Joran adalah peralatan terpenting dalam dunia casting.
Ia adalah asas kepada set pancing kita, sambungan kepada tangan kita.
Dengan memahami secara terperinci mengenai aksi dan kuasa joran pastinya akan banyak memberi kelebihan kepada anda.
Sama ada ketika membuat keputusan semasa membeli rod baru atau semasa ingin keluar memancing.
Ia akan membuatkan kita menentukan keputusan yang tepat bagi memanfaatkan peralatan tersebut dengan lebih baik.
Dan menentukan jenis joran yang sesuai dengan apa yang kita perlukan.
Memadankan Aksi Joran Dengan Teknik Pancingan yang Sesuai
Aksi joran tepat akan menghidupkan persembahan gewang dengan sempurna.
Malah, aksi joran juga mempengaruhi kadar hook-set yang efektif.
Oleh itu, penting memilih aksi joran yang bersesuaian dengan jenis gewang yang ingin digunakan.
Teknik Pancingan | Aksi Joran |
Gewang Selaman | Sederhana |
Gewang Permukaan | Pantas |
Soft Plastic | Pantas |
Jerkbait | Sederhana |
Spinnerbait (janggut) & Buzzbait | Pantas @ Ex. Pantas |
Maklumat dalam jadual di atas bukanlah lengkap dan muktamad.
Ia dicatatkan sebagai panduan umum mengenai apa yang “mungkin” terbaik untuk menggayakan teknik atau gewang tertentu dengan berkesan.
Oleh kerana keperluan aksi joran banyak bergantung kepada situasi kedalaman air, tahap kesukaran padang pancing, jenis gewang dan teknik yang ingin digunakan..
… maka jadual di atas bertujuan untuk memberi idea dan gambaran awal mengenai aksi joran yang sesuai.
Mungkin ia menjadi starting point sebelum anda menemui rentak gaya pancingan tersendiri.
Anda sendirilah yang perlu menyesuaikan dengan keperluan anda.
Takkan nak pakai joran aksi sederhana bila menduga toman dikawasan heavy cover kan? :-)
Setelah anda menentukan aksi joran yang diperlukan, langkah seterusnya adalah memilih kekuatan rod yang bersesuaian.
Memahami Spesifikasi Pengelasan Kuasa Joran (Rod Power)
Saya pasti ramai yang telah melihat label kekuatan yang tertera pada joran masing-masing.
Apakah maksud kekuatan joran?
Secara ringkas; daya yang diperlukan untuk melenturkan joran 1
Kekuatan joran selalunya merujuk tahap kekerasan atau ketegaran joran untuk melentur dan dikategorikan dalam kelas ultra ringan, ringan, sederhana dan sebagainya..
Ia menentukan kekuatan tali dan berat gewang yang sesuai digunakan.
Selain itu, ia menjadi indicator penting terhadap kesesuaian joran tersebut untuk digunakan menghadapi spesis buruan.
Walau bagaimana pun, sehingga hari ini masih tiada piawaian sebenar dalam ukuran kekuatan joran.
Jadi wujud sedikit kekeliruan dalam menentukan kuasa joran.
Contohnya:
- Pengilang A mengelaskan joran mereka 6-12lb sebagai kategori ringan
- Pengilang B pula mengelaskan joran mereka 6-12lb sebagai kategori sederhana.
Keliru bukan?
Untuk mengelakkan kekeliruan, abaikan label kategori (ultra light, light dan sebagainya..).
Sebaliknya hanya fokus kepada had maksimum kekuatan tali.
Jadual di bawah memaparkan pengelasan kuasa mengikut kekuatan maksimum tali:
Kategori |
Pengelasan Tali |
Ultra Ringan / Ultra Light | Tidak melebihi 6 paun (lb)
|
Ringan / Light | Tidak melebihi 12 paun (lb)
|
Sederhana / Medium | Tidak melebihi 18 paun (lb)
|
Sederhana Berat / Medium Heavy | Tidak melebihi 25 paun (lb)
|
Berat / Heavy | Tidak melebihi 30 paun (lb)
|
Extra Berat / Extra Heavy | Tidak melebihi 50 paun (lb)
|
Pengelasan kuasa joran yang dicatatkan di atas adalah sama seperti yang digunakan oleh kebanyakan pengeluar-pengeluar joran utama di dunia seperti G. Loomis, Major Craft dan St. Croix.
Oleh itu, saya anggap pengelasan ini sudah menjadi standard dalam industri joran dan boleh digunapakai sebagai rujukan.
Pengelasan Kekuatan Joran menggunakan sistem Rating PE
Sistem pengelasan kekuatan joran berdasarkan sistem PE selalunya dijumpai pada joran jigging dan popping.
Sistem PE adalah berdasarkan diameter tali 2, dimana ia mungkin menimbulkan kekeliruan.
- Pembuat joran A mengelaskan rod berdasarkan tali 4-sulam (4 strand PE). Maka joran PE 2-4 keluarannya akan mampu mengendalikan tali berkekuatan 20-40lb.
- Pembuat joran B pula mengelaskan rod berdasarkan tali 8-sulam (8 strand PE). Maka joran PE 2-4 keluarannya akan mampu mengendalikan tali berkekuatan 45-65lb.
Oleh kerana perkara ini mengelirukan, kaedah terbaik adalah merujuk kepada website pengilang atau membaca review mengenai joran tersebut.
- Kekuatan joran penting untuk menentukan berat gewang yang sesuai. Jika anda melontar gewang melebihi spec yang dibenarkan, kemungkinan anda akan merosakkan blank joran dari dalam.
- Jika anda jenis ganas-ganas ala Gong Lei dalam melayan ikan, maka lebih baik gunakan joran berkekuatan lebih tinggi.
- Sesetengah pengilang pula melabelkan kekuatan joran mereka secara underrated supaya nampak lebih kuat berbanding pesaing mereka.
Tinggalkan Komen Anda..