Memahami Kuasa Joran & Aksi Rod Pancing

Memahami Kuasa Joran & Aksi Rod Pancing

Bagaimana memilih jenis atau aksi joran yang sesuai untuk casting atau jigging?

Dalam artikel ini saya akan menerangkan serba sedikit mengenai pengelasan kuasa joran dan aksinya dengan keperluan kaedah memancing yang kita sasarkan.

Jika anda mencari informasi berkaitan ini, artikel ini mungkin membantu.

Pengenalan

Joran adalah peralatan terpenting dalam dunia casting. Ia adalah asas kepada set pancing kita, sambungan kepada tangan kita.

Dengan memahami secara terperinci mengenai aksi dan kuasa joran pastinya akan banyak memberi kelebihan kepada anda. Sama ada ketika membuat keputusan semasa membeli rod baru atau semasa ingin keluar memancing.

Ia akan membuatkan kita menentukan keputusan yang tepat bagi memanfaatkan peralatan tersebut dengan lebih baik.

Dan menentukan jenis joran yang sesuai dengan apa yang kita perlukan.

Apakah Maksud Aksi Joran (Rod Action)?

Aksi joran atau action, adalah satu ukuran untuk menentukan sifat elastik sesuatu blank. Ia adalah suatu indicator tentang bagaimana “kelakuan” sesuatu joran apabila ia dilenturkan dan dilepaskan secara tiba-tiba.

Dalam bahasa mudah, aksi atau action boleh ditakrifkan sebagai seberapa cepat lenturan rod kembali ke point asalnya apabila dikenakan beban.1

Apakah Maksud Aksi Joran

Contoh:

Dalam keadaan normal, keadaan joran memancing kita lurus bila tidak digunakan.

Bayangkan apabila joran ini ditekan atau dibengkokkan semasa memancing. Setelah dikenakan tekanan, joran akan melentur.

Sekarang, bayangkan anda melepaskan tekanan tersebut. Perhatikan bagaimana joran kembali ke bentuk asalnya yang lurus. Inilah yang dimaksudkan dengan “aksi” joran.

Jika anda membengkokkan joran aksi pantas, ia akan kembali ke bentuk asalnya yang lurus dengan masa yang pantas. Inilah yang kita panggil aksi pantas — joran tersebut berupaya untuk kembali lurus dengan masa yang pantas.

Sebaliknya, jika anda melenturkan joran yang mempunyai aksi perlahan, dan kemudian melepaskan tekanan, joran tersebut akan kembali ke bentuk lurusnya dengan masa yang lebih perlahan. Inilah yang kita panggil aksi perlahan — iaitu ia mengambil masa yang lebih lama untuk kembali lurus berbanding joran aksi pantas.

Secara umumnya, aksi joran dibahagikan kepada tiga kategori utama:

  • Joran yang kembali ke bentuk asal dengan cepat selepas melentur dikenali sebagai  aksi pantas / fast action. 
  • Joran yang kembali ke bentuk asal dengan perlahan selepas melentur dikenali sebagai  aksi perlahan / slow action. 
  • Dan joran yang mempunyai ciri-ciri diantara kedua sifat diatas dikenali sebagai  aksi sederhana / medium action 

Apakah Perbezaan Antara ‘Aksi Joran’ Dan ‘Kekuatan Joran’?

gambarajah aksi joran casting

Dalam dunia memancing, terdapat banyak konsep yang perlu difahami oleh pemancing, terutamanya dalam pemilihan joran. Salah satu kekeliruan yang sering berlaku ialah menganggap aksi joran adalah sama dengan kuasa joran.

Kedua-dua ciri ini, walaupun berkait rapat, sebenarnya memiliki definisi dan fungsi yang berbeza.

Perbezaan Utama:

  • Aksi Joran. Aksi joran merujuk kepada sejauh mana joran membengkok atau melentur ketika tekanan dikenakan. Ia biasanya dikategorikan sebagai ‘slow’, ‘medium’, atau ‘fast’. Aksi joran menentukan respons dan sensitiviti joran terhadap tekanan yang diberikan oleh ikan.
  • Kekuatan Joran. Kuasa atau kekuatan joran pula menggambarkan kemampuan joran untuk menahan beban atau tekanan. Ini berkaitan dengan berat maksimum yang boleh diangkat oleh joran tanpa patah. Kekuatan joran biasanya dinyatakan dalam bentuk rating seperti ‘light’, ‘medium’, ‘heavy’.

Memahami perbezaan ini adalah penting kerana ia mempengaruhi pemilihan joran yang sesuai dengan situasi memancing. Misalnya, joran dengan aksi cepat dan kuasa sederhana mungkin sesuai untuk memancing ikan siakap, memandangkan ia memberikan keseimbangan antara sensitiviti dan kekuatan.

Kesilapan dalam memahami perbezaan ini boleh menyebabkan pemilihan joran yang tidak sesuai, yang seterusnya mengurangkan keberkesanan dan kepuasan dalam memancing.

Kesimpulannya, dengan memahami dengan jelas perbezaan antara aksi dan kuasa joran adalah kunci untuk memilih joran yang paling sesuai dengan keperluan memancing anda. Ini tidak hanya meningkatkan peluang anda untuk menangkap ikan tetapi juga memastikan pengalaman memancing yang lebih menyenangkan dan berkesan.

Adakah Joran Lebih Keras Lebih Baik?

Terdapat anggapan dari kalangan pemancing yang mengatakan bahawa joran yang lebih keras adalah lebih baik.

Sebenarnya anggapan ini tidak selalu tepat dan pemilihan joran yang lebih lembut kadang-kadang lebih sesuai.

Beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai aksi joran adalah:

  • Kekerasan Joran ‒ Joran yang lebih keras memang memberikan kelebihan dalam hal kekuatan dan ketahanan. Namun, ini tidak semestinya menjadikannya pilihan terbaik dalam semua situasi.
  • Kurangnya Kepekaan ‒ Joran yang keras sering kurang peka terhadap gigitan ikan yang lemah, terutamanya bagi spesies yang lebih halus dalam gigitannya.

Mengapa joran lembut (aksi perlahan) kadangkala lebih sesuai:

  • Memancing Ikan Kecil atau Lemah. Dalam situasi memancing spesies ikan yang lebih kecil atau yang menggigit dengan lemah, joran yang lebih lembut dapat memberikan kepekaan yang lebih baik.
  • Teknik Memancing. Untuk teknik memancing yang memerlukan sentuhan halus seperti fly fishing, atau menggunakan umpan lembut seperti dedak — joran yang lebih lembut menyediakan fleksibiliti dan kawalan yang lebih baik.

Pemilihan joran tidak harus hanya berdasarkan kekerasan atau kekuatannya sahaja. Penting untuk mempertimbangkan jenis ikan yang disasarkan, teknik memancing yang digunakan, dan keperluan pemancing itu sendiri.

Memahami keperluan ini akan membantu dalam memilih joran yang paling sesuai, sama ada itu lebih keras atau lebih lembut.

Peranan Aksi Joran Untuk Mengawal Ikan Semasa Pertarungan

Memahami peranan aksi joran dalam mengawal ikan adalah penting dalam memancing. Aksi joran, yang menentukan sejauh mana joran dapat melentur, memainkan peranan kritikal dalam proses bertarung dengan ikan.

Aksi Joran dan Pengawalan Ikan

  • Aksi Cepat (Fast Action) — Joran dengan aksi cepat membengkok di bahagian hujung, memberikan kepekaan yang tinggi dan membolehkan pemancing merasai setiap pergerakan ikan. Ini sesuai untuk ikan yang kuat dan memerlukan pengawalan yang lebih tepat.
  • Aksi Sederhana (Medium Action) — Menawarkan keseimbangan antara sensitiviti dan kekuatan, sesuai untuk pelbagai jenis teknik memancing. Ia membantu dalam menyerap kejutan dan mengurangkan risiko putus tali.
  • Aksi Lambat (Slow Action) — Joran melentur dari hujung ke pangkal, memberikan fleksibiliti yang lebih untuk menyerap daya tarikan ikan. Sesuai untuk ikan yang lebih kecil dan memerlukan teknik perlawanan yang lebih halus.

Faktor Pertimbangan Tambahan

  • Jenis Ikan. Pemilihan aksi joran bergantung pada jenis ikan yang disasarkan. Ikan yang lebih besar dan agresif memerlukan joran dengan aksi yang lebih cepat untuk pengawalan yang lebih baik.
  • Pengalaman. Pemancing yang lebih berpengalaman mungkin lebih selesa dengan aksi joran tertentu berdasarkan gaya mereka yang tersendiri.

Untuk bahagian ini, apa yang dapat disimpulkan adalah memilih joran dengan aksi yang sesuai adalah kunci untuk mengawal ikan secara efektif. Pemancing harus mempertimbangkan jenis ikan, keadaan padang pancing, dan pengalaman mereka untuk membuat pilihan yang tepat.

Bagaimana Memadankan Aksi Joran Dengan Teknik Pancingan yang Sesuai?

Aksi joran tepat akan menghidupkan persembahan gewang dengan sempurna.

Malah, aksi joran juga mempengaruhi kadar hook-set yang efektif serta kawalan terhadap ikan dengan lebih baik.

Oleh itu, penting memilih aksi joran yang bersesuaian dengan jenis gewang yang ingin digunakan.

Teknik Pancingan Aksi Joran
Minnow & Crank Bait Medium
Gewang Permukaan Fast
Soft Plastic Fast
Jerkbait Medium
Spinnerbait & Buzzbait Fast / Extra Fast
Nota

Maklumat dalam jadual di atas bukanlah lengkap dan muktamad.

Ia dicatatkan sebagai panduan umum mengenai apa yang “mungkin” terbaik untuk menggayakan teknik atau gewang tertentu dengan berkesan.

Oleh kerana keperluan aksi joran banyak bergantung kepada situasi kedalaman air, tahap kesukaran padang pancing, jenis gewang dan teknik yang ingin digunakan — maka jadual di atas hanyalah bertujuan untuk memberi idea dan gambaran awal mengenai aksi joran yang sesuai.

Mungkin ia menjadi starting point sebelum anda menemui rentak gaya pancingan tersendiri. Anda sendirilah yang perlu menyesuaikan dengan keperluan anda.

Contohnya jika anda memancing ikan toman di kawasan yang penuh halangan, walaupun saiz ikan disitu tidak besar, namun joran yang mempunyai aksi extra fast adalah lebih sesuai berdasarkan situasi padang pancing.

Setelah anda menentukan aksi joran yang diperlukan, langkah seterusnya adalah memilih kekuatan rod yang bersesuaian.

Mari Fahami Pengelasan Kuasa Joran (Rod Power)

memilih kuasa joran yang tepat
Adakah anda memahami apa yang tertera? | Kredit gambar Lime Bait

Saya pasti ramai yang telah melihat label kekuatan yang tertera pada joran masing-masing. Tetapi apakah yang anda faham dengan maksud kekuatan joran?

Secara ringkas kekuatan joran bermaksud; daya yang diperlukan untuk melenturkan joran 2

Ketika memancing ikan yang kuat seperti Blackbass atau Toman, anda akan memerlukan joran yang “lebih power” agar anda dapat mengunci mata kail dengan baik dan memiliki cukup kuasa untuk menarik ikan keluar dari kawasan kayu.

Kekuatan joran selalunya merujuk tahap kekerasan atau ketegaran joran untuk melentur dan dikategorikan dalam kelas ultra ringan, ringan, sederhana dan sebagainya.

Ia menentukan kekuatan tali dan berat gewang yang sesuai digunakan. Selain itu, ia menjadi indicator penting terhadap kesesuaian joran tersebut untuk digunakan menghadapi spesis buruan.

Walau bagaimana pun, sehingga hari ini masih tiada piawaian sebenar dalam ukuran kekuatan joran. Jadi wujud sedikit kekeliruan dalam menentukan kuasa joran.

Contohnya:

  • Pengilang A mengelaskan joran mereka 6-12lb sebagai kategori ringan
  • Pengilang B pula mengelaskan joran mereka 6-12lb sebagai kategori sederhana.

Keliru bukan?

Untuk mengelakkan kekeliruan, abaikan label kategori (ultra light, light dan sebagainya..). Sebaliknya hanya fokus kepada had maksimum kekuatan tali.

Jadual di bawah memaparkan pengelasan kuasa mengikut kekuatan maksimum tali:

Kategori Spesifikasi Tali
Ultra Light

Tidak melebihi 6 paun (lb). Contohnya:

 

  • 1-4 lb
  • 2-6 lb
  • 4-6 lb
Light

Tidak melebihi 12 paun (lb). Contohnya:

 

  • 4-8 lb
  • 4-10 lb
  • 6-12 lb
Medium

Tidak melebihi 18 paun (lb).Contohnya:

 

  • 6-15 lb
  • 8-14 lb
  • 8-17 lb
  • 10-17 lb
Medium Heavy

Tidak melebihi 25 paun (lb). Contohnya:

 

  • 8-20 lb
  • 10-20 lb
Heavy

Tidak melebihi 30 paun (lb). Contohnya

 

  • 10-30 lb
  • 15-30 lb
Extra Heavy

Tidak melebihi 50 paun (lb). Contohnya:

 

  • 25-50 lb
  • 30-50 lb
  • 20-50 lb
Nota

Pengelasan kuasa joran yang dicatatkan di atas adalah sama seperti yang digunakan oleh kebanyakan pengeluar-pengeluar joran utama di dunia seperti G. Loomis, Major Craft dan St. Croix.

