Sebelum Kita Layak Berlari..

Sebelum Kita Layak Berlari..

Dunia ini, bersama isinya, tidak diciptakan dalam sekelip mata. Segala-galanya tunduk kepada satu hukum yang sama: Proses.

Lihat sahaja bagaimana kita bermula sebagai seorang manusia.

Kita tidak dilahirkan terus berlari. Kita bermula dengan meniarap, belajar merangkak dengan lutut yang mungkin berdarah, kemudian berdiri dengan kaki yang menggigil, sebelum akhirnya kita mampu berjalan dan berlari.

Begitulah juga dengan ilmu dan kehidupan.

Tidak ada manusia yang dilahirkan terus memiliki kepandaian. Kita semua harus bermula dengan “mengenal” sebelum beroleh “kemahiran”.

Kata kunci kepada setiap fasa yang kita lalui adalah pembelajaran.

Manusia iaitu kita belajar tentang sesuatu melalui pelbagai perkara.

Setiap saat yang berlalu, setiap peristiwa yang menimpa, dan setiap suasana yang kita lalui sebenarnya sedang mengajar kita sesuatu.

Tidak ada satu pun perkara yang Tuhan jadikan itu sia-sia atau tanpa hikmah.

Mungkin kita melihat ada orang yang nasibnya seakan sentiasa “cerah”. Mereka seolah-olah tidak perlu mengenal kepedihan untuk mencapai bahagia.

Namun, siapalah kita untuk menghakimi? Kerana dalam diam-diam, Dia telah mengaturkan segalanya dengan sangat rapi.

Kadangkala, kita terlebih dahulu perlu meneguk pahitnya kecewa sebelum dapat mencicip manisnya bahagia. Kita perlu mengunyah kelatnya penipuan sebelum dapat merasa lazatnya sebuah kebenaran.

Mungkin juga, kita perlu berjalan di atas duri-duri pengkhianatan yang tajam sebelum akhirnya layak untuk berbaring lena di atas tilam penghargaan.

Marcus Aurelius pernah meninggalkan pesanan yang sangat dekat dengan hakikat ini:

Halangan, kedukaan, dan kegagalan yang kita lalui bukanlah “tembok” yang menghentikan kita.

Ia adalah sebahagian daripada “tangga” yang sedang kita daki untuk mencapai sesuatu yang lebih besar.

Apa yang kita mampu lakukan sepanjang proses yang melelahkan ini hanyalah bersabar. Namun, kita perlu faham bahawa sabar itu bukan pasif.

Sabar yang sebenar adalah apabila kita dilontarkan dengan duri, kita masih mampu menghidu haruman mawar di sebaliknya.

Sabar adalah apabila kita ditakutkan dengan gelapnya malam, kita masih mampu membayangkan indahnya cahaya siang yang bakal tiba.

Sabar itu bermaksud mata hati kita mampu melihat kebaikan di sebalik musibah.

Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah pernah menulis dengan sangat indah:

Dalam hidup, kita memang tidak akan selalu mendapat apa yang kita mahukan.

Namun, jika kita sabar, redha, dan terus berusaha dalam proses “mencari” dan “menjadi” hamba yang baik, insha-Allah kita akan dipertemukan dengan sesuatu yang lebih kita perlu.

Jangan membenci proses yang pahit, kerana ubat yang menyembuhkan itu selalunya tidak pernah manis di lidah.

Teruskan melangkah, satu fasa pada satu masa.

Tinggalkan Soalan / Komen