Kepentingan Tidur Dari Perspektif Islam

kepentingan tidur
Photo by Sarah Ball on Unsplash

Ramai orang melihat tidur sebagai aktiviti yang kita lakukan tanpa perlu banyak berfikir tentangnya.

Kita melihat perbuatan tidur itu sebagai satu perkara semula jadi yang berlaku kepada kita dan kita tidak berfikir banyak tentang bagaimana kita boleh mengoptimumkannya untuk menggandakan tenaga fizikal.

Tiada orang dapat menafikan kuasa pemulihan yang dapat diperoleh daripada tidur malam yang baik.

Jesteru itu, memahami bagaimana cara kita tidur dan apa yang kita perlu lakukan untuk menambah baik kualiti tidur adalah kunci untuk menjadi lebih produktif.

Apakah perspektif Islam tentang kepentingan tidur?

Al-Quran menyebut perkataan tidur (nawm) pada tiga tempat.

Contoh pertama terdapat pada ayat terhebat dalam al-Quran, Ayat Kursi, dimana ia menyebut tidur dalam hubungan dengan Kekuasaan Allah.

Allah berfirman:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

— Surah al-Baqarah ayat 255

Antara kualiti pertama yang Allah sifatkan Diri-Nya adalah tidak mengantuk dan tidak tidur.

Berhenti dan fikir tentangnya buat seketika.

Fikirkan tentang malam-malam di mana kita tidak dapat berjaga dan terlalu penat sehingga sangat memerlukan tidur – dan fikirkan bagaimana Allah yang tidak pernah tidur.

Ia adalah gambaran hebat yang menyedarkan kita tentang kekuatan Allah.

Terdapat juga makna-makna lain yang boleh kita dapati, termasuklah:

— bahawa Dia sentiasa melihat kita, bahawa Dia sedar tentang segala sesuatu yang berlaku dan setiap pekerjaan, baik atau buruk, tidak akan terlepas daripada Penglihatan-Nya.

Abu Musa RA meriwayatkan:

Rasulullah SAW berdiri dalam kalangan kami dan baginda memberitahu kami lima perkara. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya Tuhan yang Agung dan Berkuasa tidak tidur, dan tidak layak bagi-Nya untuk tidur. Dia berkuasa menurunkan timbangan amal dan mengangkatnya. Amalan pada malam hari dibawa  naik kepada-Nya sebelum amalan pada waktu siang. Dan amalan siang (dibawa naik) sebelum amalan pada malamnya. Tadbir-Nya adalah cahaya – jika Dia menyingkapnya, sudah tentu keagungan Zat-Nya akan menghancurkan makhluk-Nya sejauh penglihatan-Nya 

— HR Muslim

Diriwayatkan sebuah kisah bahawa pada suatu hari Nabi Musa a.s bertanyakan Allah jika Dia pernah tidur.

Allah meminta baginda membawa dua baldi air di atas bahunya dan berdiri.

Selepas sekian waktu, Nabi Musa berasa mengantuk dan sebaik sahaja baginda terlelap, baldi itu jatuh ke tanah dan airnya tumpah merata.

Allah memberitahu Musa a.s, “Wahai Musa, jika Aku tidur, itulah apa yang akan berlaku kepada alam semesta”.

Kali kedua dan ketiga al-Quran menyebut tentang tidur adalah berhubung dengan kecintaan Allah kepada umat manusia, menyifatkan tidur sebagai suatu nikmat.

Allah berfirman di dalam al-Quran:

Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasangan? Dan Kami telah menjadikan tidur untuk kamu berehat?

— Surah an-Naba ayat 8–9

Apa yang boleh kita simpulkan daripada perbincangan ini?

Kita dapat menyimpulkan bahawa tidur bukanlah suatu aktiviti yang mengganggu (nuisance activity), tetapi ia adalah petanda kekuasaan Allah dan suatu nikmat daripadaNya.

Sungguh menarik untuk diambil perhatian bahawa walaupun dengan segala kemajuan saintifik yang ada pada zaman moden ini, tiada sesiapa yang benar-benar tahu mengapa kita tidur!

Menurut Dr. Andrew Meil, Bapa Perubatan Integratif (father of integrative Medicine), yang menulis artikel dalam the Time Magazine (2015) berkenaan Kuasa Tidur bahawa:

Otak agak sibuk ketika tidur, saling berhubung dengan pelbagai cetusan aktiviti otak pada setiap malam.

Adakah aktiviti ini semacam suatu bentuk kemaskini untuk mengekalkan fungsi-fungsinya secara optimum? Kita tidak tahu.

Mungkin ritma tidur dan berjaga akan sentiasa menjadi misteri: sesuatu yang kita alami tetapi tidak akan pernah difahami sepenuhnya 1

Sebagai muslim, kita percaya bahawa tidur adalah nikmat dan seperti setiap nikmat lain.

Ia sepatutnya digunakan untuk kita berterima kasih kepadaNya melalui ibadah, dan bukan dengan mengingkariNya – dengan terlebih tidur dan terlepas solat serta mengabaikan tanggungjawab kita.

Bagi seorang muslim juga, tidur merupakan satu peringatan pada kematian.

Allah berfirman dalam al-Quran:

Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

— Surah Az-Zumar ayat 42

Jadi bayangkan, setiap malam kita tidur, ia ibarat kita mati dan apabila kita bangun, kita dibangkitkan semula.

