Tips Lengkap Untuk Membeli Lens Terpakai (Second hand)

tips membeli lens terpakai
Membeli lens terpakai memang menjimatkan, tapi ia juga turut memeningkan.

Kenyataan pahit yang perlu ditelan, hobi dalam bidang fotografi ini memang mahal.

Body kamera, speedlight, memory card, bateri, tripod stand, dan beg kamera semuanya mahal.

Belum masuk lagi kos untuk komputer atau laptop yang cukup power untuk memproses gambar.

…dan jangan lupa, lens. (lensa)

Benda paling penting dan paling mahal dalam dunia fotografi berbanding part lain.

Berikutan harga lens baru yang semakin mahal dari masa ke semasa, ramai peminat fotografi memilih untuk membeli lens terpakai untuk menjimatkan wang.

Dalam artikel ini, saya akan cuba untuk menerangkan kepada anda kelebihan membeli lens terpakai dan berkongsi beberapa tips penting semasa urusan jual beli lens terpakai ini supaya anda tidak menyesal dan gembira menggunakannya hingga beberapa tahun yang akan datang.

Kenapa membeli lens terpakai pelaburan berbaloi?

Alasan yang paling tepat dan nyata pastilah untuk menjimatkan kos.

Lens second hand (dalam keadaan yang berfungsi dengan sempurna) boleh dibeli dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga lens sama yang baru.

Kadang-kadang boleh dapat lagi murah jika kita pandai nego.

Antara yang menjadi persoalan ramai orang, adakah lens terpakai selamat dibeli?

Secara ringkasnya, tidak.

Kecuali anda ada peluang untuk  mengujinya dengan teliti  sebelum membuat pembayaran.

membeli lens terpakai

Ada beberapa cara untuk memastikan anda tidak terbeli barang cacat dan menyelamatkan wang anda dari lebur.

Saya juga selama ini telah menggunakan lens terpakai sahaja, termasuklah lens feveret saya Nikkor 17-55 f/2.8 yang saya gunakan setiap masa, kemana-mana sahaja dalam dunia ini.

 

Disini ada beberapa langkah yang boleh dijadikan guidelines bila membeli lens terpakai:

 

1) Kenali bakal penjual barangan anda

seller lens terpakai
contoh seller lens terpakai yang menawarkan COD dan details mengenai lens yang ingin dijual.

Beli dari sumber yang dipercayai.

Walaupun anda sudah tahu part ini, tetapi saya ingin menjelaskan juga sebagai homework anda.

Adalah tidak cukup anda hanya mengetahui tentang lens yang anda ingin beli itu, tetapi anda juga perlu mengetahui latarbelakang orang yang ingin menjual itu.

Anda mungkin sudah khatam berulang kali membaca review mengenai sweet spot Nikkor 70-200 F/2.8, namun anda harus ingat bahawa anda bakal melaburkan sejumlah wang yang anda kumpul secara penat lelah selama ini kepada orang yang tak dikenali.

Jika anda ingin berjumpa secara face to face, aturkan untuk berjumpa seller tersebut. Bawa teman untuk keselamatan.

Jika anda membeli secara online dari facebook contohnya, dapatkan referral mengenai penjual itu sebanyak mungkin.

Adalah bagus untuk menyiasat terlebih dahulu rekod terdahulu seller itu.

  • Selongkar facebook beliau dan juga friend list beliau. Jika mencurigakan, jangan ambil risiko.
  • Periksa sebarang komen dan feedback mengenai beliau.
  • Tanya orang yang pernah berurusan dengan dia sebelum ini, samada boleh dipercayai atau tidak.
  • Ambil masa untuk membandingbezakan harga lens itu dengan penjual-penjual lain.
  • Jika penjual itu memberi waranti dan ada polisi pemulangan lens, ia adalah satu option yang baik.

 

Amalkan pembelian secara Cash On Delivery (COD)

Cuba beli dengan penjual yang berdekatan kawasan anda jika boleh.

Kalau saya, pengalaman saya beberapa kali kena kencing bila membeli lens di secara online (mudah.my dan facebook) membuatkan saya sudah serik.

Di dalam dunia online, tidak ramai seller yang mampu jujur secara 100 peratus.

Biasanya lens akan diberitahu mengalami minor scratch walaupun sebenarnya lens itu sudahpun mengalami luka yang kita tak sanggup nak tengok, malah ada kemek lagi.

Oleh itu dapatkan gambar yang jelas mengenai lens terpakai yang ingin anda beli itu (termasuklah gambar di tempat yang cacat).

Namun begitu, anda tetap juga gamble kalau beli secara ini. Silap-silap seller lesap begitu sahaja bila sudah dapat duit. Sebab itulah COD lebih selamat.

Salah satu kelebihan bila anda COD dengan penjual yang berdekatan anda dapat melakukan pemeriksaan visual dan fizikal sepuas hati sebelum mengeluarkan wang.

Dan yang paling penting, anda boleh menguji sendiri lens itu di body kamera anda dan lihat sama ada ia boleh berfungsi dengan baik atau tidak.

Jangan memandang rendah perkara ini walaupun ia nampak cerewet.

 

2) Penting: periksa keadaan optik lens

lens terpakaiPeriksa lens sama ada terdapat fungus, calar atau debu.

Cara terbaik yang boleh dibuat adalah menyuluh cahaya menggunakan lampu suluh menerusi lens. Segala ketidaksempurnaan akan jelas kelihatan.

Jika terdapat calar halus dan setitik dua kotoran (dust) adalah tidak perlu dirisaukan. Ia selalu terjadi dan tidak akan menjejaskan kualiti gambar.

debu-lens-terpaka-2i

debu dalam lens terpakai

Pastikan anda memeriksa elemen depan dan belakang lens untuk mencari sebarang ketidaksempurnaan, dan jika ditemui, harga patut berdasarkan perkara ini juga.

Fungus adalah lebih bahaya – sekali lens dijangkiti fungus, ia sukar disingkirkan dan ia akan merosakkan coating lens.

Jadi elakkan membeli lens yang ada fungus.

 

3) Periksa keadaan mekanikal lens

Calar dan kemek – Bagaimana lens itu kelihatan sangat melambangkan bagaimana ia digunakan selama ini.

Ada terdapat sebarang calar pada badan lens?

Jika tiada calar yang serius, anda tidak perlu risau, namun sekali lagi, ia memainkan peranan penting dalam penentuan harga.

Perkara yang mungkin lebih serius jika anda memeriksa skru yang memegang lens itu – adakah terdapat tanda-tanda lens itu pernah dibuka?

Jika ya, lens tersebut mungkin pernah mengalami masalah mekanikal atau elektrik (dalam lens ada motor ya) sebelum ini.

Kecuali lens ini dibaiki oleh servis profesional, lens sebegini biasanya mengalami centering yang teruk.

Kadang-kadang, sesetengah orang (yang pro) tidak menghiraukan sangat keadaan luaran lens dan peralatan mereka, kerana bagi mereka ia hanyalah alat semata.

Mungkin lens itu ada tercabut sedikit cat dan getahnya, dan ia tidak mengapa selagi anda OK dengan keadaan itu.

Yang paling penting ia tidak menjejaskan bahagian-bahagian optikal.

Jika ada kemek – ia adalah petanda yang lebih serius, sebab ia menandakan bahawa lens itu pernah terhempas.

Impak hempasan yang kuat pasti akan menjejaskan kualiti optikal, jadi periksalah dengan teliti.

 

Periksa bilah aperture – anda perlu mount lens tersebut kepada kamera anda.

Lakukan ujian semua bukaan aperture bermula yang paling besar (contohnya F/2.8) sehinggalah ke bukaan yang terkecil (contohnya F/22). Teliti setiap gambar, preview depth of field yang dihasilkan.

lens terpakai

Pengalaman pahit saya, pernah lens yang sampai kepada saya bilah aperturenya rosak, tidak boleh menutup dan membuka.

Sebab itulah anda disarankan supaya COD sahaja agar dapat test dulu.

  • Periksa sebarang tanda minyak pada bilah aperture
  • Adakah bilah tersebut bergerak bebas? Bilah aperture yang berfungsi dengan baik akan bergerak lancar ke tempatnya tanpa tersekat-sekat.
  • Jangan risau bila aperture tidak tertutup dalam simetri yang sempurna – ia memang jarang berlaku walaupun pada lens yang mahal. Mungkin ada boleh mengharapkan simetri yang sempurna dari brand premium seperti Carl Zeiss atau Leica, tetapi walaubagaimanapun perkara ini tidaklah menjejaskan qualiti optikal.

 

Gegelang fokus dan zoom

Cuba pusing:

  • adakah ia terlalu ketat?
  • terlalu longgar?

Bergantung kepada berapa lama lens itu telah digunakan, gegelang zoom ini patut ada sedikit rintangan, namun tak boleh bergoyang dan longgar.

lens terpakai

Jika ia sangat mudah dipusingkan ia mungkin menandakan bahawa ia selalu digunan sebelum ini.

Dalam kes ini, periksa jika getah gegelang itu mengembang atau tidak – jika tiada, lens itu masih dalam keadaan baik.

Kedua-dua gegelang lens ini sepatutnya lancar.

Jika ia tidak lancar, ia menandakan bahawa mungkin kotoran seperti debu dan pasir telah masuk ke dalam lens, dimana ia adalah petanda yang tidak bagus yang boleh membawa kepada kerosakan yang lebih serius.

Gegelung zoom dan fokus sepatutnya boleh berfungsi dan dapat dipulas ke semua skala.

Jika terdapat kesan kemik pada gegelang itu, ia akan mengganggu ketepatan dan kelancaran lens tersebut.

 

4) Operasi autofokus

fokus lens terpakai
kecepatan fokus sangat penting terutamanya bila anda terlibat dengan job yang memerlukan moment & timing tepat.

Walaupun kelajuan operasi autofokus setiap lens adalah berbeza-beza, ia sepatutnya lancar.

Bila anda ingin membeli sesebuah lens itu, mungkin anda telah membaca serba sedikit details mengenainya dan boleh jangka apa yang sepatutnya harus berfungsi, lebih atau kurang.

Pastikan autofokus berfungsi dalam skala kelajuan yang dijangka.

Jika ia lebih laju dari dijangka ia bagus, tapi janganlah lebih perlahan dari sepatutnya.

  • Zoom lens gred Pro seperti 16-35mm, 14-24mm, 24-70mm, 70-200mm biasanya mempunyai AF-S motor, adalah sangat laju, sepantas kilat dalam mengunci fokus.
  • Kebanyakkan lens Canon adalah sangat laju, termasuklah kebanyakkan prime lens mereka.
  • Sesetengah jenama lens third-party seperti Sigma yang mempunyai HSM (hyper sonic motor) adalah laju, setanding Nikkor dan lens Canon. Tamron pula selalunya lebih perlahan berbanding jenama lain.

Pastikan ia tepat dan dapat mengunci subjek dengan baik dalam mode single dan continuous.

Juga periksa jarak  fokus minimum dan juga infiniti.

 

5) Kalau boleh, bawa laptop sekali sebelum membeli lens

Skrin LCD kamera tak boleh diharapkan sepenuhnya untuk menunjukkan kualiti imej yang sebenar.

Laptop akan membantu anda memeriksa apa-apa kecacatan dan ketidaksempurnaan yang ada dalam gambar, contohnya autofokus yang tidak tepat dan masalah kecacatan centering.

Jika seller itu benar-benar jujur, dia mesti tidak kisah duduk sebentar beberapa minit sementara kita memeriksa kualiti imej.

Apa yang paling penting, anda dapat menilai sendiri dengan kedua-dua biji mata anda.

Penutup: Jangan gopoh mengeluarkan wang.

Saya tahu anda teruja untuk mendapatkan ‘senjata’ baru, tetapi dengan meluangkan sedikit masa untuk study dan memeriksa lens yang bakal dibeli itu dengan teliti akan menyelamatkan anda dari menyesal dikemudian hati.

Lens terpakai atau secondhand adalah berbaloi jika kena caranya.

Ia adalah cara yang bagus untuk mendapatkan lens yang hebat.

Cuma pastikan anda bersabar, jangan ikut nafsu dan meneliti beberapa perkara penting sehingga anda berasa yakin dengan barang yang dijual itu (termasuk penjualnya sekali)

Semoga menjadi panduan yang berguna kepada anda.

guest
1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments