7 Teknik Menggayakan Gewang Selaman Secara Berkesan!

teknik casting menggayakan gewang
Caster idola seluruh dunia, Gong Lei

Pernah menyesal membeli sesuatu gewang?

Biasanya gewang yang ada dipasaran telah mempunyai aksi renangan built-in (sedia ada).

Tetapi malangnya, terdapat juga sesetengah gewang yang tidak mempunyai sebarang aksi bila dikarau secara biasa.

Bila ini berlaku, pastinya ia sangat mengecewakan kerana harga gewang bukanlah murah.

Akhirnya gewang tersebut akan dibiarkan berhabuk atau berkarat sahaja di dasar kotak.

Tunggu dulu..

Jangan cepat putus asa, berikan gewang anda peluang kedua!

Sesuatu gewang selalunya dicipta dengan tujuan yang spesifik.

Sebagai contoh, gewang fast sinking seperti senses savior sangat killer bila dimainkan dengan teknik jerk, tetapi aksinya ‘mati’ bila kita lakukan karauan lurus.

Oleh itu, menjadi tugas kita untuk mencungkil apakah teknik sesuai dan terbaik untuk setiap gewang kita.

Disinilah pentingnya kita memahami aksi renangan gewang.

Artikel ini saya akan memaparkan beberapa kaedah menggayakan gewang (step-by-step) yang boleh anda lakukan untuk menjadikan gewang sebagai ‘senjata pembunuh’ anda.

Berminat? Jom kita bermula.

 

Kaedah #1: Karauan Lurus

teknik menggayakan gewang siakap merah

Karauan lurus adalah kaedah paling universal yang digunakan oleh pemancing diseluruh dunia.

Kaedah ini adalah ringkas dan permulaan yang bagus dalam sesuatu sesi pancingan untuk mengesan ikan yang sedang aktif.

Apabila ikan sedang aktif atau sedang feeding frenzy, mereka akan menyerang gewang yang kelihatan dan mempamerkan aksi seolah-olah mangsa sedang melepaskan diri.

Disinilah pentingnya untuk mengetahui tentang diet ikan buruan kita.

Memilih gewang yang serupa dengan diet mereka seperti belanak, seluang dan sebagainya, adalah kunci kejayaan.

 

Kaedah #2: Slow Rolling (Karauan Perlahan)

casting ikan kerapu

Jikalau anda bertembung dengan situasi yang mana sesuai untuk teknik ini, anda boleh mendapat ikan dengan mudah.

Saya selalu mengaplikasi kaedah ini untuk ikan yang suka menyerang hendap.

Satu perkara penting yang perlu anda ingat ialah tabiat buruan bagi pemangsa. Kebanyakan ikan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah, macam manusia juga.

Ini boleh diterangkan dari hubungkait antara penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi.

Jika penggunaan tenaga lebih besar diperlukan untuk mendapatkan makanan itu berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan terutama ikan besar tidak akan mengejar mangsanya dengan serius.

Ikan pemangsa jarang menyerang ikan kecil yang telah mengesan kehadirannya, atau ikan kecil yang mengekalkan jarak tertentu dari pemangsa.

Pemburuan di habitat semulajadi bukanlah mudah, kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi dan membazirkan banyak tenaga.

Oleh itu, ia tidak berbaloi dengan pelaburan tenaga yang bakal dilakukan.

 teknik menggayakan gewang secara slow rolling
Persembahan karauan gewang perlahan / slow rolling

Menurut Mr. Katsutaka Imae, pemancing uji bagi Evergreen menerangkan bahawa:

Apa yang pemangsa suka serang ialah tiga perkara;  iaitu aksi panik, aksi cedera dan aksi di mana ikan tidak perasan kehadiran pemangsa.

Karauan perlahan (slow rolling) gewang akan meniru yang ketiga, iaitu ikan yang cuai.

Ia adalah sasaran yang mudah bagi mereka. Ikan pemangsa pasti tidak akan melepaskan peluang ini.

Gewang macam mana yang sesuai?

Selalunya gewang katak berekor dan gewang minnow/crank yang mempunyai aksi wide wobbling (aksi renangan melebar) sangat killer dengan cara ini.

Soft Plastic (Z Man Minnow) juga sangat berkesan dengan kaedah ini terutamanya untuk memancing siakap.

 

Kaedah #3: Twitching & Jerking

Megabass Vision 110
Antara gewang jerkbait yang berkesan, Megabass Vision 110. Berbaloi setiap ringgit yang dilaburkan!

Biasanya gewang dari jenis jerkbait digunakan dalam kaedah ini.

Twitch dan Jerk; walaupun kedua kaedah ini kelihatan sama, tetapi terdapat sedikit perbezaan diantaranya. Mari saya huraikan perbezaan antara dua teknik ini.

 Twitch  adalah kaedah dimana selepas anda membuat lontaran, dan membuat karauan dengan joran dikekalkan dalam kedudukan mendatar, anda perlu menghenjut-henjut perlahan hujung joran.

Tujuannya adalah untuk memberi sedikit jentikan (twitch) kepada gewang. Gerakan joran menggunakan pergelangan tangan.

Ia akan memberikan aksi tidak normal kepada gewang anda, seolah-olah ikan mangsaan yang sedang cedera dan mencetus naluri ikan untuk menyambar gewang tersebut.

 Jerk  pula adalah kaedah yang lebih kurang twitch, tetapi henjutannya lebih kasar dan kuat. Ia akan memberikan aksi gewang yang lebih agresif.

Gerakan joran lebih menggunakan lengan dan bahu.

Pergerakan yang agresif ini akan membuatkan ikan menyerang untuk mempertahankan wilayah mereka dari penceroboh (gewang) atau menyerupai ikan yang cedera teruk.

Gewang yang mempunyai sisi yang rata (flat side) selalunya akan memberikan aksi darting yang sangat menarik bila digayakan dengan teknik twitch atau jerking ini.

Setiap kali selepas melakukan jerk atau twitch, hentikan gewang supaya timbul atau tenggelam mimik ikan sedang nazak hendak mati.

Devil Jerk & Twitch fishing style (Mr. Bombada Teru)

Kaedah ‘henjutan syaitan’ (devil’s jerk) ini menggambarkan teknik jerking yang dijalankan dengan sangat aggresif.

Dipopularkan oleh Mr. Teru (pemancing uji siri rod terkenal, Tulala) untuk memburu ikan gergasi diseluruh dunia terutamanya di sungai Amazon.

Tonton video diatas bagi melihat betapa efektifnya ia menjerat ikan.

 

Kaedah #4: Stop & Go

teknik menggayakan gewang secara stop & go

Kaedah ini sangat bagus untuk ikan sedang kurang aktif.

Selepas membuat balingan, karau dan berhenti. Selepas itu karau lagi dan berhenti lagi. Ulangi proses ini sehingga gewang sampai ke tebing atau bot.

Adalah penting untuk memberi perhatian kepada gewang semasa berhenti. Biasanya ikan akan menyerang semasa pause yang lama atau semasa gewang hendak mula bergerak kembali.

Sebagai tambahan, anda boleh membuat sedikit twitch untuk memprovokasi ikan supaya menyerang.

Secara ringkas:

Karau → berhenti (1-5 saat) → twitch perlahan (2-3 henjutan) → berhenti lagi → dan ulangi kembali

 

Kepentingan henti (pause)

Ketika ikan sedang aktif dan feeding frenzy, kaedah ini mungkin tidak perlu.

Walaubagaimana pun, ada masanya kita akan mengalami kesukaran untuk mencetuskan serangan ikan.

Dan salah satu sebabnya adalah kita ‘tidak memberikan masa yang cukup’ untuk ikan menyerang gewang.

Bila selalunya ikan tidak aktif?

Ia mungkin berlaku apabila suhu terlalu panas atau sejuk, tekanan udara (barometrik) yang tinggi, pasang surut lautan, fasa bulan, datang haid, putus cinta. >.<

Pendek kata, kita tidak pernah tahu bila ia akan terjadi.

Jadi, bila ikan tiada mood untuk mengejar gewang berenang laju, penyelesaiannya adalah memberi masa dengan hentikan karauan (pause).

Dengan memberhentikan karauan, ia akan memberikan peluang kepada ikan untuk lebih dekat dalam radius serangan.

Taktik ini selalunya akan mencetuskan serangan pemangsa yang menunggu gewang untuk berhenti atau memperlahankan renangan.

Oleh itu gewang bersifat suspending (keapungan neutral) sangat berkesan dengan teknik ini.

Walaupun begitu, ia juga berkesan digunakan dengan gewang terapung atau tenggelam.

 

Kaedah #5: Ripping (Tekan ke bawah)

teknik menggayakan gewang secara ripping
Joran direndahkan dan ditekan berulang kali ke bawah supaya gewang menyelam lebih dalam dan mengetuk reba.

Kaedah ripping ini akan membuatkan gewang menyelam lebih dalam.

Selalunya gewang beraksi tight wiggle dari jenis shad atau minnow lebih bagus untuk kaedah ini. Gewang lipless seperti Rapala Rattlin juga efektif.

Saya selalunya saya menggunakan kaedah ini dengan gewang selaman dalam seperti Ofmer x-deep supaya dapat pergi lebih jauh ke bawah dan mengetuk reba bagi mengejutkan ikan.

Bagaimana kaedah ini dilakukan?

Semasa membuat karauan, joran hendaklah ditekan/dihenjut ke bawah (gerakan dari atas ke bawah) secara menegak beberapa kali.

Joran yang lebih pendek (6 kaki ke bawah) akan banyak memudahkan kerja.

 

Kaedah #6: Pumping (Angkat ke atas)

teknik menggayakan gewang sinkingKaedah ini pula berlawanan dengan kaedah diatas (ripping).

Pergerakan dilakukan secara menegak juga, tetapi dari bawah ke atas.

Selepas membuat lontaran, rendahkan joran dan buat karauan. Kemudian hentikan karauan dan lakukan aksi pumping (angkat gewang dari dasar ke atas).

Karau tali yang kendur setiap kali selepas pumping.

Kaedah adalah serasi dengan gewang bersifat tenggelam (sinking), jig, sesudu, soft plastic dan gewang gemerincing seperti Rapala Rattlin.

Biasanya strike akan berlaku pada permulaan angkatan atau pada akhir dimana gewang berhenti.

 

Kaedah #7: Menggayakan Gewang Secara “Walking”

casting siakap
Gewang Zerek Barra-X. Perhatikan kesemua matakail 4X telah kangkang dihenjut ikan aggresif!

Walking adalah kaedah untuk menarik perhatian ikan keluar dari struktur tenggelam dengan melalukan gewang diatas reba tersebut supaya beraksi seperti ‘walk the dog‘ (walking) diatas atau beberapa inci dibawah permukaan air.

Gewang yang terbaik untuk kaedah ini adalah minnow selaman cetek jenis terapung yang mempunyai aksi wide wobbling seperti Zerek Barra-X.

Bagaimana kaedah ini dijalankan:

Baling gewang ke kawasan sasasan → angkat joran setinggi boleh ke atas → mulakan karauan yang perlahan supaya gewang berenang separa permukaan sehingga menimbulkan riak-riak air.

Aksi tergedik-tergedik di atas struktur tenggelam seperti ini selalunya akan menarik perhatian ikan seperti kelisa atau toman untuk melakukan strike.

Ia juga boleh dijadikan alternatif yang baik bila kita tiada gewang permukaan untuk digunakan.

 

 

Gunakan kebijaksaan anda menggayakan gewang

Sebenarnya tiada cara yang betul atau salah dalam menggayakan gewang.

Apa yang penting, setiap  pergerakan yang kita lakukan dengan gewang itu mampu mencetuskan tindakbalas serangan ikan.

Jika anda tidak pasti apa yang hendak dilakukan, anda boleh lakukan kaedah yang sudah terbukti berkesan diatas.

Semoga berjaya memburu ikan idaman!

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

8 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Didi
Didi
6 tahun yang lalu

Tuan saya ingun bertanya beberapa soalan..
1. Bolehkah teknik casting ini dilakukan pada malam hari terutama ditepi muara atau pantai (landbased).
2. Apakah Gewang yang sesuai digunakan pada waktu malam dari segi warna dan ciri-cirinya.?
Terima kasih

Awe
Awe
5 tahun yang lalu

biasa utk casting kita pki tali braided..perlu ker buar sambungan dgn tali fluro carbon utk leader

Didi
Didi
6 tahun yang lalu

Terima kasih ilmu tuan..saya baru nak menjinak2 dgn dunia memancing ni..

Haruan Hunter
Haruan Hunter
6 tahun yang lalu

Terbaek tuan!

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading