
Ada ketikanya, malam yang sunyi boleh terasa sangat bising.
Apabila sekeliling mula sepi, suara-suara di dalam kepala kita sering kali mengambil alih.
Bisikan keraguan, rasa diri tidak cukup bagus, kemarahan yang tiba-tiba datang menyinggah, atau bayang-bayang masa lalu yang kembali mengoyak luka lama.
Dalam agama kita, bisikan-bisikan halus yang mengganggu jiwa ini dipanggil was-was.
Ia satu bentuk jarum halus daripada syaitan yang tidak pernah jemu mencari ruang untuk mematahkan semangat kita.
Dan selalunya, apa yang kita buat apabila diserang perasaan begini?
Kita berlawan. Kita berdebat dengan fikiran kita sendiri. Kita kerah segala sisa tenaga yang ada di dada untuk menepis rasa tersebut.
Kita cuba memujuk diri dan mencari jalan keluar seorang diri. Dan akhirnya, kita penat. Kita rebah dalam keletihan emosi yang teramat sangat.
Hakikatnya, kita ini cuma manusia biasa. Jiwa kita terlampau rapuh dan kita terlalu kerdil untuk berlawan dengan ‘musuh’ yang tidak nampak di mata.
Ada satu pesanan yang cukup mendalam daripada Ibnu Qayyim rahimahullah, tatkala beliau memetik kata-kata gurunya, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.[1]
Ia sebuah perumpamaan ringkas, tetapi sangat tepat untuk menjawab persoalan: mengapa kita sentiasa disuruh memohon perlindungan (Isti’adzah) kepada Tuhan apabila dada terasa sesak.
Katanya:
“Jika anjing gembala menyalak dan cuba menyerangmu, janganlah engkau sibuk melawannya. Sebaliknya, berpalinglah kepada tuan anjing itu dan mintalah pertolongannya. Dia yang akan menambat anjing tersebut dan menyelamatkanmu daripada kesusahan itu.”[2]
Perumpamaan ini tajam, tetapi ia sangat melegakan.
Syaitan, hawa nafsu, dan segala lintasan fikiran negatif yang cuba meruntuhkan jiwa kita itu ibarat anjing gembala yang garang.
Kerja mereka memang menyalak. Fitrah mereka memang untuk menakut-nakutkan dan merampas ketenangan kita.
Kesilapan terbesar kita ialah apabila ‘anjing’ ini mula menyalak, kita sibuk mencari batu di jalanan.
Kita mahu membalas salakannya. Kita cuba bergelut dengannya sendirian. Sedangkan kita terlupa, anjing itu ada Tuan yang mengawalnya.
Mengapa perlu memenatkan akal dan jiwa bergelut dengan ujian, jika kita boleh terus mengadu kepada Sang Pencipta?
Apabila kita melafazkan A’udzu billahi minash shaitanir rajeem (Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam), kita sebenarnya sedang berhenti melayan salakan anjing itu, lalu terus memandang tepat kepada Pemilik sekalian alam.
Kita seolah-olah sedang merintih, “Ya Allah, aku tidak larat. Hati aku rapuh dan aku tiada daya. Tolong simpankan ‘anjing’ ini jauh-jauh daripadaku.”
Tuhan itu sifatNya Maha Pengasih. Dia tidak akan pernah membiarkan hambaNya yang datang merayu, pulang dengan tangan yang kosong.
Dia sendiri yang akan menambat segala bentuk gangguan itu. Dia yang akan mengembalikan hening yang dirampas.
—
Perjalanan hidup ini sudah cukup meletihkan. Tidak perlu kita tambah beban di bahu dengan cuba menangkis setiap salakan yang singgah di telinga.
Sesekali, akui sahaja kelemahan diri. Berhenti berlawan sendirian, dan biarkan Tuhan mengambil alih apa yang di luar kawalan kita.
Kerana pada akhirnya, ketenangan sebenar bukanlah terletak pada kemampuan kita mengalahkan musuh, tetapi pada sejauh mana kita meletakkan kebergantungan kepada Yang Maha Menjaga.
Nota Kaki:
- Nama Ibnu Taimiyyah sering kali menjadi perdebatan pada hari ini kerana buah fikirannya kadangkala disalah erti oleh kumpulan-kumpulan pelampau. Walau bagaimanapun, tokoh akademik antarabangsa seperti Almarhum Shahab Ahmed (Universiti Harvard) dan Yahya Michot (sarjana Belgium) telah meneliti semula karya beliau secara mendalam. Hasilnya, mereka mendapati Ibnu Taimiyyah sebenarnya seorang pemikir yang jauh lebih halus, rasional, dan seimbang pemikirannya, tidak seperti yang digambarkan oleh golongan yang taksub kepadanya. (Boleh dirujuk dalam buku: Ibn Taymiyya and His Times susunan Shahab Ahmed & Yossef Rapoport, 2017; serta Ibn Taymiyya: Against Extremisms karya Yahya Michot, 2012). ↩︎
- Petikan ini diambil daripada terjemahan karya Ibnu Qayyim, Asrar al-Salah (juga diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Inner Dimensions of the Prayer) ↩︎
