Kaedah Mengajar Anak Menggunakan Teknik ‘Kitaran Pengajaran’

Kaedah mengajar anak murid

Bila kita mengajar anak atau murid, dua perkara akan berlaku:

Sama ada mereka akan berminat..

.. atau mereka langsung tidak menumpukan perhatian.

Sebenarnya, salah satu kaedah untuk mengajar anak untuk belajar dengan berkesan adalah menggunakan kitaran pembelajaran.

Kajian1 membuktikan bahawa teknik ini adalah satu kaedah yang berkesan untuk mengajar.

Dalam kaedah ini, terdapat empat langkah:

kaedah mengajar anak kecil

1. Tarik perhatian


Langkah pertama sekali adalah memberi isyarat kepada anak supaya bersedia untuk belajar.

Ini adalah perlu kerana kita harus menarik perhatian mereka terhadap apa yang ingin diajarkan.

Tanpa perhatian dan fokus, mereka tidak akan memberikan tumpuan terhadap apa yang sedang diajarkan.

Oleh itu, dapatkan perhatian anak terlebih dahulu dengan menunjukkan kepada mereka sesuatu yang berkaitan dengan apa yang dia bakal belajar nanti.

Jika hari itu dia akan belajar tentang rama-rama, maka buku atau gambar tentang rama-rama mungkin akan menjadi bahan yang baik.

Anda juga boleh menunjukkan dan menerangkan tentang bahan-bahan yang anak anda bakal gunakan.

Sebagai contoh; jika dia akan belajar tentang sudut, tunjukkan dia protraktor dan terangkan kepada dia apakah alat tersebut dan bagaimana menggunakannya.

Cara lain adalah memberi anak anda bermain dengan sesuatu objek.

Jika hendak mengajar dia tentang bentuk, maka beri dia bermain dengan permainan blok seperti lego.

Apabila dia sudah selesai bermain, anda boleh pergi kepada langkah seterusnya iaitu mengajar.

 

2. Memberi arahan


Setelah anda mendapat perhatian daripada mereka, maka anda bolehlah memberi arahan dengan menerangkan tugasan yang bakal diberikan.

Murid anda perlu memahami apakah yang anda ingin dia belajar atau buat.

Berikan penerangan yang jelas.

Berbanding memberi tahu dalam nada gaya mengarah, adalah lebih baik anda memberi penerangan dan menunjukkan demo jika perlu.

Ingat, jika murid sudah tidak fokus terhadap apa yang anda sedang ajar, maka berhentilah.

Tiada guna kita meneruskan pengajaran jika murid sudah tidak lagi berminat kerana kita sudah tidak mempunyai perhatiannya lagi.

Oleh itu cuba kekalkan fokus mereka selama yang mungkin.

 

3. Proses melaksana


Setelah selesai memberi arahan kepada murid maka berikan mereka masa untuk melaksana.

Dalam fasa ini, anda boleh memberi galakan seperti kata-kata semangat “Ayuh Fakrul! Kamu boleh buat!

Apabila mereka bertanya soalan atau memberi komen, jangan abaikan. Berikanlah respons yang sepatutnya.

Kajian menunjukkan bahawa bila kita memberi respons terhadap persoalan murid atau anak, ia akan membantu mereka untuk belajar.

Untuk membantu murid yang sedang buntu, anda boleh aturkan kembali kedudukannya atau bahan-bahan pembelajaran.

Jika dia kelihatan sukar untuk menggunakan protraktor, maka anda boleh tolong letakkan ia pada kedudukan dan sudut yang tepat untuknya.

 

4. Beri maklum balas


Apabila anak atau murid anda sudah menyiapkan kerja, maka terangkan kepadanya apa yang dia telah lakukan.

Berikan maklum balas yang positif terdapat setiap kejayaan dan jawapan yang betul yang dia perolehi.

Anda juga boleh memberi maklum balas positif terhadap usaha atau kelakuan, bukan hanya pencapaian semata-mata.

Selain itu, anda boleh menunjukkan maklum balas secara bukan non-verbal melalui bahasa badan seperti senyum, angguk, tepuk tangan, dan sebagainya.

 

Penutup

Jika anda sudah bersedia untuk mengajar anak atau murid anda, lakukan mengikut workflow proses diatas.

Mengajar anak kecil bukanlah sesuatu yang mudah. Kita perlu sabar dan tabah.

InsyaaAllah dengan usaha dan teknik yang betul, kita akan mengajar secara berkesan dan membuatkan mereka berminat untuk belajar.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda.

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading