
Pernahkah kita berhadapan dengan sepotong kek yang dihias begitu indah?
Krimnya berwarna-warni, teksturnya nampak sempurna, dan ia kelihatan sangat menyelerakan di bawah lampu kedai yang terang.
Namun, sebaik sahaja kita menyuapnya ke dalam mulut, rasanya hambar… malah mungkin meloyakan.
Pada saat itu, segala keindahan hiasan tadi tidak lagi bermakna. Apa yang cantik di mata, rupa-rupanya gagal diterima oleh tekak.
Begitulah hakikat manusia.
Kita sering tertipu dengan bungkusan, sehingga lupa untuk memeriksa isi di dalamnya.
Dalam tradisi melayu, ada pepatah yang sangat mendalam: “Bangkai gajah dapatkah disorokkan dengan nyiru?”
Sesuatu yang besar dan nyata seperti niat yang buruk atau pekerti yang hambar mustahil dapat disembunyikan buat selama-lamanya dengan sesuatu yang kecil.
Walau betapa hebat sekalipun kita cuba berselindung di sebalik kata-kata manis, ekspresi muka yang disusun, atau penampilan yang kacak, kebenaran itu lambat-laun akan menembusi celah-celah “nyiru” kepura-puraan kita.
Haruki Murakami pernah menulis tentang topeng yang kita pakai setiap hari:
“Always remember that everybody has a secret world inside of them. All of us are wearing masks, and we only show people what we want them to see.”
Persoalannya, sampai bila kita mampu bertahan dengan topeng tersebut sebelum ia mulai retak?
Jika kita jujur pada diri sendiri, ada tiga sebab utama mengapa kita takut menonjolkan niat sebenar:
- Takut ditolak. Kita risau andai niat kita diketahui, orang tidak lagi akan menerima kehadiran kita.
- Bimbang ia melukakan. Kita takut kejujuran kita akan merobek hati seseorang yang kita sayangi.
- Ada matlamat terselindung. Ini yang paling bahaya. kita takut niat kita terbongkar sebelum kita berjaya memiliki apa yang kita hajati.
Namun, memoles wajah dan penampilan tanpa memperelok tabiat adalah satu usaha yang sia-sia.
Apabila warna sebenar kita terbongkar, ketampanan dan kejelitaan itu tidak akan bermakna apa-apa lagi di mata orang yang telah kita kecewakan.
Apa yang kita katakan hari ini mungkin akan menjadi benih harapan dalam hati seseorang.
Dan alangkah malangnya jika harapan itu rupa-rupanya tidak seindah kenyataan.
Apabila kita berselindung di sebalik janji yang kosong, kita bukan sahaja melukakan orang lain, tetapi kita sebenarnya sedang menghancurkan maruah diri sendiri. Kebenaran yang pahit itu jauh lebih baik daripada penipuan yang manis.
Imam Al-Ghazali pernah memberikan satu peringatan yang sangat mendalam tentang hati:
“Hati itu adalah raja, manakala anggota badan adalah tenteranya. Jika rajanya baik, maka baiklah tenteranya. Jika rajanya buruk, maka buruklah tenteranya.”
Dalam sejuta wajah yang kita temui, kepercayaan itu tidak seharusnya diletakkan pada penglihatan semata-mata.
Mata boleh tertipu oleh solekan dan hiasan, tetapi hati yang jernih akan sentiasa mampu menghidu “rasa” yang sebenar.
Mari kita mula berhenti daripada hanya sibuk menghias “krim” di permukaan, dan mula memberi tumpuan kepada “rasa” di dalam hati.
Perelokkanlah niat dan sifat, kerana itulah yang akan menentukan sama ada kehadiran kita memberi zat kepada orang lain, atau sekadar menjadi sajian indah yang akhirnya dimuntahkan kembali.
Lihatlah dunia dengan hati, bukan hanya dengan mata.
Kerana mata hanya melihat bayang-bayang, tetapi hati melihat hakikat.
