Bagaimana memilih joran casting terbaik dan sesuai?
Dalam artikel ini saya kongsikan beberapa tips berkaitan pemilihan joran casting.
Apa yang menarik:
Saya akan membincangkan secara terperinci bagaimana sesuatu joran itu berfungsi dan apa aspek yang perlu dipertimbangkan oleh anda sebelum memilih sesuatu joran.
Pengenalan
Seperti kita semua tahu, joran dan kekili adalah dua komponen yang paling mahal dalam dunia memancing.
Maka tidak hairanlah ia akan menjadi pembelian yang “paling teliti” dibuat oleh setiap pemancing.
Proses memilih joran casting terbaik boleh menjadi satu perkara yang menjenuhkan agar ia berbaloi dengan setiap ringgit yang dilaburkan.
Kita perlu sedar bahawa;
Joran casting yang bagus tidak semestinya menjadikan kita pemancing pro..
.. tetapi joran casting yang tidak sesuai pasti akan membataskan banyak perkara.
Bagaimana Sesuatu Joran Berfungsi?
Joran memainkan peranan besar semasa kita melakukan balingan dan bertarung dengan ikan.
Saya cuba terangkan secara ringkas bagaimana joran berfungsi.
Secara asas, sesebatang joran akan melakukan dua tugas penting, iaitu:
- Membuat balingan
- Menentang kekuatan ikan
Dengan memahami secara terperinci bagaimana joran berfungsi, ia akan memberikan kita idea untuk memilih joran yang terbaik untuk gaya pancingan kita.
Di bawah saya terangkan bagaimana sesebuah joran berfungsi:
1. Semasa Melakukan Balingan

Secara teknikal, joran pancing moden berfungsi menyimpan dan melancarkan tenaga.
Untuk memudahkan pemahaman kita, cuba bayangkan bagaimana sebuah lastik berfungsi.
Apabila kita menarik getah lastik tersebut;
— Semakin panjang getahnya ditarik, maka semakin jauhlah pelurunya dapat dilancarkan.
Ini kerana semakin panjang getah lastik tersebut dapat diregangkan, semakin banyak tenaga dapat disimpan untuk membidas peluru pergi.
Prinsip fizik ini juga sama dengan bagaimana joran anda berfungsi.
Semakin banyak joran boleh melentur, semakin banyaklah tenaga boleh disimpan dan dijanakan.
Maka semakin jauhlah gewang tersebut dapat dilontar.
Saya harap anda faham dengan analogi ini.
2. Semasa bertarung dengan ikan
Apakah fungsi joran semasa bertarung dengan ikan?
Apabila gigitan ikan dikesan dan kita melakukan strike, lengkungan joran akan menyerap tenaga sentapan untuk mengelakkan tali daripada meletup.
Lengkungan joran bukan sahaja membolehkan kita mengekalkan ketegangan tali semasa bertarung dengan ikan..
.. malah ia akan meletakkan ikan dibawah satu tekanan yang berterusan, dimana ia akan membuatkan ikan letih dengan lebih cepat.
Selain itu, joran juga berfungsi untuk menyerap tekanan mengejut apabila ikan melakukan pecutan atau lompatan secara tiba-tiba.
Bacaan lanjut mengenai bagaimana joran bekerja boleh dibaca pada laman wikipedia: Bending curve and tapering
Faktor Asas Utama Yang Perlu Dipertimbangkan Dalam Memilih Joran
Tidak kiralah sesuatu joran itu mahal atau murah, terdapat tiga kriteria paling asas yang harus kita pertimbangkan dalam sesuatu memilih joran yang tepat dengan keperluan kita.
Tiga faktor inilah yang akan menentukan jarak balingan, ketepatan dan bagaimana kawalan terhadap ikan.
Oleh itu sila fahami bahagian ini dengan teliti:
1. Aksi / Rod Action
Apakah yang dimaksudkan dengan aksi joran?
— Aksi joran atau action, adalah satu ukuran untuk menentukan sifat elastik sesuatu blank.
Ia adalah bagaimana “kelakuan” sesuatu joran apabila ia dilenturkan dan dilepaskan secara tiba-tiba.
Dalam bahasa mudah, aksi atau action boleh ditakrifkan sebagai seberapa cepat lenturan rod kembali ke point asalnya.
Secara umumnya, aksi joran dibahagikan kepada tiga kategori utama:
- Joran yang kembali ke bentuk asal dengan cepat selepas melentur dikenali sebagai aksi pantas / fast action.
- Joran yang kembali ke bentuk asal dengan perlahan selepas melentur dikenali sebagai aksi perlahan / slow action.
- Dan joran yang mempunyai ciri-ciri diantara kedua sifat diatas dikenali sebagai aksi sederhana / medium action
Menurut St. Croix, pengeluar rod terkenal di dunia:
Dengan merujuk gambarajah diatas, saya rasa anda sudah nampak perbezaan setiap aksi joran.
Apa Kepentingan Memilih Aksi Joran Yang Tepat?

Aksi joran yang betul sangat kritikal untuk membuat balingan yang tepat dan mengayakan aksi gewang dengan lebih sempurna.
Di bawah saya akan memperincikan aksi-aksi joran dan kesesuaiannya:
Aksi pantas hanya melentur 15-20% dari hujung joran.
Oleh itu kita merasakan joran aksi pantas adalah joran yang keras.
Dari segi casting, ia akan memudahkan kita melakukan balingan yang tepat.
Kuasa angkatan (lifting power) yang tinggi memudahkan ikan ditarik keluar dari halangan.
Oleh kerana sifat fleksibiliti yang tinggi, aksi pantas juga akan turut sensiviti yang tinggi.
Maka ia sangat sesuai untuk teknik gewang soft plastic dan teknik yang memerlukan hook-set yang tangkas.
Kekurangan aksi pantas pula adalah jarak balingan tidak dapat dibuat jauh.
Joran aksi sederhana melentur dari hujung hingga ke pertengahan joran.
Joran yang mempunyai aksi sebegini boleh disifatkan sebagai joran all-rounder dan boleh melakukan banyak tugas.
Dapat menyerap tekanan larian ikan dengan lebih baik.
Ia membolehkan jarak balingan yang bagus dalam ketepatan yang masih boleh diterima.
Selain itu, tahap sensiviti juga masih bagus.
Oleh itu ia sesuai untuk mengendalikan gewang bersaiz kecil dan sederhana.
Joran aksi perlahan melentur dari hujung hingga ke pangkal joran.
Aksi perlahan lebih sesuai untuk kegunaan tali yang berkekuatan kecil dan menduga ikan yang mempunyai mulut yang lembut kerana sifatnya yang dapat menyerap tekanan dengan baik.
Aksi ini biasanya ditemui pada joran fly fishing dan ultralight.
2. Kuasa / Rod Power
Apakah yang dimaksudkan dengan rod power?
Secara literal, kuasa atau rod power boleh didefinisikan sebagai kekuatan joran.
Ia merujuk kepada seberapa banyak tekanan/kuasa yang diperlukan untuk melenturkan sesuatu joran.1
Kuasa selalunya menjadi petunjuk kepada backbone dan lifting power sesuatu joran itu.
Apakah kepentingan kuasa joran (power)?
Pasti anda tertanya-tanya apakah kepentingan mengetahui kuasa sesuatu rod.
Kuasa joran (power) selalunya akan mempengaruhi pemilihan dua perkara, iaitu:
- Kekuatan tali yang sepadan
- Berat gewang yang sesuai digunakan.
Semakin besar kuasa joran itu, maka ia akan dapat mengendalikan tali yang lebih kasar dengan lebih baik.
Dan joran yang berkuasa kecil akan akan mengawal tali halus dengan lebih efektif.
Apakah Kesan Jika Padanan Tersebut Tidak Sesuai?
Jika joran berkuasa besar digunakan bersama tali kecil, maka tali tersebut akan mudah putus atau meletup.
Dan sebaliknya juga, jika rod berkuasa kecil digunakan dengan tali kasar, kemungkinan joran pula akan patah.
