Potensi dan Keberkesanan Gewang Soft Plastic

Keberkesanan Gewang Soft Plastic

Gewang soft plastic sering dipandang remeh, tetapi dalam dunia memancing, tidak semua sambaran datang daripada gewang yang beraksi garang.

Ada hari ikan memburu dengan rakus, mengejar gewang keras yang laju, berkilat dan bising. Tapi, ada juga hari ikan cuma bersembunyi di dasar, menunggu mangsa yang bergerak perlahan atau menyambar sesuatu yang kelihatan lemah dan mudah ditelan.

Di sinilah gewang soft plastic mula menunjukkan kelebihannya.

Ia mungkin bukan gewang yang paling menonjol dalam kotak pancing. Aksinya tidak segarang minnow atau popper, dan kilauannya tidak sekuat spoon.

Tetapi dalam keadaan tertentu, soft plastic boleh menjadi antara gewang paling meyakinkan.

Keberkesanannya bukan datang daripada aksi yang agresif, tetapi daripada persembahan yang lebih halus, lebih natural dan lebih hampir dengan cara mangsa sebenar bergerak.

Artikel ini ialah pengenalan asas kepada gewang soft plastic: apa sebenarnya gewang ini, kenapa ia berkesan, bila ia sesuai digunakan dan mengapa semakin ramai pemancing mula memilihnya.

Artikel ini akan memberi gambaran besar tentang watak soft plastic sebelum kita masuk lebih mendalam dalam artikel seterusnya.

Apa Itu Gewang Soft Plastic?

Gewang soft plastic ialah gewang tiruan yang diperbuat daripada bahan lembut dan lentur. Ia dibentuk untuk menyerupai mangsa semula jadi ikan seperti anak ikan, udang, cacing, sotong kecil atau organisma kecil yang hidup di sungai, muara, tasik dan laut.

Soft plastic

Bentuknya sangat pelbagai. Ada yang berbentuk anak ikan dengan ekor paddle tail, ada yang panjang seperti jerk shad, ada yang mempunyai ekor kerinting seperti curly tail, dan ada juga yang menyerupai udang atau serangga kecil.

Setiap bentuk menghasilkan aksi yang berbeza di dalam air.

  • Paddle tail biasanya menghasilkan gerakan ekor yang beralun, seolah-olah anak ikan kecil sedang berenang.
  • Jerk shad pula lebih sesuai dimainkan dengan henjutan pendek dan pause, seperti ikan kecil yang lemah atau cedera.
  • Curly tail dan grub menghasilkan getaran kecil pada ekor, terutama apabila dikarau perlahan.
  • Bentuk udang pula sering dimainkan berhampiran dasar atau struktur kerana ia menyerupai salah satu makanan semula jadi ikan pemangsa.

Namun, perkara yang benar-benar membezakan soft plastic daripada gewang keras bukan semata-mata bentuknya.

Aksi gewang keras biasanya banyak ditentukan oleh bibir, badan, sudu atau reka bentuknya. Soft plastic pula lebih bergantung pada cara ia dipasang dan dimainkan.

Jighead, hook, berat gewang, kelajuan karauan, kedalaman air dan gerakan hujung joran semuanya mempengaruhi aksi akhirnya.

Inilah idea pertama yang perlu anda pegang.

Soft plastic bukan gewang yang terus berfungsi sebaik sahaja dikeluarkan dari paket. Ia satu sistem persembahan yang anda bentuk sendiri mengikut keadaan padang pancing.

Kenapa Soft Plastic Berkesan?

Kekuatan sebenar soft plastic terletak pada satu perkara, iaitu kebolehannya meniru mangsa yang lemah, perlahan dan mudah ditangkap.

Bagi ikan pemangsa, setiap usaha mengejar mangsa menggunakan tenaga. Sebab itu, mangsa yang mudah disambar lebih menguntungkan berbanding mangsa yang perlu dikejar jauh.[1]

Anak ikan yang berenang lemah, udang yang bergerak perlahan di dasar atau mangsa cedera yang tenggelam perlahan semuanya boleh menjadi sasaran yang menggoda.

Kenapa Soft Plastic Berkesan?

Soft plastic membolehkan pemancing meniru keadaan ini dengan lebih meyakinkan.

Berbanding gewang keras yang biasanya bergerak lebih pantas dan agresif, soft plastic boleh dimainkan dengan lebih perlahan dan natural.

Ia boleh dibiarkan jatuh, dimainkan dekat dasar, dihenjut perlahan atau dikarau dengan tempo yang menyerupai pergerakan mangsa sebenar.

Ada satu lagi perkara penting yang ramai pemancing baru mungkin terlepas pandang.

Apabila soft plastic jatuh di dalam air, ia tidak semestinya tenggelam terus seperti batu. Bergantung kepada bentuk badan, berat jighead dan cara ia dipasang, soft plastic boleh meluncur, beralun, tenggelam perlahan atau menghasilkan getaran kecil ketika jatuh.

Banyak sambaran sebenarnya berlaku ketika gewang sedang jatuh, bukan ketika ia sedang dikarau.[2]

Sebab itu soft plastic bukan sekadar gewang untuk “memanggil” ikan dari jauh. Ia paling berkesan apabila masuk ke zon ikan mencari makan, bergerak seperti mangsa sebenar lalu memujuk ikan untuk menyambar.

Sebab itulah soft plastic selalu jadi pilihan bila ikan mula culas, berada rapat di dasar, bersembunyi di celah reba atau hanya mahu menyambar sesuatu yang bergerak perlahan di hadapannya.

Soft Plastic Bukan Gewang Ajaib

Walaupun berkesan, soft plastic bukan gewang ajaib. Ia tidak semestinya lebih baik daripada gewang keras.

Ada hari minnow lebih cepat mencari ikan. Ada hari spoon lebih mudah mendapat sambaran. Ada juga hari topwater lebih menyerlah, terutama apabila ikan sedang aktif memburu di permukaan.

Setiap gewang ada wataknya sendiri.

Gewang keras biasanya lebih cepat menarik perhatian ikan. Kilauan, bunyi, getaran dan aksinya yang jelas sangat berguna ketika ikan sedang aktif memburu.

Dalam keadaan begini, gewang keras boleh menjadi pilihan yang lebih pantas untuk mencari ikan yang aktif.

Soft plastic pula lebih menyerlah apabila pemancing mahu memainkan gewang dengan perlahan, mengawal kedalaman dan bermain lebih dekat dengan zon ikan menunggu.

Ia bukan pilihan terbaik untuk semua situasi. Jika air terlalu keruh, ikan sedang agresif atau kawasan pancing terlalu luas, gewang yang menghasilkan bunyi, kilauan atau getaran lebih kuat mungkin lebih sesuai untuk mencari ikan dengan cepat.

Namun, apabila ikan pasif, berhati-hati atau berada rapat dengan struktur, soft plastic boleh menjadi sangat berkesan.

Memahami bila perlu menggunakannya jauh lebih penting daripada sekadar memilikinya.

Kenapa Soft Plastic Sesuai untuk Padang Pancing Malaysia?

Kenapa Soft Plastic Sesuai untuk Padang Pancing Malaysia?
Gelama juga berani menghentam SP jika kena gayanya

Dalam pancingan di Malaysia, soft plastic mempunyai kegunaan yang sangat luas.

Di muara, ia boleh digunakan untuk memburu siakap, siakap merah (MJ), kerapu dan tarpon. Di sungai dan tasik, ia sesuai untuk sebarau, toman, peacock bass dan haruan.

Di kawasan pantai berbatu, unjam, tiang jambatan dan struktur buatan, soft plastic juga boleh digunakan untuk memburu pelbagai ikan pemangsa kecil dan sederhana.

Ini penting sebab banyak padang pancing di Malaysia penuh dengan struktur.

Akar bakau, reba kayu, batu, tiang jambatan, tebing dalam, drop-off dan kawasan berarus perlahan ialah tempat ikan pemangsa suka menunggu. Di situlah ada perlindungan. Di situlah juga mangsa kecil sering lalu.[3]

Ikan pemangsa pula selalunya lebih suka berada dekat dengan struktur daripada merayau di kawasan air lapang.

Waktu inilah soft plastic mula memainkan peranan dan menunjukkan kelebihannya. Ia membolehkan pemancing menghantar gewang lebih dekat ke zon ikan menunggu, dengan persembahan yang lebih perlahan, terkawal dan natural.

Dalam banyak situasi tempatan, keupayaan masuk ke zon serangan inilah yang sering membezakan antara balingan kosong dengan peluang mendapat strike.[4]

Kenapa Soft Plastic Begitu Versatile?

Kelebihan utama soft plastic ialah sifatnya yang sangat versatile.

Dengan satu jenis gewang, anda boleh menyesuaikan persembahan mengikut keadaan hanya dengan mengubah beberapa perkara asas: bentuk, berat, rigging dan tempo permainan.

Bentuk menentukan watak gewang.

Kenapa Soft Plastic Begitu Versatile?

Paddle tail menghasilkan gerakan ekor yang beralun untuk meniru ikan kecil yang berenang. Jerk shad pula lebih sesuai dimainkan dengan henjutan dan pause. Bentuk udang elok dimainkan dekat dasar dan struktur, manakala curly tail tetap menghasilkan getaran kecil walaupun dikarau perlahan.

Jighead dan rigging pula menentukan kedalaman serta cara gewang bergerak.

Jighead ringan sesuai untuk kawasan cetek atau arus yang tidak terlalu laju. Jighead yang lebih berat membantu gewang turun lebih dalam atau melawan arus. Weedless rig pula berguna di kawasan yang banyak reba, akar, rumpai atau struktur yang mudah membuat hook tersangkut.

Rentak karauan pula mempengaruhi cara ikan bertindak balas terhadap gewang.

Cara kita memainkan gewang, kelajuan karauan, tempoh ia dibiarkan jatuh dan berapa lama pause antara henjutan semuanya boleh mengubah hasil walaupun gewang yang sama digunakan.

Tiga perkara ini—bentuk, rigging dan rentak karauan—akan kita kupas satu per satu dalam artikel seterusnya.

Untuk permulaan, cukuplah kita faham bahawa keberkesanan soft plastic tidak bergantung pada rupa semata-mata. Cara anda mempersembahkannya juga memainkan peranan utama.

Jangan Berputus Asa Terlalu Awal

Soft plastic memang sesuai untuk pemancing baru, tetapi ia masih perlukan kesediaan untuk belajar.

Tidak seperti gewang keras yang boleh terus dibaling dan dikarau, soft plastic memberi maklum balas yang lebih halus.

Getaran ekornya kadang-kadang tidak begitu kuat. Sentuhan dasar kadang-kadang samar. Sambaran ikan pula ada masanya hanya terasa seperti beban yang tiba-tiba bertambah, tali bergerak sedikit ke tepi atau gewang seolah-olah “berhenti” ketika sedang jatuh.

Ramai pemancing baru tersilap menganggap soft plastic tidak menjadi.

Selalunya, masalah bukan pada gewang itu sendiri, tetapi pada rentak karauan, berat jighead, kedalaman, cara pasang atau laluan gewang yang tidak masuk ke zon ikan.

Tapi, di situlah sebenarnya letaknya keseronokan bila menggunakan soft plastic.

Soft plastic mendorong pemancing menjadi lebih peka. Ia mengajar kita membaca air, merasai sentuhan dasar, memahami struktur, mengawal kelajuan karauan dan mengagak di mana ikan sedang menunggu.

Bila anda dah dapat rentaknya, gewang yang nampak simple ini boleh jadi salah satu ‘senjata’ paling berbisa dalam tackle box anda.

Kelemahan Gewang Soft Plastic Yang Perlu Anda Tahu

Namun begitu, soft plastic juga ada kelemahannya.

Pertama, ia lebih mudah rosak berbanding gewang keras. Gigitan ikan bergigi tajam, sambaran kasar, atau sentuhan dengan struktur boleh menyebabkan badannya koyak. Dalam sesetengah keadaan, satu gewang mungkin hanya bertahan selepas beberapa tangkapan.

Kedua, ia memerlukan setup yang betul. Jika jighead terlalu berat, aksi gewang boleh menjadi kaku.

Jika terlalu ringan, gewang mungkin tidak sampai ke zon ikan. Jika hook tidak dicangkuk dengan lurus, soft plastic boleh berenang senget dan kelihatan tidak natural.[5]

Ketiga, soft plastic kadang-kadang kurang menyerlah apabila air terlalu keruh atau apabila ikan perlu dipanggil dari jarak jauh. Dalam situasi seperti ini, gewang yang menghasilkan bunyi, kilauan atau getaran kuat mungkin lebih cepat menarik perhatian.[6]

Walaupun begitu, kelemahan ini bukan alasan untuk kita ketepikan terus soft plastic.

Ia hanya mengingatkan kita bahawa tiada satu gewang yang sempurna untuk semua keadaan.

Pemancing yang baik bukan sekadar tahu gewang mana yang popular, tetapi tahu bila sesuatu gewang patut digunakan.

Cara Memahami Permainan Soft Plastic

Kalau anda baru nak berjinak-jinak dengan soft plastic, tak perlu pening kepala mahu kumpulkan terlalu banyak pilihan.

Cara Memahami Permainan Soft Plastic

Tidak perlu terus membeli terlalu banyak bentuk, warna dan saiz. Lebih baik bermula dengan beberapa pilihan asas yang sesuai dengan padang pancing anda.

Fikirkan tiga soalan mudah.

  • Pertama, ikan makan apa di kawasan itu?
    Jika banyak anak ikan, bentuk paddle tail atau jerk shad mungkin lebih sesuai. Jika udang banyak di kawasan itu, bentuk udang boleh diberi perhatian.
  • Kedua, ikan berada di mana?
    Jika ikan rapat di dasar, gewang perlu sampai ke dasar. Jika ikan bermain di lapisan pertengahan air, sesuaikan kelajuan karauan dan berat jighead supaya gewang lalu pada paras tersebut.
  • Ketiga, ikan aktif atau pasif?
    Jika ikan aktif, gewang boleh dikarau sedikit lebih laju. Jika ikan pasif, gewang yang lebih kecil dengan persembahan perlahan dan natural selalunya lebih meyakinkan.

Cara berfikir macam inilah yang menjadikan permainan soft plastic sangat menarik.

Ia bukan sekadar soal baling dan karau. Ia mengajak pemancing membaca keadaan, membuat pelarasan dan belajar daripada setiap balingan.

Ilustrasi gewang soft plastic jenis paddle tail

CADANGAN BACAAN

Jenis-Jenis Gewang Soft Plastic: Mana Satu Sesuai untuk Anda?

Kenali perbezaan paddle tail, jerk shad, curly tail, grub dan bentuk udang supaya lebih mudah memilih gewang mengikut teknik, lubuk dan tahap pengalaman.

Baca panduan lengkap →

Soalan Lazim

Adakah gewang soft plastic sesuai untuk pemancing baru?

Ya, sangat sesuai. Soft plastic memang pilihan yang baik untuk pemancing baru, tapi ia perlukan sedikit kesabaran. Anda cuma perlu belajar beberapa asas seperti memilih saiz jighead, mencangkuk gewang supaya lurus dan mengawal tempo karauan. Mulakan dengan bentuk asas seperti paddle tail dan teknik simple seperti slow roll.

Soft plastic sesuai untuk ikan apa di Malaysia?

Gewang soft plastic boleh menjerat pelbagai spesies ikan sasaran di Malaysia. Untuk air masin atau muara, ia berkesan untuk siakap (barramundi), mangrove jack (MJ), kerapu dan tarpon. Di air tawar pula, ia memang killer untuk sebarau, toman, haruan dan peacock bass (PB). Kuncinya ialah menyesuaikan bentuk dan saiz gewang dengan spesies sasaran.

Adakah soft plastic lebih baik daripada gewang keras (hardbait)?

Tak semestinya. Kedua-duanya ada fungsi berbeza. Gewang keras (hardbait) lebih sesuai untuk mencari ikan yang sedang aktif atau menarik perhatian ikan dari jauh. Soft plastic pula lebih menyerlah bila anda mahu bermain perlahan, perlukan aksi yang nampak lebih natural dan mahu menghantar gewang terus ke zon serangan ikan yang culas.

Bila waktu paling sesuai guna soft plastic?

Gewang soft plastic sangat sesuai digunakan bila ikan kurang agresif tetapi masih berada di kawasan makan. Contohnya, ketika ikan bersembunyi rapat di dasar atau struktur, hanya mengekori gewang tanpa menyambar, atau bila anda mahu menggunakan persembahan yang perlahan dan memujuk.

Kenapa ikan kadang-kadang menyambar soft plastic ketika ia jatuh ke dasar?

Bila soft plastic jatuh dalam air, aksinya boleh menyerupai anak ikan atau udang yang lemah, cedera atau panik. Ikan pemangsa cenderung mengambil peluang ini kerana mangsa tersebut kelihatan mudah ditangkap. Sebab itu, pemancing kena sentiasa peka dan jaga ketegangan tali (line control) semasa gewang jatuh.

Boleh ke campur gewang soft plastic berlainan jenama atau warna dalam satu bekas?

Sebaiknya jangan. Elakkan mencampurkan gewang soft plastic daripada jenama berbeza atau warna terang dan gelap dalam satu petak tackle box. Bahan soft plastic seperti plastisol, TPE atau elastomer lain tidak semuanya serasi dan boleh bertindak balas apabila bersentuhan. Akibatnya, gewang boleh menjadi cair, melekit, berubah bentuk atau rosak. Untuk lebih selamat, simpan dalam paket asal atau asingkan mengikut jenama dan warna.[7]

Perlu ke guna joran khas untuk mula main soft plastic?

Tak perlu pun. Untuk bermula, anda boleh guna joran sedia ada yang biasa digunakan untuk gewang keras. Kalau anda mahukan setup yang lebih sensitif untuk mengesan sentuhan dasar atau sambaran ketika gewang jatuh, joran dengan tip yang peka dan aksi fast action selalunya lebih membantu. Tapi, tak perlulah terburu-buru beli joran baru.

Adakah kos main soft plastic lebih mahal daripada gewang keras?

Kos permulaannya selalunya lebih rendah. Satu paket soft plastic yang mengandungi lima hingga sepuluh gewang, bersama beberapa jighead, biasanya lebih murah daripada sebuah gewang keras berjenama. Namun, kerana soft plastic mudah rosak atau tersangkut, anda mungkin perlu menggantikannya dengan lebih kerap. Walaupun begitu, kos untuk mula menggunakannya masih mesra poket.

Penutup

Gewang soft plastic mungkin nampak ringkas, tetapi potensinya besar.

Ia bukan gewang ajaib dan bukan juga pengganti mutlak kepada gewang keras. Ia satu lagi cara untuk mendekati ikan dengan persembahan yang lebih perlahan, halus dan lebih dekat dengan cara ikan melihat mangsa.

Bagi pemancing yang baru mahu mengenali soft plastic, cukup pegang tiga idea asas.

Soft plastic ialah sistem yang anda bentuk sendiri. Ia berkesan apabila dipersembahkan seperti mangsa yang lemah dan dihantar ke zon serangan. Kekuatannya terletak pada cara ia dipersembahkan, bukan pada rupa semata-mata.

Ada masa ikan mahu mengejar. Ada masa ikan mahu menunggu. Ada masa ikan hanya akan menyambar sesuatu yang bergerak perlahan di hadapannya, kelihatan lemah dan mudah dimakan.

Dalam keadaan beginilah, soft plastic boleh menjadi pilihan yang sangat meyakinkan.

Bila anda dah nampak gambaran besar ini, barulah perbincangan tentang teknik, rigging dan pemilihan saiz gewang terasa lebih mudah difahami dan bermakna.

Itulah yang akan kita kupas dengan lebih mendalam dalam artikel seterusnya dalam siri ini.

Rujukan

  1. Prinsip Optimal Foraging Theory: ikan pemangsa memilih mangsa secara selektif untuk memaksimumkan pengambilan tenaga bersih, dengan mengambil kira kos mengejar dan mengendalikan mangsa. Stein, R. A. (1977). Selective predation, optimal foraging, and the predator-prey interaction between fish and crayfish. Ecology, 58(6), 1237–1253 [Pautan]. Townsend, C. R., & Winfield, I. J. (1985). The application of optimal foraging theory to feeding behaviour in fish. Dlm. P. Tytler & P. Calow (Eds.), Fish Energetics: New Perspectives (hlm. 67–98). Springer. [Pautan] ↩︎
  2. Kajian eksperimen menunjukkan mangsa dengan prestasi pergerakan terjejas (lemah/cedera) lebih tinggi risiko dimangsa — menyokong mengapa gewang yang “tenggelam lemah” semasa jatuh menggoda ikan. Justeru kawalan tali penting kerana banyak sambaran dikesan melalui pergerakan halus pada tali. Krause, J., Herbert-Read, J. E., Seebacher, F., Domenici, P., Wilson, A. D. M., Marras, S., … Steffensen, J. F. (2017). Injury-mediated decrease in locomotor performance increases predation risk in schooling fish. Philosophical Transactions of the Royal Society B, 372(1727), 20160232. [Pautan] ↩︎
  3. Di habitat berstruktur kompleks, ikan pemangsa cenderung kepada strategi mengadang (ambush) dan merapat pada struktur; siakap (Lates calcarifer) khususnya dikenal pasti sebagai pemangsa pengadang. Říha, M., Gjelland, K. Ø., Děd, V., Eloranta, A. P., Rabaneda-Bueno, R., Baktoft, H., … Vejřík, L. (2021). Contrasting structural complexity differentiate hunting strategy in an ambush apex predator. Scientific Reports, 11, 17472. [Pautan]. Griffiths, D. (2020). Foraging habitat determines predator–prey size relationships in marine fishes. Journal of Fish Biology, 97(4), 964–973. [Pautan]. Ribeiro, F. F., & Qin, J. G. (2015). Prey size selection and cannibalistic behaviour of juvenile barramundi Lates calcarifer. Journal of Fish Biology, 86(5), 1549–1566. [Pautan] ↩︎
  4. Kerumitan struktur habitat mempengaruhi kadar pertembungan pemangsa-mangsa dan kejayaan tangkapan, menjadikan penghantaran gewang tepat ke zon serangan penting. Warfe, D. M., & Barmuta, L. A. (2004). Habitat structural complexity mediates the foraging success of multiple predator species. Oecologia, 141(1), 171–178. [Pautan]. Flynn, A. J., & Ritz, D. A. (1999). Effect of habitat complexity and predatory style on the capture success of fish feeding on aggregated prey. Journal of the Marine Biological Association of the UK, 79(3), 487–494. [Pautan] ↩︎
  5. Pemasangan mata kail yang lurus penting supaya gewang berenang natural; teknik pemasangan menentukan aksi akhir gewang. Tackle Tactics. (t.t.). 10 tips – Weedless rigging. [Pautan] ↩︎
  6. Apabila penglihatan terhad (air keruh/gelap), ikan lebih bergantung pada sistem deria lateral line untuk mengesan getaran dan gerakan air — menyokong mengapa gewang bergetar/berbunyi lebih mudah dikesan dalam visibiliti rendah. Mogdans, J. (2019). Sensory ecology of the fish lateral-line system. Journal of Fish Biology, 95(1), 53–72. [Pautan]. Montgomery, J. C. (1989). Lateral line detection of planktonic prey. Dlm. S. Coombs, P. Görner, & H. Münz (Eds.), The Mechanosensory Lateral Line (hlm. 561–574). Springer. [Pautan] ↩︎
  7. Gewang soft plastic diperbuat daripada bahan berbeza (cth. plastisol PVC vs TPE/elastomer); bahan tak serasi boleh bertindak balas, menyebabkan cair/melekit. Disyorkan simpan ikut jenama atau dalam paket asal. Salt Strong. (2023, 15 November). How to avoid the destruction of your soft plastic lures. [Pautan] ↩︎

Tinggalkan Komen Anda..