Pernahkah anda dengar nama gewang ini?
Tanyalah mana-mana otai muara, jika ditanya apakah gewang paling killer untuk memburu siakap merah, kerapu dan Tembaring (Kanai), pasti mereka menyebut ofmer x-deep!
Gewang ini cukup popular di Borneo terutamanya di Sabah kepada pemburu ikan kanai (tembaring).
Pengenalan
Kali pertama saya dikenalkan dengan gewang ini adalah melalui seorang sifo blackbass juga seorang penulis majalah pancing, Zaidy Omar.
Pada waktu itu, saya terpegun melihat keberkesanannya menaikkan ikan satu persatu.
Walaupun pada trip tersebut kami tiada rezeki menaikkan ikan kanai (tembaring a.k.a blackbass), namun ikan selain itu seperti siakap merah, alu-alu dan kerapu berjaya dinaikkan bersilih ganti.
Gewang ini berprofil kurus dengan panjang 75cm, berlidah panjang, dan jenis terapung.
Untuk pengetahuan, sebenarnya gewang Ofmer x-deep ini adalah duplicate kepada gewang jepun, Bassday Deep Shaker. (memang Ofmer ni kaki copy patern gewang lain pun)
Walaupun begitu, prestasinya tetap berkesan dan efektif.
Balingan
Dengan berat 11.5 gram, ofmer x-deep ini agak senang untuk dibaling dengan rod berkekuatan sederhana.
Dilengkapi dengan alas bebola besi didalam badan sebagai transfer weight system, gewang ini cukup bagus untuk dibaling jauh.
Namun disebabkan oleh lidahnya yang besar dan panjang, serta profil badanya yang leper, kita akan mengalami sedikit masalah untuk membuat balingan dengan tepat ketika angin bertiup kencang.
Ini mungkin sedikit sebanyak mengganggu jika kita memerlukan hantaran tepat ke celah bakau kerana ia membuat kita tersasar dari spot target dan mungkin tersangkut.
Tapi takde masalah pun bagi mereka yang sudah handal membuat balingan.
Selaman
Gewang ini adalah jenis selaman dalam dan mampu menyelam sehingga kedalaman 3.5 meter
Aksi renangan Ofmer x-deep ini adalah ‘Tight wobbling‘, iaitu semasa ditarik, aksi gewang akan menggelek ke kiri kanan secara padat dan kencang.
Sangat menarik dan boleh beraksi dengan baik walaupun ditarik perlahan.
Semasa berhenti, gewang ini akan timbul ke permukaan secara perlahan.
Oleh itu gewang ini juga sesuai digayakan dengan teknik ‘stop & go’.
Keberkesanan Ofmer X-Deep
Teknik kegemaran saya casting menggunakan gewang ini adalah dengan menghantar gewang ini diatas kayu tenggelam, karau, jerk (henjut), dan henti seketika.
Tujuannya adalah untuk membiarkannya berada didalam strike zone sesaat dua, dan memprovokasi ikan supaya menggigit.
Dan biasanya teknik ini menjadi!
Saiz gewang ofmer x-deep ini bagi saya adalah sedang-sedang dan aksi renangannya cukup jelas didalam air.
Saiznya juga sesuai untuk semua ikan muara, terutamanya ikan siakap merah.
Kelebihan rattle atau bunyi yang terdapat padanya cukup kuat untuk memanggil ikan keluar dari kawasan persembunyian untuk ambush dan sangat membantu ikan mengesan gewang dalam air yang keruh.
Gewang ini didatangkan dengan banyak warna dan corak pilihan.
Tetapi mengikut pengalaman saya, warna yang berkesan adalah warna parrot, hijau dan oren.
Ketahanan
Binaan asas kepada gewang selaman dalam berprofil kurus ini adalah plastik keras.
Oleh itu, ia adalah tahan lasak apabila dikekah ikan yang ganas dan mampu bertahan, tidak seperti gewang rapala yang menggunakan kayu balsa sebagai bahan binaan.
Kelemahan utama pada ofmer x-deep ini adalah cat warna pada badannya yang mudah tertanggal dan terluka setelah mendapat 2-3 strike.
Mata gewang ini juga mudah tercabut.
Selain itu, split ring dan matakail asal pada gewang adalah lemah dan perlu ditukar jika berhajat ingin memburu ikan yang perkasa seperti Blackbass.
Harga dipasaran Malaysia
Harga semasa bagi gewang ini dalam pasaran malaysia adalah diantara RM26-38, bergantung kepada penjual dan availability warna.
Bagi saya, ia tergolong dalam julat gewang mampu milik. Tapi makin lama, makin mahal pulak.. adeh.
Saya biasanya membeli gewang ofmer x-deep ini secara online dari komuniti Geng Niaga Pancing 88.
Kelebihan & Kekurangan Ofmer X-Deep
+ Renangan kencang yang eratik.
+ Pelbagai pilihan warna yang killer
+ Berat. Bagus untuk lontaran jauh.
+ Slow rising (timbul perlahan). Sesuai untuk ikan yang suka ambush macam siakap merah.
Kekurangan:
– Mata ikan & cat pada gewang mudah tertanggal
– Matakail & split ring perlu ditukar. Tak kuat.
– Warna tertentu seperti Parrot dan oren sangat sukar untuk didapati
Penutup
Gewang ini adalah satu kemestian bila turun casting.
Bagi saya, ia layak dinobatkan sebagai gewang killer bagi siakap merah, kerapu dan tembaring. Ia adalah gewang kegemaran saya.
Dengan harga yang berpatutan dan keberkesanannya, ia patut ada dalam kotak pancing setiap kaki casting.
Tinggalkan Komen Anda..