Feel-Good Productivity Bab 3: Manusia Sebagai Sumber Tenaga (People)

Feel-Good Productivity Bab 3 (People)

Apabila kita bercakap tentang produktiviti, kita sering membayangkannya sebagai satu perjuangan yang sangat peribadi. Kita fikir soal fokus, disiplin, dan kemajuan hidup bergantung terutamanya kepada kekuatan diri sendiri. Kita menyusun jadual, membina rutin, memuat turun aplikasi, dan cuba menjadi lebih cekap seorang diri.

Namun, ada satu hakikat yang mudah kita lupa: kita bukan hidup bersendirian.

Ramai antara kita boleh mengingat dengan jelas bahawa ada orang tertentu yang, setiap kali kita berbual atau bekerja bersama mereka, kita pulang dengan hati yang lebih ringan, fikiran yang lebih segar, dan semangat yang entah bagaimana terasa hidup kembali.

Ada juga orang yang memberi kesan sebaliknya. Selepas berinteraksi dengan mereka, dada terasa berat, kepala menjadi kusut, dan tenaga seolah-olah habis tanpa kita sedari.

Di sinilah muncul satu konsep penting yang dibawa dalam bab ini, iaitu tenaga hubungan (relational energy).[1]

Maksudnya mudah: hubungan dengan orang lain bukan sekadar memberi kesan kepada emosi kita, tetapi juga kepada tahap fokus, motivasi, dan keupayaan kita untuk bertindak.

Ada orang tertentu membuat kita rasa lebih hidup. Ada juga sesetengah orang yang membuat kita cepat letih.

Produktiviti, rupa-rupanya, bukan hanya soal apa yang ada dalam diri kita. Ia juga sangat dipengaruhi oleh siapa yang ada di sekeliling kita.

Persoalannya, bagaimana kita mahu membina hubungan yang menghidupkan, bukannya mengeringkan tenaga batin kita?

Berikut ialah tiga jalan utama yang boleh kita gunakan.

Nota Penulis

Tulisan ini lahir daripada kefahaman, pembelajaran, dan pengolahan saya terhadap Bab 3, “People”, dalam buku Feel-Good Productivity karya Ali Abdaal. Inti utama daripada bab tersebut saya susun semula dan saya huraikan kembali dalam bahasa yang lebih mudah difahami dan dihayati.

Untuk gambaran yang lebih menyeluruh tentang buku ini, saya sudah himpunkan inti utamanya dalam tulisan Kena Gembira Dulu, Barulah Produktif! Ini Apa Saya Belajar Dari Buku Ali Abdaal.

Jika mahu membaca bahagian sebelumnya, saya sudah huraikan Bab 2 dalam tulisan Feel-Good Productivity Bab 2: Memperkasakan Diri Sendiri (Power).

1. Cari Lingkungan Kita (Find Your Scene / Scenius)

Ada satu mitos yang sangat kuat dalam budaya moden: mitos bahawa orang hebat lahir dan berjaya secara bersendirian.

Kita membayangkan seorang genius duduk seorang diri di dalam bilik, lalu menghasilkan sesuatu yang luar biasa tanpa bergantung kepada sesiapa.

Namun, realiti selalunya tidak begitu.

Banyak karya besar, idea besar, dan lonjakan besar dalam hidup seseorang sebenarnya lahir daripada suasana yang subur, iaitu satu circle yang hidup, yang saling mencabar, saling menyokong, dan saling menolak antara satu sama lain untuk berkembang.

Inilah yang disebut oleh Brian Eno sebagai scenius, iaitu bukan genius yang lahir sendirian, tetapi kecemerlangan yang tumbuh daripada sebuah “scene” atau ekosistem manusia yang tepat.[2]

Maksudnya, kadangkala perkara yang kita perlukan bukanlah lebih banyak motivasi, tetapi lingkungan yang betul.

Salah satu cara paling mudah untuk membina tenaga hubungan ialah dengan mengubah cara kita melihat orang di sekeliling kita.

Ramai orang bekerja dalam suasana yang membuat mereka sentiasa berjaga-jaga.

Rakan sekerja dilihat sebagai pesaing. Kawan sekuliah dilihat sebagai orang yang mungkin memotong peluang kita. Orang lain menjadi ancaman, bukan teman seperjalanan.

Cara pandang seperti ini sangat meletihkan.

Sebaliknya, cuba lihat orang di sekeliling kita sebagai rakan seperjuangan.

Bukan kerana kita sentiasa membuat tugas yang sama, tetapi kerana kita sebenarnya sedang menghadapi medan hidup yang sama: tekanan, deadline, keletihan, kekeliruan, dan harapan untuk menjadi lebih baik.

Apabila kita melihat orang lain sebagai rakan seperjalanan, sesuatu berubah dalam diri kita.[3]

Beban terasa sedikit lebih ringan. Kita tidak lagi bekerja dalam suasana psikologi yang sunyi. Kita mula merasakan bahawa perjuangan ini bukan milik kita seorang.

Bayangkan seorang guru yang mengurus kelas, fail, mesyuarat, dan pelbagai urusan sekolah.

Jika dia melihat guru lain hanya sebagai pembanding atau pesaing, hari-harinya akan cepat menjadi berat.

Tetapi jika dia melihat mereka sebagai orang-orang yang juga sedang berusaha bertahan dan memberi yang terbaik, suasana kerja menjadi berbeza.

Sedikit sokongan, sedikit kefahaman, dan sedikit rasa “kita sama-sama sedang melaluinya” kadangkala sudah cukup untuk mengubah seluruh nada sesuatu hari.

Selain rasa kebersamaan, kita juga memerlukan rentak kebersamaan.

Ada sebab mengapa bekerja di perpustakaan, kafe, atau ruang kerja bersama kadangkala terasa lebih mudah daripada bekerja seorang diri di rumah.

Kehadiran orang lain yang juga sedang memberi tumpuan mencipta satu bentuk tenaga yang sukar dijelaskan, tetapi mudah dirasakan.

Dalam bab ini, Ali membawa idea synchronicity, iaitu keadaan apabila kita bekerja seirama dengan orang lain, walaupun tidak semestinya mengerjakan tugasan yang sama.

Apabila kita “in sync” dengan orang lain, kita cenderung untuk menjadi lebih fokus, lebih tekun, dan lebih bertenaga.[4]

Dalam konteks hidup harian kita, ini boleh berlaku dalam banyak bentuk.

Mungkin kita menulis sambil kawan kita juga sedang menyiapkan kerja masing-masing. Mungkin kita menyertai sesi kerja senyap secara maya.

Mungkin kita hanya duduk bersama seseorang di meja makan, masing-masing membuat hal sendiri, tetapi kehadiran itu cukup untuk menahan kita daripada hanyut ke media sosial atau rasa malas.

Kadangkala, kita tidak perlukan bantuan besar. Kita cuma perlukan seseorang yang “hadir” bersama kita dalam rentak yang sama.

2. Rasai Kepuasan Membantu (Feel the Helper’s High)

Satu lagi cara manusia menjadi sumber tenaga ialah melalui perbuatan memberi.

Ramai orang berfikir bahawa membantu orang lain hanya menambah beban. Tenaga kita sendiri pun tidak cukup, apatah lagi mahu memikirkan hal orang lain.

Tetapi bab ini menunjukkan sesuatu yang menarik: dalam banyak keadaan, memberi bantuan sebenarnya tidak menghabiskan tenaga kita. Sebaliknya, ia boleh menghidupkannya.

Inilah yang disebut sebagai helper’s high.[5]

Apabila kita membantu orang lain, bukan sahaja orang itu mendapat manfaat, tetapi diri kita sendiri juga sering pulang dengan rasa yang lebih baik.

Hati terasa lebih lapang. Diri terasa lebih berguna.

Dan anehnya, tenaga yang kita sangka akan habis kadangkala datang kembali dengan lebih banyak.

Kita tidak perlu menunggu peluang besar untuk merasai kesan ini.

Kadangkala, kebaikan yang paling kecil pun cukup untuk mengubah suasana hari.

Membancuhkan minuman untuk rakan yang nampak penat. Menghulurkan bantuan yang tidak diminta. Mengucapkan terima kasih dengan sungguh-sungguh. Memberi laluan kepada orang lain ketika kita tahu mereka sedang tergesa-gesa.

Perkara-perkara ini nampak remeh. Tetapi kesannya selalunya tidak remeh.

Bayangkan seorang pekerja pejabat yang melihat rakannya diam dan kusut di meja kerja. Dia tidak menyampaikan ceramah, tidak memberi nasihat yang panjang.

Dia cuma bertanya, “Nak saya tolong tengok apa-apa tak?”

Kadangkala satu ayat yang sederhana seperti itu sudah cukup membuat seseorang rasa tidak keseorangan.

Begitu juga dalam keluarga. Ada hari-hari tertentu apabila pasangan kita, anak-anak kita, atau ibu bapa kita kelihatan lebih penat daripada biasa.

Pada saat begini, satu bantuan kecil yang datang tanpa diminta boleh terasa jauh lebih besar daripada nilainya yang zahir.

Kebaikan kecil tidak selalu mengubah hidup seseorang. Tetapi ia sering mengubah nada sesuatu hari.

Dan kadangkala, itu sudah sangat besar.

Menariknya, bab ini juga menunjukkan bahawa bukan hanya memberi bantuan yang menghidupkan tenaga. Meminta bantuan dengan cara yang betul juga boleh mengeratkan hubungan.

Ramai antara kita sukar meminta tolong. Kita takut kelihatan lemah, takut menyusahkan, atau takut ditolak. Kita lebih rela memikul semuanya sendiri walaupun jelas kita sedang kepayahan.

Tetapi dalam banyak keadaan, ketakutan itu dibesar-besarkan oleh fikiran kita sendiri.

Manusia, secara umumnya, lebih suka membantu daripada yang kita sangka.[6]

Apabila kita meminta bantuan dengan jujur dan penuh hormat, kita sebenarnya memberi ruang kepada orang lain untuk merasa berguna, dihargai, dan diperlukan.

Dalam bahasa mudah, kita bukan semata-mata menerima pertolongan; kita juga sedang membuka ruang untuk satu hubungan yang lebih manusiawi.

Yang penting ialah cara kita meminta.

Permintaan yang baik bukanlah permintaan yang berat sebelah atau manipulatif. Ia datang dengan kejujuran, jelas, dan penghargaan.

Daripada berkata, “Maaf ganggu, saya rasa segan nak tanya…”, lebih baik kita berkata, “Saya nampak tuan memang mahir dalam hal ini. Saya sangat hargai kalau tuan boleh kongsi sedikit pandangan.”

Apabila seseorang merasakan bahawa kita benar-benar menghargai kebolehan mereka, mereka lebih mudah membuka hati untuk membantu.

3. Berkomunikasi Lebih Daripada Yang Kita Sangka Perlu (Overcommunicate)

Banyak tenaga dalam hubungan manusia hilang bukan kerana kebencian, tetapi kerana komunikasi yang terlalu sedikit.

Kita menyangka orang lain sudah faham. Kita menganggap kita sudah cukup jelas. Kita rasa penghargaan kita sudah tersampai. Kita fikir teguran kita sudah boleh dibaca tanpa perlu disebut.

Selalunya, tanggapan itu tidak tepat.

Dalam bab ini, Ali menegaskan bahawa apabila kita rasa kita sudah cukup berkomunikasi, besar kemungkinan sebenarnya kita masih belum cukup.

Itulah sebabnya beliau mengangkat idea overcommunicate, iaitu bukan dalam erti kata bercakap tanpa henti, tetapi secara sengaja berkomunikasi lebih banyak daripada apa yang kita sangka perlu.

Salah satu bentuk komunikasi yang paling diabaikan ialah respons kita terhadap berita baik orang lain.

Apabila seseorang berkongsi kegembiraan, ramai antara kita memberi respons yang terlalu minimum. Kita ucap tahniah, tetapi hati kita tidak benar-benar hadir. Kita membalas, tetapi tanpa rasa.

Sedangkan saat seperti itu sebenarnya ialah peluang besar untuk mengeratkan hubungan.

Respons yang paling menghidupkan bukanlah respons yang pasif, tetapi respons yang aktif dan membina.[7]

Maksudnya, apabila seseorang berkongsi berita baik, kita bukan sekadar berkata, “Tahniah.”

Kita berhenti sejenak. Kita ikut meraikan. Kita bertanya. Kita tunjukkan bahawa kita faham usaha yang membawa kepada berita itu.

Contohnya, jika seorang rakan berjaya mendapat kerja baru, kita boleh berkata, “Alhamdulillah, ini memang berita yang menggembirakan. Saya tahu betapa lama awak berusaha untuk sampai ke tahap ini.”

Respons seperti ini bukan sekadar memuji hasil. Ia mengiktiraf perjalanan.

Dan apabila orang rasa perjalanan mereka dilihat, hubungan akan menjadi lebih erat.

Namun, hubungan yang sihat bukan hanya dibina dengan meraikan berita baik. Ia juga memerlukan keberanian untuk menyampaikan perkara yang tidak sedap didengar.

Inilah bahagian yang paling sukar bagi ramai orang.

Ada yang terlalu menjaga hati sehingga memilih untuk berdiam diri walaupun sesuatu jelas perlu diperbetulkan.

Ada juga yang terlalu keras lalu menyampaikan teguran dengan cara yang melukakan. Kedua-duanya merosakkan tenaga hubungan.

Bab ini membawa satu idea penting daripada Kim Scott, iaitu Radical Candor. Intinya mudah tetapi sukar dilakukan: kita perlu benar-benar mengambil berat tentang seseorang, sambil tetap berani bercakap secara langsung apabila perlu.[8]

Teguran yang baik bukan teguran yang menghina. Ia juga bukan teguran yang tidak jelas.

Teguran yang baik jelas, spesifik, dan berpijak pada fakta. Ia tidak menyerang maruah seseorang, tetapi menunjukkan dengan jujur apa yang perlu diperbaiki.

Pada masa yang sama, ia disampaikan dengan sopan dan semangat untuk membantu, bukan untuk menjatuhkan.

Dalam kehidupan seharian, ini boleh berlaku dalam banyak bentuk.

Seorang ketua pasukan boleh berkata, “Bahagian ini bagus, tetapi laporan ini lambat dua hari dan itu memberi kesan kepada kerja orang lain. Jom kita fikirkan macam mana proses ini boleh diperbaiki.”

Seorang kawan juga boleh menegur dengan kasih, bukan dengan sindiran yang memalukan.

Kejujuran yang disampaikan tanpa kasih akan terasa kejam. Sebaliknya, kasih tanpa kejujuran akan membiarkan orang terus tersilap.

Hubungan yang sihat memerlukan kedua-duanya.

Kesimpulan

Produktiviti bukan sekadar soal disiplin peribadi. Ia juga sangat ditentukan oleh orang yang hidup di sekeliling kita.

Ada orang yang, hanya dengan kehadiran mereka, membuat kita ingin menjadi versi diri yang lebih baik. Ada juga orang yang membuatkan semangat kita cepat susut, fokus menjadi kabur, dan emosi mudah letih.

Sebab itu, menjadi lebih produktif bukan hanya bermaksud mengurus masa dengan baik. Ia juga bermaksud mengurus lingkungan, bantuan, dan komunikasi dengan lebih bijaksana.

Kita memerlukan lingkungan yang membuat kita rasa tidak keseorangan. Kita memerlukan pendekatan membantu yang melembutkan hati dan menghidupkan tenaga.

Kita memerlukan komunikasi yang lebih hadir, lebih jelas, dan lebih ikhlas daripada apa yang selama ini kita sangka sudah mencukupi.

Akhirnya, manusia bukanlah gangguan kepada produktiviti kita.

Dalam banyak keadaan, manusialah yang menentukan sama ada hidup kita terasa lebih berat, atau lebih hidup.

Nota kaki

  1. Dalam bab ini, relational energy dihuraikan sebagai kesan interaksi manusia terhadap emosi, motivasi, dan rasa berdaya. Abdaal merujuk kajian Rob Cross, Wayne Baker, dan Andrew Parker (2003) tentang energy map, yang menunjukkan bahawa dalam organisasi besar pun, wujud persetujuan yang jelas tentang siapa yang menjadi energiser dan siapa yang menjadi drainer. ↩︎
  2. Bahagian ini bertolak daripada idea Brian Eno tentang scenius, iaitu kecemerlangan yang lahir daripada suasana kolektif yang hidup. Dalam bab ini, Abdaal menunjukkan bahawa banyak lonjakan kreatif tidak lahir dalam pengasingan, tetapi dalam komuniti yang saling mencabar dan saling menghidupkan. ↩︎
  3. Dalam huraian tentang The Comrade Mindset, teamwork dijelaskan bukan sekadar cara membahagi tugas, tetapi juga satu keadaan psikologi. Bab ini merujuk kajian Gregory Walton dan Priyanka Carr (2014), yang menunjukkan bahawa isyarat kecil bahawa kita “bekerja bersama” boleh meningkatkan rasa terlibat dan dorongan untuk berusaha. ↩︎
  4. Bab ini merujuk kajian tentang synchrony yang menunjukkan bahawa bergerak atau bekerja seirama dengan orang lain boleh meningkatkan rasa kebersamaan, keinginan untuk membantu, dan tenaga untuk terus fokus. Abdaal juga membawa contoh London Writers’ Salon sebagai bentuk co-working yang membantu beliau kekal bertenaga. ↩︎
  5. Bahagian ini dibina daripada pemerhatian Allan Luks terhadap para sukarelawan Big Brothers Big Sisters of New York City. Luks mendapati bahawa membantu orang lain sering membuat sukarelawan berasa lebih bahagia, lebih dipenuhi makna, dan lebih bertenaga; 95 peratus daripada mereka melaporkan kesan positif seperti itu. ↩︎
  6. Dalam bab ini, Abdaal merujuk kajian Francis Flynn dan Vanessa Bohns yang menunjukkan bahawa manusia cenderung meremehkan kebarangkalian orang lain akan bersetuju untuk membantu. Beliau juga menegaskan bahawa meminta bantuan secara bersemuka lazimnya jauh lebih berkesan berbanding sekadar melalui emel. ↩︎
  7. Bahagian ini merujuk konsep capitalisation, iaitu apabila berita baik yang dikongsi disambut dengan respons yang aktif dan membina. Dalam bab ini, Abdaal menghuraikan bahawa respons seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan, tetapi juga menambah tenaga positif kepada kedua-dua pihak. ↩︎
  8. Kim Scott membezakan antara sekadar “jujur” dengan “candid”. Dalam Radical Candor, komunikasi yang baik memerlukan dua unsur serentak: benar-benar mengambil berat secara peribadi, dan tetap berani mencabar isu secara langsung apabila perlu. ↩︎

Leave a Comment