasa tegang sebelum melakukan hookset.

Jika menggunakan braided line, jangan samakan ia dengan monofilament.

Braided line kurang regangan, tetapi dalam air dalam, faktor jarak, arus dan belly pada tali tetap memberi kesan kepada hookset.

Selepas ikan benar-benar lekat, barulah fokus kepada kawalan drag, sudut rod dan tekanan sepanjang pertarungan.

Cara Melawan Ikan Dengan Betul

Teknik melawan ikan

Salah satu masalah pemancing baru ialah terlalu panik apabila ikan besar menyambar.

Ada yang terus mengetatkan drag. Ada yang mengangkat rod terlalu tinggi. Ada yang berhenti mengarau ketika ikan berenang ke arah bot. Ada juga yang terlalu memaksa ikan naik sebelum ikan benar-benar lemah.

Dalam jigging, melawan ikan memerlukan ketenangan.

Jangan Angkat Rod Terlalu Tinggi

Elakkan mengangkat rod terlalu tinggi melebihi sudut yang selamat.

Jika rod diangkat terlalu tegak, tekanan tidak lagi diagihkan dengan baik pada blank rod. Keadaan ini boleh menyebabkan rod patah, terutama apabila ikan membuat larian mengejut.

Pastikan sudut rod terkawal. Gunakan kekuatan rod, reel dan drag secara seimbang.

Gunakan Drag Dengan Betul

Drag terlalu ketat boleh menyebabkan tali putus, hook terbuka atau leader kalah pada geseran.

Drag terlalu longgar pula memberi peluang ikan masuk ke karang, struktur atau kawasan berbahaya.

Sebelum mula jigging, tetapkan drag pada tahap yang sesuai. Jangan tunggu ikan besar makan baru mahu mencari setting drag yang betul.

Jika ikan membuat larian kuat, biarkan drag bekerja. Jangan lawan secara kasar. Apabila ikan mula perlahan, barulah ambil semula tali sedikit demi sedikit.

Sebagai panduan mudah, tetapkan drag pada tahap yang cukup untuk menahan larian ikan, tetapi masih boleh memberi tali apabila ikan membuat larian mengejut.[8]

Kekalkan Tali Tegang

Tali yang kendur ialah salah satu punca ikan terlucut.

Jika ikan berenang ke arah bot, karau tali dengan cepat untuk mengekalkan ketegangan. Jika ikan lari menjauh, kawal tekanan dan jangan biarkan tali terlalu longgar.

Sepanjang pertarungan, matlamat utama ialah memastikan hubungan antara rod, tali, hook dan ikan sentiasa kemas.

Gunakan Teknik Pumping

Teknik pumping ialah cara menaikkan ikan dengan lebih terkawal.

Angkat rod perlahan untuk menarik ikan naik. Kemudian turunkan rod sambil mengarau tali. Ulang proses ini secara konsisten.

Jangan mengarau ketika rod sedang menanggung tekanan maksimum jika reel terasa berat. Gunakan rod untuk mengangkat ikan, dan reel untuk mengambil tali.

Teknik ini mengurangkan tekanan berlebihan pada reel dan membantu pemancing mengawal ikan dengan lebih baik.

Untuk lebih mudah faham, anda boleh lihat contoh pergerakan teknik pumping dalam video di bawah.

Jangan Paksa Ikan Naik Terlalu Awal

Jika ikan masih kuat, jangan terlalu memaksa.

Biarkan ikan menggunakan tenaganya dahulu sambil anda mengawal tekanan. Apabila larian ikan semakin pendek dan pergerakannya mula perlahan, barulah naikkan ikan dengan lebih konsisten.

Ikan besar biasanya berjaya dinaikkan bukan kerana kita lebih kasar, tetapi kerana kita sabar mengekalkan tekanan yang betul.

Faktor Arus, Angin, Cuaca dan Kedalaman

Penggunaan Sonar untuk mengesan kedudukan ikan

Dalam jigging, keadaan persekitaran sangat mempengaruhi cara jig bergerak.

Jig yang sama boleh beraksi dengan baik dalam satu keadaan, tetapi menjadi tidak sesuai dalam keadaan lain.

FaktorKesan Kepada JiggingTindakan
Arus kuatJig sukar turun menegakGuna jig lebih berat atau lebih tirus
Arus perlahanJig lebih mudah dikawalGuna slow jig atau jig lebih ringan
Angin kuatBot cepat hanyutBetulkan drift atau tukar spot
Air dalamJig perlu lebih cepat turunNaikkan berat jig
Cuaca burukRisiko keselamatan meningkatTangguh trip
Ikan pasifKurang sambaranPerlahan rentak dan tambah pause
Ikan aktifSambaran lebih agresifCuba fast jig atau karauan laju

Arus Laut

Arus ialah antara faktor paling penting dalam jigging.

Jika arus terlalu kuat, jig ringan akan hanyut jauh dari bot dan sukar sampai ke dasar. Dalam keadaan ini, gunakan jig lebih berat atau jig yang lebih tirus supaya ia dapat menembusi arus dengan lebih baik.

Jika arus perlahan, jig lebih mudah dikawal. Anda boleh menggunakan jig yang lebih ringan atau slow jig yang mempunyai aksi flutter lebih jelas.

Namun, arus terlalu mati juga kadang-kadang membuatkan ikan kurang aktif. Sebab itu pemancing perlu belajar menyesuaikan teknik, bukan sekadar menukar jig.

Angin dan Drift Bot

Angin mempengaruhi arah dan kelajuan bot hanyut.

Jika bot hanyut terlalu laju, jig akan cepat terseret. Ini menyukarkan pemancing mengekalkan jig dalam zon sasaran.

Dalam keadaan begini, anda boleh menggunakan jig lebih berat, menukar bentuk jig, atau meminta tekong membetulkan drift jika keadaan mengizinkan.

Jigging paling mudah dikawal apabila jig turun hampir menegak di bawah bot.

Kedalaman Air

Semakin dalam air, semakin penting pemilihan berat jig.

Di air dalam, jig terlalu ringan akan mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke dasar. Ia juga mudah dihanyutkan arus.

Namun, jangan hanya fikir “air dalam mesti jig berat”. Bentuk jig, diameter tali dan kekuatan arus juga memainkan peranan.

Kadang-kadang jig 150g sudah memadai. Kadang-kadang di lokasi lain, 200g pun masih terlalu ringan.

Gunakan rasa di hujung tali sebagai panduan.

Cuaca

Cuaca yang baik membantu pemancing mengawal jig dengan lebih selesa.

Angin kuat, ombak tinggi atau ribut bukan sahaja menyukarkan jigging, malah boleh membahayakan keselamatan. Jika cuaca tidak sesuai, lebih baik tangguhkan trip.

Ikan boleh dicari pada hari lain. Keselamatan tidak patut dikompromi.

Semakan cuaca, angin dan keadaan laut penting sebelum turun jigging, terutama jika trip melibatkan bot kecil atau kawasan laut terbuka

Kesilapan Biasa Pemula Dalam Jigging

Pemula biasanya bukan gagal kerana tidak ada ikan. Banyak kali, masalah sebenar ialah teknik, setup dan pemilihan jig belum sesuai.

Antara kesilapan biasa ialah menggunakan jig terlalu ringan sehingga tidak sampai dasar. Apabila jig tidak berada dalam zon ikan, peluang mendapat sambaran menjadi rendah.

Kesilapan kedua ialah terlalu kerap menukar jig tetapi tidak mengubah teknik. Kadang-kadang jig sudah sesuai, tetapi rentak terlalu laju atau terlalu perlahan.

Kesilapan ketiga ialah drag terlalu ketat. Ini boleh menyebabkan tali putus apabila ikan membuat larian mengejut.

Kesilapan keempat ialah tidak mengekalkan tali tegang. Banyak ikan terlucut kerana tali kendur selepas hookset.

Kesilapan kelima ialah mengangkat rod terlalu tinggi ketika melawan ikan. Ini boleh menyebabkan rod patah.

Kesilapan keenam ialah menggunakan assist hook yang tidak sepadan dengan saiz jig. Hook terlalu kecil, terlalu besar, terlalu pendek atau terlalu panjang boleh mengurangkan peluang hook-up.

Kesilapan terakhir ialah menggunakan setup terlalu berat. Pemancing cepat penat, rentak hilang, dan akhirnya jig tidak dimainkan dengan konsisten.

Dalam jigging, konsisten lebih penting daripada gaya yang nampak hebat.

Keselamatan Ketika Jigging

Jigging biasanya dilakukan dari bot, kadang-kadang di laut terbuka dan kawasan air dalam. Sebab itu keselamatan perlu diberi perhatian serius.

Pakai jaket keselamatan, terutama ketika bot bergerak, laut bergelora atau cuaca tidak menentu. Jangan hanya bawa jaket keselamatan dalam bot tetapi tidak memakainya.[9]

Jaket keselamatan paling berguna apabila dipakai, bukan sekadar dibawa di dalam bot

Semak ramalan cuaca sebelum turun. Jika angin kuat, ribut atau laut terlalu bergelora, tangguhkan trip.

Pastikan bot, enjin dan peralatan komunikasi dalam keadaan baik. Bawa air minum yang mencukupi, makanan ringan, ubat mabuk laut jika perlu, dan maklumkan kepada orang lain lokasi trip anda.

Berhati-hati juga dengan jig dan assist hook. Jig berat yang berayun di atas bot boleh mencederakan orang lain. Mata kail jigging biasanya sangat tajam, jadi jangan letakkan jig merata-rata di lantai bot.

Jika badan sudah terlalu letih, berehat. Jigging memerlukan tenaga. Memaksa diri dalam keadaan penat boleh menyebabkan kita hilang fokus dan mudah melakukan kesilapan.

Soalan Lazim Tentang Jigging

Apakah setup jigging terbaik untuk pemula?

Untuk kebanyakan pemula, setup light jigging PE 1–2 dengan jig sekitar 40g–120g adalah pilihan yang seimbang. Ia cukup ringan untuk belajar dan masih praktikal untuk banyak spesies laut di Malaysia.

Apa beza slow jig dan speed jig?

Slow jig biasanya direka untuk menghasilkan aksi flutter atau jatuhan beralun. Ia sesuai untuk slow pitch, long fall dan ikan yang kurang aktif. Speed jig pula lebih tirus dan laju menembusi air, sesuai untuk karauan pantas dan ikan yang aktif memburu.

Bolehkah guna spinning reel untuk jigging?

Ya, spinning reel sangat sesuai untuk pemula. Ia mudah digunakan, mudah dikawal dan praktikal untuk light jigging serta micro jigging.

Perlu guna leader atau tidak?

Ya, leader sangat digalakkan. Leader melindungi tali utama daripada geseran dengan karang, batu, badan ikan, gigi ikan atau bahagian bot.

Bagaimana tahu jig sudah sampai dasar?

Anda akan rasa tali tiba-tiba mengendur, putaran spool berhenti, atau ada sedikit hentakan halus di hujung rod. Dalam keadaan arus laju atau bot hanyut, kenalpasti dasar boleh jadi lebih susah. Sebab itu pemancing perlu peka kepada perubahan tegangan tali, bukan sekadar bergantung kepada perasaan.

Bagaimana tahu ikan sudah makan jig?

Tanda biasa ialah tali tiba-tiba berat, jig berhenti sebelum sampai dasar, ada hentakan kasar, tali kendur secara pelik, atau rod melentur mengejut. Banyak sambaran berlaku ketika jig sedang jatuh, jadi sentiasa peka kepada apa-apa pergerakan luar biasa di hujung tali.

Kenapa jig selalu tersangkut?

Jig mudah tersangkut jika dimainkan terlalu rapat dengan dasar berbatu, karang atau struktur. Teknik ketuk dasar memang berkesan, tetapi risikonya lebih tinggi di kawasan seperti ini. Tips: Sebaik sahaja anda rasa jig mencecah dasar, segera karau tali 1-2 pusingan supaya jig tidak dibiarkan terbaring dan terselit di celah karang.

Jigging sesuai untuk ikan apa?

Jigging boleh digunakan untuk banyak spesies seperti kerapu, jenahak, ebek, aya, tenggiri, GT, tuna dan amberjack. Spesies sebenar bergantung kepada lokasi, kedalaman dan keadaan laut.

Adakah jigging memenatkan?

Ya, jigging boleh memenatkan, terutama jika menggunakan jig berat atau teknik fast jigging. Sebab itu pemula lebih sesuai bermula dengan setup ringan dan teknik yang mudah dahulu.

Bolehkah jigging dilakukan dari pantai atau jeti?

Boleh, tetapi teknik itu lebih dikenali sebagai shore jigging. Jig yang digunakan biasanya disesuaikan dengan jarak lontaran, kedalaman kawasan dan spesies sasaran.

Apa beza micro jigging dan jigging biasa?

Micro jigging menggunakan jig yang lebih kecil dan ringan, biasanya sekitar 10g–60g. Ia sesuai untuk kawasan cetek, ikan kecil hingga sederhana, dan setup yang lebih ringan. Jigging biasa pula boleh menggunakan jig lebih berat untuk air lebih dalam atau ikan lebih besar.

Apa perlu dibuat selepas pulang dari trip jigging?

Bilas rod, reel, jig, hook dan terminal tackle dengan air tawar. Keringkan sebelum disimpan. Periksa leader, assist hook, split ring dan jig yang sudah calar atau rosak. Air masin boleh mempercepatkan karat jika peralatan tidak dijaga.

Bolehkah saya guna rod pancing dasar (bottom) biasa untuk jigging?

Boleh, tetapi kurang efektif. Rod dasar biasanya terlalu keras atau panjang, menyukarkan anda memberi aksi (flutter/pantulan) yang betul pada jig, dan tangan akan lebih cepat letih.

Adakah wajib guna mata kail tunggal (single assist hook) atau boleh guna mata kail tiga (treble hook)?

Untuk jigging di laut, assist hook lebih digalakkan berbanding treble hook. Ia mengurangkan risiko sangkut di karang dan lebih mudah tertancap kemas di mulut ikan berbanding treble hook yang mudah terbuka apabila ditarik ikan besar

Penutup

Jigging memang nampak teknikal pada awalnya. Ada banyak istilah, banyak jenis jig, banyak gaya dan banyak pilihan setup.

Tetapi asasnya tidak serumit yang disangka.

Untuk mula belajar, anda hanya perlu faham tiga perkara: pilih jig yang sesuai, pastikan jig berada dalam zon ikan, dan belajar membaca rasa di hujung tali.

Selebihnya akan datang melalui pengalaman.

Semakin banyak kita turun ke laut, semakin kita faham bahawa jigging bukan sekadar menghenjut besi. Ia adalah seni membaca arus, kedalaman, gerakan bot, perangai ikan dan rentak diri sendiri sebagai pemancing.[10]

Kadang-kadang hasil datang cepat. Kadang-kadang satu hari penuh hanya menjadi sesi belajar. Tetapi itulah bahagian menarik dalam jigging.

Setiap jatuhan jig mengajar kita sesuatu.

Nota kaki

  1. Shimano menjelaskan bahawa bentuk dan titik pemberatan jig mempengaruhi cara jig bergerak di dalam air. Jig yang panjang dan tirus lazimnya turun lebih cepat serta lebih mudah memotong arus. Sebaliknya, jig yang lebih lebar menghasilkan aksi flutter atau melayang yang lebih ketara ketika jatuh. Oleh sebab itu, bentuk jig sering dipilih berdasarkan keadaan arus dan cara ikan sedang memburu mangsa. Benny Ortiz, “Jig Selection: Choosing the Right Jig for the Situation,” (Shimano Fishing) ↩︎
  2. Berat jig tidak ditentukan oleh kedalaman semata-mata. Faktor lain seperti kekuatan arus, kelajuan hanyutan bot (drift), bentuk jig dan kedudukan ikan dalam kolum air turut mempengaruhi keupayaan jig untuk sampai ke zon sasaran. Atas sebab ini, pemancing jigging biasanya membawa beberapa berat jig yang berbeza dalam satu trip. ↩︎
  3. Keupayaan ikan melihat warna berubah mengikut kedalaman air Ramai pemancing menggunakan panduan sekitar satu pertiga daripada kekuatan tali sebagai titik permulaan untuk tetapan drag. Namun nilai sebenar bergantung kepada spesies sasaran, struktur di kawasan pancingan dan kekuatan rod yang digunakan. tahap penembusan cahaya. Dalam air yang lebih dalam, warna merah lazimnya hilang terlebih dahulu, diikuti warna-warna lain. Walau bagaimanapun, siluet, kontras dan aksi jig sering memainkan peranan yang lebih besar daripada warna semata-mata. John E. Randall, Reef and Shore Fishes of the South Pacific, University of Hawaii Press, 2005. ↩︎
  4. Diameter tali yang lebih kecil membolehkan jig turun dengan lebih cepat dan mengurangkan kesan tolakan arus. Inilah sebab utama braided line digunakan secara meluas dalam jigging moden berbanding monofilament. ↩︎
  5. Fluorocarbon mempunyai ketahanan lelasan yang tinggi dan lebih tahan geseran apabila bergesel dengan struktur seperti karang, bangkai kapal atau batu. Oleh sebab itu, penggunaan leader fluorocarbon menjadi amalan biasa dalam jigging. ↩︎
  6. Assist hook lazimnya dipasang pada bahagian kepala jig kerana kebanyakan ikan pemangsa menyerang bahagian atas atau tengah jig ketika ia bergerak. Susunan ini juga membantu mengurangkan risiko mata kail tersangkut pada dasar atau karang semasa jig jatuh. Capt. John McMurray, “Vertical Jigging Basics,” (Salt Water Sportsman) ↩︎
  7. Pemancing perlu memberi perhatian ketika jig sedang jatuh kerana sambaran sering berlaku pada fasa tersebut. Ia turut menyebut bahawa sekitar 70% sambaran boleh berlaku ketika jig jatuh, bergantung kepada teknik dan keadaan ikan. Sam Hudson, “Offshore Jigging Tactics,” (Salt Water Sportsman) ↩︎
  8. Ramai pemancing menggunakan panduan sekitar satu pertiga daripada kekuatan tali sebagai titik permulaan untuk tetapan drag. Namun nilai sebenar bergantung kepada spesies sasaran, struktur di kawasan pancingan dan kekuatan rod yang digunakan. Sami Omari, “Setting reel drag,” (Fishing World Australia) ↩︎
  9. U.S. Coast Guard menekankan bahawa setiap orang di atas bot rekreasi perlu mempunyai wearable PFD/life jacket yang sesuai, mudah dicapai dan berada dalam keadaan baik. Mereka turut menyarankan life jacket dipakai ketika bot sedang bergerak kerana ia hanya benar-benar membantu apabila dipakai. (US Coast Guard Boating) ↩︎
  10. NOAA menjelaskan bahawa arus pesisir dan muara ialah pergerakan air dari satu kawasan ke kawasan lain, manakala ramalan arus biasanya merangkumi masa serta kelajuan maksimum arus masuk, arus keluar dan tempoh slack water. Dalam konteks ekologi ikan, kajian Eggertsen, Hammar dan Gullström turut menunjukkan bahawa aliran arus pasang surut boleh mempengaruhi tingkah laku ikan, termasuk menjadikan kawasan tertentu lebih menarik kerana arus membawa nutrien dan sumber makanan. (“Effects of tidal current-induced flow on reef fish behaviour and function on a subtropical rocky reef,” Marine Ecology Progress Series, Vol. 559) ↩︎

Leave a Comment