Memahami Aksi Renangan Gewang Selaman

aksi renangan gewang megabass DeepX 201

Pemancing yang cemerlang dengan gewang biasanya akan buat dua perkara dengan bagus:

  • Pertama sekali, mereka memahami aksi setiap gewang yang memberi mereka hasil.
  • Kedua, mereka bijak menyesuaikan aksi renangan gewang dengan keperluan dan situasi padang pancing.

Tetapi anda mungkin tertanya-tanya:

Bagaimanakah saya boleh tahu dan faham setiap perbezaan aksi renangan gewang yang sesuai dengan keperluan saya?

Hari ini saya akan perkara ini mudah untuk anda.

Apa yang anda hanya perlu adalah luangkan masa beberapa minit untuk memahami setiap jenis aksi renangan gewang dalam artikel dibawah:

 

Mengapa Ikan Menyerang Gewang Anda?

magrove jack on tiemco mad pepper

Apa yang menyebabkan ikan menyerang gewang anda walaupun rupanya seperti badut?

Secara asasnya, kebanyakkan gewang dicipta untuk meniru secara samar-samar ikan kecil, udang, ketam, sotong dan makanan lain apabila ditarik di dalam air.

Namun terdapat juga gewang yang langsung tidak menyamai apa-apa hidupan, tetapi tetap berkesan. Contohnya spinnerbait (janggut)

Mengapa fenomena ini terjadi?

Sebenarnya ada tiga sebab ikan menyerang gewang:

  1. Sebab ikan laparlah. kikiki >.<
  2. Sebab reaksi ikan yang ingin mempertahankan wilayah
  3. Sebab ingin tahu (curiga).

Dalam kebanyakkan kes, saya lebih yakin bahawa sebab #2 dan #3 adalah faktor utama ikan menyerang gewang jenis keras.

(Faktor #1 saya rasa lebih terpakai kepada fly fishing dan soft plastics)

Sebab itu, gewang tidak perlu terlalu nampak realistik (seperti hidup), tetapi asalkan cukup ‘menggoda‘ untuk membuatkan ikan berasa curiga.

Pernah dengar tentang ‘sindrom cat basah?’

 

Sindrom Cat Basah yang Merangsang Rasa Curiga..

cat basah
Dapatkah anda meneka cat ini basah atau kering?

Cuba anda gantungkan penanda ‘cat basah‘ pada sesuatu objek dan letakkan objek itu di tempat orang lalu lalang.

Kemudian perhatikan berapa ramai orang yang melalui kawasan itu akan cuba menyentuh permukaan objek tersebut. Mereka akan membelek jarinya sekadar untuk mengesahkan betulkah cat itu basah?

Kebanyakkan orang pasti begitu, termasuklah anda.

Kesan psikologi ini bukan sahaja berlaku kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan. (dalam kes ini, ikan)

Jika ikan telah curiga terhadap sesuatu objek dan berminat untuk memeriksanya dengan lebih lanjut, ia akan mengambil objek itu dengan mulut untuk merasanya.

1

Ingat, ikan tiada tangan.

Jadi ikan akan meneroka dunianya dengan mulut.

Cuba perhatikan video dibawah bagaimana kelakuan ikan bila bertemu objek yang menarik perhatiannya:

Tapi kita sentiasa harus maklum bahawa tidak semua yang dicekup dengan mulutnya akan ditelan.

Mungkin 9 dari 10 kali, ia akan meluahkan kembali setelah mendapati ia bukanlah makanan.

Mungkin objek-objek tersebut hanyalah daun gugur, kertas, puntung rokok.

Sekarang cuba bayangkan objek tersebut adalah gewang kita yang bermata kail?

Pasti ia tidak dapat melepaskan diri. :-)

Oleh kerana sifat ikan merasa benda asing dengan mulut, maka kita boleh mengambil kesempatan ini dengan meningkatkan tahap godaan gewang kita..

.. sekurangnya-kurangnya dengan meniru saiz, warna dan aksi makanan sebenar mereka.

 

Jenis-Jenis Aksi Renangan Gewang Yang Perlu Anda Tahu

aksi renangan gewang permukaan
Aksi renangan gewang memainkan peranan lebih penting berbanding dengan warna gewang..

Didalam pasaran sekarang, terdapat pelbagai jenis gewang dihasilkan.

Selain dari terdapat ribuan pilihan warna yang menarik, aksi renangan gewang juga berbeza-beza mengikut fungsi gewang itu dicipta.

Namun artikel kali ini saya fokuskan aksi renangan gewang selaman berbadan keras (diving plugs).*

warna gewang vs aksi renangan gewang
Walaupun tanpa cat, gewang masih tetap dibaham.. ini menunjukkan aksi renangan gewang adalah lebih penting berbanding warna.

Untuk menghasilkan artikel ini, saya mengambil masa lebih dari satu minggu untuk membuat kajian tentang aksi-aksi gewang.

Setakat yang saya tahu, terdapat 6 jenis aksi renangan gewang selaman:

  • Wide Wobble (goyangan melebar)
  • Tight Wiggle (goyangan padat)
  • Rolling (bergelek)
  • Slalom (gerakan slalom berbentuk S)
  • Melilau / Sisi ke Sisi (Darting)
  • Vibrating (bergetar)

Saya akan cuba memberi maklumat sedetails yang mungkin dengan memasukkan contoh pergerakan dalam bentuk video supaya kita semua dapat faham dengan jelas.

 

1. Memahami Aksi “Wide wobble” dan “Tight Wiggle”


Pernah lihat dua perkataan di atas?

Biasanya, dua aksi ini adalah aksi yang paling mudah kita jumpa pada kebanyakkan gewang dalam pasaran.

Secara literal, kita boleh menterjemahkan dua aksi ini kepada:

  • Wide wobble = goyang lebar
  • Tight wiggle = goyang kecil

Namun apa yang lebih penting, adakah anda memahami secara terperinci mengenai gerak kerja kedua-dua aksi ini?

Jika masih belum, mari saya terangkan:

Perbezaan Mekanikal Wide Wobble dan Tight Wiggle

Apakah yang mewujudkan perbezaan signifikan antara dua aksi renangan ini?

— Kedudukan pivot (titik pangsi) pada gewang.

2

Pada gewang yang bersifat wide wobble (goyang lebar), pivot gewang ini terletak di tengah-tengah badan gewang.

Ini menyebabkan bahagian kepala dan ekor gewang mampu bergoyang bebas pada sudut yang luas, tetapi dalam aksi yang lebih perlahan.

Contoh terbaik anda boleh lihat pada gewang Abu Garcia Tormentor dan Zerek Barra-X 

Sebaliknya, titik pivot pada gewang tight wiggle (goyang padat) pula berada di depan gewang iaitu pada bahagian kepala.

Oleh itu, gewang tight wiggle hanya bergoyang pada bahagian ekor. (Kepalanya berfungsi sebagai paksi.)

Walaupun sudut goyangan gewang ini lebih kecil, tetapi gewang ini mampu memberikan goyangan dalam ritma yang yang kencang dan lebih stabil.

Sebab itulah ia nampak padat.

Contoh terbaik anda boleh lihat pada gewang Ofmer X-Deep dan Rapala Shad Rap

Dibawah saya sertakan lakaran saya untuk menerangkan kedudukan titik pivot pada gewang :

pivot aksi gewang
Perhatikan perbezaan kedudukan pivot antara gewang ‘wide wobble’ dan ‘tight wiggle’ dan kesannya terhadap goyangan gewang

Secara mudahnya:

  • Wide wobble – Sudut goyangan lebih lebar, tidak kemas dan perlahan
  • Tight wiggle – Sudut goyangan kecil, lebih stabil tetapi kencang
Nota:

Wobble adalah perkataan seerti dengan wiggle.

Mungkin sesetengah pengeluar melabel renangan gewang mereka sebagai tight wobble (sama maksud dengan tight wiggle)

 

3. Aksi Rolling (bergelek)


Bagaimana gewang mempunyai aksi rolling berfungsi?

Aksi rolling bekerja dengan sisi gewang bergolek ke kiri dan ke kanan (dan sebaliknya) secara tetap. Gewang ini biasanya bergantung kepada kilauan pada badannya untuk menarik perhatian ikan.

Ia juga boleh berfungsi sebagai jerkbait jika dihenjut (jerking) dan menghasilkan aksi melilau(darting).

Sebagai contoh gewang beraksi sebegini adalah Rapala Flat Rap, Megabass Flap Slap dan Duo Tide Minnow Slim.

 

4. Gerakan Slalom


Jika anda pernah menonton permainan ski atau longboard, anda pasti dapat idea bagaimana pergerakan slalom ini.

Ia adalah pergerakan meliuk lentuk dari kiri ke kanan (dan sebaliknya) dalam bentuk ‘S’.

3

Pergerakan ini biasa didapati pada gewang swimbait.

Berbeza dengan pergerakan jerkbait, pergerakan slalom adalah lebih lembut, menghasilkan selekoh pergerakan lebih luas dan lebih nampak natural.

 

5. Darting (Melilau / Dari Sisi ke Sisi)


Tidak dinafikan saya adalah peminat besar terhadap Jerkbait.

Jerkbait 4 akan menghasilkan aksi melilau dari satu sisi ke sisi yang sangat menarik. Ia biasanya akan membuat ikan gila.

Antara spesis yang tak mampu menahan aksi sebegini adalah siakap.

Berbeza dengan swimbait, jerkbait menukar arah dengan sudut lebih tajam dan kecil.

Biasanya profil gewang ini adalah bersifat suspending (mengampai). Apabila digabungkan dengan teknik henjut-henjut-berhenti-henjut, ia akan mimik ikan yang sakit.

Ia biasanya tidak akan ambil masa yang lama untuk dihentam ikan.

aksi gewang untuk siakap
Aksi jerkbait seperti Megabass Vision 110 memang menjadi kegilaan siakap putih

Antara gewang jerkbait kegemaran saya adalah Duo Jerkbait 100sp, Megabass Vision 110, Rapala Shadow Rap dan Evergreen Side Step.

 

6. Bergetar (vibration)


Aksi getaran ini selalunya terdapat pada gewang jenis lipless.

Contohnya Rapala Rattlin’

Getaran ini terjadi akibat kesan equilibrium yang tidak stabil yang terhasil semasa karauan, dan kecenderung tindakbalas gewang untuk mencapai semula keseimbangan equilibrium.

Sebab itu ia menghasilkan getaran yang kuat dan bunyi yang sangat bingit.

Semakin laju kita membuat karauan, semakin kuat getaran dan bingit bunyi yang dapat dihasilkan.

Umpan jenis ini bukanlah baru, malah sudah dicipta sejak tahun 1960-an lagi.

Tetapi keberkesanannya mampu membuat ikan berpaling disaat umpan lain tidak dihiraukan.

 

Faktor Utama Yang Mempengaruhi Aksi Renangan Gewang

aksi renangan gewang rapala flat rap

Banyak faktor yang mempengaruhi aksi renangan gewang.

Kedudukan pivot, lidah, bentuk, saiz, sudut lidah, dan keupayaan terapung / tenggelam. Semua ini akan memberi kesan secara tidak langsung kepada aksi renangan gewang.

Gewang secara umumnya dipengaruhi oleh tiga faktor:

  1. Bentuk badan gewang
  2. Keupayaan terapung / tenggelam
  3. Bentuk lidah gewang

Tiga perkara diatas adalah faktor asas yang akan mempengaruhi aksi renangan gewang dan tahap selaman (depth) gewang.

Mari kita ketahui dengan lebih lanjut bagaimana perkara-perkara ni mempengaruhi gewang anda:

1. Bagaimana bentuk badan gewang mempengaruhi aksi?


bentuk badan mempengaruhi aksi renangan gewang
Bentuk gewang memainkan peranan menentukan aksi renangan gewang

Rupa bentuk badan gewang akan menentukan aksi renangannya.

5

Gewang yang mempunyai bentuk badan yang lebih bulat akan mempamerkan aksi yang lebih melebar (wide wobbling). Contohnya Rapala Fat Rap

Manakala, gewang yang mempunyai bentuk yang lebih rata pada sisinya akan menunjukkan aksi lebih ketat (tight wiggle).

 

2. Gewang Terapung vs Gewang Tenggelam


Perkara yang jarang disebut apabila membincangkan tentang aksi gewang berlidah ialah kepentingan sifat apungannya.

aksi renangan gewang balsa
Kayu Balsa (Rapala Tail Dancer Deep) merupakan material gewang yang bagus kerana sifat apungannya yang baik.

Pada umumnya, gewang replika ikan jenis terapung mempunyai aksi yang lebih kuat dan lebih jelas berbanding gewang tenggelam.

Ini disebabkan oleh daya tentangan antara apungan positif gewang jenis terapung dan dorongan selam pada lidahnya yang membentuk ketidak-stabilan terkawal.

Oleh sebab itulah gewang bergelek dengan kencang.

Aspek lain ialah gewang berbibir jenis terapung biasanya mengekalkan aksinya pada kelajuan yang lebih rendah, berbanding gewang berbibir jenis tenggelam.

 

3. Kepentingan anatomi bentuk lidah gewang


 gewang abu garcia tormentor

Lidah gewang memainkan peranan sangat penting dalam menentukan kedalaman selaman dan aksi renangan gewang.

  • Panjang lidah akan menentukan tahap kedalaman selaman
  • Kelebaran lidah akan menentukan tahap goyangan gewang

Terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan panjang lidah gewang. Ia menentukan identiti gewang tersebut.

Memahami setiap jenis gaya lidah gewang akan menyelamatkan duit anda dari terbeli gewang yang tidak sesuai dengan kawasan perairan anda.

bentuk lidah gewang
Antara bentuk-bentuk lidah gewang

Secara umum, terdapat empat jenis bentuk asas lidah gewang

6

  1. Lidah bulat – Mudah untuk tersangkut. Sesuai dimainkan di kawasan dasar yang rata bebas dari halangan besar. Ianya memberikan aksi yang stabil. Bagus untuk perairan terbuka dan trolling.
  2. Lidah separa bulat – Aksinya lebih kurang sama dengan gewang berlidah bulat
  3. Lidah bersegi – Aksi lebih eratik berbanding lidah bulat kerana lidah bersegi menghasilkan halangan air yang lebih besar. Gewang ini lebih cenderung bergerak secara ‘melilau’ semasa karauan.
  4. Lidah berbentuk keranda – Ia adalah bentuk hybrid lidah bulat dan lidah bersegi. Ia sanga versatil dan baik untuk mengelak sangkut. Biasanya digunakan pada crankbait.
lidah gewang flap slap
Contoh lidah berbentuk keranda – Megabass Flap Slap (kredit gambar kepada Tackle Tour)

Terdapat lagi bentuk lidah gewang seperti Daun Willow dan Clover.

Selain dari menentukan tahap selaman dan aksi, bentuk lidah juga penting untuk deflection gewang, terutama apabila kita bermain dikawasan berbatu dan berkayu.

lidah gewang
Bentuk bibir memainkan peranan menentukan arah deflection semasa berlanggar dengan sesuatu struktur

Formula yang anda harus tahu:

memahami aksi gewang panjang dan lebar lidah
Kelebaran dan kepanjangan lidah akan memberi kesan kepada aksi dan tahap selaman gewang

Semakin panjang lidah gewang, semakin dalam renangan gewang tersebut.

Semakin lebar lidah gewang, semakin besar aksi goyangan. Semakin sempit permukaan lidah gewang, semakin ketat (padat) aksi goyangan.

Anda juga harus ingat bahawa semakin besar lidah gewang, semakin besar rintangan air akan terhasil.

Maka semakin sukar ia untuk menyelam lebih dalam dan dikarau.

Oleh itu pelbagai faktor harus diambil kira oleh pencipta gewang untuk menghasilkan gewang yang sempurna.

Bagaimana dengan sudut lidah gewang?


Sudut lidah memang memberi kesan terhadap selaman gewang, tetapi tidak sepenting panjang lidah.

Panjang lidah gewang akan mencipta daya untuk selaman yang lebih dalam..

.. tetapi sudut lidah gewanglah yang akan mengawal halatuju daya tersebut dan menyeimbangkan aksi renangan gewang tersebut supaya beraksi dengan stabil dan sempurna. 7

Apa yang dapat disimpulkan disini adalah:

  • Gewang dengan lidah selaman yang tidak terlalu lebar dan mempunyai badan yang kurus / nipis, akan mempunyai aksi yang lebih padat (tight wiggle)
  • Gewang yang gemuk/bulat serta lidah yang lebar akan mempunyai aksi yang lebih melebar (wide wobble)

Sebagai contoh perbandingan, kita boleh gunakan dua gewang dari keluarga Rapala, Shad Rap (paling nipis) VS Fat Rap (paling gemuk/bulat).

Manakala aksi Rapala DT adalah diantara kedua gewang diatas.

8

 

Kejayaan Gewang Bergantung Bagaimana Anda Memahaminya..

Kejayaan sesuatu sesi casting bukanlah bergantung kepada gewang semata-mata.

Apa yang paling penting adalah kita sendiri memahami dengan jelas setiap gewang yang kita gunakan.

gewang blackbass
Finally a blackbass that really gave me a run for my money! balls at throat kinda fish run!  — Roob Ganesan (DRAVE)

Sebagai contoh, gewang wide wobble selalunya efektif dalam air yang keruh, disasarkan untuk ikan yang sedang agresif, atau ikan pemalas.

Ia sangat sesuai dikarau perlahan dan digunakan untuk memujuk penyerang hendap seperti siakap merah.

Manakala gewang tight wiggle akan menjadi senjata berbisa apabila dalam air yang sangat jernih, berlaku perubahan suhu, ikan kurang agresif, dan pemalu.

Ia adalah ubat kepada ikan yang mengelak gewang yang gemuk dan berenang melebar.

Pemancing yang pintar sentiasa cuba menyesuaikan setiap gewang dengan keperluan situasi padang pancingnya, dan memperbaiki hasil dari masa ke semasa.

Rapala Shadow Rap Shad
Misi casting Kelisa dengan Rapala Shadow Rap Shad! #shadowrapshad — Da Fisho. (Rapala South East Asia)

Jika terdapat kesalahan pada artikel ini, mohon perbetulkan saya pada ruangan komen di bawah.

Semoga kita semua dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat.

Nota:

  • Sumber rujukan saya dalam memperincikan artikel ini disertakan dalam format 9 dalam artikel diatas.
  • Credit kepada gambar hebat sifu Roob Ganesan dan Rapala Southeast Asia.
  • Tulisan saya ini juga turut disiarkan di dalam portal Majalah Sirip Malaysia

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

20 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Mark
Mark
3 bulan yang lalu

TQ boss panduan Dan info yg complete Dan sempurna ..

mohamad
mohamad
5 tahun yang lalu

terima kasih boss ku..untuk pengetahuan org mcm saya yang baru belajar casting..

Mr. Hampala
7 tahun yang lalu

Panduan yang sangat berguna. Keep it up sipo!

Sidi
Sidi
7 tahun yang lalu

Waw… boleh kate complete ilmu asas utk newbie mcm sy.. tq..

Mohd Faizal
Mohd Faizal
7 tahun yang lalu

terbaik …info yg berguna utk kaki casting yg baru berjinak2 mcm saya.harap akan ada banyak lagi ilmu2 mcm ni,terima kasih..???