Takwa: Sumber Kekuatan #1 Untuk Menghadapi Setiap Cabaran Dalam Kehidupan

takwa
Tidak kira apa jua yang kita hadapi dalam hidup, sifat takwa akan sentiasa memberi kita kekuatan..

Takwa adalah konsep utama dalam ajaran Islam.

Ia didefinisikan sebagai sentiasa sedar tentang kehadiran Tuhan dan sifat-sifatnya.

Keadaan ini membolehkan seseorang untuk melihat hidupnya secara berbeza dan tidak dibuai oleh keinginan dunia ini.

Ketakwaan adalah sumber utama kepada barakah dan motivasi dalaman kerana ia memberikan asas kukuh untuk nilai-nilai (values) serta prinsip kita yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

— Tidak kira bagaimana kita diuji, ketakwaan lah yang akan mengekalkan kita di jalan yang lurus.

Ia adalah suatu bentuk disiplin yang kita bentuk dari dalam menggunakan minda, hati, dan jiwa untuk membantu kita kekal istiqamah terhadap perbuatan dan perkataan kita.

Motivasi diri akan bertambah dengan bertambahnya takwa.

Ini kerana apabila kita menjadi lebih bertakwa, lebih banyak tenaga yang kita akan bina dalam personaliti dan karektor kita.

Ia membolehkan kita membuat keputusan secara waras yang membolehkan kita meraih kejayaan, walaupun ia mungkin menyebabkan timbulnya masalah kepada diri kita untuk jangka masa pendek.

Ini terbukti dalam kisah Nabi Yusof a.s Ketakwaan mendorong baginda untuk menolak godaan isteri tuannya, yang menyebabkan kepada pemenjaraannya.

Akhirnya, ketakwaan ‘menjadikan’ Yusof a.s sebagai bendahara negara Mesir.

Ini adalah satu lagi konsep utama dalam Islam, bahawa ketakwaan akhirnya akan membuahkan ganjaran yang tidak disangka-sangka dan keberkatan di dunia serta akhirat.

Allah berfirman dalam al-Quran:

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah Al-A’araaf ayat 96

Dan Allah berfirman lagi dalam al-Quran:

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Surah Al-Talaaq ayat 2

Terdapat banyak kisah yang bersangkut paut dengan ketakwaan yang akhirnya membawa kepada barakah dan kejayaan yang melangkaui imaginasi.

Antara yang masyhur adalah kisah seorang anak gadis yang enggan mendengar cadangan ibunya agar mencampurkan air ke dalam susu yang mereka mahu jual.

Si gadis mengingatkan ibunya bahawa Khalifah Umar bin al-Khattab telah mengarahkan agar susu tidak patut dicampur.

Ibunya membalas bahawa Umar tiada di sini dan tiada siapa yang akan tahu.

Tetapi anaknya berkata, “Allah melihat kita”.

Tanpa diketahui kedua-duanya Khalifah Umar mendengar seluruh perbualan tersebut.

Umar begitu kagum dengan jawapan si gadis tersebut sehinggakan beliau mengahwinkannya dengan salah seorang anak lelakinya.

Berkat ketakwaan telah membawa si gadis kepada perkahwinan yang makmur yang mengangkat kedudukannya dalam masyarakat.

Bahkan, dia telah melahirkan seorang lagi manusia hebat, yang kadangkala dinamakan sebagai khulafa rashidin yang kelima: Umar bin Abdul Aziz

Membina ketakwaan adalah latihan kesedaran yang konsisten.

Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri:

Adakah Allah akan redha jika aku mengambil langkah ini atau berkata seperti ini atau membuat amalan ini?”

Jika jawapannya ya maka bolehlah kita teruskan.

Jika jawapannya tidak, tahanlah diri.

Begini caranya kita meningkatkan takwa.

Telah diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Kaab tentang takwa.

Ubay berkata, “Pernah kau berjalan di atas jalan yang berduri?”

Umar menjawab, “Ya”.

Ubay bertanya lagi, “Apa yang kamu lakukan kemudian?”.

Lalu Umar menjawab, “Aku akan berhati-hati agar tidak terkena duri”.

Kemudian Ubay berkata, “Itulah takwa, untuk melindungi diri seseorang daripada dosa dalam perjalanan hidup yang berbahaya supaya di boleh menyempurnakan perjalanannya tanpa tercalar dengan dosa.”

Penting untuk kita tekankan bahawa takwa adalah untuk semua orang..

Kita selalu memikirkan bahawa ketakwaan adalah konsep khusus untuk semua orang yang betul-betul alim.

Ia adalah salah!

Ketakwaan adalah sesuatu yang kita semua patut berusaha untuk mendapatkannya, bina dan suburkan dalam jiwa.

Ia adalah untuk semua orang yang bergelar muslim.

Hanya kebaikan yang akan tumbuh daripada ketakwaan dan kebaikan ini akan membawa kita kepada cara hidup yang mulia dan produktif.

 

Tips Untuk Meningkatkan Rasa Takwa
  • Sentiasa sedar tentang Allah

Dalam setiap keputusan, tanya diri kita, “Jika Allah akan bertanya tentang keputusan ini, apa akan aku kata? Bagaimana aku mahu membela diri?”

  • Belajar lebih tentang Allah

Pelajari nama-namaNya, sifat-sifatNya dan bagaimana ia memberikan impak kepada hidup kita.

  • Minta keampunan

Sekiranya kita telah berdosa, bertaubatlah dengan segera.

Jangan percaya kepada penipuan syaitan bahawa kita teruk dan tidak akan diampunkan.

Allah berfirman dalam al-Quran:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Az-Zumar ayat 53

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments