Mengapa Sesetengah Spesis Ikan Kuat Melawan & Ada Ikan Yang Lemah?

ikan kuatKenapa terdapat banyak perbezaan daya juang di antara sejenis ikan dengan ikan yang lain bila terkena pancing?

Ini merupakan antara soalan yang sering bermain di dalam fikiran saya.

Disamping itu, terdapat beberapa persoalan lain yang timbul:

  • Kenapa daya lawan pari dan yu lebih kuat dan lama, berbanding ikan lain yang sama beratnya?
  • Kenapa ada ikan yang tinggal di habitat sama tetapi satu spesies ini sangat bertenaga, sedangkan satu lagi spesis lain cepat kecundang?
  • Adakah kerana faktor genetik? Adakah kerana cara hidupnya?
  • Adakah berkaitan dengan apa yang ia makan?

Semuanya persoalan yang menarik, bagaimanapun payah dijawab..

Dari segi saintifik, tiada jawapan mudah tentang soal ‘keperkasaan’ ikan.

Faktor-faktor yang menjadi ukuran ialah keagresifan, kelajuan renang, keupayaan berenang lebih lama (tempoh untuk ‘membesit’), kecenderungan lompat dan geleng kepala, cenderung untuk kuat melawan bila menghampiri bot, dan sebagainya.

Bagaimanapun, satu faktor yang mungkin dipersetujui ramai untuk mengaitkan kelasakan ikan adalah ‘kuasa tarikannya’, terutama dalam tempoh pertarungan yang berlarutan.

Mari mendalami Anatomi Otot Ikan

Kuasa tarikan ikan sangat berkait dengan fisiologi dan biokimia otot, bahkan otot ikan memiliki beberapa ciri yang menarik.

Jika ikan dipotong, anda akan dapati bahawa kebanyakan ototnya berwarna putih atau pucat.

Namun, setiap jenis ikan mempunyai amaun otot merah yang berbeza-beza, yang selalunya menganjur di sepanjang garis tengah dan dasar siripnya.

Kedua-dua jenis otot ini agak berbeza dari segi bentuk dan fungsi.

Dan nisbah otot merah dan putihlah yang membezakan kelajuan pecutan dan kuasa
tarikan setiap spesies ikan.

Otot putih kekurangan kapilari darah (salur darah kecil).

Otot ini digunakan untuk pecutan permulaan apabila ikan terkena pancing.

Namun akibat kekurangan bekalan darah, ia cepat penat bila kumuhan seperti lactate dihasilkan.

Sebaliknya, otot merah kaya dengan salur darah dan digunakan untuk renangan berterusan.

Justeru, otot merah menjadi dasar kepada sirip.

Ada sesetengah ikan menggunakannya untuk renangan kekal seperti sirip pektoral bayan dan ikan opah (moonfish).

Selain bekalan darah, struktur kedua-dua jenis otot ini sangat berbeza.

Gentian otot merah lebih halus dan disusun lebih padat, berbanding otot putih.

Otot merah juga dibekalkan lebih banyak tenaga dalam bentuk pek tenaga mini dipanggil ‘mitokondria’.

Jadi, ia membekalkan lebih banyak kuasa terkumpul dalam himpunan lebih kecil.

Jadi otot merah adalah kunci untuk keupayaan ikan berjuang tanpa mengalah.

Semakin banyak otot merah, semakin kuatlah kuasa tarikannya – dari segi teorilah.

Jadi, perkara paling ringkas yang boleh anda fikirkan tentang kuasa tarikan dan pecutan sang ikan ialah dengan mengenal pasti ikan manakah yang lebih tinggi peratusan otot merahnya, berbanding otot putih.

Perhatikan Struktur Otot Spesis Ikan Terhandal

ikan kuat
Giant Treavelly adalah spesis ikan kuat yang memberi tentangan kepada pemancing

Jika diperhatikan, ikan tuna atau aya merupakan spesies yang memiliki paling banyak otot merah.

Sebab itulah ikan ini mampu bertempur dengan gagah dan lama berbanding spesies lain.

Skipjack tuna (tongkol) misalnya memiliki nisbah otot merah yang sangat besar, mungkin lebih besar dari sebarang ikan lain.

Justeru ramai yang mengkelaskannya sebagai pejuang handal.

Ikan yu dari keluarga Lamnid sepertu yu mako, porbeagle dan jerung putih juga mempunyai banyak otot merah, berbanding yu lain.

Oleh itu, mereka boleh berlawan lebih gagah dan lebih lama.

Kumpulan yu dan pari (ikan bertulang rawan) juga handal berjuang kerana ia berupaya mengkumuhkan asid laktik dengan lebih efisien berbanding ikan bertulang.

Walau bagaimanapun, saya dapati peraturan ‘otot putih lawan otot merah’ ini tidak selalunya benar.

Misalnya ikan pedang (swordfish) dan mersuji tidak banyak otot merah berbanding otot putihnya (jika dibanding ikan aya), tetapi kenapa mereka boleh berlawan dalam tempoh yang sangat lama?

Seperti mana tuna, meruji dan ikan pedang juga mampu berhijrah begitu jauh, dan ini memerlukan aktiviti otot yang kental.

Mungkin semua ini memerlukan pendekatan yang lebih teliti.

Barangkali otot putih mersuji dan ikan pedang dilengkapi bekalan salur darah yang lebih baik, berbanding otot putih ikan pike atau trout misalnya (kajian tentang perkara ini pernah
dilakukan ke atas ikan tersebut).

Semua ikan pelagik mempunyai adaptasi fisiologi yang menakjubkan di habitatnya, termasuklah keupayaan untuk menjunam tegak dan pantas ke dasar ke air yang rendah kepekatan oksigen terlarutnya, tetapi masih mampu membekalkan oksigen kepada otot, otak dan matanya.

Mungkin adaptasi seperti ini menjelaskan misteri ‘kuasa tarikannya’.

Setiap spesies banyak perbezaannya, tetapi terdapat juga persoalan tentang variasi daya juang antara individu, walaupun dari spesies yang sama.

Dalam kes ini, genetik tentunya memainkan peranan (sesetengah ikan dilahirkan sebagai ‘atlet’ semulajadi).

Sementara faktor lain seperti keadaan tubuh badan, diet dan suhu air juga memainkan peranan.

Sumber: Dr. Julian Pepperell (Modern Fishing), petikan dari ruangan lubuk ilmiah Majalah Sirip

Tinggalkan Komen Anda..

Subscribe
Maklumkan
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Discover more from Inchenaim

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading