Ini adalah ulangsiar perkongsian mengenai teknik dan tips jigging ebek kapak oleh Pak Wong, iaitu ketua editor Majalah Sirip dan boleh dikatakan salah seorang pemancing lagenda Malaysia. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.
Isi Kandungan
Ebek Kapak sememangnya ikon Light Jigging di negara kita. Teknik jigging ebek kapak juga telah berkembang mengikut masa sejak ia diperkenalkan 20 tahun dahulu. Artikel ini tidak berhasrat untuk membincangkan teknik jigging ebek secara am, malah lebih kepada perkara-perkara kecil yang sentiasa diabaikan pemancing. Peluang terkena dan menaikkan ebek dipercayai akan dapat ditingkatkan jika perincian yang dibentangkan dalam artikel ini dapat difahami dan dipraktikkan dengan sewajarnya.
Teks & Fotografi: Pak Wong
Perincian Pertama: Saiz & Warna Jig
Biarpun pernah melihat pemancing berjaya menggoda ebek dengan slow jig seberat 200 gram secara tidak sengaja, namun saya tetap percaya peluang terkena ebek akan menjadi lebih cerah dengan jig kecil seberat 30 hingga 60 gram. Ebek yang bermulut kecil dipercayai menjadikan hidupan yang bersaiz kecil sebagai diet utamanya. Kes hentam jig 200 gram semata-mata kebetulan.
Saya suka membahagikan ebek kapak kepada dua golongan. Golongan pertama ialah ebek bersaiz sederhana dengan bilangan yang lebih banyak dalam kumpulannya. Satu lagi ialah golongan yang terdiri dari ebek bersaiz besar tetapi berkumpulan kecil atau bersendirian. Ebek dari golongan pertama paling aktif dan akan membaham jig secara aggresif.
Manakala ebek yang berkumpulan kecil atau bersendirian lebih mencabar kesabaran dan kecekapan pemancing. Kita harus lebih fokus apabila menangani ebek-ebek besar ini. Mereka yang bersaiz bagak mungkin telah mengalami berbagai cabaran. Ada di antara mereka mungkin pernah terkena pancing namun berjaya melarikan diri akibat tali putus atau mata lucut. Bapak ebek ini mungkin telah belajar dari pengalaman pahit. Justeru kita harus meluangkan lebih masa untuk memilih perkakasan yang sewajarnya.
Pada asasnya semakin kecil jig semakin ia dapat mengurangkan kecurigaan ikan. Kepingan besi bersaiz kecil yang asyik bergerak ini tidak mudah dilihat ebek dengan teliti. Mereka hanya dapat lihat pantulan cahaya yang dihasilkan oleh sticker jig sehingga mereka menganggapnya sebagai ikan kecil yang berkeliaran di dasar laut.
Apakah warna jig terbaik untuk ebek? Pada pendapat saya asalkan ada warna silver di badan jig itu sudah memadai kerana ikan-ikan pemangsa akan menganggapnya sebagai makanan semulajadi(ikan kecil). Lagi pun silver merupakan warna yang paling kuat daya pantulan cahayanya. Dari jarak yang agak jauh, ia tetap dapat dikesan biarpun dalam keadaan cahaya yang agak gelap.
Pilihlah keberatan jig mengikut kelajuan arus. Asalkan jig tidak hanyut terlalu laju waktu mancapai dasar maka itulah keberatan yang memadai. Apabila arus kencang dan bot terpaksa berlabuh, pilihlah jig yang lebih kecil dan ringan untuk dihanyutkan ke kawasan yang lebih jauh jika ingin menduga perairan yang berlainan.
Perincian Kedua: Bagaimana Mengesan Sedutan Ebek
Saya tidak menggalakkan tali yang menjadi terlalu condong ketika jigging kerana ini akan mengakibatkan jarak di antara joran dan jig menjadi semakin jauh serta menghasilkan tali longgar. Biarpun ada ikan yang membaham jig pun sukar dikesan. Biarpun berjaya mengesan isyarat ikan daya membalas pun sukar disalurkan dengan efektifnya.
Isyarat ebek menyedut jig menyerupai ikan kecil yang sedang mematuk atau menyedut umpan dedak biarpun spesimen yang bersaiz monster. Mereka tidak melarikan atau membaham jig dengan ganasnya. Sebaliknya mereka seakan menyedut jig melalui mulutnya yang agak kecil berbanding saiznya. Padahal pergerakan menyedut yang amat ringan itu memang sukar dikesan. Sehingga apabila bibir mereka yang keras itu terlanggar jig kita barulah kita dapat mengesan isyarat yang “berbunyi”“duk…duk “ itu melalui tali PE yang sensitif.
Isyarat yang unik ini berkemungkinan besar berasal dari ebek kapak. Kita harus sentak dengan serta merta sebaik sahaja isyarat tersebut dikesan. Jangan mengarau balik jig jika tidak berjaya mencangkuk mulut ikan. Sebaliknya biarkan jig tenggelam kembali ke dasar. Ebek tadi atau temannya mungkin akan menyedut jig sewaktu ia tenggelam atau apabila anda memainkan jig semula dari dasar.
Perincian Ketiga: Memanjangkan Assist Hook
Saiz jig akan menentukan kejayaan dalam proses membalas. Jig yang terlalu besar/berat memang sukar untuk ebek menyedut ke dalam mulutnya terutamanya apabila bot hanyut dengan laju. Jika jig tidak disedut ke dalam mulut ebek bermakna assist hook berkemungkinan besar juga berada di luar mulutnya. Justeru kita tidak dapat menghasilkan hook-up terhadap mulut ebek atau mungkin akan mengakibatkan fault hook apabila mata terkena badan ebek.
Selain memilih jig sekecil mungkin berpandukan kelajuan atus atau hanyutan bot, anda juga boleh mempertimbangkan penggunaan kevlar yang lebih panjang untuk mengikat assist hook. Dengan cara ini biarpun jig tidak disedut ke dalam mulut ebek, kemungkinan besar assist hook yang panjang akan memasuki mulutnya.
Selain meningkatkan kejayaan cangkukan mata, pendekatan ini juga membolehkan mata menembus bahagian tepi mulut ebek bagi menghasilkan cangkukan yang lebih sempurna. Cangkukan mata yang kukuh ini akan dapat mengurangkan masalah lucut atau mata terkangkang.
Selamat mencuba!
Perkongsian ini dibuat oleh Pak Wong melalui laman sesawang Facebook pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..