Benarkah Memiliki Kebebasan Tanpa Had Akan Membuat Kita Lebih Bahagia?

Kebebasan Tanpa Had

Jika kita ingin memaksimumkan kebahagiaan kita, mungkin cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan memaksimumkan kebebasan kita.

Ini kerana kebebasan adalah sesuatu yang amat berharga, berguna dan diperlukan oleh setiap orang.

Ia sesuatu yang masuk akal.

Apabila kita mempunyai kebebasan, kita boleh menggunakannya untuk melakukan perkara-perkara yang memaksimumkan kebahagiaan kita.

Tiada siapa akan mengarah kita dan tiada siapa yang membuat keputusan bagi diri kita.

Dan jalan untuk memaksimumkan kebebasan adalah dengan memaksimumkan pilihan kita.

Di dunia ini, kebanyakan orang mahu menjadi kaya bukan kerana mereka inginkan wang yang banyak semata-mata.

Tetapi ia adalah kerana wang akan membawa lebih banyak kebebasan ke dalam hidup kita.

Wang akan memberi lebih banyak pilihan.

Lebih banyak pilihan kita ada, maka lebih banyak kebebasan tersedia untuk kita.

Bila lebih banyak kebebasan tersedia untuk kita, maka secara tidak langsung kita akan lebih bahagia.

— Tiada siapa akan mempersoalkan perkara ini.

Kita perlu tahu bahawa:

Semua orang ingin mempunyai lebih banyak kebebasan untuk menentukan kehidupan dengan cara mereka tersendiri.

 

Pada hari ini, kita telah dibanjiri dengan pilihan-pilihan tanpa had:

  • Terdapat lebih daripada seratus program ijazah untuk dipilih dipelbagai kolej dan universiti pada masa kini.
  • Telefon pintar kita datang dengan berjuta aplikasi yang boleh dimuat turun.
  • Bila kita masuk ke kedai runcit, kita mempunyai ratusan pilihan jenama yang boleh dipilih.

Secara logiknya, ini semua sepatutnya membuat kita lebih bahagia.

Kerana lebih banyak pilihan semestinya akan mewujudkan lebih banyak kebahagiaan.

Betul tak?

Kepercayaan ini telah tertanam kehidupan seharian kita.

Tetapi adakah lebih banyak pilihan benar-benar membawa kepada kebahagiaan?

Sisi Gelap Apabila Mempunyai Kebebasan Tanpa Had

Saya tidak bermaksud bahawa lebih banyak pilihan dan kebebasan adalah tidak bagus bagi kita.

Namun, tiada hujah yang menyokong mengenai bagaimana pilihan yang banyak akan mengubah dunia kita ke arah yang lebih baik.

Mari kita lihat kesan negatif yang terjadi apabila terdapat “lebih banyak pilihan” dalam kehidupan kita.


1. Terlalu Banyak Pilihan Akan Menyebabkan Kesukaran & Kelumpuhan

Bayangkan apa yang akan berlaku jika Apple melancarkan 100 model iPhone yang berbeza dalam masa satu tahun.

Jualan pasti akan jatuh, mengapa?

Sebab terlalu banyak model untuk dipilih. Ia akan menjadikan pilihan amat sukar untuk dimuktamadkan.

Masalahnya bukanlah mengenai kualiti produk, tetapi pengguna perlu meluangkan lebih masa untuk membuat pilihan.

Lebih banyak pilihan yang kita ada, semakin sukar untuk membuat keputusan.

Dan kebanyakan orang hanya akan berlalu pergi tanpa membuat pembelian kerana kesukaran membuat keputusan.

Fenomena ini dipanggil paradox of choice


2. Peluang-Peluang Yang Lain Akan Membawa Kepada Perbandingan & Rasa Tidak Puas Hati

Cuba bayangkan, anda telah diberi peluang untuk memilih 5 bar coklat, dimana salah satu daripada coklat tersebut adalah yang terbaik di dunia.

Dan inilah satu-satunya peluang untuk anda memilikinya.

Jika anda terlepas, maka maaf, anda tidak akan mendapat peluang seperti ini lagi dalam hidup.

Bagaimanakah perasaan anda ketika ini?

Pilihan yang banyak akan menghasilkan harapan yang tinggi untuk setiap dan semua pilihan yang kita ada.

Sekarang kita tahu bahawa hanya ada satu coklat paling sedap di dunia diantara 5 coklat tersebut, tetapi otak kita akan menganggap kesemua lima coklat tersebut adalah paling sedap.

Walaupun kita tidak berfikir begitu, secara rasional dan logiknya, tetapi secara emosinya kita menganggap kita harus memilih yang paling sedap.

Kita tidak boleh menerima apa-apa yang kurang daripada itu.

Dan jika pun anda sangat bertuah kerana telah berjaya memilih yang terbaik, anda mungkin masih lagi terfikir bahawa ia pilihan yang tidak sempurna.

Kerana anda tidak boleh merasai empat lagi coklat yang lain.

Peluang-peluang lain yang tidak boleh dicapai itu akan membawa kepada rasa tidak puas hati dalam diri kita.

Perkara ini selalu terjadi dalam banyak hal berkaitan dengan kehidupan kita.

Contohnya:

Sesetengah orang sentiasa berfikir bahawa pasangan mereka bukanlah yang terbaik kerana menganggap masih ada yang lebih baik di luar sana — walaupun pasangan mereka sebenarnya sudah terbaik untuk mereka.

Kepentingan Menyingkirkan Pilihan-Pilihan Lain Yang Wujud

Penyelesaian masalah ini adalah jelas.

Pilihan yang banyak memang membawa kepada lebih kebahagiaan sehinggalah tiba pada satu titik tertentu.

Selepas satu tahap, pertambahan pilihan hanya akan membuatkan kita lebih keliru.

— Kita perlu mengurangkan pilihan yang ada dengan mengutamakan apa yang penting.

Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita lakukan:

  • Fokus hanya pada satu idea perniagaan atau matlamat kerjaya. Letakkan semua usaha dan masa kita ke arah membinanya terlebih dahulu sebelum kita melangkah ke step yang seterusnya.
  • Bersemangat dengan apa yang kita ada dan siapa diri kita. Hargai perkahwinan kita. Lakukan usaha untuk melihat kebaikan dalam pasangan kita dan fokus untuk memberi bukan hanya sekadar menerima.
  • Tetapkan hanya satu matlamat kecergasan. Kita tidak boleh menambah berat, membakar lemak, meningkatkan kekuatan dan meningkatkan ketahanan pada satu masa yang sama.

Jika kita telah membuat pilihan sebelum ini — mengenai kerjaya, hubungan, atau kewangan, fokuskan pada pilihan yang telah kita buat.

Berhenti membandingkan keputusan yang telah kita ambil dengan alternatif lain.

Sebaliknya, fokus pada perkara yang kita telah pilih sebelum ini dan usahakan yang terbaik mengenainya.

Kebebasan Kita Adalah Ibarat Ikan dan Akuarium

Kita semua seperti ikan di dalam akuarium.

Saiz akuarium menentukan kebebasan yang kita ada, dan sebahagian daripada kita melihatnya sebagai suatu kekangan.

Untuk berkembang, kita memerlukan akuarium yang lebih besar.

Tetapi malangnya, apa yang kebanyakan orang cuba buat adalah memecahkan akuarium tersebut.

Tanpanya, kita akan menjadi ikan mati.

Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, pilihan tanpa batasan telah terbuka kepada kita.

Ia membuatkan kita percaya bahawa kita boleh mempunyai kebebasan tanpa had dan kita akan menjadi lebih bahagia.

Tetapi kebebasan tanpa had bukanlah sesuatu yang baik.

Ya, kita memang memerlukan sedikit kebebasan untuk berkembang dan maju.

Tetapi jika ia datang tanpa batasan, maka kita tidak lagi akan mempunyai arah panduan, darjat, perancangan.

Ini tentunya langsung tidak akan membawa kepada kebahagiaan.

Sebab itulah Tuhan menurunkan agama. Supaya memberi batasan kepada manusia agar berpada-pada dalam setiap perkara.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

6 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
mrhanafi
5 tahun yang lalu

terbaik tamsilan pada topik ini…

bebas tidak bermakna boleh buat sesuka hati..

bebas ada batasan agama dan norma kehidupan

ajumohit
5 tahun yang lalu

setiap perkara yang dilakukan mesti ada matlamatnya, perlu ada nilai positif dan kaji setiap impaknya. supaya ianya memanfat dan bukan mudarat

Ibu Mifzal
5 tahun yang lalu

article yg menarik.
terlalu bebas pun bahaya juga.

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading