Feel-Good Productivity Bab 9: Menyelaraskan Kompas Hidup (Align)

Feel-Good Productivity Bab 9: Menyelaraskan Kompas Hidup (Align)

Pernahkah kita berasa sangat letih dan kosong, walaupun tidur cukup, kerja berjalan lancar, dan dari luar hidup nampak baik-baik sahaja? Kita pergi ke tempat kerja, menyiapkan tugasan, memenuhi tanggungjawab, dan terus bergerak seperti biasa. Namun di satu sudut yang sunyi, kita mula merasa seolah-olah ada sesuatu dalam diri yang semakin pudar.

Inilah jenis keletihan yang paling sukar dijelaskan.

Ia bukan semata-mata keletihan fizikal. Ia juga bukan sekadar masalah kekurangan rehat.

Dalam bab ini, Ali membincangkan satu bentuk burnout yang lebih halus tetapi lebih berbahaya, iaitu misalignment burnout, iaitu keletihan yang lahir apabila hidup, kerja, dan keputusan harian kita tidak lagi sejajar dengan nilai teras atau diri kita yang sebenar.[1]

Kita mungkin masih berjaya mengikut ukuran luar. Gaji tetap masuk. Orang lain memuji prestasi kita. Kerjaya kelihatan stabil.

Tetapi jauh di dalam hati, kita mula rasa seperti sedang menghabiskan tenaga untuk sesuatu yang bukan benar-benar milik jiwa kita.

Kita sedang mendaki tangga dengan penuh tekun, tetapi tanpa sedar tangga itu mungkin disandarkan pada dinding yang salah.

Kadangkala, masalahnya bukan kerana kita langsung tiada motivasi. Masalahnya ialah kita terus bergerak dengan sebab yang semakin jauh daripada nilai yang benar-benar kita yakini.

Kita masih rajin, masih berusaha, dan masih kelihatan berfungsi. Tetapi apabila tindakan harian tidak lagi terasa bermakna pada tahap yang paling dalam, keletihan mula berubah menjadi sesuatu yang lebih sunyi dan lebih sukar dijelaskan.

Di sinilah pentingnya penyelarasan hidup (alignment).

Masalah seperti ini tidak selalu selesai dengan berehat lebih lama atau bekerja dengan lebih teratur. Kadangkala, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya semula ke mana sebenarnya hidup ini sedang dibawa.

Dalam bab ini, kompas itu dibina melalui tiga horizon masa: jangka panjang, jangka sederhana, dan jangka pendek.

Nota Penulis

Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 9, “Align”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal. Inti utama daripada bab tersebut saya susun semula dan saya huraikan kembali dalam bahasa yang lebih mudah difahami dan dihayati.

Untuk memahami gambaran besar buku ini, saya telah menghimpunkan inti utamanya dalam tulisan Feel Good Productivity oleh Ali Abdaal: Ringkasan Buku & Huraian Bab Demi Bab.

Jika mahu membaca bahagian sebelumnya, saya sudah huraikan Bab 8 dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 8: Mengecas Semula Tenaga (Recharge).

Jika Bab 7 membincangkan bagaimana tenaga boleh habis kerana kita memaksa diri terlalu jauh, dan Bab 8 menunjukkan bagaimana tenaga boleh susut kerana kita tidak benar-benar pulih, maka Bab 9 membawa kita kepada satu bentuk keletihan yang lebih dalam, iaitu keletihan kerana arah hidup sendiri tidak lagi selaras dengan siapa diri kita.

Sebab itu, bab ini bukan sekadar tentang produktiviti, tetapi tentang kompas hidup.

Ia mengajak kita menyemak semula apa yang benar-benar penting, kemudian menurunkannya ke dalam pilihan dan tindakan yang lebih jujur.

1. Horizon Jangka Panjang (The Long-Term Horizon)

Kadangkala, untuk melihat apa yang benar-benar penting dalam hidup, kita perlu memandang sangat jauh ke hadapan.

Jauh melepasi projek semasa, sasaran tahun ini, atau rancangan lima tahun. Kita perlu memandang sampai ke hujung hayat.

Bunyi ini mungkin sedikit berat, tetapi dalam banyak keadaan, memikirkan tentang kematian sebenarnya menjernihkan kehidupan.

Apabila kita sedar bahawa hidup ini terhad, banyak perkara yang selama ini kelihatan besar mula mengecil.

Sebaliknya, perkara yang selalu kita tangguh atau pandang remeh mula nampak sangat jelas nilainya.

Salah satu cara paling kuat untuk menyemak hidup ialah dengan membayangkan hari pengebumian kita sendiri.[2]

Bayangkan orang yang paling dekat dengan kita sedang berdiri dan bercakap tentang hidup kita.

Apa yang kita mahu mereka katakan? Apakah yang kita harap mereka ingat tentang diri kita? Apakah yang kita mahu tinggal sebagai kesan kehidupan ini?

Kemungkinan besar, tiada siapa akan berkata bahawa hidup kita bermakna kerana kita rajin membalas e-mel dengan pantas.

Tiada siapa akan menyebut bahawa kita pernah mengumpul terlalu banyak kerja lebih masa.

Dan tiada siapa akan benar-benar tersentuh kerana baki akaun bank kita pernah mencecah angka tertentu.

Mereka akan bercakap tentang watak kita. Tentang bagaimana kita melayan orang. Tentang masa yang kita luangkan. Tentang kasih yang kita beri. Tentang keberanian yang kita tunjukkan. Tentang jejak kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain.

Di situlah banyak orang tersentak.

Bukan kerana hidup mereka tidak baik, tetapi kerana mereka sedar terlalu banyak tenaga telah dihabiskan untuk perkara yang tidak akan benar-benar dibawa ke penghujung kehidupan.

Kaedah ini bukan bertujuan menjadikan kita muram. Ia bertujuan memberi sudut pandang.

Apabila kita melihat hidup dari hujungnya, kita lebih mudah mengenal apa yang benar-benar patut diberi tempat dari sekarang.

Namun, kadangkala kita sudah tahu apa yang penting, tetapi masih terasa seolah-olah hidup kita hanya ada satu jalan. Inilah yang sering membuat ramai orang terperangkap.

Mereka menyangka masa depan sudah tetap. Mereka menyangka laluan semasa ialah satu-satunya laluan yang munasabah.

Di sinilah bergunanya The Odyssey Plan.[3]

Latihan ini mengajak kita melakar tiga versi masa depan yang berbeza.

Bukan untuk memilih satu secara tergesa-gesa, tetapi untuk membuka minda bahawa hidup kita sebenarnya tidak sesempit yang disangka.

Versi pertama ialah laluan semasa: jika kita teruskan hidup seperti hari ini, ke mana agaknya ia akan membawa kita dalam beberapa tahun akan datang?

Versi kedua ialah laluan alternatif: jika jalan semasa tertutup, atau jika dunia memaksa kita berubah, apakah jalan lain yang kita sanggup terokai?

Versi ketiga ialah laluan radikal: jika wang, penilaian orang, dan rasa takut bukan lagi penghalang utama, apakah jenis kehidupan yang benar-benar kita mahu cuba bangunkan?

Latihan ini tidak semestinya menuntut kita menukar hidup serta-merta.

Tetapi ia memecahkan ilusi bahawa kita terperangkap sepenuhnya.

Kadangkala, kelegaan terbesar datang bukan kerana kita sudah tahu jawapan akhir, tetapi kerana kita akhirnya sedar bahawa masih ada pilihan.

Dan kesedaran bahawa masih ada pilihan itu sendiri sudah cukup untuk mengembalikan sedikit rasa hidup.

2. Horizon Jangka Sederhana (The Medium-Term Horizon)

Memikirkan tentang hujung hayat memberi kita perspektif. Tetapi kalau dibiarkan terlalu jauh, ia juga boleh terasa kabur.

Kita mungkin tahu apa yang penting pada tahap yang sangat besar, tetapi masih tertanya-tanya: baik, bagaimana semua ini hendak diterjemahkan ke dalam hidup setahun dari sekarang?

Di sinilah horizon jangka sederhana menjadi penting.

Ia membantu kita menurunkan nilai yang abstrak menjadi gambaran hidup yang lebih konkrit.

Salah satu cara yang sangat berguna untuk melihat tahap penyelarasan hidup kita sekarang ialah melalui The Wheel of Life.[4]

Bayangkan hidup kita dibahagikan kepada beberapa bahagian utama.

Dalam buku ini, pembahagiannya meliputi kesihatan, kerja, dan hubungan.

Setiap satu pula mempunyai pecahan yang lebih khusus: tubuh, minda, jiwa; misi, wang, perkembangan; keluarga, romantik, dan persahabatan.

Kemudian kita tanya dengan jujur: dalam setiap bahagian ini, sejauh mana hidup kita sekarang benar-benar sejajar dengan nilai yang kita pegang?

Latihan ini selalunya membuka mata.

Mungkin bahagian kerja nampak berjaya, tetapi tubuh semakin diabaikan.

Mungkin kewangan baik, tetapi hubungan dengan keluarga semakin renggang.

Mungkin kita sedang berkembang dari segi kerjaya, tetapi jiwa terasa semakin jauh daripada ketenangan.

Tanpa latihan seperti ini, kita mudah hidup dalam kekaburan.

Kita tahu ada sesuatu yang tidak kena, tetapi tidak tahu di mana letaknya. Wheel of Life membantu kita melihat bentuk sebenar ketidakseimbangan itu.

Dan apabila bentuknya sudah kelihatan, barulah kita boleh mula membuat pembetulan yang lebih tepat.

Selepas kita kenal kawasan hidup yang terasa tidak selaras, langkah seterusnya ialah membayangkan bagaimana rupa hidup yang lebih sejajar setahun dari sekarang.

Inilah idea di sebalik The 12-Month Celebration.[5]

Bayangkan hari ini, setahun dari sekarang. Kita sedang duduk bersama orang yang rapat dengan kita, menikmati satu makan malam yang tenang, dan meraikan kemajuan hidup yang telah berlaku sepanjang dua belas bulan lalu.

Apa yang kita mahu ceritakan?

Mungkin kita mahu berkata bahawa tubuh kita kini lebih sihat dan bertenaga.

Mungkin kita mahu berkata bahawa hubungan dengan keluarga semakin baik. Mungkin kita mahu berkata bahawa kerja kita sekarang lebih dekat dengan kekuatan dan minat sebenar.

Mungkin kita mahu berkata bahawa kita akhirnya mempunyai simpanan yang memberi rasa aman.

Mungkin kita mahu berkata bahawa kita lebih tenang, lebih jujur terhadap diri sendiri, dan tidak lagi hidup dalam autopilot.

Latihan ini sangat penting kerana ia memaksa kita menukar nilai kepada gambaran yang boleh dirasa.

Bukan lagi sekadar berkata, “Aku mahu hidup lebih bermakna.”

Sebaliknya, kita mula bertanya, “Apakah tanda-tanda hidup yang lebih bermakna itu dalam kehidupan sebenar aku setahun dari sekarang?”

Dan daripada situ, hidup mula terasa lebih boleh diarahkan.

3. Horizon Jangka Pendek (The Short-Term Horizon)

Namun, setahun tetap terasa jauh jika kita sedang bergelut untuk melalui minggu ini.

Sebab itu, horizon terakhir ialah horizon yang paling dekat iaitu hari ini.

Dalam banyak keadaan, masalah kita bukan kerana kita tidak tahu apa yang penting dalam hidup.

Masalahnya ialah kita tidak menukarkan apa yang penting itu kepada tindakan kecil yang boleh dibuat sekarang.

Di sinilah penyelarasan hidup menjadi sangat praktikal.

Ali mencadangkan satu kaedah yang sangat mudah tetapi sangat berguna: setiap hari, pilih tiga tindakan kecil yang mewakili tiga tiang utama hidup kita iaitu kesihatan, kerja, dan hubungan.

Tidak perlu besar. Tidak perlu dramatik. Yang penting, tindakan itu nyata.

Untuk kesihatan, mungkin berjalan selama lima belas minit atau tidur lebih awal.

Untuk kerja, mungkin menyiapkan satu bahagian proposal atau menulis beberapa perenggan yang penting.

Untuk hubungan, mungkin menghubungi ibu bapa, makan tanpa skrin bersama pasangan, atau benar-benar mendengar anak bercerita.

Kaedah ini berkuasa kerana ia mengecilkan skala perubahan.

Daripada menunggu hidup berubah secara besar-besaran, kita mula mengubah arah hidup melalui keputusan-keputusan kecil yang selaras dengan nilai kita.

Dan apabila keputusan kecil ini dibuat secara konsisten, ia mula membentuk identiti hidup yang lebih jujur.

Penyelarasan bukan sesuatu yang lahir sekali gus. Ia dibina dalam bentuk tindakan kecil yang dipilih berulang kali.

Akhir sekali, bab ini ditutup dengan satu cara berfikir yang sangat sihat, iaitu jangan anggap hidup sebagai ujian yang kita mesti jawab dengan sempurna. Anggaplah ia sebagai makmal.

Dalam makmal, kita tidak perlu mengubah seluruh hidup serentak. Kita cuma perlu cukup jujur untuk mengenal pasti apa yang terasa tidak selaras, cukup berani untuk membentuk satu hipotesis kecil, dan cukup sabar untuk menguji perubahan itu secara nyata.[6]

Mula-mula, tanya diri sendiri: bahagian hidup yang mana sekarang terasa paling senget? Adakah kerja? Kesihatan? Hubungan? Masa? Atau cara kita menggunakan tenaga setiap hari?

Selepas itu, bina satu hipotesis yang kecil dan boleh diuji. Contohnya: “Jika aku berhenti menerima satu komitmen tambahan setiap minggu, mungkin aku akan rasa lebih lapang.”

Atau, “Jika aku luangkan satu malam tanpa kerja setiap minggu untuk keluarga, mungkin hubungan ini akan terasa lebih hidup.”

Kemudian, uji perubahan itu dalam skala yang cukup kecil untuk diperhatikan hasilnya. Jangan ubah semua perkara sekaligus.

Pilih satu pemboleh ubah dahulu. Lihat apa yang berlaku. Perhatikan kesannya pada tenaga, ketenangan, dan rasa hidup dalam diri.

Jika perubahan itu membantu, teruskan dan perhalusi. Jika tidak, ubah semula hipotesis dan cuba jalan yang lain.

Hidup yang selaras tidak semestinya lahir daripada keputusan besar yang dramatik.

Kadangkala, ia lahir daripada satu siri eksperimen kecil yang membantu kita semakin mengenal siapa diri kita, apa yang sebenarnya kita hargai, dan bentuk kehidupan yang benar-benar membuat kita rasa hidup.

Kesimpulan

Ada keletihan yang boleh hilang dengan tidur. Ada keletihan yang boleh pulih dengan cuti.

Tetapi ada juga keletihan yang tidak akan sembuh selagi hidup kita masih bergerak ke arah yang bertentangan dengan diri kita sendiri.

Itulah yang menjadikan misalignment burnout begitu berbahaya. Ia tidak semestinya kelihatan dari luar. Kita masih berfungsi. Kita masih bergerak. Kita masih nampak berjaya. Tetapi di dalam, jiwa mula kehilangan sebab untuk terus memberi tenaga kepada jalan yang sedang kita lalui.

Sebab itu, penyelarasan hidup bukan perkara sampingan. Ia ialah kerja yang penting, dan selalunya kerja sepanjang hayat.

Kita perlu berani memandang jauh ke hujung hayat untuk melihat apa yang benar-benar bermakna. Kita perlu jujur menilai kehidupan semasa supaya tahu bahagian mana yang sedang senget. Dan kita perlu cukup rendah hati untuk menukar nilai itu menjadi tindakan kecil yang boleh dibuat hari ini.

Kerana pada akhirnya, ramai orang tidak kekurangan disiplin atau kerja keras. Mereka cuma terlalu lama bergerak ke arah yang bukan milik jiwa mereka.

Hidup yang baik bukan sekadar hidup yang sibuk, teratur, atau berjaya di mata orang. Hidup yang baik ialah hidup yang selaras antara tindakan, nilai, dan diri yang sebenar.

Nota kaki

Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.

  1. Dalam bab ini, misalignment burnout dihuraikan sebagai keletihan yang lahir apabila matlamat dan tindakan harian kita tidak lagi sejajar dengan sense of self atau nilai yang benar-benar kita pegang. Ia berbeza daripada overexertion burnout dan depletion burnout kerana puncanya bukan semata-mata terlalu banyak kerja atau kurang rehat, tetapi arah hidup yang tersasar. ↩︎
  2. The Eulogy Method dalam bab ini dibina daripada latihan yang mengajak seseorang melihat hidup dari hujungnya. Ali membezakannya daripada obituary biasa dan menumpukan kepada persoalan: “Apakah yang aku mahu orang katakan tentang hidupku pada hari pengebumianku?” Tujuannya ialah menjernihkan nilai yang benar-benar penting. ↩︎
  3. The Odyssey Plan diadaptasi daripada pendekatan Designing Your Life oleh Bill Burnett. Dalam bab ini, ia dihuraikan sebagai latihan melakar tiga versi masa depan iaitu laluan semasa, laluan alternatif, dan laluan radikal. Ia bukan untuk memilih satu secara tergesa-gesa, tetapi untuk membuka minda kepada kemungkinan hidup yang lebih sejajar dengan diri sendiri. ↩︎
  4. The Wheel of Life dihuraikan sebagai kerangka untuk menilai sejauh mana hidup kita sekarang sejajar dengan nilai yang kita pegang dalam bidang kesihatan, kerja, dan hubungan. Dalam buku, Ali menunjukkan bagaimana latihan ini membantu menukar rasa tidak kena yang kabur kepada bentuk ketidakseimbangan yang lebih jelas. ↩︎
  5. The 12-Month Celebration ialah kaedah membayangkan satu tahun dari sekarang dan menulis apa yang kita mahu ceritakan tentang kemajuan hidup dalam bidang yang penting. Dalam bab ini, Ali menggambarkannya sebagai versi yang kurang pesimis daripada crystal ball method: bukan memikirkan apa yang rosak, tetapi apa yang mahu kita rayakan jika semuanya bergerak ke arah yang betul. ↩︎
  6. Alignment Experiments dibina atas cara berfikir seperti seorang saintis: kenal pasti kawasan hidup yang terasa tidak selaras, bentuk hipotesis tentang perubahan kecil yang mungkin membantu, kemudian uji perubahan itu dalam skala yang cukup kecil untuk diperhatikan hasilnya. Dalam bab ini, Ali menekankan bahawa alignment ialah proses eksperimen yang berterusan, bukan keputusan besar yang perlu sempurna sekali gus. ↩︎

Leave a Comment