Berat gewang yang sesuai digunakan juga bergantung kepada kuasa joran.
Untuk lontaran yang efektif, gunakan gewang yang mempunyai berat dalam julat yang tercatat pada joran.

Sesuatu joran harus juga dipilih berdasarkan keadaan padang pancing dan jenis spesis yang diburu.
Memancing toman dikawasan samai yang tebal memerlukan joran yang kuat untuk menarik ikan keluar dengan pantas.
Memancing dikawasan terbuka pula, penggunaan joran berkuasa ringan untuk dipadankan dengan tali halus yang sukar dikesan ikan adalah lebih efektif.
Setiap joran dicipta untuk menjalankan tugas mengikut kriteria tertentu.
Sila gunakan mengikut spesifikasi label yang tertera pada joran tersebut untuk mendapat prestasi terbaik daripada joran tersebut.
Jika gewang yang berat atau tali yang lebih besar digunakan, ia akan merosakkan peralatan kita.
3. Panjang Joran
Apa pula pentingnya panjang joran?
Sebenarnya, panjang sesuatu joran akan memain dua peranan penting, iaitu:
- Menentukan jarak balingan
- Kawalan yang lebih berkesan terhadap ikan
Panjang joran biasanya dipilih berdasarkan keadaan kawasan padang pancing dan spesis ikan buruan.
Jika kita memancing dari atas bot yang sempit atau memancing di kawasan pokok-pokok rendah, maka panjang joran yang tidak melebihi 7 kaki adalah lebih praktikal.
Ia akan memudahkan kita membuat balingan yang lebih tepat dengan lebih selesa.
Jika kita memancing di kawasan yang lapang dan tiada halangan, menggunakan joran panjang mungkin menjadi satu kelebihan.
Perasan tak kenapa Gong Lei gemar menggunakan joran yang panjang?
Ini kerana ia akan membolehkan gewang dilontar lebih jauh, dan anda juga akan mendapat lebih kawalan terhadap ikan bila bertarung.
Formulanya disini adalah;
Semakin panjang joran, semakin jauh jarak balingan yang dapat dilakukan.
Panjang joran yang tepat, akan membantu mengawal ikan dengan lebih baik, terutamanya spesis ganas seperti toman dan blackbass.
Tetapi panjang joran juga hendaklah bersesuaian dengan situasi & keadaan padang pancing.
Komponen dan Bahan Binaan Joran
Bahan binaan yang melengkapi sesebatang joran selalunya mempengaruhi harga rod tersebut.
Apa yang lebih penting, ia juga akan banyak mempengaruhi prestasi joran tersebut.
Mari kita lihat apakah bahan dan komponen-komponen yang mempengaruhi prestasi sesuatu joran casting.
a) Bahan Pembuatan Blank

Pada era dunia moden hari ini, secara umumnya blank joran diperbuat daripada grafit, fiberglass atau kombinasi diantara dua bahan ini.
Selain itu terdapat bahan lain digunakan dalam penghasilan joran seperti Boron dan Carbon.
Sesetengah pengeluar seperti Megabass juga turut menggunakan campuran bahan-bahan exotic seperti titanium dalam penghasilan blank mereka.
Setiap bahan-bahan ini akan memberikan sifat dan rasa yang berbeza kepada blank joran.
Grafit
Blank daripada grafit adalah lebih ringan dan keras, tetapi lebih rapuh berbanding fiberglass.
Jadi ia akan mudah patah kalau terhantuk atau terpijak.
Tetapi kelebihan grafit adalah ia ringan dan sangat sensitif.
Maka ia sangat baik untuk merasai kelakuan gewang di dalam air dan mengesan ragutan ikan.
Fibreglass
Fibreglass adalah bahan lama dalam industri pembuatan joran.
Ia selalunya lebih liat dan sukar patah. Tetapi malangnya bahan ini sangat berat.
Oleh itu, terdapat pengeluar menggabungkan dua bahan ini untuk mendapatkan ciri-ciri terbaik.
Dalam pasaran hari ini, kita boleh mendapatkan rod yang mempunyai blank yang ringan dan kuat tapi pada harga yang lebih murah.
Yang penting adalah kita harus cuba untuk mendapatkan rod yang mempunyai blank terbaik bersesuaian dengan budjet.
b) Pemegang
Hulu pemegang joran atau handle adalah satu komponen yang sangat penting dalam sesebatang joran casting.
Handle akan menentukan:
- Keseimbangan rod (balance)
- Keselesaan semasa melakukan balingan
- Praktikaliti untuk menjalankan sesuatu tugas.
Hulu pemengang yang panjang baik untuk lontaran jauh kerana ia membolehkan kita menggunakan kedua belah tangan.
Ia memberikan lebih ruang diantara tangan untuk menjana kuasa tuilan (leverage power) yang maksimum untuk menghasilkan lontaran jauh.
Selain itu, apabila bertarung dengan ikan besar, hulu joran yang panjang akan dapat diletakkan dengan selesa dibawah lengan.
Manakala, hulu pemegang yang pendek lebih sesuai untuk lontaran secara single handed.
Oleh itu, ia lebih praktikal digunakan pada joran kelas ringan menggunakan gewang yang kecil.
c) Cincin / Guides
Guide atau cincin pada joran adalah salah satu komponen yang paling mempengaruhi harga joran.
Rod yang menggunakan guide sic tidak sama harganya dengan rod yang menggunakan guide alconite.
Cincin diperbuat daripada seramik yang licin dan tahan geseran serta haba.
Lebih licin, maka lebih jauh lontaran.
Dan cincin yang bagus mempunyai kadar pembebasan haba yang baik dimana ia akan menyelamatkan tali dari cepat rosak.
Pada hari ini, teknologi bahan pembuatan cincin yang terbaru dikenali sebagai Torzite.
Semakin moden sesuatu bahan, semakin mahal harga cincin itu.
Terdapat pelbagai jenis bahan pembuatan cincin yang boleh kita jumpa dipasaran, tetapi standard cincin joran casting pada waktu ini adalah dari SiC (silicon carbide).
Pemilihan material cincin yang sesuai adalah perlu terutamanya bila kita menggunakan tali sulam.
d) Tapak kekili / Reel seat

Bahan standard dalam pembuatan tapak kekili / reel seat pada hari ini adalah dari bahan jenis grafit.
Kelebihan grafit seperti yang kita tahu, ia ringan dan menawarkan darjah sensitivity yang tinggi.
Terdapat pelbagai jenis bentuk reel seat dipasaran:
- ACS
- PTS
- Open split seat
- .. dan sebagainya.
Pilihlah mengikut keselesaan tangan anda dan kesesuaiannya bila dipadankan dengan kekili.
Setiap orang adalah berbeza tahap keselesaan.
Bagi saya, untuk baitcaster low profile, saya lebih gemar memadankan ia dengan reel seat jenis ACS kerana lebih grip.
Untuk baitcaster jenis bulat (RBC), saya lebih gemar menggunakan ia bersama rod yang mempunyai reel seat jenis PTS.
Ia terpulang kepada anda.
e) Portability (Mudah Dibawa)

Joran one piece
Menurut sesetengah pemancing, joran satu bahagian (one piece) mempunyai rasa dan sensitiviti paling terbaik.
Ini adalah kerana getaran dari tali dan hujung rod dapat dipindahkan dengan efektif ke tangan pemancing.
Namun keburukan joran one piece ini adalah ia sukar dibawa ke mana-mana.
Lebih panjang, maka lebih sukar.
Ini sangat dirasai terutama apabila melakukan trekking di sungai-sungai hutan.
Joran 2 bahagian
Joran dua sambungan adalah jenis yang biasa kita temui di kedai pada hari ini.
Joran jenis ini, jika dihasilkan dengan baik hanya akan mengorbankan sedikit sahaja sensiviti berbanding joran one piece.
Malah mungkin kita tidak merasai pun berbezaan sensiviti tersebut.
Terdapat dua jenis sambungan, iaitu sambungan tengah dan sambungan pangkal (butt joint).
Joran sebegini lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana kerana boleh dipendekkan.
Joran multi-pieces
Hari ini, kita boleh menjumpai rod yang mempunyai banyak segmen (multi pieces rod) yang berprestasi tinggi dengan mudah.
Ia juga dikenali sebagai travel rod.
Contohnya jenama Huerco dan MonsterKiss
Tidak dinafikan, ia sangat memudahkan para pemancing untuk membawanya kemana-mana sahaja.
Malah lebih selamat dan praktikal untuk dibawa pada trip yang jauh tanpa mengorbankan keselesaan.
Selalunya, rod ini apabila dipack ia tidak melebihi 60cm, dimana ia akan mematuhi peraturan bagasi penerbangan untuk dibawa ke atas cabin pesawat.
Keseimbangan dan Keselesaan
Joran casting yang baik selalunya ringan, tetapi apa yang lebih penting adalah kombinasi set casting yang seimbang (balance).
Balance penting kerana mempengaruhi tahap keselesaan kita apabila mengilat sepanjang hari dalam jangka masa yang panjang.
Ia memudahkan kita membuat balingan dan mengendalikan joran, seterusnya mengurangkan keletihan pada tangan.
— Keseimbangan berat sesuatu joran mungkin berbeza bila dipadankan dengan reel yang berbeza.
Terdapat sesetengah pengilang membekalkan sekali pengimbang (balancer) untuk dipasang di hulu joran mengikut keselesaan kita.
Oleh itu, sebelum membuat pembelian, cuba padankan dengan kekili yang kita ingin gandingkan bersama joran tersebut.
Panduan Membeli Joran
Membeli joran tak ubah seperti membeli kasut.
Ia perlu benar-benar sepadan dengan kita.
Bergantung kepada jenis teknik memancing dan spesis buruan anda, terdapat banyak parameter yang akan membantu menentukan apa yang terbaik dengan gaya anda.
Kita boleh memulakan proses memilih rod casting yang tepat dengan bertanyakan diri kita beberapa soalan berikut:
1. Apakah tahap minat anda?
Jika anda masih baru minat dan baru menceburi dunia casting, lebih baik memilih joran yang kurang mahal.
Bila anda sudah serius untuk menceburi bidang ini;
— Barulah pertimbangkan untuk membeli joran casting yang lebih berkualiti untuk digunakan dalam jangka masa panjang.
2. Dimana hendak memancing?
Jika anda jenis pemancing yang mengembara atau lubuk pancing anda jauh, lebih bijak untuk memilih joran yang boleh dipisahkan sekurang-kurangnya dua bahagian (2-pieces).
Jika anda mempunyai bot atau padang pancing anda tidak jauh, rod satu bahagian (one piece) mungkin tidak menjadi masalah buat buat anda.
3. Tentukan spesis sasaran
Pemilihan rod casting yang baik perlulah berdasarkan spesis sasaran yang hendak diburu.
Jika kita memburu spesis yang kuat dan aggresif seperti Toman, pilih rod yang mempunyai backbone yang kuat supaya dapat menyekatnya dari masuk ke struktur yang bakal memutuskan tali.
Jika kita memburu spesis yang lebih tenang seperti siakap, pilih rod yang ringan agar lebih seronok.
Malah ia akan mengurangkan rasa penat.
4. Teknik dan jenis gewang yang hendak digunakan
Setiap joran casting adalah berbeza dan dicipta supaya bersesuaian dengan teknik tertentu secara optimum.
Joran yang direka khusus untuk gewang permukaan air akan kurang sesuai untuk digunakan untuk teknik lain, dan sebaliknya.
Oleh itu tentukan jenis gewang dan teknik yang anda ingin gunakan.
5. Kesesuaian dengan reel yang hendak dipadankan
Pemilihan joran juga perlu mengambil kira tentang kekili (reel) yang hendak dipadankan.
Reel yang terlalu besar atau terlalu kecil pasti membuatkan set pancing rasa tidak seimbang dan seterusnya menimbulkan ketidakselesaan.
Jadi pilih joran yang sepadan dan selesa dengan reel yang akan digunakan nanti.
Cadangan joran casting untuk orang baru
Untuk mereka yang baru berminat dengan dunia mengilat (casting) ini, saya sarankan agar mendapatkan dahulu joran casting bersifat all-rounder.
All-rounder bermaksud boleh digunakan dalam kebanyakkan teknik casting, tempat dan spesis ikan.
Ia boleh digunakan sebagai rod belasahan sepanjang tempoh pembelajaran dalam memahirkan diri dalam penggunaan baitcaster.
Spesifikasi seperti diatas selalunya sudah cukup untuk menduga kebanyakkan spesis ikan tempatan di negara kita.
Penutup: Pilihlah Rod Yang Paling Sepadan Dengan Anda..
Memilih joran yang tepat adalah seperti memilih kasut yang sempurna.
Pilihan kasut yang salah mungkin masih muat untuk dipakai, tetapi anda akan rasa tidak selesa dan menyukarkan perjalanan anda.
Begitu juga dengan pemilihan joran casting yang sempurna.
Joran casting yang tepat akan membuatkan anda selesa, fokus dengan teknik mengilat dan mencapai kejayaan memerangkan ikan sasaran.
Semoga artikel ini membantu anda!
Nota rujukan saya dalam artikel ini saya nyatakan dalam bentuk link ke sumber tersebut.
Jika terdapat kesalahan dalam penulisan ini, mohon perbetulkan saya pada bahagian komen.
Terima kasih.















Assalamulaikum..kalau jenis rod 12-25 lb regular fast action ni dikatogerikan sebagai medium action ke mcm mana?
Wassalam. Kalau mengikut apa yang tercatat, aksinya regular fast.
Dan rod ini boleh dikelaskan dalam kategori heavy. Boleh rujuk panduan ini: https://inchenaim.com/kuasa-joran-aksi-rod-sesuai/
assalamualaikum sifu. saya baru bermula main casting dan dah beli yg murah dekat shopee untuk belajar.
joran sy ada tulis:
line 8-15lb
lure 5-15g
1.8m
bc reel 7:2:1 max drag 9kg (beli satu set dgn rod)
apakah size tali sesuai (braided), saiz leader & berat gewang yg patut digunakan
(nak main peacock bass, haruan dan seangkatan dgnnya)
assalamualaikum tuan..sy nk tnye joran model ape yg ade sifat all rounder, bleh bagitahu tak?
Wassalam. Pilihlah rod yang mempunyai aksi medium action. InsyaAllah ia dapat memenuhi keperluan kebanyakkan teknik pancingan.
apa kekurangan joran semula jadi
Tidak sekuat joran yang dicipta khas. Fungsinya juga terhad.
Macam saya selalu memancing di sungai dan kolam dah pandai untuk menaikkan ikan cuma kadang saya rasa x selese ketika menaikkan dan saya x pandai untuk tahu sama ada ikan sedang makan atau faktor air?? Mohon penjelasan tuan
Mungkin penggunaan peralatan yang tidak sesuai?
Sebab joran yang baik dapat memberi isyarat yang jelas bila ada ikan mengusik umpan kita.
Tq boss. Simple and understandable.tq again..beginners nk belajar pun senang.. tq again
Sama-sama tuan
Rod storm discovery 6-12lb kalau pakai tali 20lb pulak mcm mana… Boleh ke tak… Sbb kedai2 sini xde stok poundage tu
Boleh, ada beza sikit-sikit tu takpe.
Yang penting jangan full drag
Abu Garcia Black Max BMAX Baitcasting @ BMC802M-length 244 cm tu joran casting bersifat all-rounder kan…t.kasih
Maaf saya tak tahu tuan.
Tak pernah pakai
Terbaik bro, info yg Bermanafaat bg pemancing baru berjinak2 , Terima kasih teruskn bro
Sama-sama tuan :-)
tq tipsnye bro. so esok tgh hari nak pi survey 2-3 kedai terus beli yg berkenan.
Terus!
Jangan ditangguh-tangguh
Asalamualaikum terima kasih diatas perkongsian tips pemilihan joran.
Sama-sama tuan Hatta
Info terbaikk semoga semua pemancing mendapat manafaat dr info ini.. Teruskan demi manafaat semua.. Tq.
InsyaaAllah
assalam, terbaik lah tips yang di berikan. especially orang baru macam saya
Sama-sama tuan
Semoga membantu
tips yg bermunafaat utk kaki2 caster….
Terima kasih tuan sudi meluangkan masa terhadap tulisan ini
salam sifu. Nak mintak pendapat sesuai tak curado dc 151hg di gandingkan dng rod corzza 672l/bf 4-12 lb?
Terima kasih tuan, penulisan yg sangat baik..
Maaf tuan, sy takde rod dan reel seperti yang dinyatakan. Jadi tak dapat bantu.
Harga set untuk bc yang murah untuk newbie berapa
Kena tanya tauke kedai tu bosku ????
salam sy nk berjinak2 dgn arena memancing ni.boleh bagi cadangan tak setup utk beginner?pancing santai dgn sedikit aksi.boleh guna utk sungai-kuala-laut cetek.dlu pancing guna batang buluh-kelapa sawit umpan cacing je.kalo bole spesifik kan skali peralatan so mudah saya pegi kedai pancing bagi je list
Wassalam,
Agak sukar tu tuan kalau nak rod yang multi-purpose yang boleh berfungsi dengan baik untuk semua teknik.
Anyway seperti yang saya cadangkan, tuan boleh cari berkekuatan 8-17lb atau 10-20lb.
Tali utama saya cadangkan 20lb.
Dari segi reel pula, kalau tuan berminat dengan reel spinning, tuan boleh ambik Shimano size 4000.
8-17lb berat gewang dlm 5-22g klu berat gewang 24g msh blh guna atau tidak tuan sekadar ingin tahu..tq
Boleh tuan, tiada masalah.
Cuma mungkin kita rasa kurang selesa sikit je la. Tapi selagi gewang itu mampu beraksi dengan baik, it should be no problems.
1 penulisan yg baik tuan..
Sama-sama tuan kerana sudi membacanya
Nk tanya skit masta…… Saya ada bli spining reel G-tech 4000,ratio 6.01…. Drag 20kg…..
Rod jenis y macam mana nk dpdankan dgn reel tu…… Untuk casting tenggiri….. Mohon pendapat….
Saya cadang cari rod fast action berkekuatan PE4 agar seimbang dengan kekuatan reel tuan.
Bos..mcmna nak thu kesesuaian saiz bc reel dengan saiz atau panjang rod yang sesuai…
Yang penting sekali mesti balance kekuatan antara dua item tu.
Contoh kalau reel Daiwa Z2020 (kelas heavy) mesti kita gandingkan dengan rod kelas heavy juga (contoh; 10-30lb).
Adalah tidak balance kalau kita guna Z2020 pada rod berkekuatan 4-10lb. Nanti jahanam rod.
Terbaik sangat2
Alhamdulillah..
Terbaik.. Saya baru nk menceburi casting.. Terima kasih di atas cadangan
Sama-sama tuan. Semoga membantu. ????
Terbaik
Semoga membantu tuan!
Bro line 15lb-25lb itu merujuk kepada tali ke apa bro
Kekuatan tali yang sesuai digunakan dengan rod tersebut
Salam tuan..ape kah maksud tulisan ni di rod pancing
1. Line : Pe 2-4
2. Load 10 kilo
3. Jig : 150G ..ni berat umpan kan..berat ni adekah termasuk sekali ngan batu ladung ker?
4. Sect: 2
soalan seterusnya mcm mana sy nk beli tali yg sesuai ngan maklumat diatas..
Juga mcm mana sy nk tau rod ni untuk casting ker ataupon untuk jigging..
Terima kasih. Maaf newb sgt2 hihi
Wassalam tuan,
Saya juga jawab semudah yang mungkin terhadap soalan tuan:
1. Line: PE 2 ~ 4 tu bermaksud tali yang sesuai digunakan pada rod tersebut, iaitu bermula dari PE 2 hingga ke max PE 4
2. Load 10kg bermaksud rod tersebut mempunyai lifting power setinggi 10kg
3. Ya benar, biasanya berat yang tercatat adalah maksimum berat gewang/jig yang boleh digunakan.
4. 2 SECT merujuk kepada sambungan joran tersebut yang mempunyai dua bahagian.
— Tuan boleh rujuk pada poin no.1 di atas
— Perbezaan yang paling ketara adalah biasanya rod jigging mempunyai bahagian pangkal / handle yang lebih panjang dan panjang keseluruhan rod biasanya 6 kaki ke bawah.
Saya harap penerangan ringkas ini membantu
Info yg sangat bagus utk beginner cam saya..
Ade beberapa persoalan dari nubis(saye le tu)?
1.sesuai tak joran casting belasah sekali dengan jigging..dan sebaliknye..
2.semakin banyak cincin joran, adakah semakin bertambah kekuatan joran.
3.antara casting dan jigging, yg mana satu lebih mudah dpt strike?..
1. Kurang sesuai tuan sebab setiap rod dicipta spesifik untuk teknik tertentu. Rod jigging mempunyai handle yang terlalu panjang dimana ia akan mengganggu proses balingan yang sempurna.
2. Tidak. Kekuatan joran bergantung kepada blank joran tersebut.
3. Ia bergantung kepada lokasi padang pancing. Jika banyak ikan, pasti mudah mendapat strike.
Harap penerangan ringkas saya ini membantu.
salam tuan.. di rod ada tulis lb contoh 10-20lb,ada org bagitau itu menunjukkan saiz tali yg sesuai di gunakan seperti 20lb maksimum tali yg sesuai utk rod tu.kalau kita guna tali lebih besar dari itu,apakah effect kepada rod?contoh tali 40lb..
Wassalam tuan,
Kemungkinan besar rod akan patah bila kita menggunakan tali yang lebih kasar daripada apa yang mampu ditanggung oleh rod.
Namun pada pemerhatian saya, kebanyakkan rod (terutama dari pengilang jepun) melabelkan kekuatan joran mereka secara underrated berbanding kekuatan sebenar rod tersebut.
Assalamualaikum masta..
Bagaimana cara untuk chk balance rod dgn reel?.
Skrg sy guna reel ryoga 1016hl, rod majorcraft corzza czc-66m 10-16lb. Sy dpt rasa berat pada tangan masa casting sp 8-10g.
Wassalam sipo.
Balance ni sebenarnya sesuatu yang subjektif dan mempunyai penilaian berbeza pada setiap individu.
Pada pandangan saya, set yang balance adalah set yang senang untuk cast dan tak penat digunakan dalam jangka masa yang lama.
Ia akan mengurangkan rasa lenguh pada lengan dan pergelangan tangan.
Langkah paling mudah nak check balance adalah pegang set casting pada kedudukan pukul 10.
Biasanya, rod yang balance akan membuatkan tangan kita sentiasa rileks dalam posisi tersebut, dan membolehkan tangan kita mengesan gigitan paling kecil.
Selain itu, itu set tersebut tidak akan membuatkan kita lenguh walaupun cast selama berjam-jam.
assalammualaikum tuan nak tanya skit…adakah rod yang poundage nya besar tapi rodnya ringan? sebab kebanyakkan rod poundage nya besar tapi rodnya berat?
Wassalam.
Ada, tapi kebiasaannya rod sebegitu adalah high-end dan harganya mencecah ribuan ringgit.
Rod sebegitu dalam simpanan saya adalah dari jenama Tulala dan Megabass. Ia ringan tapi mampu mengendalikan tali sehingga 50lb.
bolehkah dapat rod sebegitu di malaysia dan contoh rod di malysia ni yang morah sudah lah…ribu ribu xdapatlah nak beli…kos sara hidup dah meningkat lani…hehehe
Susah juga tu tuan mahu mencari yang sebegitu pada harga ekonomi. Namun, tuan boleh mencuba jenama Kuying. Saya lihat ramai caster gunakan untuk memancing toman.
Tapi saya tidak pasti pula dari segi kualitinya bagaimana.