
Cuba buka pintu almari pakaian kita pagi ini. Perhatikan deretan baju yang tergantung rapat.
Begitu padat sehinggakan nak selit sehelai kemeja baharu pun terpaksa ditolak-tolak penyangkut yang lain. Laci pula sarat dengan pelbagai jenis seluar dan t-shirt yang berlipat tebal.
Namun, apa yang peliknya, setiap kali kita berdiri di hadapan almari yang padat itu, keluhan yang selalu keluar dari mulut kita adalah:
“Tak tahu nak pakai baju apa hari ni.”
Realitinya, daripada beratus helai pakaian yang ada, kita hanya memakai 20 peratus baju yang sama berulang kali.
Baju yang kita paling selesa. Baju yang paling mudah digosok.
Jadi, kenapa kita masih simpan baki 80 peratus yang lain?
Sebab kita selalu terperangkap dengan ilusi “mungkin”.
Mungkin nanti badan akan kurus balik dan muat. Mungkin nanti ada majlis sesuai nak pakai baju ni. Mungkin sayang nak buang sebab harga masa beli dulu mahal.
Akhirnya, pakaian itu hanya tergantung dan berhabuk selama bertahun-tahun.
Almari Jiwa Yang Sesak
Begitulah juga keadaannya dengan ‘almari’ di dalam jiwa dan fikiran kita.
Tanpa sedar, kita suka sangat menyimpan macam-macam ‘sampah’ emosi di dalam dada.
Kita simpan dendam lama pada orang yang pernah menyakiti kita. Kita simpan rasa ralat pada kegagalan bisnes atau kerjaya beberapa tahun lepas.
Kita simpan segala memori pahit atas alasan “sebagai pengajaran”, tapi hakikatnya ia cuma memakan diri.
Kita padatkan jiwa kita dengan perkara-perkara lampau yang sudah tiada fungsi untuk hari ini.
Sama seperti almari pakaian yang sesak, jiwa yang terlalu padat dengan serabut semalam akan membuatkan kita letih dan rimas setiap hari.
Apabila hati sudah penuh dengan amarah, dendam, dan kerisauan, di manakah lagi ruang kosong yang tinggal untuk kita masukkan rasa syukur, sabar, dan ketenangan?
Tiada. Sebab almarinya sudah terlalu padat.
“Memories warm you up from the inside. But they also tear you apart.“ — Haruki Murakami
Keindahan Ruang Kosong
Seni kehidupan yang tenang adalah kemahiran untuk melepaskan.
Hari ini, cuba ambil masa sedikit. Keluarkan baju-baju yang sudah bertahun tidak disentuh itu.
Jika ia masih elok, sedekahkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Biar ia membalut tubuh orang lain dan menjadi asbab pahala yang mengalir.
Apabila separuh isi almari itu dikosongkan, kita akan mula nampak ruang yang luas.
Penyangkut baju tidak lagi berlaga. Baju kegemaran kita lebih mudah dicari. Almari itu tiba-tiba terasa lebih kemas dan menenangkan mata yang memandang.
Begitu juga dengan seketul hati. Berlatihlah untuk memaafkan.
Lepaskan apa yang sudah tiada dalam kawalan tangan kita. Redhakan apa yang tidak memihak kepada kita.
Kekosongan itu bukanlah bermaksud kita kehilangan sesuatu. Sebaliknya, ruang kosong itulah yang membenarkan minda kita untuk bernafas semula.
Ketenangan hidup tidak datang dengan cara mengumpulkan lebih banyak barang atau menyimpan lebih banyak memori.
Kadang-kala, ketenangan yang paling indah itu hadir apabila kita berani mengosongkan ruang, dan membiarkan Tuhan mengisinya dengan sesuatu yang jauh lebih baik..