Oleh itu, saya anggap pengelasan ini sudah menjadi standard dalam industri joran dan boleh digunapakai sebagai rujukan.

Pengelasan Kekuatan Joran menggunakan sistem Rating PE

kuasa joran rating PE

Sistem pengelasan kekuatan joran berdasarkan sistem PE selalunya dijumpai pada joran jigging dan popping.

Sistem PE adalah berdasarkan diameter tali [3], dimana ia mungkin menimbulkan kekeliruan.

  • Pembuat joran A mengelaskan rod berdasarkan tali 4-sulam (4 strand PE). Maka joran PE 2-4 keluarannya akan mampu mengendalikan tali berkekuatan 20-40lb.
  • Pembuat joran B pula mengelaskan rod berdasarkan tali 8-sulam (8 strand PE). Maka joran PE 2-4 keluarannya akan mampu mengendalikan tali berkekuatan 45-65lb.

Oleh kerana perkara ini mengelirukan, kaedah terbaik adalah merujuk terus kepada pengeluar atau membaca review mengenai joran tersebut.

Faktor penting semasa memilih kekuatan joran

Beberapa faktor perlu dipertimbangkan:

  • Kekuatan joran penting untuk menentukan berat gewang yang sesuai. Jika anda melontar gewang melebihi spec yang dibenarkan, kemungkinan anda akan merosakkan blank joran dari dalam.
  • Jika joran berkuasa besar digunakan bersama tali kecil, maka tali tersebut akan mudah putus atau meletup.
  • Dan sebaliknya juga, jika rod berkuasa kecil digunakan dengan tali kasar, kemungkinan joran pula akan patah.
  • Jika anda jenis ganas-ganas ala Gong Lei dalam melayan ikan, maka lebih baik gunakan joran berkekuatan lebih tinggi.
  • Sesetengah pengilang pula melabelkan kekuatan joran mereka secara underrated supaya nampak lebih kuat berbanding pesaing mereka.
  • Setiap joran dicipta untuk menjalankan tugas mengikut kriteria tertentu. Sila gunakan mengikut spesifikasi label yang tertera pada joran tersebut untuk mendapat prestasi terbaik daripada joran tersebut.

Boleh Tak Gunakan Satu Joran Untuk Semua Jenis Teknik Memancing?

Boleh, tetapi tidak efektif.

Memancing adalah aktiviti yang memerlukan alat yang tepat untuk situasi yang berbeza.

Antara kekeliruan yang sering terjadi di kalangan pemancing adalah anggapan bahawa satu joran boleh digunakan untuk semua jenis teknik memancing.

  • Memancing Air Tawar vs Air Masin. Joran untuk memancing di air tawar dan air masin berbeza, kita perlu mengambil kira faktor seperti hakisan garam dan kekuatan spesies ikan.
  • Teknik Khas. Beberapa teknik memancing seperti jigging, trolling, dan casting memerlukan jenis joran yang berbeza untuk memberi hasil yang lebih baik.
  • Ikan Kecil vs Besar. Ikan yang lebih besar memerlukan joran dengan lebih kuat, manakala ikan yang lebih kecil mungkin memerlukan joran yang ada sensitiviti yang lebih tinggi.
  • Jenis Ikan. Contohnya, joran untuk memancing sebarau akan berbeza dari joran untuk memancing blackbass.

Apa yang ingin saya sampaikan, keperluan untuk menggunakan jenis joran yang berbeza untuk teknik memancing dan spesies ikan yang berbeza akan meningkatkan keberkesanan dan kepuasan dalam memancing.

Setakat ini, anda mungkin sudah mempunyai pemahaman yang kukuh tentang apa itu “aksi joran” dalam dunia memancing.

Namun, anda mungkin masih bertanya-tanya, apakah aksi joran yang terbaik? Dan aksi mana yang harus saya gunakan dalam aktiviti memancing saya?

Ini adalah soalan penting yang perlu difahami oleh semua pemancing.

Aksi joran terbaik akan berbeza bergantung pada kaedah memancing anda, saiz umpan atau gewang yang digunakan, dan spesies sasaran anda.

Jika anda seorang pemancing newbie dan ingin mendapatkan joran yang serba boleh (multipurpose) yang membolehkan anda melakukan kebanyakan teknik memancing, maka aksi joran yang terbaik untuk dipilih adalah joran dengan aksi sederhana atau cepat.

Joran dengan kuasa sederhana dan aksi cepat akan membolehkan anda memancing menggunakan kebanyakan umpan atau gewang dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, aksi joran terbaik boleh berbeza-beza dengan ketara bergantung pada faktor-faktor yang telah saya sebutkan di atas.

Soalan Lazim (FAQ)

Apakah Perbezaan Antara ‘Aksi Joran’ Dan ‘Kekuatan Joran’?

Aksi joran merujuk kepada sejauh mana joran membengkok ketika tekanan dikenakan, manakala kekuatan joran menggambarkan kemampuan joran untuk menahan beban.

Adakah Joran Lebih Keras Lebih Baik?

Tidak semestinya. Joran yang lebih keras memang memberikan kelebihan dalam hal kekuatan dan ketahanan, tetapi kurang peka terhadap gigitan ikan yang lemah.

Bagaimanakah Peranan Aksi Joran Dalam Mengawal Ikan?

Aksi joran memainkan peranan penting dalam mengawal ikan semasa pertarungan, bergantung kepada jenis aksi seperti cepat, sederhana, atau lambat.

Bagaimana Memadankan Aksi Joran Dengan Teknik Pancingan?

Pemilihan aksi joran bergantung kepada aplikasi teknik pancingan dan jenis gewang yang ingin digunakan.

Apa Itu Pengelasan Kuasa Joran dan Bagaimana Ia Mempengaruhi Pemilihan Joran?

Pengelasan kuasa joran merujuk kepada kekuatan tali dan berat gewang yang sesuai digunakan, dengan kategori seperti ultra ringan, ringan, sederhana, dan lain-lain.

Bolehkah Menggunakan Satu Joran Untuk Semua Jenis Teknik Memancing?

Memungkinkan, tetapi biasanya tidak efektif. Setiap teknik memancing dan jenis ikan memerlukan jenis joran yang berbeza.

Bagaimana Cara Memilih Joran Yang Sesuai Dengan Kedalaman Dan Keadaan Air?

Pemilihan joran juga bergantung kepada kedalaman dan keadaan air tempat memancing. Contohnya, joran dengan aksi lebih cepat mungkin lebih sesuai untuk air dalam atau arus kuat.

Penutup

Dalam dunia memancing yang penuh kepelbagaian, pemilihan joran yang tepat adalah asas kepada pengalaman memancing yang memuaskan.

Dengan memahami perbezaan antara aksi dan kuasa joran bukan sahaja meningktkan pengetahuan kita sebagai pemancing, tetapi juga membantu dalam membuat keputusan yang bijak mengenai peralatan memancing.

Artikel ini berharap dapat membantu anda memilih joran yang sempurna, sesuai dengan gaya memancing anda, dan membawa pulang kenangan manis bersama setiap tangkapan.

Jika anda mempunyai sebarang ulasan, sila tinggalkan komen anda di bahagian bawah ini. Terima kasih

Nota kaki

  1. Fishing Rod Actions in Depth — Jason Sealock, Wired2Fish.com ↩︎
  2. Rod’s resistance to bending under a given amount of weight. Merujuk kepada laman  Scout.com: rod power vs. action: know the difference! ↩︎
  3. PE bermaksud Poly Ethylene. Kebanyakkan pengeluar daripada Jepun menggunakan sistem PE untuk melabelkan rod dan tali mereka. ↩︎

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

82 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Zammir Iskandar
Zammir Iskandar
9 bulan yang lalu

Assalamualaikum tuan…nk tanya , saya bru nk belajar main toman, klu rod jenis MHS sesuai tak?

Zaini
Zaini
10 bulan yang lalu

Bg pendapat sy,tuan pnya penerangan…memang senang untuk di pahami,thanks sudi kongsi ilmu

Mamat
Mamat
10 bulan yang lalu

Assalamualaikum..sya ad rod PE0.2-PE0.6 bersamaan dgn berapa lb?adkh sma 2lb-6lb ???

Den
Den
1 tahun yang lalu

Nak tanya rod sya4-10lb reel2000 sesuai kh set ni?klw sesuai, line braided pakai brpa lb paling sesuai untuk set ni?

Nazrie
Nazrie
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum tuan.. Boleh tak bagi penerangan atau penjelasan yang lengkap utk rod?
1. Rod Carbon
2. Rod Graphit
3. Apa perbezaan rod tersebut? Dan yang mana lebih baik?