Kelebihan Mengamalkan Sunnah Nabi Dalam Kehidupan Moden

sunnah nabiNabi Muhammad SAW telah meninggalkan legasi cara hidup dan cara fikir yang telah direkodkan secara teliti serta dijaga oleh keluarga, sahabat, dan ulama di sepanjang zaman.

Untuk mencuba mengikut gaya hidup baginda ini – walaupun dalam perkara kecil seperti cara baginda tidur atau makan – adalah sumber tenaga spiritual dan produktiviti.

Dalam buku Healing Body & Soul oleh Amira Ayad memberikan gambaran kekuatan yang diperoleh hasil mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Antara yang dikongsikan daripada buku tersebut:

Suatu masa dahulu, ketika tentera Muslim melawan Empayar Parsi, Muslim telah dikalahkan dalam beberapa pusingan pertama pertempuran mereka.

Maka komander mereka, Sa’ad bin Abi Waqqas mengumpulkan tentera-tenteranya untuk menilai kembali sumber-sumber dan kekuatan mereka.

Tentera muslim mempunyai jumlah tentera yang ramai dan sumber-sumber yang baik.

Jadi, apa masalah sebenar mereka?

Sa’ad menyimpulkan bahawa kekalahan ini semestinya adalah balasan Allah terhadap dosa mereka.

Jadi dia mengarahkan kesemua mereka agar bertaubat dan meminta keampunan Allah serta menilai kembali jika ada dosa yang mereka lakukan atau ibadah yang mereka tinggalkan.

Kesemua mereka adalah Muslim yang baik, yang mempunyai niat yang mulia dan semangat untuk melawan musuh.

Namun, dia masih bertegas, mesti ada suruhan Allah dan Rasul yang mereka tinggalkan.

Maka mereka menyemak kembali setiap ibadah wajib dan tidak wajib mereka, dan segala sunnah Rasulullah SAW untuk mencari titik kelemahan mereka.

Akhirnya Sa’ad menyedari bahawa mereka telah mengabaikan sunnah ‘siwak’ atau bersugi, iaitu menggunakan akar pokok sebagai berus gigi.

Mereka tidak menggunakan siwak sebagaimana Rasulullah lakukan sebelum solat.

Betapa peliknya: tentera ini menyangka bahawa kelemahan mereka adalah kerana tidak memberus gigi mereka lima kali sehari!

Sa’ad mengarahkan supaya kayu siwak diedarkan kepada setiap anggota tentera dan mengarahkan mereka untuk mengikuti sunnah.

Tiada yang melawan, tiada yang mempersoalkan logik komander mereka.

Tiada yang mengatakan bahawa siwak tiada kaitan dengan menang atau kalah dalam melawan tentera paling hebat atas muka bumi.

Dalam masa yang sama, pihak parsi menghantar beberapa orang perisik untuk meninjau kem tentera muslim.

Orang parsi pada waktu itu menganggap orang Arab adalah primitif dan tidak bertamadun.

Jadi bila perisik-perisik mereka sampai di kem-kem tentera Arab, mereka melihat tentera muslim sedang memberus gigi mereka dengan kayu.

Mereka gagal memahami apa yang sedang berlaku.

Salah seorang daripada mereka mula menjerit:

Mereka sedang menajamkan gigi mereka untuk memakan kita hidup-hidup. Mereka adalah kanibal!

Perisik-perisik parsi lari balik ke kem mereka dan berita tersebut tersebar dengan cepat.

Seluruh tentera parsi panik dan kebanyakkan kubu ditinggalkan dan jatuh dengan mudah ke dalam tangan muslim. 1

Kisah ini menggambarkan bahawa tiada satu pun yang remeh berkenaan mengikuti sunnah Nabi.

Kita mungkin menyangka ini hanyalah tradisi yang tidak penting (tanpa mengambil kira kebaikan saintifiknya) tetapi izinkan saya untuk meletakkannya dalam konteks berbeza.

Nabi Muhammd SAW diberikan petunjuk oleh Allah dalam setiap aspek kehidupannya.

Sekiranya saya mencari contoh untuk cara hidup yang benar-benar produktif, bukankah cara hidup baginda yang patut diikuti?

Kedua, bayangkan ganjaran daripada Allah apabila Dia melihat kita mengikuti tabiat dan perbuatan hamba-Nya yang paling dicintai.

Allah menyifatkan dalam al-Quran:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Surah Al-Ahzaab ayat 21

Kita mahu menjadi produktif?

Mahu memaksimakan ganjaran di akhirat?

Ikuti contoh sunnah Nabi kita dalam perkara yang besar mahupun kecil.

Terdapat banyak kajian saintifik yang membuktikan kebaikan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian.

Ini adalah beberapa contoh:

A. Makan dengan tangan kanan

Nabi Muhammad SAW menggalakkan makan dengan tangan kanan.

Umar bin Abi Salama meriwayatkan:

Aku merupakan budak suruhan Rasulullah dan tangan aku selalu bergerak sekitar hidangan ketika makan. Lalu Rasulullah berkata kepadaku, ‘Wahai budak! Sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kanan dan makan hidangan apa yang paling dekat denganmu’. Setelah itu aku telah mengamalkan semua suruhan itu ketika makan.

— Bukhari

Terdapat berjuta saraf di hujung jari kita yang menghantar maklumat penting ke perut kita tentang apa yang kita bakal makan, termasuklah suhu makanan, jumlah makanan dan sebagainya.

Jadi, menyentuh makanan dengan tangan akan memberi ‘amaran awal’ kepada perut kita.

Ia juga membantu melepaskan jus-jus penghadaman dan enzim di dalam perut.


B. Tidur mengiring ke sebelah kanan

Nabi Muhammad SAW selalu tidur mengiring di sebelah kanan.

Kajian membuktikan manfaat gaya tidur seperti ini dan bagaimana ia membaiki postur tubuh¹ dan menambahbaikkan mimpi².

  1. Membaiki postur tubuh: “Menghalang sakit leher dan belakang, merendahkan refluks asid, mengurangkan dengkur, tidur ketika mengandung 2
  2. Menambahbaikkan mimpi: Para saintis Turki menemui bahawa orang yang tidur di sebelah kanan mengalami mimpi yang lebih selesa, bersifat kelegaan, kegembiraan, ketenteraman dan cinta. Mereka juga melaporkan mendapat rehat yang lebih baik dan lebih berfungsi bila terjaga. 3

C. Menggunakan Siwak

Siwak (juga dikenali sebagai miswak atau bersugi) adalah akar organik pokok yang telah digunakan berabad lamanya sebagai cara penjagaan oral.

Nabi Muhammad SAW menggalakkan penggunaannya sebelum solat dan sebelum membaca al-Quran.

Dalam sebuah hadis, baginda bersabda:

Jika tidak aku mendapati sukar untuk pengikutku dan orang ramai, sudah pasti aku mengarahkan mereka untuk membersihkan gigi mereka dengan siwak untuk setiap kali solat

— Bukhari

Kajian menunjukkan penggunaan siwak dapat mengurangkan pembentukan plak dan menguatkan enamel serta mengurangkan pereputan gigi.

Penutup

Perkataan “sunnah” digunakan untuk menggambarkan kehidupan dan ajaran Nabi.

Sunnah adalah panduan utama untuk memimpin kehidupan yang produktif dan berjaya.

Namun, kadang-kadang kita mengabaikan sunnah, tetapi dalam masa yang sama kita mengoggle “cara untuk berjaya / pintar / produktif”.

Sedangkan sunnah Nabi telah meninggalkan kita permata yang bernilai tentang bagaimana melakukan itu.

Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments