Menjadi Lelaki Qawwam

Kita sering tersilap mentafsir garis.

Kita sangka, apabila Tuhan meletakkan garis kepimpinan di atas bahu seorang lelaki, ia adalah sebuah garisan pemisah antara yang memerintah dan yang diperintah.

Kita sangka Qawwam itu adalah sebuah takhta, di mana kita boleh duduk dan menunggu dunia melayani setiap kehendak kita.

Padahal, semakin kita memahami hidup, semakin kita sedar bahawa qawwam bukan tentang meninggikan kedudukan.

Ia adalah tentang keberanian untuk merendah.

Maksud Qawwam

Dalam lembaran Kitab, Tuhan menyebut lelaki sebagai qawwam melalui Surah al-Nisa’, ayat 34. Namun, benarkah kita benar-benar memahami akar maknanya?

Secara bahasa, qawwam berasal daripada kata qama, yang bererti berdiri.

Tetapi ia bukan sekadar berdiri tanpa tujuan. Ia membawa makna al-qiyam ‘ala syai’; iaitu berdiri untuk mengurus, menjaga, memelihara, dan menanggung sesuatu dengan penuh amanah dan ketelitian.

Seorang qawwam ialah orang yang berdiri paling awal untuk melindungi, dan berdiri paling lama untuk memastikan beban yang dipikul oleh orang di bawah tanggungannya menjadi lebih ringan.

Ia bukan tentang autoriti yang menuntut ketaatan buta. Ia tentang tanggungjawab untuk menyediakan, memelihara, dan melindungi; sama ada dari sudut nafkah zahir mahupun perlindungan batin.

Apabila Tuhan mengurniakan gelaran ini, Dia sebenarnya sedang melantik kita menjadi tiang yang menampung bumbung, bukan perhiasan yang hanya mahu dipandang indah.

Erti Sebuah Kepimpinan

Sering kali, dalam rumah yang kita bina, kita sendiri yang mendirikan tembok-tembok ego.

Kita membayangkan bahawa ketua keluarga ialah orang yang tangannya sentiasa menuding, suaranya sentiasa tinggi, dan kakinya tidak sepatutnya tersentuh habuk di lantai.

Kita rasa maruah kita “jatuh” apabila memegang kain buruk, membasuh pinggan, atau menyental kotoran di dapur.

Tetapi, benarkah itu kepimpinan?

Atau itu sebenarnya ketakutan kita yang sedang bersembunyi di sebalik gelaran?

Kepimpinan yang sejati tidak pernah menjauhkan seorang lelaki daripada kemanusiaannya.

Sebaliknya, ia mendekatkan dia kepada makam seorang hamba. Kerana inti kepada kepimpinan, pada akhirnya, ialah khidmat.

Lihatlah Rasulullah SAW. Baginda ialah insan paling sempurna, pemimpin umat, dan kekasih Tuhan. Namun di dalam rumah, Baginda bukan sosok yang menunggu dilayan. Baginda ialah orang yang paling ringan tulang untuk berbakti.

Baginda menjahit pakaiannya sendiri.

Baginda memerah susu dengan tangannya sendiri.

Baginda tidak sekadar berdiri di luar dapur lalu bertanya apa yang kurang, tetapi turun bersama menjadi sebahagian daripada letih yang dipikul oleh keluarganya.

Baginda mengajar kita bahawa kekuatan seorang lelaki bukan terletak pada kerasnya arahan, tetapi pada lembutnya layanan.

Bahawa menjadi lelaki yang benar-benar matang bukanlah apabila semua orang tunduk kepada kita, tetapi apabila orang yang berada di sisi kita merasa aman kerana kehadiran kita.

Bahawa menjadi gentleman dunia dan akhirat ialah apabila kita mampu merasai kepenatan isteri, lalu tanpa diminta, menghulurkan tangan untuk meringankan bebannya.

Tugas Lelaki yang Qawwam

Tugas seorang lelaki bukan untuk memastikan dirinya ditaati sepenuhnya di dunia.

Tugas yang lebih besar ialah memastikan setiap jiwa di bawah bumbung tanggungannya mengenal jalan untuk pulang kepada Tuhan.

Seorang lelaki yang hebat bukan lelaki yang kelihatan gagah di mata orang luar, tetapi lelaki yang menjadi teduhan di mata isteri dan anak-anaknya.

Dia bukan hanya tahu menghukum kesalahan, tetapi tahu mendengar kesedihan yang tidak terucap.

Apabila isteri kita penat, bantulah.

Bukan kerana dia tidak mampu, tetapi kerana kita mahu dia tahu bahawa dia tidak memikul hidup ini sendirian.

Apabila dia sedih, dengarlah.

Bukan semata-mata untuk memberi jawapan, tetapi untuk memberi ruang agar hatinya tidak semakin sesak.

Kerana antara tugas seorang qawwam juga ialah menjadi pelindung kepada emosi pasangannya, bukan sekadar pengarah kepada urusan rumah tangga.

Pada akhirnya, kita semua akan kembali kepada Pemilik yang sama.

Dan pada hari itu, kita tidak akan ditanya berapa banyak arahan yang pernah kita keluarkan.

Kita akan ditanya berapa banyak kasih yang telah kita semai, dan berapa banyak beban yang telah kita ringankan.

Maka pulanglah kepada makna asal kepimpinan.

Kerana di situlah kita akan menemui ketenangan yang selama ini sering kita cari dalam kuasa.

Menjadi pelayan buat keluarga tidak pernah mengurangkan kelaki-lakian seorang lelaki.

Dalam banyak keadaan, itulah yang menyempurnakannya.

Pada akhirnya, seorang lelaki tidak diukur pada betapa tinggi suaranya di dalam rumah, tetapi pada betapa teduh jiwanya buat mereka yang berlindung di bawah tanggungannya.

Qawwam bukan tentang siapa yang paling berkuasa, tetapi siapa yang paling sanggup memikul, paling cepat menghulur, dan paling setia menjaga ketika yang lain mula letih.

Kerana seorang lelaki yang benar-benar besar bukanlah yang ditakuti kehadirannya, tetapi yang dirasai rahmatnya apabila dia ada.

Tinggalkan Soalan / Komen