Ini menjelaskan mengapa Nabi Muhammad SAW selalu berdoa seperti ini sebelum tidur:

Dengan Nama-Mu ya Allah, aku berbaring dan dengan Nama-Mu aku bangkit, jadi jika Engkau mengambil rohku kasihanilah ia, dan jika Engkau mengembalikan rohku lindungilah ia sebagaimana Engkau melindungi hamba-hambaMu yang soleh”

Dan selepas bangun baginda akan mengucapkan:

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kami nyawa selepas mengambilnya daripada kami dan kepadaNya lah kami dibangkitkan”

dan

Segala puji bagi Allah yang telah mengembalikan kesihatanku dan mengembalikan rohku dan telah membolehkan aku mengingati-Nya 

— The Fortification of a Muslim

Orang ramai bercakap tentang peluang kedua dalam hidup selepas melalui pengalaman hampir mati.

Kita mempunyai pengalaman yang sama seperti ini setiap hari melalui tidur.

Terpulang kepada kita untuk menginsafi maksud tidur ini dan memanfaatkan sebaiknya.

Kepentingan spiritualiti terakhir pada aspek tidur adalah ganjaran yang Islam berikan kepada mereka yang tidak tidur kerana mahu menyembah Allah.

Allah menyifatkan di dalam al-Quran:

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

— Surah as-Sajadah ayat 15–17

 

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

— Surah adz-Dzaariyat ayat 15–18

Dan disinilah biasanya wujud dilema kepada Muslim..

Kita semua tahu tentang kepentingan solat malam, maka kita tidak tidur bagi mencapai peringkat spiritualiti paling tinggi dan berdekatan dengan Allah.

Namun, bagaimana kita menyeimbangkan antara solat malam ini praktikaliti kehidupan harian kita di mana kita bekerja, bersekolah, berkeluarga, dan lebih pentingnya, tubuh kita perlukan sekurang-kurangnya tujuh jam waktu tidur setiap hari?

Dilema ini mengganggu saya agak lama juga.

Pada satu sudut, saya memahami kepentingan untuk melawan tidur kerana mahu menyembah Allah.

Ia bukan sahaja menunjukkan komitmen, tetapi juga mempamerkan keikhlasan kerana tiada sorang pun yang bangun dan melihat kita solat, malah kita melakukannya semata-mata kerana Allah.

Tetapi pada sudut lain pula, saya percaya dengan yakin bahawa Islam tidak datang untuk membuatkan hidup kita tidak sejahtera dengan tidur yang tidak cukup.

Selepas berfikir panjang, saya telah mendapat kesimpulan berikut:

— ia bergantung kepada niat kita sewaktu tidur.

Jika tidur kita adalah untuk menguatkan tubuh kita dengan tujuan untuk memberi makan kepada roh kita dengan cara menyembah Allah, maka ia tidak akan menjadi satu dilema pun.

Namun jika niat kita hanya mahu merehatkan tubuh dengan tiada hubungan langsung dengan akhirat, maka dilema tadi sudah tentu akan sentiasa berada di fikiran kita.

Tanyakan diri kita satu soalan:

Adakah kita tidur untuk hidup di dunia ini atau hidup di akhirat?

Jika untuk hidup di sini, maka tidurlah dan tidak perlu berfikir tentang bangun tahajud atau solat subuh sekalipun.

Tetapi jika untuk akhirat, maka kita perlu mengorbankan sedikit masa tidur untuk ganjaran pada waktu akan datang.

Imam Ibn al-Qayyim mempunyai kata-kata yang indah tentang perkara ini. Dia berkata:

Tubuh anak Adam diciptakan dari bumi dan rohnya dari langit dan kemudiannya mereka disatukan.

Jika ia lapar, kekal berjaga dan menyibukkan tubuhnya menyembah Allah, rohnya akan mendapati dirinya menjadi lebih ringan dan lebih tenang.

Jadi ia akan merindukan tempat dari mana ia diciptakan dan merindukan dunia syurganya.

Tetapi jika ia lebih menyukai makanan, kenikmatan, tidur dan rehat, tubuh akan sentiasa cenderung untuk kekal di tempat di mana ia diciptakan (bumi) dan roh akan ditarik sekali dengannya dan akan terpenjara.

Jika bukan kerana ia (roh) terbiasa dengan penjara itu, ia sudah pasti akan meminta tolong, sebagaimana seseorang yang terseksa, untuk mendapat kerehatan daripada kesakitan yang disebabkan perpisahan dari tempat ia diciptakan.

Perkara di atas mencadangkan bahawa tubuh kita, yang menjadi bekas (vessel) kepada roh kita, sepatutnya berkhidmat kepada roh kita dan bukan sebaliknya.

Namun ini tidak bermakna kita tidak mengurus kualiti tidur kita.

Kita mungkin tidur beberapa jam, tetapi jika beberapa jam ini berkualiti tinggi, maka kita akan mendapat manfaat daripada tidur dengan begitu baik sekali.

Pernahkah kita bertanyakan pada diri kita: Bagaimana saya tidur?

Atau secara lebih spesifiknya, “Bagaimana saya boleh secara praktikalnya memperbaiki tidur saya untuk merehatkan tubuh dan minda dengan sebenar-benarnya untuk berdepan dengan keperluan hidup?

Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments