Bilakah Waktu & Lokasi Terbaik Menggunakan Gewang Permukaan?

lokasi terbaik gewang permukaan

Kita mungkin tertanya-tanya:

  • Dimanakah lokasi terbaik untuk menggunakan gewang permukaan?
  • Juga, apakah waktu yang paling efektif?

Seperti kita semua tahu, gewang permukaan adalah salah satu teknik yang berkesan untuk menggoda ikan.

Ikan pemangsa sentiasa memerhatikan kolum permukaan air.

Namun, tidak semua tempat dan waktu sesuai untuk menggunakan gewang permukaan.

Oleh itu, artikel ini akan cuba cover mengenai topik lokasi dan waktu terbaik untuk menggunakan gewang permukaan.

Mengenalpasti Lokasi Terbaik & Sesuai

Selalunya, gewang permukaan dimainkan di kawasan air cetek.

Kawasan cetek merupakan gelanggang perburuan pemangsa dan tempat ikan kecil bermain.

Ikan pemangsa selalunya akan mengawasi dan meninjau perairan cetek ini dari kawasan dalam.

Lokasi terbaik untuk melontar gewang topwater adalah disekitar:
  • Kawasan berbatu seperti jeram
  • Rumput tenggelam
  • Kayu tenggelam
  • Sepanjang tebing berumput
  • Kawasan pokok teratai
  • Bawah teduhan pokok
lokasi terbaik kawasan gewang permukaan
Kawasan sebegini biasanya menjadi tempat permainan yang sesuai untuk gewang permukaan kerana pemangsa sentiasa berlegar-legar dikawasan sebegini

Selalunya kawasan yang berstruktur sebegini dihuni oleh ikan.

Kuncinya adalah mencari tempat dimana anda rasakan ia menjadi tempat perlindungan bagi ikan dari cahaya matahari dan mencari makan.

Waktu Yang Terbaik Menggayakan Gewang Permukaan

Waktu terbaik untuk mempersembahkan gewang permukaan adalah ketika keadaan kurang cahaya seperti:

  • Waktu awal pagi
  • Waktu lewat petang.

Jika anda bercadang untuk menggunakan gewang permukaan pada waktu tengah hari, cari kawasan teduh seperti kawasan yang dilindungi oleh bayang-bayang pokok.

casting siakap merah
Waktu petang selalunya adalah waktu terbaik untuk menjerat siakap merah dengan popper!

Mengapa Waktu Ini Adalah Terbaik?

Kita perlu faham bahawa permukaan adalah sempadan antara air dan dunia luar.

Ia juga menjadi padang sasar kepada hidupan yang tinggal di dunia luar, terutama burung yang selalu memerhatikan permukaan air.

Ikan sama ada kecil atau besar tahu betapa bahayanya permukaan air ini.

– Sebab itulah ikan gentar untuk muncul di permukaan.

Ini juga sebab mengapa kita boleh lihat kumpulan ikan ‘menggelegak’ pada awal pagi sebelum matahari terbit, senja atau pada waktu malam.

Oleh itu, kerana ikan kecil jarang naik ke permukaan pada siang hari, maka tempoh ini bukanlah masa aktif pemangsa mencari makan di permukaan (pemburuan akan dilakukan di paras yang dalam).

Jadi, andainya anda ingin mengilat dengan gewang permukaan, anda perlu sasarkan pada tempoh galak tersebut dan jangan buat bising.

Tetapi jika anda tetap mahu cuba memancingnya pada siang hari, anda perlu perhati struktur tertentu di mana pemangsa boleh bersembunyi.

Kesimpulan: Jangan Abaikan Potensi Air Cetek

Tempat cetek sering dianggap tidak berpotensi oleh kalangan pemancing.

Ramai pemancing tak mengendahkan perairan cetek kerana menyangka tiada ikan pemangsa.

Sebenarnya tanggapan itu salah kerana air cetek juga adalah gelanggang permainan bagi ikan besar.

Seandainya kita telah mahir dengan gewang permukaan, banyak pilihan boleh dibuat untuk menggempurnya.

Jika tiada sambaran, barulah cuba di kawasan dalam.

Mengilat di permukaan membuatkan stail pancingan anda lebih meluas dari sebelumnya.

Jika terdapat kesalahan fakta atau teknikal, mohon perbetulkan saya agar sama-sama kita dapat menimba ilmu dalam dunia memancing.

Akhir kata, kumpau itu indah! ????

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments