Setiap pemancing lazimnya sudah maklum betapa pasang-surut, suhu, tahap pencahayaan dan fasa bulan boleh memberi kesan ke atas hasil pancingan kita.
Namun sebenarnya terdapat satu lagi faktor lain yang selalunya tidak diambil peduli langsung, iaitu tekanan barometrik.
Tekanan barometrik (atau tekanan atmosfera) biarpun tidak boleh diramal setepat elemen yang lain, namun ia mampu memberi pengaruh yang besar terhadap sikap dan perangai ikan.
Cuba anda fikir balik:
- Kerapkah anda bersuka ria dengan sambaran demi sambaran ikan sebelum datangnya cuaca buruk atau ribut?
- Atau pernahkah anda mengalami keadaan misteri apabila ikan yang galak tadi tiba-tiba senyap sebaik sahaja cuaca buruk tiba?
Dan berapa harikah ikan akan kembali galak selepas beredarnya ribut tersebut?
Apakah Itu Tekanan Barometrik?
Tekanan barometrik bermaksud berat atau jisim keseluruhan kolum udara pada seunit luas permukaan di aras laut.
Barometer pula merupakan satu alat untuk pemerhatian cuaca, kerana turun naiknya menunjukkan perubahan cuaca sedang berlaku.
Cecair raksa (Hg) biasanya digunakan dalam alat barometer untuk mengukur perubahan tekanan udara dalam ukuran inci (in.).
Tekanan atmosfera (udara) boleh juga diukur dalam ukuran milibar (mb).
Dimana satu ‘bar’ secara kasarnya bersamaan dengan satu tekanan atmosfera (satu atmosfera bersamaan dengan 1.01325 bar).
- Satu bar bersamaan dengan 29.60 inci Hg.
- Barometer yang membaca 30 inci (Hg) adalah dianggap normal.
- Tekanan tinggi yang kuat boleh mencapai setinggi 30.70 inci.
- Sementara tekanan rendah berkaitan dengan ribut taufan boleh jatuh di bawah 27.30 inci
Biasanya keadaan cuaca seperti angin sejuk, angin panas, atau hujan – akan menyebabkan tekanan atmosfera yang rendah.
Sebaliknya, tekanan atmosfera yang tinggi selalunya berlaku selepas berlalunya cuaca yang disebutkan diatas.
Apabila tekanan tinggi berlaku di sesuatu kawasan, ia selalunya bermakna hari cerah dan laut agak tenang.
Bagaimana tekanan barometrik memberi kesan ke atas ikan?
Ikan mengesan perubahan tekanan melalui pundi udaranya.
Ikan yang mempunyai pundi udara yang yang kecil (contohnya ikan pelagik seperti Tenggiri dan Belitong) selalunya tidak terlalu terjejas oleh perubahan tekanan barometrik berbanding dengan ikan yang mempunyai pundi udara yang besar.
Ini kerana ikan yang berpelampung udara kecil mempunyai ketumpatan badan yang hampir sama dengan air di persekitarannya.
Mereka tidak dapat mengesan perubahan tekanan secara mendadak.
Jadi, tahap keselesaan mereka tidak berubah secara drastik.
Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa banyak ikan mangsaan yang diburu oleh ikan-ikan ini juga turut memiliki pundi udara.
Maka ini boleh memberi impak yang besar iaitu di mana anda boleh menjumpainya dan bagaimanakah kelakuan mereka.
Bagi ikan yang berpundi udara besar pula (contohnya Jenahak dan Kerapu), mereka lebih sensitif terhadap kejatuhan tekanan udara.
Ini kerana berlaku tekanan yang kurang pada pundi udaranya.
Apabila kurangnya tekanan yang menekan pundi udara, maka pundi udara ikan tersebut akan mengembang sedikit.
Apabila pundi udara mengembang, ikan tersebut akan mula rasa tidak selesa.
Mereka cuba melegakan ketidak-selesaannya dengan bergerak ke paras terdalam atau dengan menyerap gas ekstra di dalam pundi udaranya.
Akibat mengalami tekanan anatomi dan fisiologi, ikan-ikan ini tidak mengendahkan soal makan lagi.
