
Kita hidup dalam sebuah masyarakat yang terlalu mudah mengagungkan keseriusan dan keletihan dalam bekerja. Jika kita tidak stres, tidak berjaga malam, atau tidak kelihatan sibuk, kita seolah-olah dianggap seorang yang pemalas.
Budaya hustle mengajar kita bahawa kejayaan mesti dibayar dengan harga sebuah kepenatan.
Namun, bagaimana jika andaian ini tidak sepenuhnya benar?
Bagaimana jika rahsia untuk mencapai lebih banyak, tanpa merosakkan kesihatan fizikal dan mental, bukan terletak pada memaksa diri tanpa henti, tetapi pada sesuatu yang pernah sangat akrab dengan kita semasa kecil dahulu, iaitu semangat bermain (Play)?
Nota Penulis
Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 1, “Play”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal. Inti utama daripada bab tersebut saya susun semula dan saya huraikan kembali agar lebih mudah difahami dan dihayati.
Untuk gambaran besar tentang buku ini, saya sudah himpunkan inti utamanya dalam tulisan Kena Gembira Dulu, Barulah Produktif! Ini Apa Saya Belajar Dari Buku Ali Abdaal.
Hakikatnya, kadangkala masalah kita bukan kerana kita malas bekerja, tetapi kerana kita sudah ‘kehilangan rasa hidup‘ dalam kerja itu.
Hidup dan pekerjaan memang tidak akan pernah sunyi daripada tekanan. Akan sentiasa ada tanggungjawab, tarikh akhir, dan beban yang perlu dipikul. Namun begitu, apabila kita menyuntik unsur bermain ke dalam rutin harian, sesuatu yang berat boleh bertukar menjadi lebih ringan, dan sesuatu yang meletihkan boleh kembali terasa hidup.
Apabila kita seronok, tenaga kita pulih. Dan apabila tenaga kita pulih, kita bekerja dengan lebih baik.[1]
Inilah inti utama bab ini: hidup memang menekan, tetapi semangat bermain menjadikannya kembali terasa hidup.
Berikut ialah tiga cara praktikal untuk membawa semangat bermain ke dalam apa jua yang kita lakukan.
1. Cipta Pengembaraan (Create an Adventure)
Cuba ingat kembali zaman kanak-kanak kita. Ketika itu, kotak kadbod kosong pun boleh bertukar menjadi kapal angkasa. Halaman rumah terasa seperti dunia yang luas, penuh misteri, dan menunggu untuk diterokai. Kita menjalani hari dengan rasa ingin tahu, bukan dengan tekanan untuk mencapai sesuatu ukuran tertentu.
Namun apabila kita meningkat dewasa, rasa itu perlahan-lahan hilang. Hidup menjadi semakin teratur, tetapi pada masa yang sama semakin kering. Rutin mengambil alih. Banyak perkara mula dilakukan hanya kerana perlu, bukan lagi kerana ada rasa hidup di dalamnya.
Sebab itu, antara cara terbaik untuk menghidupkan semula semangat bermain ialah dengan melihat tugasan harian sebagai satu bentuk pengembaraan, bukan semata-mata beban. Kadangkala pengembaraan itu tidak besar pun. Cukup dengan mengubah cara, tempat, atau sudut kita mendekati rutin yang sama.
Pilih Watak Anda (Choose Your Character)
Dr. Stuart Brown menjelaskan bahawa manusia mempunyai play personalities yang berbeza-beza.
Ada yang lebih dekat dengan watak kreatif (Creator), ada yang cenderung kepada watak pencerita (Storyteller), ada yang menikmati peranan watak pesaing (Competitor), dan ada juga yang lebih serasi dengan watak peneroka (Explorer).[2]
Apabila kita mengenali kecenderungan ini, kerja yang biasa-biasa boleh mula terasa lebih peribadi dan lebih hidup.
Maksudnya bukan kita perlu berpura-pura menjadi orang lain, tetapi mengenal gaya bermain (play personality) yang paling serasi dengan diri sendiri, lalu membawanya ke dalam kerja harian.
Bayangkan seorang guru yang masuk ke kelas dengan silibus yang sama setiap minggu. Jika dia melihat tugas itu sekadar rutin yang perlu dihabiskan, lama-kelamaan jiwanya akan letih.
Tetapi jika dia melihat dirinya lebih dekat dengan watak kreatif (Creator), dia akan mula bertanya bagaimana topik yang sama boleh diterangkan dengan cara yang lebih menarik.
Jika dia lebih serasi dengan watak peneroka (Explorer), dia akan suka mencuba pendekatan baharu, alat bantu baharu, atau susunan aktiviti yang lebih segar.
Kelas yang sama tidak lagi terasa seperti ulangan yang membosankan, tetapi seperti ruang eksperimen kecil yang memberi nafas baharu.
Begitu juga seorang pekerja pejabat.
Jika dia mempunyai kecenderungan watak pesaing (Competitor), dia boleh menjadikan tugasan hariannya sebagai cabaran peribadi: bolehkah laporan hari ini disiapkan dengan lebih kemas daripada semalam? Bolehkah masa menjawab emel dipendekkan tanpa mengurangkan kualiti?
Kerja itu mungkin masih sama, tetapi cara dia mendekatinya sudah berubah.
Dan kadangkala, perubahan sudut pandang itulah yang menghidupkan semula tenaga kita.
Terokai Rasa Ingin Tahu (Embrace Your Curiosity)
Rasa ingin tahu ialah bahan bakar kepada minda yang hidup.
Apabila kita mula bertanya, “Bagaimana jika?” atau “Mengapa begini?”, kerja yang tadinya terasa mekanikal mula menjadi lebih menarik.
Kita tidak lagi sekadar menghabiskan tugasan. Kita mula terlibat dengannya.
Rasa ingin tahu bukan sahaja membuat kerja terasa lebih menarik, tetapi juga membantu kita kekal fokus lebih lama dan terlibat dengan lebih mendalam.[3]
Hal ini turut disokong oleh kajian tentang rasa ingin tahu (curiosity) yang menunjukkan bahawa curiosity membantu fokus bertahan lebih lama.
Ramai orang menjadi cepat letih bukan semata-mata kerana kerja mereka terlalu berat, tetapi kerana kerja itu sudah kehilangan unsur ingin tahu.
Mereka hanya hadir, siapkan tugas, dan pulang. Hari demi hari berjalan dalam bentuk yang sama, sehingga jiwa menjadi kering.
Sebab itu, kita boleh mencipta “misi sampingan” (side quests) kecil dalam kehidupan harian.[4]
Contohnya, jika kita perlu menghadiri mesyuarat yang panjang, jangan hadir semata-mata untuk duduk dan menunggu ia selesai.
Sebaliknya, letakkan satu misi kecil kepada diri sendiri: cari satu idea baharu, fahami satu sudut pandang yang belum pernah difikirkan, atau kenal pasti satu perkara yang boleh membantu kerja kita selepas itu.
Bayangkan seorang penjawat awam yang setiap hari mengurus fail dan dokumen.
Pada pandangan kasar, kerja itu mungkin nampak kering dan berulang.
Tetapi apabila dia mula bertanya bagaimana proses itu boleh dipermudah, apa sistem yang boleh diperbaiki, atau kemahiran apa yang boleh dipelajari daripada tugasan itu, kerja yang sama mula terasa lebih bermakna.
Soalnya bukan sama ada tugas itu menarik atau tidak. Soalnya ialah sama ada kita masih membawa rasa ingin tahu ke dalamnya.
2. Cari Keseronokan (Find the Fun)
Ramai orang beranggapan bahawa ada kerja yang memang ditakdirkan membosankan.
Kerja pentadbiran, mengisi data, menyusun fail, membalas emel, atau menyiapkan laporan sering dianggap sebagai tugas yang hanya perlu ditahan sampai habis.
Tetapi sebenarnya, keseronokan tidak semestinya datang daripada jenis kerja. Selalunya, ia datang daripada cara kita mencipta suasana di sekeliling kerja itu.
Kerja yang sama boleh terasa sangat berat pada satu hari, dan terasa jauh lebih ringan pada hari yang lain, hanya kerana pendekatan kita berbeza.
Kadangkala, unsur seronok itu bukan sesuatu yang kita temui begitu sahaja, tetapi sesuatu yang kita cipta dengan sengaja.[5]
Nota Lekat Ajaib (The Magic Post-It Note)
Cuba tulis satu soalan mudah pada sekeping nota lekat (sticky note) dan letakkan di meja kerja kita: “Bagaimanakah rupanya jika kerja ini terasa lebih menyeronokkan?”
Kadangkala jawapannya tidak besar pun.
- Mungkin hanya dengan memakai fon telinga dan memainkan muzik yang sesuai.
- Mungkin dengan mengemas meja terlebih dahulu sebelum mula bekerja.
- Mungkin dengan memecahkan satu tugasan besar kepada bahagian kecil yang lebih mudah diraikan.
Bayangkan seorang ibu yang sedang melipat pakaian pada waktu malam selepas seharian penat bekerja. Tugasan itu memang biasa dan tidak glamor.
Tetapi apabila dia memasang podcast kegemaran, bacaan al-Quran yang menenangkan, atau sekadar menikmati suasana rumah yang damai sambil melakukannya perlahan-lahan, tugas yang sama boleh terasa jauh lebih ringan.
Bukan kerana kerja itu berubah, tetapi kerana ‘suasana dalam hati’ ketika melakukannya berubah.
Begitu juga dengan seorang pekerja yang perlu menyusun spreadsheet, menjawab emel, atau menyiapkan laporan bulanan.
Kadangkala, hanya dengan menyediakan secawan kopi, menetapkan sasaran kecil untuk satu jam pertama, atau menukar kerja itu menjadi cabaran yang ada rentak, tugasan yang asalnya hambar menjadi sedikit lebih hidup.
Kita bukan lagi sekadar menyiapkan kerja. Kita sedang membina mood, pengalaman, dan irama yang membuat kerja itu lebih mudah dijalani.
Kadangkala perubahan kecil itulah yang membezakan antara kerja yang ditahan dengan kerja yang benar-benar dapat dijalani.
Nikmati Proses, Bukan Hasil Akhir (Enjoy the Process, Not the Outcome)
Antara perangkap yang paling meletihkan dalam hidup ialah apabila kita terlalu bergantung pada hasil akhir untuk merasa puas.
Kita fikir kita hanya akan lega selepas projek ini siap.
Kita fikir kita hanya akan gembira selepas gaji masuk, selepas hujung minggu tiba, selepas anak-anak besar, atau selepas semua urusan menjadi stabil.
Padahal, jika seluruh hidup kita hanya tertumpu pada destinasi, kita akan sentiasa penat.
Orang yang paling tertekan biasanya melihat kerja sebagai sesuatu yang perlu dilalui secepat mungkin.
Sebaliknya, orang yang lebih tenang belajar mencari rentak dan kepuasan dalam langkah-langkah kecil yang membentuk kerja itu.
Mereka hadir dalam apa yang sedang dibuat. Mereka memberi perhatian kepada langkah demi langkah, bukan sekadar menunggu garisan penamat.
Bayangkan seorang peniaga kecil yang menjual kuih atau makanan dari rumah.
Jika dia hanya memikirkan hasil jualan akhir, setiap hari akan terasa seperti tekanan.
Tetapi jika dia belajar menikmati proses membancuh adunan, menyusun tempahan, membungkus dengan kemas, dan melihat pelanggan kembali membeli, maka kerja itu tidak lagi terasa seperti beban semata-mata.
Sebaliknya, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan yang boleh dihayati.
Begitu juga dalam penulisan. Jika kita menulis hanya untuk melihat artikel siap diterbitkan, kita akan cepat letih.
Tetapi jika kita belajar menikmati setiap perenggan yang semakin kemas, setiap ayat yang semakin tepat, dan setiap idea yang semakin jelas, maka proses itu sendiri sudah menjadi satu bentuk kepuasan.
Idea ini juga sejalan dengan tulisan saya sebelum ini tentang Lupakan Matlamat. Sebaliknya Fokus Kepada ‘Proses’.
3. Kurangkan Tekanan (Lower the Stakes)
Semangat bermain sukar untuk hidup dalam jiwa yang terlalu tertekan.
Apabila kita melakukan sesuatu dengan rasa takut yang melampau, dengan beban bahawa setiap silap akan membawa padah besar, minda akan menjadi sempit.
Kreativiti mengecut. Kita juga menjadi kurang anjal dalam berfikir. Jiwa menjadi kaku.
Apabila tekanan menjadi terlalu besar, unsur bermain sukar tumbuh. Dan apabila semangat bermain hilang, kerja biasanya terasa lebih keras daripada yang sepatutnya.[6]
Sebab itu, jika kita mahu unsur bermain benar-benar mekar dalam hidup, kita perlu belajar menurunkan sedikit tekanan yang kita letakkan pada diri sendiri.
Bukan bermaksud kita ambil mudah, tetapi kita berhenti memperlakukan setiap perkara seolah-olah seluruh harga diri kita bergantung padanya.
Bingkaikan Semula Kegagalan (Reframe Your Failure)
Dalam budaya kita, kegagalan sering dilihat sebagai noktah yang memalukan.
Silap dalam peperiksaan, silap dalam kerja, silap ketika bercakap, silap membuat keputusan — semuanya mudah terasa seperti aib yang besar.
Itulah sebabnya ramai orang menjadi terlalu stress. Mereka takut mencuba kerana terlalu takut gagal.
Cara pandang ini terlalu berat, dan sering kali tidak adil.
Kegagalan yang dibingkaikan sebagai hukuman akan melumpuhkan percubaan, manakala kegagalan yang dilihat sebagai maklum balas akan membuka ruang untuk belajar.[7]
Cuba kita lihat suatu kegagalan seperti seorang saintis melihat eksperimen.
Apabila eksperimen tidak menjadi, seorang saintis tidak terus menganggap dirinya bodoh atau tidak berguna.
Sebaliknya, dia melihatnya sebagai maklumat. Satu petunjuk baharu (data point) yang memberitahu bahawa jalan ini tidak berhasil, maka pendekatan lain perlu dicuba.
Bayangkan seorang anak muda yang baru mencuba berniaga kecil-kecilan di Shopee atau TikTok Shop.
Pada minggu pertama, mungkin jualannya hambar. Jika dia melihat hal itu sebagai bukti bahawa dia memang tidak berbakat, pastinya dia akan berhenti.
Tetapi jika dia melihatnya sebagai maklum balas, dia akan mula bertanya: adakah gambar produk tidak cukup menarik, adakah harga tidak sesuai, atau adakah cara promosi perlu diperbaiki?
Kegagalan itu tidak lagi terasa seperti penamat. Sebaliknya, ia menjadi panduan untuk langkah seterusnya.
Begitulah juga hidup. Tidak semua cubaan yang gagal itu tanda kita tidak layak.
Kadangkala ia hanya tanda bahawa kita sedang belajar. Kadangkala ia cuma menunjukkan bahawa kaedah itu tidak sesuai, bukan bahawa diri kita sudah berakhir.
Cara melihat kegagalan seperti ini pernah saya huraikan dengan lebih terperinci dalam tulisan Menghadapi Kegagalan Seperti Seorang Saintis.
Jangan Terlalu Serius, Tetapi Ikhlas (Don’t Be Serious. Be Sincere)
Ada satu perbezaan yang sangat penting antara bersikap serius dan bersikap ikhlas.
Bersikap terlalu serius selalunya datang bersama ego, ketakutan, dan keterikatan yang berlebihan terhadap hasil.
Kita mahu semuanya sempurna. Kita takut silap. Kita takut dinilai.
Akhirnya, hati menjadi sempit dan dada terasa sesak.
Seperti dalam permainan, orang yang paling menyeronokkan bukanlah yang terlalu taksub untuk menang, tetapi yang benar-benar hadir dan bermain sepenuh hati.
Tetapi bersikap ikhlas itu berbeza.
Ikhlas bermaksud kita tetap memberikan yang terbaik. Kita hadir dengan sepenuh hati. Kita melakukan tugas dengan teliti, penuh perhatian, dan penuh tanggungjawab.
Namun pada masa yang sama, hati kita tidak terikat secara berlebihan kepada pujian, kejayaan, atau ketakutan terhadap kegagalan.
Seorang doktor, guru, peniaga, pemandu grab, atau ibu bapa tetap boleh melakukan tugas mereka dengan penuh amanah tanpa menjadikan setiap hari sebagai medan tekanan yang melemahkan jiwa.
Mereka masih bersungguh-sungguh, tetapi tidak menghukum diri sendiri pada setiap kekurangan kecil.
Mereka tetap komited, tetapi tidak membiarkan ekspektasi menjadi beban yang mematahkan semangat.
Barangkali di situlah letaknya kebebasan yang sebenar: apabila kita boleh melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, tanpa menjadikan ia penjara kepada jiwa sendiri.
Kesimpulan
Produktiviti tidak sepatutnya diukur semata-mata melalui jumlah peluh, tekanan, atau keletihan yang berjaya kita tanggung.
Kadangkala kita terlalu lama diajar bahawa kerja yang baik mesti terasa berat. Sedangkan dalam banyak keadaan, potensi terbaik manusia muncul bukan ketika dia menekan dirinya tanpa belas, tetapi ketika dia bekerja dengan jiwa yang hidup.
Atas sebab itu, semangat bermain bukan sesuatu yang kebudak-budakan.
Ia ialah cara untuk mengembalikan tenaga, rasa ingin tahu, dan kelapangan dalam hidup yang sudah terlalu padat.
Kadangkala perubahan itu bermula dengan tiga langkah yang nampak kecil: melihat rutin sebagai pengembaraan, mencipta sedikit keseronokan dalam proses, dan tidak meletakkan tekanan yang terlalu berat pada setiap kesilapan.
Bawalah semangat bermain itu ke dalam kerja, penulisan, dan rutin harian kita.
Bukan dengan menjadi sambil lewa, tetapi dengan belajar melihat hidup sebagai sesuatu yang boleh dihayati, bukan sekadar ditahan.
Kerana pada akhirnya, perjalanan yang disulami rasa seronok, ingin tahu, dan keikhlasan selalunya mampu membawa kita lebih jauh daripada perjalanan yang hanya dipacu oleh tekanan dan penderitaan.
Nota kaki
- Penulis merumuskan bahawa play ialah “energiser” pertama: hidup itu menekan, dan play menjadikannya kembali menyeronokkan serta membantu kita melakukan lebih banyak perkara yang penting. ↩︎
- Bab ini merujuk dapatan Dr. Stuart Brown tentang lapan play personalities, termasuk The Competitor, The Explorer, The Creator, dan The Storyteller. Lihat juga nota rujukan buku kepada Stuart Brown, Play: How It Shapes the Brain, Opens the Imagination, and Invigorates the Soul (2009). ↩︎
- Dalam huraian tentang curiosity, dijelaskan bahawa rasa ingin tahu bukan sahaja menjadikan hidup lebih menyeronokkan, malah membantu fokus bertahan lebih lama. Penulis turut merujuk kajian Gruber, Gelman, dan Ranganath (2014) yang menunjukkan rasa ingin tahu meningkatkan ingatan dan dikaitkan dengan aktiviti dopaminergik dalam otak. ↩︎
- Idea side quests diambil daripada logik permainan video untuk menunjukkan bahawa rasa ingin tahu boleh membuka jalan-jalan kecil yang tidak termasuk dalam ‘main story’, tetapi sering membawa penemuan yang tidak dijangka. ↩︎
- Dalam contoh Matthew Dicks, kerja yang pada asalnya tidak menyeronokkan menjadi lebih hidup apabila unsur permainan kecil dicipta secara sengaja di dalam rutin tersebut. ↩︎
- Bahagian ini menjelaskan bahawa stres mengurangkan kecenderungan untuk bermain; antara rujukan yang digunakan termasuk kajian haiwan dan manusia yang menunjukkan play lebih mudah muncul dalam persekitaran yang selesa, tidak mengancam, dan lebih relaks. Nota rujukan buku merujuk antara lain kepada Klein, Padow, dan Romeo (2010), serta Mukerjee dan Metiu (2021). ↩︎
- Melalui eksperimen Mark Rober terhadap cabaran coding, penulis menunjukkan bahawa penalti kecil pun boleh mengurangkan jumlah percubaan dengan ketara. Inti hujahnya ialah: kejayaan bukan bergantung pada seberapa jarang kita gagal, tetapi bagaimana kita membingkaikan kegagalan itu — sama ada sebagai hukuman atau sebagai data point untuk percubaan seterusnya. ↩︎
