
Apabila kita bercakap tentang produktiviti, kita sering membayangkannya sebagai sesuatu yang sangat peribadi. Kita fikir soal fokus, disiplin, dan kemajuan hidup bergantung terutamanya kepada kekuatan diri sendiri. Kita menyusun jadual, membina rutin, memuat turun aplikasi, dan cuba menjadi lebih cekap seorang diri.
Namun, ada satu hakikat yang mudah kita lupa: kita bukan hidup bersendirian.
Dalam hidup ini, ada orang tertentu yang selepas kita berbual atau bekerja bersama mereka, hati terasa lebih ringan, fikiran lebih segar, dan semangat kembali hidup. Ada juga orang yang memberi kesan sebaliknya. Selepas berinteraksi dengan mereka, dada terasa berat, kepala menjadi kusut, dan tenaga seolah-olah habis tanpa kita sedari.
Di sinilah muncul satu konsep penting dalam bab ini, iaitu tenaga hubungan (relational energy).[1]
Maksudnya mudah: hubungan dengan orang lain bukan sekadar memberi kesan kepada emosi kita, tetapi juga kepada tahap fokus, motivasi, dan keupayaan kita untuk bertindak.
Produktiviti, rupa-rupanya, bukan hanya soal apa yang ada dalam diri kita. Ia juga sangat dipengaruhi oleh siapa yang ada di sekeliling kita. Persoalannya, bagaimana kita mahu membina hubungan yang menghidupkan, bukannya mengeringkan tenaga dalaman kita?




