Ramai orang berkata, “masa adalah wang“.
Tetapi ia tidaklah begitu tepat.
Sebenarnya, masa adalah KEHIDUPAN.
Imam Hassan al-Banna berkata:
Sesiapa yang tahu nilai sebenar masa akan tahu tentang hidup itu sendiri kerana masa adalah kehidupan.”
Kata-kata lain daripada Abu Bakr bin Ayyash yang berkata:
Sekiranya satu dirham tercicir daripada tangan salah seorang daripada mereka, kamu akan dapati seseorang itu akan merungut tentangnya sepanjang hari, ‘Dirhamku hilang’. Tapi apabila dia membazirkan masanya berjam-jam, dia tidak pernah pula berkata, ‘Oh hidupku telah hilang!”
Bagi memahami nilai masa, kita mesti menghargainya terlebih dahulu.
Dan untuk menghargai, kita mesti memahami perkara-perkara yang berikut:
1. Masa adalah kurniaan daripada Allah
Allah berfirman dalam al-Quran:
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
— Surah al-Israa ayat 12
Pertukaran siang dan malam ini merupakan satu peringatan daripada tuhan bahawa tiada apa yang kekal dan putaran ini tidak akan berhenti.
Jadi ini sepatutnya menjadikan kita lebih bersyukur untuk masa yang diberikan kepada kita dan kita tidak patut sewenang-wenangnya membiarkan masa berlalu dengan begitu sahaja.
2. Masa tersangatlah penting sehingga Allah bersumpah dengannya di dalam al-Quran
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
— Surah al-‘Asr ayat 1-3
Imam Fakhr al-Din al-Razi berkata ketika menerangkan makna ayat-ayat ini:
Allah bersumpah dengan asr – iaitu masa – kerana kehebatannya kerana di dalamnya berlaku perkara yang baik dan buruk, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kemiskinan, dan kerana nilainya serta betapa berharganya ia sehingga tidak dapat diukur dengan suatu apa pun yang lain.
3. Dua kurniaan yang ramai orang hilang
Kesihatan dan waktu lapang untuk berbuat perkara yang baik
Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah memberi komentar tentang hadis ini dalam bukunya The Value of Time dengan berkata:
Masa adalah kurnian yang berharga dan hadiah yang hebat, yang nilainya hanya dicapai dan dimanfaatkan oleh orang-orang yang berjaya dan diberikan petunjuk, seperti yang ditunjukkan dalam hadis yang mulia, ‘ramai orang hilang (kurniaan itu)’ yang bermaksud bahawa hanya sedikit orang yang mendapat manfaat daripadanya, sedangkan kebanyakkan orang hanyalah membazirkan maa dan menjadi rugi.
Dalam Madarij al-Salikin, Ibn al-Qayyim bercakap mengenai penyesalan kerana masa yang hilang:
Kerana orang yang bijaksana adalah orang yang sedar tentang masanya; jika masanya hilang, maka dia akan hilang segala minatnya kerana minat diperoleh daripada masa, dan apabila masa hilang, ia tidak akan dapat diperoleh semula”
Masa yang diberikan kepada kita di dunia ini adalah adalah keseluruhan masa yang kita ada untuk menanam benih-benih perbuatan baik dengan harapan kita akan menuai ganjaran kebaikan di akhirat.
Masa ini terhad dan tidak boleh diulang semula, ditukar atau diberikan kepada orang lain.
Ia adalah permainan yang merugikan melainkan kita memanfaatkan masa sepenuhnya.
Masa adalah berkaitan diberikan taufik, kejayaan atau kebolehan, untuk menyedari tentang nilai masa.
- Hargai nilai masa:
Kita sedar tentang betapa berharganya masa dan bagaimana mudahnya ia berlalu.
Sebaik sahaja ia pergi, ia tidak akan datang kembali.
- Bertindak segera (sense of urgency):
Jangan fikir bahawa kita ada banyak masa atau kita bertangguh-tangguh untuk melakukan sesuatu perkara sehingga kita mencecah umur tertentu — mulakan sekarang!
Laburkan Masa Untuk Berkhidmat Kepada Allah
Beberapa tahun dahulu, dua orang pelajar Muslim yang sama bijak dan berkaliber diterima masuk ke universiti untuk memulakan pengajian ijazah sarjana muda.
Kedua-duanya mengambil kelas yang sama dan mempunyai akses yang sama terhadap semua fasiliti.
Namun, salah seorang daripada mereka mendedikasikan banyak masanya untuk berkhidmat kepada orang-orang Islam di kampus melalui Persatuan Pelajar Muslim di universiti tersebut.
Dia juga melakukan pelbagai aktiviti sukarela.
Manakala seorang lagi membuat keputusan untuk tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti begitu dan hanya fokus kepada pelajaran.
Hasilnya?
Empat tahun kemudian, kedua-duanya bergraduasi dengan ijazah yang sama dengan markah yang lebih kurang sama.
Perbezaannya adalah pelajar yang mendedikasikan masanya untuk berkhidmat kepada sahabat handai dan aktif dalam komuniti ini memiliki lebih banyak pengalaman yang memberikannya pelbagai peluang yang lebih menarik.
Ini adalah contoh biasa berkaitan nilai dan manfaat melaburkan masa untuk berkhidmat kepada Allah dan mendapat keberkatan daripadanya.
Kita harus tahu yang Allah adalah Pemilik Masa dan tanpa keizinan-Nya, tiada apa yang dapat dilakukan.
Jadi melaburkan masa kita untuk berkhidmat kepada-Nya tidak akan sesekali menjadi suatu pembaziran, bahkan sepatutnya menjadi keutamaan dalam kehidupan kita.
Pelaburan ini mempunyai banyak bentuk, termasuklah:
- Beribadah
- Memberi kesedaran tentang Islam
- Berkhidmat kepada komuniti
- Membantu kemanusiaan
- Audit Masa
Dengan kertas dan pen di tangan, kira berapa banyak masa yang telah kita laburkan dalam berkhidmat kepada Allah untuk sepanjang hari
Tambahkan semua aktiviti yang dirasakan sebahagian daripada pelaburan ini sebagaimana yang disebutkan tadi, dan lihat bagaimana kita boleh menambah pelaburan in pada masa hadapan.
- Perbaharui Niat
Jangan lepaskan peluang untuk menjadikan aktiviti harian sebagai ibadah – hanya perlu berniat dengan betul.
Contohnya, kerja boleh menjadi ibadah sekiranya kita berniat untuk mendapatkan gaji yang halal dan jika kita jujur serta amanah dalam semua urusan kita.
Cabarannya bukan pada mencari masa untuk beribadah kepada Allah, tetapi menyedari bahawa kita berada di dunia ini untuk menyembahNya.
Jadi, seboleh-bolehnya setiap aktiviti yang kita lakukan itu dikaitkan dengan konsep ibadah yang luas dalam Islam.
Masa Dunia VS Masa Akhirat
Bila berbicara tentang masa kita di dunia ini, ketahuilah yang ia adalah terhad dan kita tidak tahu bila ia akan berakhir.
Bandingkan masa di dunia ini dengan keabadian di akhirat dan kita akan mula sedar bahawa 60, 70, 80 atau 90 tahun kehidupan yang kita jalani di dunia ini tidak bernilai apa pun.
Umpama satu titik air di lautan luas.
Apabila kita menyedari perkara ini, ia akan memaksa kita untuk menyusun keutamaan kita agar selari dengan redha Allah.
Ia adalah suatu nikmat bahawa sebagai Muslim, kita percaya bahawa ada kehidupan selepas akhirat.
Ini menjadikan masa kita di atas dunia ini lebih bermakna.
Namun adakala kita terlupa bahawa kita di sini sekejap sahaja tetapi kita merancang seolah-olah kita akan hidup selamanya.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
Apakah hubungan yang aku ada dengan dunia ini? Aku dalam dunia ini ibarat penunggang yang berhenti seketika di bawah teduhan pokok, dan selepas berehat sebentar, menyambung perjalanannya meninggalkan pokok itu dibelakang.”
— Ahmad dan Tirmizi
Untuk memberikan contoh moden tentang makna hadis ini, bayangkan kita pergi ke lapangan terbang dan menunggu penerbangan kita.
Amatlah kurang cerdik jika kita mula membina rumah kekal di situ kerana penerbangan kita akan berlepas pada bila-bila masa dan kita akan meninggalkan segalanya.
Orang akan berhujah bahawa jika kita terlalu dikuasai pemikiran sebegini, kita akan berputus asa daripada mencapai apa jua perkara dalam kehidupan.
Tidak perlu begitu.
Contohnya ada pada diri Rasulullah SAW dan sahabat baginda.
Mereka mencapai banyak perkara hebat dalam hidup mereka dan ini menunjukkan wujudnya keseimbangan.
Mereka tidak semata-mata memencilkan diri di tempat ibadah yang sunyi sambil menunggu mati; mereka aktif dan menjadi warga dunia yang produktif.
Menyedari tentang hakikat masa dunia yang akan berlalu dan keabadian akhirat adalah konsep kunci untuk menggandakan masa spiritual kita.
- Fast Forward Technique
Sesekali, saya akan membuat latihan mental dengan bertanyakan soalan: Di mana saya akan berada setahun daripada sekarang?
Apa yang bakal saya capai? Siapa yang akan berada dengan saya?
Bagaimana agaknya keadaan orang atau barang yang saya anggap tidak penting sekarang pada waktu itu?
Saya mengulangi latihan ini untuk lima tahun, 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun dan 40 tahun.
Akhirnya, saya bayangkan yang saya sedang berdiri di hadapan Allah bagi menjawab pertanyaan-Nya tentang kesemua tahun yang telah saya bayangkan tadi.
Latihan ini tidak pernah gagal untuk memaksa saya bingkas bangun dan bertindak.
Ia adalah latihan praktikal untuk menyedari masa dunia kita dan bagaimana ia berhubung dengan masa akhirat kita.
Artikel ini dipetik daripada buku The Productive Muslim tulisan Mohammed Faris.
Tinggalkan Komen Anda..