Teknik Memancing Ikan Haruan Secara Casting

Ikan haruan adalah antara spesis yang mempunyai peminat tersendiri.

Disebabkan ikan ini mudah ditemui dikawasan sekitar manusia, maka ia menjadi kegemaran bagi banyak pemancing untuk melepaskan gian.

Ikan ini dikatakan sangat berkhasiat dan membantu proses penyembuhan luka.

Oleh itu, nilainya agak tinggi dan digemari ramai.

Walau pun ia boleh ditemui disekitar kita, namun memburunya tidaklah semudah yang disangka.

Anda perlu membuat persediaan rapi dari segi peralatan dan mental untuk menjerat spesis snakehead ini.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi beberapa tips untuk memancing ikan haruan secara casting secara efektif, dan mengenali tabiat ikan ini secara lebih dekat.

 

1. Habitat dan Tabiat Ikan Haruan


gambar ikan haruan
Ikan haruan atau nama saintifiknya, Channa striata boleh ditemui hampir dimana-mana dalam Malaysia.

Anda boleh memancing ikan ini di kawasan parit, tasik, tali air, sawah dan paya. Habitat ideal spesis ini adalah di kawasan berair tenang.

Untuk memudahkan anda, tumpukan kepada tebing dan kawasan cetek.

Tabiat ikan haruan adalah ia perlu timbul ke permukaan air untuk mengambil udara. Oleh itu, kita boleh mengesan ikan ini berdasarkan tabiat tersebut.

Ikan haruan bersifat menjaga wilayah (territorial), tetapi ia boleh hidup berdekatan dengan haruan lain.

Spesis ini menyerang disebab oleh empat perkara:

  1. Mempertahankan wilayah
  2. Naluri lapar
  3. Melindungi anak
  4. Sakit hati

Selalunya haruan menyerang gewang kerana lapar dan marah (sakit hati).

Pernah dengar tentang sindrom cat basah?

Ia adalah konsep yang penting dalam dunia mengilat (casting)

Nota Tambahan

Spesis snakehead mudah untuk culas.

Apabila ia terasa terganggu atau ada sesuatu yang tidak kena, ia akan mendiamkan diri dan tidak akan menyerang sebarang umpan.

Oleh itu elakkan terlalu bising, mendaratkan gewang terlalu kuat dan membuat bunyi-bunyi yang tidak diperlukan.

 

2. Pemilihan Gewang

Secara umumnya, Haruan bukanlah spesis yang cerewet.

Hampir kesemua jenis gewang boleh memerangkapnya. Namun disebabkan habitat spesis ini berhalangan, maka gewang yang bersifat kalis sangkut adalah lebih sesuai.

Di bawah ini adalah jenis gewang yang digunakan untuk memerangkap haruan:

A) Soft Frog


Oleh kerana katak adalah makanan ruji haruan, maka soft frog atau katak getah adalah gewang yang sangat berkesan.

Ia selalu menjadi pilihan pertama saya apabila mencuba spot baru. Ia sangat sesuai untuk dilontar dikawasan yang penuh dengan halangan (heavy cover)

soft frog
Kredit gambar kepada Pro Swing Soft Frog

Cara yang selalu diamalkan dengan gewang katak getah ini adalah lontar sehingga ke tebing seberang.

Kemudian tarik secara perlahan-lahan sehingga menggelongsor ke dalam air, seolah-olah melompat dari tebing.

Selalunya ia akan disedut ganas oleh haruan yang sedang membuat ambush.

habitat ikan haruan
Suak sebegini selalu menjadi tempat ikan haruan membuat serang hendap. Oleh itu, jangan lupa lontarkan soft frog anda untuk menduga penghuninya..

Namun kelemahan gewang ini adalah sukar untuk mendapat solid hookup kerana ikan selalu miss strike.

Salah satu kaedah untuk mendapat solid hookup dengan gewang ini adalah dengan membiarkan terlebih dahulu ikan mengemam gewang kita selama 3-4 saat sebelum membuat sembatan.

Bagaimana?

Jika ikan melakukan sambaran, serta-merta rendahkan hujung joran dan perhatikan pergerakan tali. Jika tali menegang atau bergerak ke arah lain, lakukan sentapan secepat mungkin!

Untuk panduan, anda boleh memerhatikan bagaimana Oz Bangkokhooker membuat hookset bila menggunakan soft frog dalam video dibawah:

 

B) Jump Frog


Jump Frog ikan haruan
Handmade jump frog dari Zul’s Craft

Tidak dinafikan, fenomena jump frog melanda negara kita 2-3 tahun kebelakangan ini.

Gewang yang berasal daripada Thailand ini tidak mempunyai aksi seperti popper, pencil atau buzzbait.

Ia dikarau secara lurus dan riak air yang terhasil menyerupai katak yang sedang berenang, membuatkan ikan tergoda untuk keluar dari kawasan persembunyian untuk mendapatkan gewang ini.

Gewang ini dilengkapi dengan rumbai getah yang melindungi mata kail membuatkan ia kalis sangkut dan boleh digunakan di kawasan yang mempunyai halangan seperti teratai.

 

C) Spinnerbait


gewang spinnerbait ikan haruan
Gewang spinnerbait jenama Booyah

Walaupun rupanya tidak menyerupai apa-apa hidupan, namun ia adalah salah satu gewang yang killer untuk spesis snakehead.

Rekabentuk spinnerbait membuatkan ia gewang kalis sangkut, terutamanya memancing di kawasan yang banyak rumpair.

Kaedah menggunakan umpan ini cukup senang:

Baling dan tarik dengan kelajuan perlahan serta diselangi dengan berhenti sekejap.

Kilauan bilah kipas selalunya membuatkan haruan yang bersaiz besar “tak tahan” dengan gewang ini.

Apa yang penting, perlahankan karauan kerana haruan bukanlah ikan yang rajin mengejar gewang bergerak laju.

 

D) Soft Plastic


Soft plastic (SP) yang dipadankan dengan worm hook atau mata kail SWS adalah gewang menjadi semakin popular dikalangan pemburu haruan.

Pemasangan mata kail tersebut akan memberikan keupayaan kalis sangkut kepada soft plastic. Maka ia boleh dibaling dikawasan rumput dan rumpair.

memancing ikan haruan
Kredit foto sifu Fazlee Omar

Aksi yang sangat hidup membuatkan haruan mudah tertipu dengan gewang ini.

Pelbagai jenis bentuk SP boleh digunakan.

Bentuk cacing, cicak, grub dan sebagainya. Namun SP yang paling popular untuk haruan adalah dari jenis minnow (bentuk ikan)

Antara jenama yang popular untuk teknik ini adalah Z-Man MinnowZ bersaiz 3 inci.

Ada dua cara menggayakan SP untuk haruan. 

  • Pertama:

Lontarkan ke spot sasaran, tunggu sehingga tenggelam dan karau secara perlahan-lahan.

  • Kedua:

Mainkan SP dipermukaan air dengan meninggikan hujung joran. Karau dengan kelajuan sehingga ekor SP menimbulkan riak-riak pada permukaan.

 

E) Minnow


Gewang haruan minnow

Jika keadaan membenarkan, gewang minnow juga boleh menjadi killer buat haruan.

Selalunya tempat yang terbuka seperti tali air dan kolam sesuai untuk menggunaan gewang keras, memandangkan risiko sangkut adalah kurang.

3. Masa Terbaik

Ikan haruan adalah spesis yang tidak suka kepada sinar matahari.

Ia mungkin disebabkan oleh kedudukan matanya yang hampir menghala ke atas, maka ia akan membuatkan haruan tidak selesa jika cahaya matahari memancar secara terus.

Oleh itu waktu terbaik untuk casting ikan haruan adalah waktu yang redup, iaitu sejam sebelum dan selepas matahari timbul serta ketika matahari terbenam.

Pada waktu tengah hari, ikan ini akan menyorok di kawasan yang teduh.

Jika anda selesa untuk memancing malam, ikan haruan juga boleh diburu pada waktu malam kerana ikan ini adalah spesis nocturnal 1

 

4. Peralatan yang sesuai

tulala lite wire

Jika anda memburu haruan di kawasan heavy cover, maka akan memerlukan set casting yang kasar.

Anda memerlukan sekurang-kurangnya tali utama berkekuatan 30lb dari jenis sulam dan joran yang mempunyai aksi pantas (fast action).

Spesis snakehead mempunyai plat rahang yang keras, oleh itu anda memerlukan peralatan berkuasa yang membolehkan solid hookup dibuat.

Jika anda memancing dikawasan yang agak terbuka dan kurang halangan, anda boleh menggunakan peralatan yang sedikit ringan seperti joran beraksi sederhana (medium action).

Ikan haruan adalah silent killer.

Sebelum melakukan serangan, ia sangat senyap dan berhati-hati.

Dan setelah ia melakukan serangan, ia akan bermati-matian membenam dan mengganas sebelum keletihan.

Oleh sebab itu memancing ikan ini membuatkan kita teruja dan berdebar.

 

Wujudkan bag limit…

Ikan HaruanSeiring dengan kemajuan sukan memancing di negara kita, bilangan caster dan pemburu haruan juga semakin bertambah dari hari ke hari.

Perkara ini telah mewujudkan tekanan yang tinggi terhadap spesis ini.

Oleh itu setiap pemancing harus mewujudkan bag limit iaitu membawa pulang yang perlu sahaja.

Tidak perlu bawa pulang secara berlebihan dan ikan bersaiz kecil. Juga, lepaskan kembali induk yang masih menjaga anak.

Marilah kita bersama-sama menjaga spesis game fish ini agar terus kekal dalam mewarnai dunia casting tanah air kita.

Semoga artikel ini bermanfaat!

Jika anda ada sebarang penambahan atau ulasan mengenai topik ini, saya gembira jika anda dapat tinggalkan komen pada ruangan dibawah

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

73 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Usop
Usop
9 bulan yang lalu

Bang saya dah pegi 3 parit tpi 3 3 parit tu kumpau takde yang ketuk

Hendley
Hendley
11 bulan yang lalu

Bang warna soft frog lagi-lagi warna merah bagus ka supaya ikan nampak soft frog

Ahmad Aidil
Ahmad Aidil
3 tahun yang lalu

Assalamulaikum bang kalau kita karau sp dlm air mcm mna nk rasa ikan mkn umpan maaf saya baru bljr guna

Mohd fazeli
Mohd fazeli
3 tahun yang lalu

Adakah habitat banyak ikan sepat terdapat jugak ikan haruan?

Faris
Faris
3 tahun yang lalu

Abg Naim adkh wrna soft frog memainkn peranan jgk?