Fikiran Yang Jelas Bermula Dengan Kekuatan Diri

Fikiran Yang Jelas

Ramai orang menyangka masalah utama hidup ialah kita tidak tahu cara berfikir dengan lebih baik. Jadi kita mencari teknik, kerangka, dan alat. Kita fikir, kalau semua itu sudah ada, keputusan kita akan terus jadi lebih kemas.

Tetapi dalam hidup sebenar, masalahnya jarang sesederhana itu. Banyak kali kita sebenarnya sudah tahu apa yang patut dibuat, cuma kita gagal melakukannya pada saat yang sebenar.

Kita tahu tidak patut membalas mesej ketika marah, tetapi kita balas juga. Kita tahu tidak patut bercakap defensif dalam mesyuarat, tetapi nada kita tetap berubah. Kita tahu tidak patut menangguh perkara penting, tetapi kita tetap memilih jalan yang paling selesa.

Sebab itu fikiran yang jelas (clear thinking) tidak bermula pada teknik. Ia bermula pada diri yang cukup kuat untuk tidak terus tunduk kepada dorongan pertama.[1]

Nota Penulis

Artikel ini ialah sebahagian daripada siri huraian buku Clear Thinking oleh Shane Parrish di Inchenaim. Jika tuan belum membaca pengenalan siri ini, boleh mulakan dengan halaman utama siri Clear Thinking untuk melihat gambaran besar buku ini.

Artikel ini juga menyambung perbincangan daripada bahagian keempat, Kenapa Kita Selalu Ikut Orang dan Sukar Berubah (Social Default dan Inertia Default), dengan memberi tumpuan kepada satu persoalan yang lebih asas: jika kita tahu apa yang sering merosakkan pertimbangan kita, apakah kekuatan dalaman yang perlu dibina supaya kita tidak terus dikawal olehnya?

Kekuatan Diri ialah Tapak Kepada Fikiran Yang Jelas

Kita tidak boleh berfikir dengan jelas jika diri kita sendiri terlalu mudah ditarik oleh emosi, ego, tekanan sosial, atau tabiat lama.

Dalam banyak keadaan, masalah sebenar bukan kerana kita tidak mempunyai akal yang baik. Masalahnya ialah kita tidak sempat menggunakan akal itu dengan tenang.

Saat yang menekan selalu datang dengan laju. Rasa tersinggung datang dahulu. Rasa hendak membalas datang dahulu. Rasa malu, takut, mahu menang, atau mahu mempertahankan imej diri datang dahulu. Sebelum pertimbangan sempat duduk di tempatnya, tindakan sudah pun keluar.

Di sinilah letaknya kepentingan bahagian ini. Fikiran yang jelas memerlukan ruang. Dan ruang itu tidak lahir dengan sendiri. Ia lahir apabila kita membina kekuatan dalaman yang membuat kita tidak terlalu mudah dipermainkan oleh saat yang sedang berlaku.[2]

Dalam erti kata yang sebenar, kekuatan diri ialah keupayaan untuk tidak menyerahkan masa depan kepada reaksi sementara.

Empat Kekuatan Yang Membentuk Pertimbangan

Bahagian ini membina clear thinking daripada empat kekuatan utama, iaitu self-accountability, self-knowledge, self-control, dan self-confidence. Empat perkara ini bukan topik yang berdiri berasingan. Semuanya saling menyokong.

Self-accountability ialah kesediaan mengambil tanggungjawab terhadap tindakan, kelemahan, dan pilihan kita sendiri.[3]

Orang yang ada sifat ini tidak terlalu sibuk mencari siapa yang patut dipersalahkan. Bila sesuatu rosak, dia akan bertanya dahulu: apa bahagian aku dalam hal ini?

Soalan ini mungkin tidak selesa, tetapi ia sangat penting. Selagi kita hanya menyalahkan keadaan, orang lain, atau nasib, kita belum benar-benar memegang stereng hidup kita sendiri.

Self-knowledge pula ialah kemampuan mengenal diri dengan jujur.

Kita tahu apa yang kita pandai, apa yang kita lemah, keadaan apa yang mudah menggugat pertimbangan kita, dan corak apa yang selalu menjatuhkan kita.

Ada orang nampak tenang, tetapi apabila penat dia jadi cepat naik suara. Ada orang nampak yakin, tetapi bila ditegur sedikit terus menutup diri.

Ada juga orang yang kelihatan rasional seorang diri, tetapi menjadi sangat lemah apabila berada dalam kumpulan. Kalau kita tidak tahu titik-titik lemah ini, kita akan terus hairan kenapa kita mengulang kesilapan yang sama.

Self-control pula bukan bererti tidak ada emosi. Itu mustahil. Mengawal diri bererti emosi itu tidak dibenarkan memegang stereng.[4]

Kita masih rasa marah, kecewa, takut, malu, atau tergesa-gesa. Tetapi kita tidak terus menyerahkan tindakan kita kepada rasa itu. Kita tahan sedikit. Kita lihat semula. Kita tanya sama ada tindakan yang hendak dibuat ini benar-benar membantu, atau hanya melegakan rasa buat sekejap.

Self-confidence ialah bahagian yang paling mudah disalahfahami. Ia bukan rasa diri sentiasa betul. Ia juga bukan keberanian untuk kelihatan menonjol.

Self-confidence yang sihat ialah kestabilan dalaman untuk mengaku belum tahu, mengaku silap, dan menerima bahawa orang lain mungkin lebih kuat dalam sesuatu perkara.[5] Ego takut semua ini. Tetapi keyakinan yang sebenar tidak takut pada realiti.

Empat kekuatan ini bekerja bersama. Self-accountability menjadikan kita jujur. Self-knowledge menjadikan kita sedar. Self-control menjadikan kita stabil. Self-confidence menjadikan kita cukup kuat untuk terus belajar tanpa perlu mempertahankan imej diri setiap masa.

Namun kekuatan-kekuatan ini tidak tumbuh dalam ruang kosong. Ia dibina perlahan-lahan oleh standard yang kita terima, oleh manusia yang kita jadikan contoh, dan oleh latihan yang kita ulang setiap hari. Sebab itu, selepas memahami empat kekuatan ini, kita juga perlu melihat bagaimana ia sebenarnya dibentuk.[6]

Mengapa Kekuatan Ini Sangat Penting Dalam Hidup Kita?

Ramai orang mahu hasil yang baik, tetapi tidak sedar bahawa hasil itu biasanya berdiri di atas karakter yang dibina lama sebelum saat penting tiba. Kita selalu nampak keputusan akhir, tetapi tidak nampak bentuk diri yang menghasilkan keputusan itu.

Bila kekuatan dalaman lemah, kita menjadi sangat mudah digerakkan oleh keadaan. Pujian membuat kita lalai. Teguran membuat kita defensif. Tekanan membuat kita kasar. Ketidakpastian membuat kita ikut orang. Dan semua ini berlaku dalam saat-saat kecil yang nampak biasa.

Masalahnya, saat-saat kecil inilah yang sebenarnya mengubah posisi hidup kita. Satu reaksi yang buruk boleh merosakkan kepercayaan. Satu alasan yang kita ulang-ulang boleh melemahkan karakter. Satu keputusan yang dibuat kerana hendak menjaga ego boleh menutup pilihan yang lebih baik pada masa depan.

Sebab itu clear thinking tidak boleh dipisahkan daripada pembinaan diri. Kita mungkin boleh kelihatan bijak dalam perbualan. Kita mungkin tahu banyak konsep. Tetapi bila saat sebenar datang, yang menentukan tindakan kita selalunya bukan apa yang kita tahu, tetapi siapa diri kita ketika ditekan.

Standard Yang Kita Terima Perlahan-Lahan Membentuk Kita

Satu lagi perkara penting dalam bahagian ini ialah soal standard. Hidup kita banyak dibentuk oleh apa yang kita anggap “cukup baik”. Jika standard kita rendah, kita akan membiasakan diri dengan kerja yang separuh siap, alasan yang kelihatan munasabah, dan pembetulan yang dibuat sekadar melepaskan diri.

Lama-kelamaan, perkara itu tidak lagi terasa seperti kelemahan. Ia menjadi cara hidup.

Sebab itu pembinaan kekuatan diri bukan sekadar soal semangat. Ia juga soal menaikkan standard. Bukan standard untuk kelihatan hebat di mata orang, tetapi standard dalaman yang membuat kita tidak selesa dengan kecuaian sendiri, tidak puas dengan kerja yang malas, dan tidak mudah memaafkan alasan yang kita tahu tidak jujur.

Dalam banyak keadaan, standard ini sangat dipengaruhi oleh orang di sekeliling kita. Kita bekerja dengan orang yang cermat, maka kita pun mula jadi cermat. Kita belajar dengan orang yang tidak bercakap sembarangan, maka kita pun mula menjaga lidah. Kita berkawan dengan orang yang berani mengaku silap, maka kita pun belajar bahawa mengaku silap bukan kelemahan.

Sebab itu contoh yang kita pilih sangat penting. Kita perlukan manusia yang mengangkat standard hidup kita. Mereka tidak semestinya sempurna. Tetapi mereka mesti mempunyai sesuatu yang kita mahu warisi, sama ada dari segi cara berfikir, cara bekerja, cara menanggung tekanan, atau cara menjaga maruah tanpa diperintah oleh ego.

Bagaimana ia Muncul Dalam Kehidupan Seharian?

Di sekolah, kita mungkin nampak perkara ini pada seorang guru yang tidak cepat melenting walaupun kelas bising.

Bukan kerana dia tidak penat, tetapi kerana dia sudah membina satu bentuk kestabilan dalam diri. Dia tidak membenarkan suasana bilik darjah menentukan keseluruhan tindak balasnya.

Dalam mesyuarat pula, beza antara orang yang cerdik dan orang yang kuat secara dalaman sangat jelas.

Orang yang cerdik tetapi lemah secara dalaman cepat rasa tercabar, suka memotong cakap orang, dan sukar menerima cadangan yang bukan datang daripada dirinya.

Orang yang lebih kuat pula boleh mendengar tanpa cepat defensif. Dia masih boleh tegas, tetapi tidak perlu meninggikan dirinya untuk kelihatan penting.

Dalam rumah tangga, self-accountability mungkin muncul dalam bentuk yang sangat sederhana. Kita pulang penat, rumah bersepah, anak bising, pasangan pula bertanya sesuatu yang kecil.

Saat itu kita boleh memilih untuk melepaskan tekanan, atau kita boleh mengaku bahawa kepenatan kita bukan lesen untuk melukai orang yang paling dekat dengan kita.

Di situ clear thinking benar-benar diuji. Bukan pada teori, tetapi pada nada suara.

Dalam hubungan dengan diri sendiri pun sama. Ada hari kita sedar kita banyak menangguh kerja penting. Orang yang lemah secara dalaman akan cepat membela diri dengan alasan yang sedap didengar. Orang yang lebih kuat akan mengaku, “Ya, aku sedang lari daripada benda yang susah.” Ayat itu tidak menyenangkan, tetapi ia membuka jalan untuk berubah.

Begitu juga dalam dunia WhatsApp dan media sosial. Kadang-kadang satu mesej sahaja sudah cukup untuk membangkitkan ego, marah, atau rasa hendak membalas.

Dalam keadaan seperti ini, kekuatan diri tidak semestinya nampak heroik. Kadang-kadang ia hanya nampak seperti memilih untuk diam sekejap, membaca sekali lagi, dan tidak menghantar ayat yang kita akan sesal sejam kemudian.

Salah Faham Yang Sering Berlaku Tentang Kekuatan Diri

Salah faham pertama ialah menganggap kekuatan diri sebagai isu disiplin semata-mata. Seolah-olah kalau kita cukup keras pada diri sendiri, semua akan selesai. Sebenarnya tidak.

Disiplin penting, tetapi disiplin yang tidak dibina atas self-knowledge selalunya rapuh. Kita boleh nampak kuat beberapa hari, tetapi runtuh semula apabila letih, tertekan, atau tercabar.

Salah faham kedua ialah menyangka self-confidence itu sama dengan berani bercakap kuat, berani menonjol, atau sentiasa nampak pasti. Itu belum tentu keyakinan.

Kadang-kadang itu cuma ego yang memakai pakaian lain. Orang yang benar-benar yakin tidak perlu sentiasa menang untuk berasa bernilai.

Salah faham ketiga ialah menganggap self-control sebagai memendam perasaan. Memendam bukan kawalan.

Ia hanya menolak emosi ke bawah sambil menunggu ia meletup di tempat lain. Self-control yang matang bukan menafikan rasa, tetapi mengurus rasa supaya ia tidak merosakkan pertimbangan.

Salah faham keempat ialah berfikir bahawa semua ini boleh dibina seorang diri tanpa bantuan sesiapa.

Sebenarnya kita sangat dipengaruhi oleh persekitaran, standard sekeliling, dan siapa yang kita jadikan contoh. Sebab itu memilih manusia yang betul untuk diteladani juga sebahagian daripada kerja membina diri.

Apa Yang Patut Kita Pelajari Daripadanya

Bahagian ini mengingatkan kita bahawa kejernihan berfikir bukan hadiah untuk orang yang paling bijak. Ia lebih dekat dengan hasil latihan dalaman yang berulang. Kita belajar mengaku silap tanpa runtuh. Kita belajar mengenal batas diri tanpa merasa hina. Kita belajar menanggung rasa tanpa terus menurutinya. Kita belajar menaikkan standard sedikit demi sedikit.

Bila perkara ini mula terbina, hidup tidak semestinya terus jadi mudah. Tetapi satu perkara akan berubah. Kita tidak lagi terlalu mudah dikuasai oleh saat yang sedang berlaku. Kita masih boleh penat, marah, takut, dan tercabar. Bezanya, kita tidak terus menyerahkan hidup kepada keadaan jiwa kita yang sementara.

Dan mungkin di situlah makna sebenar kekuatan diri. Bukan menjadi manusia yang keras, tetapi menjadi manusia yang cukup stabil untuk tidak selalu merosakkan hidupnya sendiri ketika berada dalam tekanan.

Kekuatan diri ialah tapak yang membolehkan fikiran yang jelas (clear thinking) berlaku. Tetapi tapak sahaja belum cukup. Kita tetap manusia yang ada kelemahan, titik buta, dan hari-hari yang sangat lemah.

Sebab itu selepas ini, kita perlu melihat satu lagi sisi yang sama penting: bagaimana melindungi diri apabila kekuatan kita sendiri tidak cukup.

Nota Kaki

Nota kaki berikut menghuraikan latar konsep dan rujukan yang menjadi asas kepada perbincangan dalam artikel ini, untuk pembaca yang ingin mendalami lebih lanjut.

  1. Dalam bahagian awal buku ini, Parrish menegaskan bahawa untuk mendapatkan hasil yang kita mahu, kita perlu melakukan dua perkara terlebih dahulu: mencipta ruang untuk berfikir, dan kemudian menggunakan ruang itu dengan sengaja. Idea ini penting kerana banyak kegagalan pertimbangan bukan berlaku ketika kita kurang maklumat, tetapi ketika kita tidak sempat berhenti daripada dorongan awal. hlm. 9. ↩︎
  2. Pada permulaan Part 2, Parrish menghuraikan bahawa kekuatan ialah keupayaan untuk menekan butang pause pada default kita dan menggunakan pertimbangan yang baik. Dari situ beliau menyusun empat kekuatan utama yang menjadi tulang belakang bahagian ini, iaitu self-accountability, self-knowledge, self-control, dan self-confidence. Idea ini menjadi asas kepada artikel bab 5 dalam siri ini. Parrish, Clear Thinking, hlm. 46. ↩︎
  3. Self-accountability dalam buku ini bukan sekadar rajin atau berdikari. Ia merujuk kepada kesediaan mengambil tanggungjawab terhadap kebolehan, ketidakmampuan, dan tindakan sendiri, tanpa sibuk membela ego dengan alasan luar. Dalam konteks siri ini, ia penting kerana ramai orang tahu apa yang patut dibuat, tetapi gagal berubah kerana terlalu sibuk menerangkan kenapa mereka tidak patut dipersalahkan. Parrish, Clear Thinking, hlm. 47–60. ↩︎
  4. Self-control dijelaskan sebagai kemampuan mengurus emosi tanpa membiarkan emosi menentukan arah hidup. Perbezaan ini penting kerana kawalan diri yang matang bukan menafikan rasa, tetapi tidak menyerahkan tindakan kepada rasa itu. Bahagian ini juga membantu membezakan antara tenang dengan memendam. Parrish, Clear Thinking, hlm. 61–63. ↩︎
  5. Self-confidence pula dihuraikan sebagai kepercayaan terhadap kebolehan dan nilai diri yang tidak menolak kelemahan. Di sinilah bezanya dengan ego. Keyakinan yang sihat cukup stabil untuk mengaku belum tahu, menerima pembetulan, dan terus belajar tanpa merasakan dirinya runtuh. Parrish, Clear Thinking, hlm. 63–70. ↩︎
  6. Dalam bahagian tentang setting the standards serta exemplars + practice, Parrish menunjukkan bahawa kekuatan diri bukan dibina melalui niat baik semata-mata, tetapi melalui standard yang tinggi, contoh yang betul, dan latihan yang berulang. Ini penting kerana manusia perlahan-lahan menjadi seperti apa yang selalu berada di sekelilingnya. Parrish, Clear Thinking, hlm. 73–85. ↩︎

Leave a Comment