Keadilan Waktu

Keadilan Waktu

Pernahkah kita terfikir, alangkah indahnya jika kita mempunyai kuasa untuk mengawal masa?

Kita mungkin bukan penggemar tegar filem adiwira, tetapi kita pasti pernah mendengar tentang watak yang bebas melompat ke masa hadapan atau kembali ke masa silam sesuka hati.

Bagi kita yang sering dirundung ragu, kuasa sebegitu nampak seperti jalan keluar yang paling sempurna.

Andai kita tidak pasti tentang sesuatu keputusan, kita hanya perlu menjengah ke masa hadapan untuk melihat hasilnya. Andai kita tersilap langkah, kita hanya perlu berpatah balik untuk membetulkan segalanya.

Namun, semakin kita merenung, semakin kita sedar: Ketidakmampuan kita mengawal masa sebenarnya adalah sebuah rahmat yang tersembunyi.

Jika kita sudah tahu apa yang bakal terjadi esok, di manakah letaknya erti sebuah harapan?

Ketidaktahuan kita tentang masa hadapan adalah ruang di mana Tawakkal itu bernafas.

Kerana kita tidak tahu, maka kita dipaksa untuk melakukan yang terbaik hari ini.

Kerana kita tidak tahu, maka kita belajar untuk menyerahkan segala urusan yang di luar jangkauan kepada-Nya selepas keringat kita tumpah berusaha.

Soren Kierkegaard pernah menulis satu sisi pandang mengenai hal ini:

(Hidup hanya boleh difahami dengan memandang ke belakang; tetapi ia mestilah dijalani dengan memandang ke hadapan.)

Kita tidak perlu menjadi Tuhan untuk mengatur masa.

Kita hanya perlu menjadi manusia yang cukup berani untuk melangkah ke dalam kabus masa hadapan dengan keyakinan bahawa Tuhan tidak akan pernah melepaskan tangan kita.

Kita Terbina Daripada Reruntuhan

Ada sebahagian daripada kita yang menghabiskan seumur hidup meratapi kesilapan semalam. Kita mahu kembali ke masa lalu untuk memadam parut yang kita cipta sendiri.

Tetapi, sedarkah kita manusia itu bukan hanya terbentuk daripada deretan kejayaan yang gemilang.

Kita juga terbina daripada serpihan kesalahan, daripada air mata penyesalan, dan daripada proses bangkit semula yang meletihkan.

Tanpa kesilapan, kita tidak akan kenal apa itu “ego”. Tanpa kegagalan, kita tidak akan tahu apa itu “rendah hati”.

Hidup memerlukan keseimbangan.

Kita perlu belajar menerima bahawa ada perkara yang tidak dapat kita ubah, supaya kita boleh menumpukan tenaga untuk mengubah perkara yang masih dalam genggaman.

Waktu itu adil. Ia tidak menunggu kita sedia, dan ia tidak berpatah balik untuk sesiapa.

Kita mungkin tidak boleh mengawal kelajuan jarum jam, tetapi kita mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang mahu kita lakukan dengan ruang yang ada sekarang.

Setiap saat yang berlalu adalah peluang untuk bermula semula. Untuk kembali memilih, untuk melakar masa depan yang lebih baik, dan untuk mencari apa yang sepatutnya menjadi milik kita.

Buya Hamka pernah berpesan:

Kita tidak perlukan kuasa adiwira untuk menjadi luar biasa.

Kita hanya perlukan keberanian untuk menerima hakikat bahawa kita adalah manusia yang lemah, yang sentiasa tersilap, namun sentiasa diberi peluang oleh Tuhan untuk memulakan lembaran baru.

Jangan lagi bertengkar dengan masa lalu yang sudah membatu.

Mari kita gunakan waktu yang tersisa ini untuk membuktikan bahawa walaupun kita tidak boleh memutar waktu, kita mampu menjadikan setiap saat yang ada sebagai sebuah ibadah yang bermakna.

Kerana pada akhirnya, bukan berapa lama kita hidup yang akan ditanya, tetapi bagaimana kita memilih untuk menghabiskan “sekarang” yang dipinjamkanNya..

Tinggalkan Soalan / Komen