Mereka lebih memikirkan cara untuk mencari suatu kedalaman di mana mereka boleh menyeimbangkaan tekanan pelampung udaranya dan mula berasa selesa semula.
Sesetengah spesies akan mendap ke dasar dan mengatasi perubahan itu dengan berdiam berdekatan struktur.
Bagaimana menyesuaikan Tekanan Barometrik Dengan Situasi Memancing?
Secara umumnya, ikan akan lebih selesa apabila tekanan tinggi yang stabil.
Mereka akan cenderung untuk aktif mencari makan dipelbagai kolum kedalaman air.
Dan dengan berlakunya perubahan-perubahan cuaca yang drastik berserta kitaran tekanan tinggi dan rendah – ia pasti mengubah bagaimana reaksi ikan terhadap perubahan tekanan.
Kita perlu tahu bahawa:
– Ikan dapat mengesan penurunan tekanan sebelum ribut melanda.
Jadi, apabila tekanan tinggi mula menurun, ikan akan bertindak balas dengan perubahan pola pemakanan.
Selalunya ikan akan makan sebanyak-banyaknya sebelum tekanan jatuh.
Apabila ribut telah berlalu dan tekanan mula meningkat, ikan mungkin tidak makan secara agresif sekurang-kurangnya selama 24 jam, kerana mereka masih dalam proses menyesuaikan diri.
Walau bagaimanapun, ikan akan kembali aktif selepas 1 atau 2 hari kemudian selepas mereka telah menstabilkan diri dengan tekanan sekeliling.
Dan apabila berlaku perubahan tekanan lagi, seperti ketika ribut berlaku kembali, kitaran itu berulang semula.
Dalam keadaan tekanan atmosfera yang stabil, ia selalu menjurus kepada cuaca yang baik.
Aktiviti adalah normal dan waktu ini adalah saat terbaik untuk menguji gewang, umpan dan teknik memancing yang paling berkesan.
Apabila barometer semakin meningkat, keadaan cuaca semakin cerah atau bertambah baik.
Pergerakan ikan menjadi semakin aktif.
Bacaan tekanan barometer (30.50+)
Selepas barometer yang meningkat mencapai titik yang tinggi, langit jelas dengan keadaan cahaya terang keseluruhan.
Pada masa ini, aktiviti ikan secara amnya lebih perlahan, kerana ikan bersembunyi di struktur perlindungan atau berenang ke dalam air yang lebih dalam.
Apabila bacaan barometer jatuh, keadaan cuaca pada umumnya adalah semakin buruk, dengan potensi untuk berlaku ribut.
Ikan bertindak balas terhadap tekanan atmosfera yang jatuh dengan pergerakan dan aktiviti makan yang meningkat.
Bacaan tekanan barometer (29.60-)
Apabila barometer jatuh pada titik paling rendah, keadaan cuaca hujan dan ribut.
Corak ikan menjadi kurang aktif dan terus berkurangan apabila ribut berterusan.
Jadi apakah tekanan barometrik yang terbaik untuk memancing?
Jawapannya adalah apabila tekanan atmosfera disekitar 29.90 dan 30.90 dan tekanan sedang jatuh mendadak.
Pada waktu ini anda akan mendapati ikan paling aktif dan kuat makan.
Penutup: Faktor Lain yang Mempengaruhi Hasil Pancingan
Selain daripada faktor tekanan barometer, terdapat beberapa faktor lain lagi yang mungkin mempengaruhi kelakuan ikan.
Antaranya adalah:
- Suhu air
- Tahap kejernihan air
- Perubahan paras air
- Keamatan cahaya
- Perubahan fasa dan peredaran bulan
- Keadaan arus
- Pasang surut lautan
Dan sebagainya..
Akhir sekali, ini adalah sekadar teori yang berdasarkan andaian saintifik.
Namun tidak salah untuk kita sebagai pemancing untuk mengambil pengetahuan ini agar dapat merangka strategi untuk meningkatkan kadar kejayaan kita nanti.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Jika terdapat kesalahan dalam artikel, mohon tuan memperbetulkan saya agar sama-sama kita dapat belajar.
Terima kasih!
Tinggalkan Komen Anda..
bagus skali info…
Terima kasih tuan atas perkongsian ini.