Tetek

“Cikguuu… dia tetek sama saya!!”

Tiba-tiba seorang murid perempuan Tahun 1 menjerit dari belakang kelas.

Saya yang sedang buat kerja di meja terus angkat kepala. Kenapa tiba-tiba tetek ni?

Otak saya ambil masa lebih kurang setengah saat untuk memproses perkataan itu.

Kemudian jantung mula berdebar sedikit.

Alamak!! Janganlah ada kes sentuhan tak selamat pula dalam kelas saya.

Bila jadi guru sekolah rendah, terutama dengan budak-budak kecil, benda macam ni memang kita tak boleh ambil ringan. Kadang-kadang mereka belum pandai menjelaskan apa yang berlaku dengan betul. Jadi walaupun ayat yang keluar kedengaran pelik, kita tetap kena tanya juga.

Saya pun panggil budak perempuan tadi datang dekat.

“Apa dia bikin sama kamu?”

Dia diam.

“Dia pegang-pegang kamu ka?”

Saya sudah masuk mode cikgu serius.

Budak itu geleng kepala.

“Tidak…”

Saya tunggu dia sambung untuk habiskan.

“Dia cakap ‘I love you’ sama saya.”

Oh.

Saya pandang budak lelaki yang dimaksudkannya.

Budak lelaki itu pula buat muka suci macam baru selesai tadabbur Surah Al-Ikhlas.

Saya kembali pandang budak perempuan tadi.

“Habis tu kenapa?”

Dia jawab dengan penuh keyakinan,

“Dia tetekkk…”

Saya diam.

Dia diam.

Saya cuba susun semula semua maklumat yang baru saya terima.

Dia tidak pegang. Dia cuma cakap “I love you”. Tapi dia “tetek”.

Akhirnya baru saya faham. GETEK.

“Getekkk. Bukan tetek!” 🤣

Saya terus ketawa.

Untuk kawan-kawan yang bukan dari Sabah, perkataan “getek” tu lebih kurang maksudnya gatal. Mengurat-ngurat. Terlebih manja. Lebih kurang begitulah.

Jadi sebenarnya budak itu hendak mengadu, “Cikgu, dia getek sama saya.”

Begitulah kehidupan seorang guru.

Kadang-kadang kita bukan sahaja kena memahami isi hati murid. Kita kena memahami sebutan mereka sekali.

Aduh, bikin berdebar sahaja budak ni.

Tinggalkan Komen Anda..