Tips Memilih dan Membeli Gewang, Mata Kail Dan Ladung Pemberat

mata kail pelampungBagaimana anda membuat pemilihan terhadap gewang, mata kail dan ladung pemberat?

Perkakasan terminal atau perkakasan ‘terhujung’ dan ‘terkecil’ dalam set memancing memang sangat kritikal, walaupun kebanyakan kita lebih memandang berat perkakasan utama seperti joran, kekili dan tali.

Perkakasan terminal termasuklah mata kail, ladung, cili, gewang, pelampung dan apa sahaja yang suka anda ikat.

Mungkin petua di bawah berguna untuk anda membuat pilihan tepat semasa mengunjungi kedai pancing.

Tips Memilih Mata Kail

pemilihan mata kail

1. Perlu fikir dahulu sebelum membuat seleksi mata kail.

Saiz dan bentuk perlu disesuaikan dengan bentuk dan saiz mulut ikan sasaran, tekstur dan saiz kepelbagaian umpan dan cara bagaimana ikan menjamah umpan serta bertindak balas apabila tercangkuk.


2. Hanya kerana sifu anda memperkenalkan mata kail corak rekaan tertentu, maka tak seharusnya anda tidak boleh bereksperimen dengan reka bentuk lain.

Pereka cipta perkakasan memancing giat mencipta reka bentuk baru dan kadangkala terhasil ciptaan yang efisien.


3. Tajam, ciri yang sangat kita mahukan pada mata kail.

Periksalah ia sebelum anda beli dan periksa sekali lagi sebelum anda mengikatnya.

Kehadiran mata kail cacat dalam bungkusan memang biasa berlaku.

Ada yang lubangnya tidak kemas, separuh terbuka, permukaan kesat dan berteras lembut yang mana semua ini mampu menyumbang malapetaka.

Jadi, periksa jangan tak periksa.


4. Mata kail merah?

Saya tidak yakin bahawa warna mata kail memberi banyak perbezaan, tetapi setiap satu ada kelebihan tersendiri.

Saya gemar membeli jenis nikel hitam kerana kemasannya yang licin.


5. Ada yang percaya bahawa teknik asahan kimia (chemically sharpened) semasa proses pembuatan mata kail adalah satu proses terkini dan mahal.

Sebenarnya proses ini bukanlah baru.

Malah ada mata kail murahan yang tidak dilabel ‘asahan kimia’ tetapi diasah sedemikian rupa dan kosnya rendah.

Ada jenama mahal yang melalui berbagai proses supaya ketajaman hujungnya kekal tahan lama.

Ambillah masa untuk membaca sebarang informasi pada pek bungkusan, terutama jika ia menerangkan tentang proses pembuatannya.


6. Terlalu banyak jenama mata kail kini.

Jadi mulakan dengan mencari saiz dan corak rekaan pilihan anda sebelum melihat jenama dan dari mana asal ia dibuat.


7. Tiada mata kail yang terlalu mahal, dan saya mengamalkan agar tidak menggunakan mata kail yang sama dalam lebih satu trip.


8. Semasa mengemas pulang, asingkan mata kail yang sudah digunakan supaya tidak bimbang mata kail basah itu ‘menjangkitkan’ karat pada perkakasan lain dalam kotak pancing anda.

Tips Memilih Gewang

mata kail gewang

1. Oleh kerana kebanyakan gewang berbadan keras perlu berenang cantik untuk menggoda sambaran, apa yang anda lihat di dinding kedai itu tidak akan membantu jika ia tertonggeng atau meluncur di permukaan air selepas dilontar.

Gewang jenama popular selalunya diuji dalam tangki sebelum dibungkus, jadi ia pasti berenang elok sebaik keluar dari peketnya.


2. Kebanyakan gewang berkualiti diuji setiap individunya, dan kadar penghasilannya lebih perlahan berbanding gewang murahan bagaikan peluru ‘dimuntahkan’ dari mesin acuannya.


3. Elakkan membeli gewang yang dilengkapi mata kail murahan, dan lubang ikatannya lembut dan mudah karat.


4. Berbaloi kalau anda memeriksa keterangan pada pek bungkusan gewang seperti jenama mata kail yang digunakan, arahan penggunaan, negara asal buatanya dan jaminan.

Jika kurang informasi, pembuatnya memang tidak mahu anda tahu menahu pasal gewangnya.


5. Gewang soft plastic (SP) yang semakin banyak dan pelbagai memang ‘menakutkan’ kita melihatnya.

Tetapi ia memang berkesan sejak sekian lama.

Pengalaman saya, semua jenis dan warna SP adalah bagus dan sesetengahnya lebih berkesan dari gewang-gewang lain.

mata kail soft plastic


6. Dua perkara perlu diingat jika menggunakan SP iaitu mata kail dan jig head-nya berkualiti dan saiz SP bersesuaian dengan mangsa semulajadi ikan sasaran.


7. Anda boleh mengelak dari membeli SP murahan, tetapi anda tak boleh lari dari mata kail tumpul, murah dan lembut padanya atau jig head yang tidak berpadanan atau beratnya tidak seimbang dengan gewang.


8. Rajin-rajinlah guna tali atau perambut sehalus mungkin agar tidak mencacatkan pergerakan gewang anda.


9. Membeli perkakasan terminal sama seperti membeli barangan lain, tanyalah apa sahaja kemusykilan kepada operator kedai pancing.

Tips Memilih Ladung Pemberat

ladung pemberat mata kail

1. Kadangkala batu ladung dijumpai tidak kemas pembuatannya dengan wujudnya bucu-bucu tajam.

Jika terjumpa, jangan ambil kerana bucu tajam itu tidak boleh berkompromi dengan tali pancing.


2. Jika anak-anak membantu anda memilih ladung dari bekas simpanan di kedai pancing, pastikan mereka membasuh tangannya selepas itu.


3. Jika anda tahu membuat acuan batu ladung atau membelinya, sila teliti agar antara mukanya bertemu rapat dan sangat rata.

Jika membuat ladung sendiri, awasi keselamatan.

Ingat, timah adalah bahan yang sangat toksik. Wap dari timah cair sangat berbahaya dan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Tambah pula ia berpotensi membawa cedera melecuh jika terkena kulit.

Bagi saya, lebih baik jangan buat ladung sendiri.


mata kail batu ladung

4. Dalam memilih ladung, carilah yang paling ringan untuk kesesuaian teknik anda.

Jika boleh, memancinglah tanpanya.

Jika umpan dapat disampaikan ke aras yang dikehendaki, ia lebih berkesan.

Persembahan semulajadi dapat terlaksana berbanding penggunaan seketul ladung.

Tips Memilih Snap Swivel (Cili)

cross lok snap swivel

1. Bagi kebanyakan pemancing, cili tembaga dijadikan permulaan penggunaan.

Tiada salahnya di sini. Kadangkala cili tembaga murahan ini memainkan peranannya dengan agak baik dalam kebanyakan situasi.


2. Kita gunakan cili supaya ia bertindak sebagai penghenti gelongsoran ladung sepanjang tali hingga ke mata kail, dan kita mahu ia menghindarkan masalah tali berpintal.

Untuk tugasan pertama itu, cili jarang gagal jika ia diikat dengan betul.

Tetapi untuk tugasan kedua, terdapat darjah-darjah akan bagaimana ia memainkan tugasnya dengan baik.


3. Cili bergalas bebola berkualiti tinggi memang lebih mahal dan licin putarannya agar tali bebas dari terpintal.

Tetapi kos dan ketahanan cili bergantung kepada gred logam tahan karat pada galas bebola itu.


4. Cili tembaga murahan berpadanan dengan kerendahan kualitinya, justeru kurang tahan, terutama dalam situasi yang agak ‘kasar’ misalnya apabila memancing di perairan berarus laju.

Pilihlah dengan bijak.


5. Jika anda menggunakan teknik mata berangkai (ganged hooks), umpan ikan biasa terpulas, terutama di pantai berombak.

Jadi, masalah tali berpintal ini perlu diselesaikan.

Macam biasa, semakin bagus cili berputar, semakin tinggilah harganya.

Tetapi bagi saya, lebih berbaloi mengeluarkan wang untuk membeli cili berkualiti, dari menghabiskan duit menukar tali.


6. Kilat atau hitam?

Kebanyakan cili dihasilkan berwarna hitam atau berkilat (atau warna tembaga), mana satu yang lebih baik?

Apa pun, cili hitam biasanya agak mahal berbanding warna tembaga.

Tetapi cuba tolak tepi pasal kos itu, kerana ada sesetengah pemancing melaporkan ikan lebih galak menyerang umpan apabila terlihat cili yang berkilat.

Sementara ada pemancing bimbang kerana ikan terutama ikan sungai berair jernih culas dengan kekilatan.

Terpulang kepada anda…


7. Di bawah cili berputar ialah cili klip.

Ia direka supaya mudah menyambung dan melepaskan tali perambut, gewang dan sebagainya.

snap swivel untuk gewang

 

Penutup

Oleh kerana tujuan artikel ini untuk membantu anda memiliki perkakasan yang berguna, saya cadangkan supaya anda menyimpan setiap pek bungkusan produk yang dibeli.

Jadi anda tahu dan ingat produk mana yang bagus dan yang mana patut dielakkan.

Sumber: Michael Farmer (Modern Fishing), petikan dari ruangan lubuk ilmiah majalah Sirip

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Nobshit
Nobshit
4 tahun yang lalu

Kesimpulannya, blog ni just cakap beli barang mahal confirm bagus. Research lagi bang. Dah banyak gewang dan kail murah berkualiti sekarang.

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading